Thursday, February 6, 2014

Watikah Pelantikan Pengawas SK Tengku Ampuan Intan (SBT)

KUALA BERANG - Benar sekali kata orang tua-tua, "Melentur buluh biarlah dari rebung". Begitulah juga jika ingin melatih pemimpin biarlah bermula dari awal lagi. Bakat semulajadi dan potensi diri anak-anak harus dikembang dan dibugarkan dengan cara yang betul agar mereka belajar nilai-nilai hidup bermasyarakat dan berorganisasi dengan betul.

Begitulah filosofi dan nilai yang cuba ditanam dan dikembangkan oleh SK Tengku Ampuan Intan, Kuala Berang Sekolah Berprestasi Tinggi ulung di daerah ini. Memilih dan melantik pengawas sekolah bukanlah sesuatu yang baru dan merupakan rutin biasa semua sekolah di awal tahun persekolahan. Namun uniknya sebagai SBT pihak sekolah terutama Tuan Haji Mohd Hassan Draman, Guru Besar SK Tengku Ampuan Intan telah melaksanakan satu inovasi dalam kaedah dan tatacara pemilihan pengawas sekolahnya. Menurut beliau pihak sekolah telah merangka prosidur dan sistem pemilihan pemimpin murid secara terbuka sebagaimana langkah-langkah berikut:
  1. Hebahan permohonan
  2. Edaran Borang Permohonan di Kaunter Borang Permohonan Pemimpin murid
  3. Taklimat mengisi borang , mengisi dan penyerahan borang kepada panel pemilih
  4. Sesi temuduga
  5. Panel pemilih mendapatkan maklum balas dari warga sekolah berkaitan prestasi, sahsiah dan kegiatan kokurikulum
  6. Mesyuarat penyelarasan akhir
  7. Calon-calon pengawas mengikuti Kursus Persediaan yang dinamakan Program Pemimpin Muda
  8. Penyerahan Surat Tawaran Pelantikan dan maklum balas penerimaan pelantikan
  9. Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan
Hasil dari inovasi kaedah ini mereka yang terpilih benar berwibawa dan berbakat. Ini dapat dilihat semasa Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan kepada 163 orang yang terdiri dari Pengawas Sekolah, Pengawas Pusat Sumber, Pembimbing Rakan Sebaya dan Pengawas Kedai Sekolah. Majlis yang diadakan di Dataran Intan, SK Tengku Ampuan Intan telah disempurnakan oleh En. Mat Lazim Noor, Penyelia Kanan Projek Khas/Asli/Kluster. Turut hadir ialah En. Nasharudin Abu Bakar, dari PPD Hulu Terengganu  dan Sarjan Mohd Soekarno Ab, Hamid dari IPD, Hulu Terengganu merangkap Pegawai Perhubungan Sekolah ini.

Sebenarnya program melatih kepimpinan bagi melahirkan pelajar yang boleh memimpin adalah salah satu dari enam Aspirasi Murid dalam Plan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 - 2025. Justru itu adalah menjadi kewajipan semua sekolah merangka dan melaksanakan program-program yang mampu membina sifat kepimpinan di kalangan pelajar mereka.  Walaupun ianya mungkin perkara biasa tetapi dengan sentuhan yang kreatif dan inovatif ia menjadi sesuatu yang menarik dan mempunyai nilai pembelajaran yang tinggi.

Kita berharap dan sentiasa berdoa semoga anak-anak didik yang terbiasa dan terasuh dengan nilai kepimpinan yang baik suatu hari nanti berupaya menjadi pemimpin yang hebat. Pengalaman yang diperolehi secara pengalamian sangat bermakna bagi mereka. Sediakan peluang bagi mereka mencanai bakat yang ada.


No comments:

Post a Comment