Wednesday, February 5, 2014

Kejayaan anak boleh ditempa di mana-mana sekolah....

Jika kita teliti dan perhati dalam pelbagai medium selepas musim kemasukan sekolah ini kita dapati ada segelintir ibu bapa melahirkan rasa kecewa. Kecewa kerana anak-anak mereka cemerlang dalam peperiksaan awam terutama UPSR mahupun PMR tidak terpilih ke mana-mana sekolah "impian dan idaman" mereka. Sekolah-sekolah yang dianggap berprestaj seperti Sekolah Berasrama Penuh, sekolah-sekolah Elit yang dikawal ataupun MRSM dan seumpamanya. Kita percaya kadang-kadang rasa kecewa ibu bapa melebihi darjah kekecewaan anak-anak.

Dalam masa yang sama ada juga segelintir pelajar cemerlang dan ibu bapa mereka (sesetengahnya golongan pertengahan ) lebih reda bersekolah di sekolah biasa. Alasan mereka biarlah mereka berada di depan mata dan kita dapat berikan perhatian dan kasih sayang sebelum mereka ke universiti, berkahwin dan berkeluarga. Mereka tidak bimbang atau mempersoalkan bahawa anak mereka yang cemerlang bakal kecundang kerana belajar di sekolah yang dianggap "tiada kelas" atau " cap ayam" bagi sesetengah pihak. Mereka yakin dengan pegetua, penolong kanan dan guru-guru yang majoriti terlatih dan memiliki sekurang-kurang ijazah sarjana muda.

Sebagai ibu bapa juga saya pernah merasai "kekecewaan" ini bila anak saya yang kedua lulus PTS dan lompat terus ke Tahun 5 dan setahun kemudian lulus 5A , UPSR. Sayangnya anak saya terbukti "cerdik" tidak ditawar ke mana-mana walaupun dalam masa yang sama kakaknya yang mengambil UPSR bersama-sama mendapat tawaran ke Sekolah Berasrama Penuh. Jelas diwajahnya kecewa teramat namun sebagai seorang guru dan motivator saya berjaya memulih semangatnya. Saya kata 'kalau kak ngah hendak ke SBP dan MRSM kak ngah ada satu lagi peluang iaitu dapatkan 9A dalam PMR".

Di sekolah menengah biasa yang " tidak kelas " dan "cap ayam" ini anak saya meneruskan perjuangan. Saya beri nama sekolah itu demikian kerana ada peristiwanya. Semasa saya bertugas sebagai pegawai pengurusan murid di Unit Sekolah Menengah seorang ibu bersama seorang anak yang tinggal di kampung di mana anak saya yang kedua ini bersekolah ibu ini ingin menukar anaknya itu ke satu sekolah primier di daerah lain dengan alasan sekolah menengah dekat rumahnya "tidak kelas" dan "cap ayam". Telinga saya berdesing dan hati saya membara. Lalu saya kata kepada mak cik ini;

 "Mak cik semua sekolah menengah kita letak semua guru terlatih dan terbaik. Sekolah kampung mak cik saya letak anak saya yang dapat 5A UPSR. PMR dia dapat 9A di sekolah yang sama. Dia dapat tawaran ke Sekolah Berasrama Penuh di Kuala Lumpur. Enam bulan saja mak cik dia sekolah sana. Sekarang dia balik belajar kat sekolah asal kerana dia kata sekolah lama dia lebih selesa. Kalau saya nak letak sekolah Sultan Sulaiman boleh tapi saya yakin kalau anak saya hendak belajar sekolah manapun dia akan belajar. Isteri sayapun mengajar sekolah kampung mak cik juga", terang saya panjang lebar. Akhirnya mak cik ini membatalkan niat untuk menukar sekolah anaknya.

Itulah tanggapan dan persepsi ibu bapa kepada sekolah kampung mereka sendiri. Entah apa sebab saya tidak pasti. Mungkin mereka pernah melihat "ketidak cemerlangan" atau " kelonggaran disiplin" hingga tidak nampak kemenjadiannya anak didik di situ. Atau mereka hanya terpengaruh dengan jenama sekolah hebat ini sahaja. Apapun pengurus sekolah dan guru-guru wajar mempromosi dan mempamir kehebatan sekolah masing-masing menyamai sekolah ternama dan berjenama ini. Kita yakin kita mampu buat sebagaimana yakinnya saya mempertaruhkan masa depan anak saya yang cemerlang di sekolah menengah biasa. Saat ini anak saya yang tidak dapat ke mana-mana itu sedang menyiapkan Ijazah Doktor Falsafah (Phd) di salah sebuah universiti tempatan dalam bidang sains. Saya boleh katakan beliau adalah sebilangan ramai yang berjaya ke menara gading dari jasa guru dan semangat juang di sekolah biasa atau sekolah cap ayam ini. Hari ini saya bersyukur kerana jika dia "tidak lari" dari sekolah hebatnya dan masuk semula ke sekolah lama yang biasa-biasa itu, anak saya mungkin tidak seperti mana apa yang dia dapat pada hari ini.

Apabila anak yang hebat dan cemerlang berada di sekolah biasa mereka akan menjaga reputasi untuk menjadi yang terbaik. Mereka belajar bersungguh-sungguh agar prestasi tidak jatuh dan mengelakkan malu. Mereka seronok berada di depan dan secara tanpa sedar mereka berusaha tanpa tekanan membugar keupayaan mereka sendiri. Peluang seperti ini tidak mereka nikmati dan sentiasa berada dalam tekanan untuk meraih yang terbaik kerana mereka berada dalam kolompok di mana semua hebat dan bagus malah jauh lebih bagus dari mereka. Kerap kita dengar mereka ini tertekan bukan sahaja bagi mengekalkan prestasi, rindukan keluarga dan sukar menyesuaikan diri dan akhirnya "lari" balik. Buang masa, tenaga dan wang ringgit.

Begitu juga saya cukup tertarik dengan seorang sahabat saya , yang mana kedua-dua anaknya mendapat pelajar terbaik PMR di sekolah menengah biasa terus mengekalkan anak-anaknya di sekolah tersebut dan menolak tawaran SBP. Beliau juga seperti saya , yakin dengan kemampuan pengurusan sekolah dan para guru memugar potensi dan kupayaan anak-anaknya. Sekolah menengah kita yang ada bukan sahaja mempunyai guru siswazah terlatih dan mencukupi tetapi juga peralatan PdP yang canggih dan terkini.

Sewajarnya kita sebagai ibu bapa dan ahli masyarakat sentiasa menyokong dan memberi sumbangan tenaga, pemikiran dan wang ringgit untuk membangun pendidikan di sekolah-sekolah kampung kita. Sekolah kampung kita sewajarnya menjadi lambang dan simbol kecemerlangan pendidikan dan pembangunan modal insan terbilang. Sekolah-sekolah yang kecil, kurang murid dan pedalaman Hulu Terengganu sebagai contoh menjadi sekolah hebat dan terbilang dalam pelbagai bidang. Satu pertiga daripada sekolah Band 1 dan juga prestasi UPSR terbaik datang dari daerah ini. Kita percaya kejayaan dan kehebatan ini terjadi justru eratnya jalinan dan jaringan insitusi sekolah dengan pelbagai lapisan peringkat masyarakat dan agensi setempat.

Kita menyeru kepada ibu bapa yang mana anak-anak mereka yang cemerlang tetapi tidak dapat ke sekolah terpilih tidak kecewa dan berputus asa. Ruang dan peluang untuk mereka berjaya di sekolah feeder mereka terbuka luas. Apa yang penting bagaimana kita mampu membina minda dan sikap positif kepada anak-anak kita untuk mereka  berjaya dan memanafaatkan peluang-peluang yang ada. Orang yang berjaya akan sentiasa akan merebut peluang tetapi orang yang malas dan gagal akan tahu mencipta pelbagai alasan.


1 comment:

  1. Ada pro & kontra belajar di sekolah kg. Sekiranya anak kita jenis tidak mudah terpengaruh dengan budaya liar & negatif, boleh teruskan. Jika tidak, baik bersekolah di SBP @ Mrsm dimana budaya belajarnya lebih baik walaupun ada segelintir yg negatif tetapi kebanyakkannya berlumba utk berjaya.Motivasi anak pun lebih tinggi kerana dpt belajar di tempat terpilih selepas berusaha gigih bagi mndapat 5A. Sekurang-kurangnya,berbaloi usaha mereka. Tidaklah mereka sama sekolah dengan kawan yang gagal semua subjek.Macam tiada perubahan atas usaha mereka. Peluang utk melanjutkan pelajaran pun lebih luas, cthnya MRSM ada laluan ekpress utk masuk U lebih awal. Yang penting, pastikan anak kita cintakan ilmu & ingin berjaya.

    ReplyDelete