Wednesday, February 12, 2014

Pelaksanaan Sistem Aplikasi Pentaksiran Berasaskan Sekolah Dikaji Semula - Muhyiddin



PUTRAJAYA, 11 Feb (Bernama) -- Pelaksanaan sistem aplikasi Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) akan dikaji semula selepas selepas pelbagai aduan diterima daripada golongan guru.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Kementerian Pendidikan perlu mengkaji semula pelaksanaannya ekoran pelbagai masalah dalam urusan merekodkan butiran dalam pangkalan data pengkomputeran sistem aberkenaan.

"Buat masa ini, sistem aplikasi PBS itu ditangguh sehingga April depan, namun, guru masih perlu menjalankan kerja-kerja merekodkan butiran dan pelbagai perkara yang berkaitan PBS secara manual tanpa menggunakan komputer," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan guru-guru di Sekolah Menengah Presint 8(1) di sini Selasa.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Dr Madinah Mohamad, Ketua Pengarah Datuk Dr Khair Mohamad Yusof dan Pengetua Sekolah Menengah Presint 8(1) Putrajaya, Roaini Jaafar.

Dalam pertemuan sejam itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata mereka membincangkan mengenai pelbagai masalah yang dihadapi guru berhubung sistem aplikasi komputer PBS berkenaan.

Muhyiddin berkata kementerian akan menjadikan Sekolah Menengah Presint 8(1) Putrajaya sebagai satu kajian kes mengenai permasalahan sistem pengkomputeran aplikasi PBS dan kaedah PBS.

Beliau juga berkata kaedah Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang diguna pakai di sekolah-sekolah di seluruh negara sekarang akan turut dikaji semula berikutan pelbagai masalah yang timbul akibat penggunaan sistem pengkomputeran aplikasi berkenaan, katanya.

Muhyiddin berkata kementerian akan membuat keputusan mengenai dua perkara berkenaan iaitu sistem pengkomputeran aplikasi PBS dan kaedah PBS, sama ada untuk meneruskannya atau tidak pada satu mesyuarat yang akan diadakan kementerian daam masa terdekat.

PBS merupakan transformasi daripada berfokuskan peperiksaan kepada sistem pentaksiran pendidikan yang lebih holistik. Bagaimanapun, sejak tahun lepas, golongan guru mendakwa ia membebankan mereka berikutan sistem aplikasi pengkomputeran itu sering tergendala menyebabkan data pelajar terpaksa dimasukkan pada lewat malam.

-- BERNAMA

3 ulasan:

Anonymous said...

Muhyiddin berkata kementerian akan menjadikan Sekolah Menengah Presint 8(1) Putrajaya sebagai satu kajian kes mengenai permasalahan sistem pengkomputeran aplikasi PBS dan kaedah PBS.
Kenapa tak buat kajian kes yang sama di sekolah pedalaman atau luar bandar yang terbatas liputan internet dsb.

Anonymous said...

Kajian ok tp tak kena pada tempatnya.

Anonymous said...

Pbs ok. Boleh teruskan. Tak payah buat online. Guna sistem offline. 2 bulan 3 bulan sekali hantar markah. Barulah cikgu tak merungut.

Post a Comment