KEMAMAN - SK Sungai Pergam (Asli) hari ini telah mengadakan Anugerah Cemerlang UPSR kepada calon-calon UPSR 2013 yang telah menunjukkan kejayaan. Seramai 10 orang calon telah menduduki UPSR 2013 dan salah seorang telah mencapai tahap minum C bagi semua mata pelajaran. Ini merupakan satu rekod kejayaan bermakna bagi murid-murid Asli SK Sungai Pergam.
YB Haji Wan Abd. Hakim Tan Sri Hj Wan Mokhtar, ADUN Air Puteh telah sudi hadir menyampaikan ucapan dan hadiah kepada pelajar-pelajar terbabit. Turut hadir Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli Terengganu, Penghulu Mukim Jabor, Batin-Batin, Pengerusi dan AJK PIBG, JKK dan juga para ibubapa.
Menurut YB ADUN Air Puteh juga pelbagai usaha sedang dilaksanakan kerajaan untuk mempertingkatkan pendidikan anak-anak orang Asli. Menurut lagi hasrat untuk membina asrama dengan bantuan agensi kerajaan sedang diusahakan.
Sekiranya usaha mendapat asrama di satu kawasan yang telah dikenalpasti berjaya dan usaha-usaha membina bangunan baru dan kemudahan infrastruktur di lokasi yang sama terlaksana kita yakin satu pusat kecemerlangan pendidikan di Sg Pergam mampu membawa banyak perubahan. Jika impian ini tercapai maka Sekolah K9 boleh diujudkan hingga ke tingkatan 3 di tempat sama dan pastinya masalah keciciran anak-anak Asli ke sekolah menengah dapat diatasi atau dielakkan.
Hasil kepimpinan Guru Besar, guru-guru, ibubapa dan kepimpinan YB dan masyarakat setempat telah menampak sinar kesedaran baru di kalangan orang Asli Sungai Pergam kepada pendidikan. Mengikut En. Shafie Abu Bakar, Guru Besar SK Sungai Pergam peratus kehadiran murid semakin baik dan band sekolah telah meningkat dari Band 7 ke Band 6.
Kita sangat yakin dengan iltizam dan komitmen guru juga sokongan ibu bapa serta kepimpinan setempat yang erat pendidikan anak Asli SK Pergam akan mengalami tranformasi baru yang lebih menyerlah. Soalnya sejauh mana kita berubah sikap dan mempertingkatkan usaha. Kata orang hendak seribu daya, mahu seribu cara.
No comments:
Post a Comment