Sekumpulan bekas pelajar sebuah
universiti berkumpul menziarahi bekas pensyarah mereka.. Pensyarah itu
amat gembira menerima kedatangan bekas pelajar yang berjaya dalam
jurusan dan kehidupan masing-masing.
Mereka bertanya khabar dengan penuh mesra dan terus terang. Perbincangan
berlanjutan sehingga menyangkut kepada permasalahan berbentuk peribadi.
Ada yang mengeluh, mengadu dan meluahkan perasaan yang tertekan dengan
pelbagai permasalahan, tekanan hidup berkeluarga, dengan rakan di tempat
kerja serta masyarakat sekeliling.
Pensyarah itu hanya tersenyum dan terus menuju ke dapur untuk mengambil
cawan pelbagai bentuk dan warna. Ada yang dibuat daripada tembikar, kaca
dan plastik. Ada yang cantik, penuh hiasan, kelihatan mahal dan ada
yang biasa saja dan murah. Pensyarah itu menjemput semua bekas anak
murid itu minum menggunakan cawan pilihan mereka.
Apabila semua bekas pelajar itu mengambil cawan yang terisi air, dia pun
berkata: “Jika kamu perhatikan, semua cawan yang cantik dan mahal itu
diambil, yang tinggal hanya cawan yang biasa-biasa dan murah! “Begitulah
lumrahnya kita hanya akan memilih yang terbaik (menurut pandangan
luaran), sebenarnya itulah punca masalah dan tekanan hidup yang kita
semua hadapi!”
Apa yang kita perlukan sebenarnya adalah air, bukan cawan itu, tetapi
kita secara tidak sedar memilih cawan yang cantik saja! Demikianlah
kehidupan ini ibarat air. Kerjaya, wang ringgit dan kedudukan dalam
masyarakat semuanya umpama cawan yang beraneka warna itu. Semua itu
adalah alat atau pemudah cara untuk meneruskan hidup tetapi kualiti
hidup tidak berubah. Jika kita hanya menumpukan perhatian kepada cawan,
kita tidak ada masa untuk menghargai, merasakan dan menikmati air itu!
Apa yang pensyarah itu katakan bertepatan dengan apa yang al-Quran
bentangkan mengenai jiwa manusia yang selalu berkeluh kesah dan tidak
pernah rasa cukup. Pelbagai permasalahan kita berpunca daripada empat
perkara:
# Kita hanya memandang dan menginginkan apa yang ada pada tangan
orang lain.. Kita tidak nampak atau lupakan nikmat di dalam genggaman
kita. Walhal, Allah telah berikan kepada kita. Oleh itu kita tidak
rasakan ‘keseronokan’ atau terasa nikmat dengan pemberian itu.
# Kita terlalu banyak ‘komplen’ dan komen (mengadu) dan mengeluh serta
menyalahkan keadaan sehingga kepada permasalahan sekecil-kecilnya dalam
kehidupan dunia ini. Tetapi, kita sering lupa kesusahan dan penderitaan
sebenar yang bakal kita hadapi di akhirat kelak.
# Kita terlalu mengejar kemewahan, kemegahan dan glamor kehidupan
sehingga melupakan tujuan hidup kita sebenarnya. Inilah sebenar ujian
hidup yang kadang kala kita rasakan amat memeritkan untuk dihindari,
pada hal kita tahu ganjarannya adalah syurga daripada Allah.
# Kita selalu menganggap kehidupan di dunia ini untuk hidup
selama-lamanya. Oleh itu, kita menghabiskan seluruh sumber dalam diri
semata-mata untuk membina pengaruh, mengumpul harta dan kemasyhuran diri
seolah-olah ‘kematian’ itu untuk orang lain, bukan untuk kita. Kita
lupa semua kejadian akan mati dan walhal akhirat adalah kehidupan abadi.
Oleh itu, dari sekarang kita hentikan perangai suka komplen, komen dan
berkeluh kesah. Kita hargailah kehidupan ini. Kita jalani kehidupan
sebagai khalifah Allah, melakukan yang makruf, melarang perkara yang
mungkar. Kita syukuri nikmat yang ada dan panjangkan nikmat ini kepada
orang lain dengan memberikan khidmat menolong dan memudahkan kehidupan
orang lain.
Pernah suatu ketika Saidina Ali ditanya oleh seorang lelaki: “Jika
diberikan pilihan, mana satukah yang kamu pilih?, kehidupan di dunia
atau mati? Jawapan baginda memeranjatkan lelaki itu: “Saya akan pilih
kehidupan di dunia, melalui perjuangan dalam kehidupan ini, saya
mendapat bekalan untuk mencapai keredaan Allah di akhirat kelak.”
Moga seluruh perjalanan hidup kita diredhai dan dirahmati oleh Allah. Apa guna hidup seorang hamba tanpa keredhaan penciptaNYA
sumber
No comments:
Post a Comment