Friday, December 18, 2009

100 buah Sekolah Berprestasi Tinggi Menjelang 2012


PETALING JAYA: Kerajaan sudah menetapkan sasaran mewujudkan 100 sekolah prestasi tinggi menjelang 2012 sebagai sebahagian Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk pendidikan.

Ketua Makmal NKRA untuk Pendidikan, Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim, berkata Kementerian Pelajaran percaya mereka boleh mencapai jumlah yang disasar itu kerana kini terdapat sekolah kluster yang turut menumpukan kepada standard kecemerlangan pembelajaran dan pengajaran.

“Kerajaan sudah mensasarkan 20 sekolah untuk diiktiraf sebagai sekolah prestasi tinggi tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas membentangkan Makmal NKRA Pendidikan bertajuk ‘Pendidikan Berkualiti dan Mampu Dimiliki oleh Semua Rakyat Malaysia’ pada Hari Terbuka Program Transformasi Kerajaan (GTP) di Pusat Konvensyen Sunway di sini, semalam.

GTP dua hari yang bermula hari ini dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.


Noor Rezan yang juga Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran berkata, tumpuan kepada sekolah prestasi tinggi antara empat teras untuk meluaskan akses kepada pendidikan yang berkualiti dan mampu dimiliki dalam NKRA untuk pendidikan.

Tiga lagi bidang yang diberi tumpuan ialah prasekolah, kemahiran membaca dan mengira serta imbuhan baru untuk pengetua dan guru besar.

Beliau berkata, kerajaan mahu prasekolah menjadi aspek penting sistem pendidikan negara kerana kanak-kanak berusia empat dan lima tahun cepat mempelajari sesuatu.

“Pada masa ini kemasukan membabitkan prasekolah hanya pada tahap 67 peratus. Kerajaan mensasarkan untuk mencapai 87 peratus kemasukan dalam tempoh tiga tahun,” katanya.- Bernama


No comments:

Post a Comment