Tahniah kepada SK Kampung Raja, Besut kerana menjadi calon tunggal negeri Terengganu melepasi "exit target" dan layak diverifikasi oleh JNJK untuk pengiktirafan SBT. Menurut sumber yang boleh dipercayai hanya segelintir sekolah yang melepasi dan layak untuk dinilai.
SK Kampung Raja yang akan genap 100 tahun pada tahun depan pernah menduduki Band 1 sebelum ini dan pernah dicalonkan untuk SBT dan SKK tetapi persediaan pencalonannya kurang mantap maka peluang itu terlepas begitu sahaja. Usaha untuk mengangkat SK Kampung Raja sebagai SKK kemudian diteruskan semula oleh Allahyarham Cikgu Rosli, Guru Besar, SK Kampung Raja namun akibat "krisis" UPSR yang melanda daerah Besut maka pencalonan SK Kampung Raja tidak diverifikasi. Kekecewaan Allahyarham dinyatakan dalam tangisan kepada saya selaku Pegawai Meja Projek SKK.
Namun apabila PPD Besut mengambil langkah proaktif meletak En. Che Husin bin Ismail sebagai Guru Besar, SK Kampung Raja ia memberi harapan baru bahawa segala kekuatan SK Kampung Raja dan kejayaan patut dipugar dan diangkat tinggi. En. Che Husin bin Ismail yang pernah membawa SK Kuala Besut, Johan 3K Kebangsaan tentu ada resipinya. Apa yang penting beliau sebagai ketua positif menerima cabaran itu. Keyakinan dan harapan jabatan kepada SK Kampung Raja saya tulis dalam blog ini semasa pemantauan sekitar Julai 2013. Boleh baca di sini.
Alhamdulillah hari ini SK Kampung Raja bukan sahaja tercalon sebagai calon Anugerah Tawaran Baru Guru Besar tetapi juga tercalon sebagai SBT. Sebenarnya ada lagi yang kita perhatikan sekolah-sekolah berpotensi di Besut tetapi tidak berubah dan berganjak maju ke depan mungkin disebabkan gaya dan stail kepimpinan yang kurang kreatif dan inovatif. Ini tentunya memerlukan keberanian PPD Besut untuk membuat perubahan dan percaturan.
Di sebalik kejayaan dan keupayaan SK Kampung Raja kita sebenarnya juga kecewa kerana dari 17 sekolah band 1, 5 daripadanya adalah bertaraf SKK tetapi markah yang dikutip dalam pengisian portal tidak melepasi "exit target" dan terkeluar untuk layak diverifikasi. Sewajarnya ini tidak berlaku khususnya kepada SKK yang telah lama kerana peruntukan khas yang diturunkan KPM sewajarnya mampu memperbaiki kekurangan untuk bergerak ke arah SBT. Pada pandangan kami selaku urusetia Sekolah Kecemerlangan Negeri aspek Annex seperti Personaliti Unggul, Jalinan, Jaringan, Anugerah dan Penandaarasan tidak mantap walaupun tiga terbaik diperlukan. Sewajarnya inilah yang harus disedari oleh semua sekolah SKK jika ingin bergerak ke SBT kerana pada pandangan kami aspek SKPM dan akademik sudah mantap dan terserlah.
Kita berharap pencalonan SK Kampung Raja menjadi bechmark dan cabaran kepada semua SKK negeri bahawa sekolah yang tiada peruntukankan pun kalau kena gayanya mampu melonjak tinggi. Dan jika SK Kampung Raja gagalpun meraih Anugerah SBT kerana dasar atau kekurangan sesetengah tempat mereka tetap hebat kerana dalam pemantauan dan tinjauan kami untuk bergerak ke arah SKK mereka sangat memenuhi kreteria. Jika mereka meraih SKK Fasa 9 maka tahun-tahun berikutnya adalah tahun gemilang meraih SBT kerana sebahagian Annex mereka cukup kuat. Terpulang kepada kepimpinan dan para guru SK Kampung Raja. Merekalah pemegang kunci itu.
Tahniah, SK Kampung Raja tiada mustahil dan halangan bagi mereka yang berjiwa besar.