Monday, August 29, 2011

Cara Menyambut Hari Raya Aidilfitri

Bulan Ramadan yang penuh keberkatan telah sampai ke penghujungnya. Kini Aidilfitri menjelang tiba.Insyaalah esok seluruh umat Islam akan menyambut hari kemenangan ini. Aidilfitri disambut dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan kerana itulah tanda bahawa perjuangan melawan hawa nafsu di bulan Ramadan telah berjaya.

Tapi ini bukan bererti perjuangan tersebut berhenti setakat itu sahaja sebaliknya amalan-amalan baik yang dilakukan sepanjang bulan Ramadan wajar diteruskan dan amalan yang haram adalah ditegah. Namun dalam keghairahan dan kegembiraan menyambut hari raya yang mulia, umat islam diingatkan agar jangan melampaui lunas-lunas dan batasan yang telah ditetapkan oleh Islam.

Ini kerana dibimbangi, hari raya yang dijadikan oleh Allah swt sebagai anugerah kerana kejayaan hambanya beribadah dan berjuang melawan hawa nafsu selama sebulan bertukar menjadi hari untuk menghimpunkan dosa-dosa yang tidak dapat dilakukan sepanjang bulan Ramadan.

Islam telah memberikan beberapa garis panduan yang sewajarnya menjadi amalan umat Islam dalam menghadapi kemeriahan berhari raya. Antara amalan sunat yang dianjurkan untuk menjadi amalan menjelang hari raya ialah:

  • Bertakbir dan bertahmid kepada Allah bermula dari waktu terbenam matahari malam hari raya sehingga imam mengangkat takbiratul ihram sembahyang hari raya. Firman Allah : "Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjukNya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur" (Surah al-Baqarah :185)
  • Mandi sunat di pagi hari raya
  • Memakai pakaian baru atau bersih
  • Memakai wangi-wangian dan menghilangkan segala bau yang tidak elok
  • Memohon kemaafan dan keampunan kepada dua ibubapa, suami atau isteri dan ahli keluarga yang lain
  • Makan sedikit sebelum ke masjid dan melalui jalan yang berbeza untuk pergi dan pulang dari masjid
  • Solat Sunat Hari Raya
  • Ziarah menziarahi dan sebagainya. Ketika sedang gembira berhari raya, jangan dilupa pada golongan yang memerlukan Amalan bersedekah merupakan cara terbaik sebagai tanda kesyukuran di atas segala nikmat dan rezeki yang dikurniakan oleh Allah.
Selain daripada itu, dalam kesibukan membuat persiapan menghadapi hari raya , perlu dielakkan campuraduk antara amalan-amalan yang baik dengan perkara yang ditegah. Di antaranya pembaziran dalam penyediaan makanan dan minuman. Selain itu, percampuran di antara lelaki dan perempuan secara bebas di dalam sesuatu majlis perlu dielakkan daripada berlaku.

Perkara-perkara maksiat yang ditegah oleh syara' mestilah dijauhi dan janganlah melakukan perlanggaran batas-batas agama. Umat Islam juga perlulah menjaga adab sopan ketika ziarah menziarahi sanak saudara.

Di antaranya ialah dengan memilih waktu yang sesuai untuk berziarah. Apa yang diharapkan, hari raya bukan semata-mata hari untuk bergembira tetapi yang lebih penting dan utama ialah mendapat keredhaan dari Allah s.w.t.
 

No comments:

Post a Comment