Monday, April 22, 2013

Penilaian Pelaksanaan Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah Zon Timur

Kementerian Pelajaran Malaysia dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri akan melaksanakan Penilaian Pelaksanaan Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah Zon Timur sebagaimana berikut:-

    • Tarikh  :  28 April 2013 (Ahad)
    • Masa   :  8.00 pagi - 2.00 petang
    • Tempat : Dewan SM Teknik Terengganu, Jalan Lapangan Terbang, Kuala Terengganu
    • Peserta : Guru  Besar Terengganu dan Kelantan
    • Pakaian : Rasmi
Kehadiran Guru Besar dimestikan hadir tanpa wakil. Selain makluman melalui blog ini, surat pemakluman juga diemail ke sekolah masing-masing. Pihak PPD hendaklah mengesahkan dengan sekolah dalam daerah masing-masing sama ada mereka menerima email atau program ini berada dalam makluman mereka.

Muaturun/Download surat maklumat . DI SINI




Sunday, April 21, 2013

Pertukaran dan Penempatan Penyelia, GB dan GPK kuatkuasa 16 April

KUALA TERENGGANU - Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada Penyelia, Guru Besar dan GPK lama yang dapat bertukar dan yang baru dinaikkan pangkat.Pihak jabatan amat berharap bahawa mereka yang dapat bertukar akan berusaha untuk melakukan tugas dengan lebih baik dari sekolah lama dan kepada yang baru dinaikkan pangkat agar berusaha lebih baik untuk membuktikan bahawa anda layak menerima
amanah ini.

Selamat bertugas


Friday, April 19, 2013

Renungan Jumaat : Iman seorang pemuda

Dalam suasana subuh yang hening, kedengaran pancuran air dalam bilik mandi. Tidak lama kemudian, muncul seorang pemuda dan bersiap-siap untuk menyahut panggilan azan subuh. Ketika ramai pemuda yang seusia dengannya sedang lena dibuai mimpi, pemuda tersebut telah siap berwuduk dan mengenakan pakaian yang bersih lalu berjalan menuju ke masjid.

Dalam perjalanannya ke masjid, tiba-tiba pemuda itu terjatuh menyebabkan pakaiannya koyak dan kotor. Lalu pemuda itu kembali ke rumah untuk menukar pakaiannya dan mengambil wuduk semula. Dia lalu turun dari rumah dan kembali berjalan ke masjid.

Entah macam mana, bila sampai di tempat yang sama, pemuda itu sekali lagi terjatuh. Pakaiannya sekali lagi koyak dan kotor. Tanpa merungut, pemuda itu balik semula ke rumah untuk berwuduk dan mengenakan pakaian yang lain. Dia kembali berjalan menuju ke masjid.

Bila sampai ditempat dia terjatuh sebanyak dua kali itu, dia melihat seorang tua berjubah dan memegang sebuah lampu. Pemuda itu terus menegur orang tua tersebut. Orang tua itu lalu berkata.
“Tadi, aku melihat engkau terjatuh sebanyak dua kali di tempat ini. Oleh itu aku bawakan lampu supaya engkau tidak jatuh lagi dan dapat ke masjid dengan selamat”

Pemuda itu mengucapkan terima kasih di atas keperihatinan orang tua itu. Mereka pun beriringan melangkah ke masjid. Sampai di masjid, pemuda itu terus mengajak orang tua itu bersembahyang bersama-samanya. Orang tua itu menolak. Walaupun berkali-kali diajak bersembahyang bersama, orang tua itu tetap menolak.
Akhirnya orang tua itu mengaku. “Aku adalah syaitan yang direjam Allah”. Alangkah terkejutnya pemuda itu. Syaitan itu terus berkata “Aku telah melihatmu berjalan menuju ke masjid. Akulah yang telah menyebabkan kau terjatuh tadi dengan harapan kau merasa malas untuk ke masjid”.
“Ketika kau pulang menggantikan pakaian kamu kali pertama tadi, dan seterusnya kembali ke masjid ,aku mendengar ALLAH telah menghapuskan semua dosa-dosa mu yang lalu”.

“Tanpa putus asa, aku menjatuhkan kamu untuk kali kedua dengan harapan kau tidak mahu lagi  ke masjid. Namun kau balik ke rumah dan menyalin pakaian mu dan kembali ke masjid. Oleh kerana keimanan mu, maka ALLAH telah memaafkan dosa semua ahli keluarga mu”.

“Aku tidak meneruskan perbuatanku menjatuhkan mu untuk kali ketiga kerana aku bimbang  jika kau jatuh, kau kembali ke rumah, berwuduk dan kembali ke masjid, maka ALLAH akan memaafkan dosa seluruh penduduk kampung mu. Sebab itulah aku membawa lampu bagi memastikan kau selamat sampai ke masjid,”kata  syaitan itu lagi.

Begitulah kuatnya iman seorang pemuda.

Catatan : Tulisan ini disumbangkan oleh Cg. Abdul Rahman , GPK Hem, SK Sultan Sulaiman 2.

Tuesday, April 16, 2013

Taklimat Pencalonan SKK Fasa 8

KUALA TERENGGANU - Urusetia Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK) Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu hari ini telah mengadakan Taklimat Pencalonan SKK Fasa 8 kepada wakil PPD , Guru Besar dan Pengetua sekolah yang berpotensi ke arah SKK. Taklimat berkenaan diadakan di Bilik Mesyuarat Alamanda, JPN Terengganu. Turut hadir , Pn. Salbbiah bt. Baba, Ketua Unit Kebitaraan , BPSBPSK,KPM.

En. Rosli Chik, KPP Sektor Pengurusan Sekolah yang mewakili Ketua Sektor  Pengurusan Sekolah telah menyampaikan ucaputama. Beliau memaklumkan bahawa terkini kedudukan Sekolah Cemerlang Terengganu iaitu SBT terdapat 9 buah ( 4 SR dan 5 SM) dan SKK  pula 19 (5 SR dan 14 SM). Beliau berharap pembangunan sekolah-sekolah cemerlang ini juga sama sebagaimana keputusan pencapaian peperiksaan awam selari  dengan aspirasi menjadikan Terengganu sebagai Negeri Anjung Ilmu. Beliau meminta guru besar dan pengetua terlibat melihat ini sebagai peluang keemasan .

Pn. Salbiah Baba, Ketua Unit Kebitaraan Akademik telah menyampaikan taklimat berkaitan dengan sejarah, konsep, pencalonan dan verifikasi. Beliau juga melahirkan rasa bangga tentang usaha-usaha yang dilakukan oleh JPN seperti Terengganu dan Johor terutamanya dalam membangun Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK). Menurut dalam gelombang pertama PPPM sesuai dengan tranformasi pendidikan KPM telah menetapkan sekurang-kurang setiap PPD ada 2 buah SBT dan 1 buah SKK. Beliau juga kemudian turut sama berdialog dengan para peserta.

Urusetia SKK JPN Terengganu meminta sekolah yang tercalon agar meneliti syarat-syarat generik agar tidak menerima nasib seperti SK Tengku Bariah tahun lepas yang digugur pencalonan dan tidak diverifikasi kerana didapati melanggar satu dua syarat generik pada saat akhir. Urusetia meminta sekolah yang sahih memenuhi semua syarat mengisi borang, mennyediakan folio dan persembahan power point. Borang permohonan hendaklah sampai ke Urusetia SKK JPN di Sektor Pengurusan Sekolah pada atau sebelum 30 April 2013. Manakala folio dan persembahan power point perlu dikemukakan sewaktu penilaian di peringkat jabatan pada awal Mei. Urusetia juga akan mengadakan program bimbingan .

Mana-mana sekolah yang perlukan khidmat nasihat atau pertanyaan boleh berhubung dengan En. Mat Lazim Noor, Penyelia Kanan Projek Khas/ Asli/ Kluster di talian 096213109 /0199505195 dan Pn. Rohaya bt Mohd Nor, Penolong Pengarah Projek Khas / SBP / Kluster di talian 09-6213060 / 0199146166.

1. Dokumen , borang dan panduan SKK 2013
2. Ke Arah SKK
3. Panduan Penyediaan Slaid

Saturday, April 13, 2013

Sembang Sabtu : Kita akan perolehi apa yang kita niat dan usahakan

Kita kadang-kadang ragu-ragu apakah apa yang kita buat itu tepat dan mendatangkan hasil yang lumayan. Kita barangkali telah berusaha sedaya upaya namun  kadangnya hasil tidak seberapa. Barangkali sebagai contoh kita telah hantar anak kita ke kelas tuisyen, membeli buku-buku tambahan atau makan mahupun minum berbagai air sembahyang hajat atau penawar tetapi anak kita tidak juga cerdik-cerdik.

Begitu juga kalau di sekolah kita telah buat berbagai program tetapi UPSR sekolah kita tidak naik-naik sebaliknya darah kita mencagang naik kerana risau dipersoalkan ibubapa, jabatan dan sebagainya. Kadang-kadang kita bertanya mengapa, mengapa dan mengapa ? Kadang kita  bermuhasabah mengkaji kesilapan diri tetapi tidak kita temui. Adakah usaha kita sia-sia ? Adakah doa kita tidak makhbul ? Sedangkan Allah berfirman yang bermaksud:

" Sesiapa mengerjakan kebaikan walau sebesar zarah, nescaya dia akan melihat balasannya. Dan sesiapa yang melakukan kejahatan walau sebesar zarah, nescaya dia akan melihat balasannya pula." (Surah al-Zalzalah 99: 7-8)

Secara literalnya  setiap apa yang kita niat dan buat pasti ada ganjaran dan balasannya. Mungkin kita terkhilaf atau tidak nampak balasan itu. Mungkin bila kita sedekah RM50.00 kita mengharapkan ganjaran dalam bentuk yang sama RM50.00 atau lebih daripada itu. Kita mengajar anak murid yakni anak orang siang dan malam dengan niat yang ikhlas hingga jadi cerdik dan pandai tetapi kenapa anak kita lemah,lembab dan tidak menjadi. Di mana silapnya?

Sesungguhnya firman Allah itu amat dan maha benar. Kita mungkin diberi ganjaran dalam bentuk-bentuk lain yang kita tidak sedar. Misalnya kita sedekahkan RM50.00 tetapi ganjarannya dalam bentuk yang sekali macam tiada apa-apa. Misalnya hari itu kita hampir melanggar lembu. Kita bernasib baik. Kalau langgar mungkin beribu kita habis. Anak-anak dan isteri kita dalam bulan itu mungkin tidak sakit dan deman. Biasanya tiap bulan kita habiskan ratusan ringgit di klinik swasta kerana membeli ubat selesama, demam dan sebagainya. Kalau kita berfikiran positif itulah antara ganjaran yang Allah berikan hasil dari kerja baik yang kita lakukan. Namun justru kadang-kadang perkara itu biasa dan berlaku di bawah sedar kita, kita tidak merasai nikmat dan kebaikannya. Serupalah kita sedut udara Allah tanpa bayaran satu sen dan hidup dengan sombong dan bongkak. Bagaimana kalau Allah mohon kita bayar satu sen sahaja untuk sekali sedutan pasti kita akan tahu betapa susahnya.

Saya teringat pengalaman benar dan amat saya yakini prinsip keadilan Allah itu. Sewaktu anak kedua saya  berada dalam Tahun 1 pada waktu saya amat sibuk dengan pelbagai program luar terutama mengendalikan kursus terutama untuk para pelajar hinggakan tiada hari minggu dan masa bersama anak-anak. Hinggalah bulan Ogos anak saya ini tidak boleh membaca lantas isteri menyindir dengan berkata , "Ayah ceramah dan beri kursus anak orang seluruh dunia, anak sendiri tidak boleh membaca". Sekali dengan terasa juga bahangnya tetapi bila bertenang dan fikir balik takkan Allah zalim. Oleh kerana masa itu saya guru Bahasa Melayu dan ada pengalaman lebih tiga tahun mengajar Tahun 1 saya gunakan pengalaman itu dan saya letak target sebulan anak saya pasti boleh membaca.

Alhamdulillah sebulan kemudian anak kedua saya dapat membaca dengan lancar dan peperiksaan akhir tahun menduduki tempat ketiga terbaik. Sekarang anak yang tidak boleh membaca itu, berkat usaha dan keadilan Allah terhadap sumbangan saya mengajar anak orang lain dengan ikhlas anak saya yang kedua ini sedang belajar menghabiskan  Doktor Falsafah dalam bidang Biologi dan Persekitaran .

Saya menyeru sahabat-sahabat guru mengajarlah dengan niat yang ikhlas dan semangat yang kuat, insyaallah ganjaran dari pengorbanan dan perjuangan kita itu tetap kita perolehi dalam pelbagai bentuk dan rupa. Yakinlah Allah itu adil. Bersyukurlah dengan nikmat kesejahteraan, kemewahan dan kesihatan dan pelbagai lagi yang kita nikmati...




Friday, April 12, 2013

Renungan Jumaat : Adab dan akhlak Rasulullah



Semakin maju kita semakin sukar kita mencari model kepimpinan yang adab dan akhlaknya boleh diteladani dan dicontohi. Justru Renungan Jumaat membawa tulisan ini untuk sama-sama kita hayati bagaimana adab dan akhlak Rasulullah s.a.w sebagai pemimpin contoh dan ikutan umat.

Sebagaimana yang diriwayatkan mengenai perilaku Rasulullah s.a.w., bahawa Baginda tidak pernah sama sekali memukul seorang pun dengan tangannya, melainkan  dipukulnya kerana fisabilillahi Ta’ala. Baginda juga tidak pernah memeram dendam kerana sesuatu yang dilakukan ke atasnya dirinya sendiri, melainkan bila melihat kehormatan Allah dicabuli.

Jika Baginda diminta untuk memilih antara dua perkara, tanpa ragu-ragu lagi Baginda akan memilih yang paling ringan dan mudah antara keduanya, kecuali jika pada perkara itu ada dosa, ataupun akan menyebabkan terputusnya perhubungan silaturrahim, maka Baginda akan menjadi orang yang paling jauh sekali daripadanya.

Tiada pernah seseorang yang datang kepada Nabi s.a.w., baik ia merdeka atau hamba sahaya ataupun amah (hamba sahaya perempuan) mengadukan keperluannya, melainkan Baginda akan memenuhi hajat masing-masing.

Berkata Anas r.a.: Demi Zat yang mengutusnya dengan kebenaran. Ia (Nabi) tiada pernah berkata padaku dalam perkara yang tiada diinginnya, mengapa engkau lakukan itu. Dan apabila isteri-isteri memarahiku atau sesuatu yang aku lakukan, maka ia berkata kepada mereka: Biarkanlah si Anas itu, dan jangan dimarahi, sebenarnya tiap-tiap sesuatu itu berlaku menurut ketentuan dan kadar.

Termasuk akhlaknya yang mulia, ialah memulakan memberi salam kepada sesiapa saja yang ditemuinya. Jika ada orang yang mengasarinya kerana sesuatu keperluan, ia menyabarkannya sehingga orang itu memalingkan muka daripada baginda. Bila berjumpa dengan salah seorang sahabatnya, segera ia akan menghulurkan tangan untuk berjabat tangan. Baginda tidak pernah bangun atau duduk, melainkan lidahnya sentiasa menyebut nama Allah.

Seringkali bila sedang sembahyang, lalu ada tetamu yang datang kerana sesuatu keperluan, maka segeralah ia meringkaskan sembahyangnya untuk menyambut tetamu seraya bertanya kepadanya: Apa hajat anda?

Bila baginda berada di dalam sesuatu majlis antara para sahabatnya tidak pernah dikhususkan satu tempat baginya, melainkan di mana saja Baginda sampai, di situlah ia duduk. Baginda selalu menghormati sesiapa saja yang mendatanginya, sehingga terkadang-kadang Baginda sampai menghamparkan bajunya supaya orang itu duduk di atasnya. Sering pula Baginda memberikan bantal sandaran kepada orang yang datang, supaya orang itu bersandar padanya.

Bila di dalam suatu majlis yang ramai, Baginda menghadapkan wajahnya kepada semua orang, satu lepas satu, sehingga seolah-olah kesemua majlisnya, pendengarannya, percakapannya, kehalusan budi pekertinya dan perhatiannya ditumpukan kepada setiap orang yang duduk bersamanya di dalam majlis itu. Padahal majlis Rasulullah s.a.w. itu umumnya ialah majlis yang diliputi oleh kesopanan kerendahan diri dan amanah.

Allah telah berfirman di dalam al-Quran al-Karim:

“Oleh kerana rahmat Tuhan engkau bersikap lemah lembut terhadap mereka, dan kiranya engkau berbudi kasar dan berhati bengis, nescaya mereka akan lari dari sekelilingmu.” (Ali-Imran: 159)

Baginda lebih suka memanggil para sahabatnya dengan nama gelaran masing-masing untuk menghormati mereka akan memikat hati mereka. Sesiapa yang tidak punya nama gelaran, Baginda memberinya nama gelaran, lalu ia pun dipanggil dengan gelaran itu. Bukan kaum lelaki saja yang diberi nama gelaran malah kaum wanita juga, sama ada pernah melahirkan anak mahupun yang tidak. Bahkan kepada anak-anak kecil pun demikian juga, sehingga hati anak-anak itu tertarik kepada peribadinya s.a.w.

Baginda Rasulullah s.a.w. adalah seorang yang amat jarang marahnya, tetapi jika marah paling segera redha pula. Baginda adalah orang yang berhati belas terhadap orang ramai, paling baik antara mereka sekalian, dan paling banyak memberikan manfaat kepada seluruh manusia. Tidak pernah sekalipun terdengar suara yang tinggi dalam semua majlis-majlisnya.

Apabila bangun dari majlisnya, Baginda sering membaca :

Maha Suci engkau wahai Tuhanku dengan segala kepujian bagiMu, aku menyaksikan bahawasanya tiada tuhan melainkan Engkau, aku memohon keampunan kepadaMu dan aku bertaubat kepadaMu.” 

sumber 


Wednesday, April 10, 2013

Taklimat penggunaan Kualiti MS ISO kepada warga SPS

KUALA TERENGGANU - Sektor Pengurusan Sekolah telah mengambil inisiatif menyampaikan taklimat berkaitan kepada semua anggota Sektor Pengurusan Sekolah berkaitan perubahan dan penambahbaikan dokumen Kualiti MS ISO yang bakal berkuatkuasa mulai 27 April 2013. Taklimat berkenaan dipengerusikan oleh En. Rosli Chik, KPP Sektor Pengurusan Sekolah.

Menurut En. Rosli Chik, SPS yang sudah mahir dan terkenal dengan PK01 - Pengurusan Penempatan  dan PK02-Pengurusan Pertukaran perlu dimantapkan lagi manakala yang agak baru diperkenalkan  PK03 -Pengurusan  Pemantauan, PK04 - Pengurusan Aduan, PK06- Pengurusan Latihan Personel, PK15 - Pengurusan Mesyuarat  dan PK16 - Pengurusan Data mesti dikuasai dan dimantapkan segera agar reputasi SPS sentiasa dipertahankan. Secara keseluruhan ada enam belas PK dalam Pengurusan melibatkan MS ISO.

KPP juga mengingatkan semua anggota SPS agar mengambil langkah-langkah penjimatan dan mencadangkan mesyuarat di luar hendaklah disediakan secara pakej. Jika ada keraguan tentang sesuatu perkara sila rujuk Unit Kewangan dan juga KPT SPS

Sementara itu En. Ibrahim Ismail selaku Pengurus Kualiti SPS telah menyampaikan taklimat berkaitan  Manual Kualiti , Prosidur Kualiti, Lampiran Kualit. Beberapa perkara berkaitan pemantauan telah dijelaskan justru masih terdapat pelbagai kekeliruan. Sementara itu penyelarasan akan dibuat dengan kemahiran yang ada di kalangan pegawai SPS.



Tuesday, April 9, 2013

Pemantauan Anugerah Pengurusan SR Cemerlang

Panel penilai di SK Paka 11
 
KUALA TERENGGANU - Mulai hari ini hingga 15 April 2013, Panel Pemantauan Anugerah Pengurusan SR Cemerlang mula memantau sekolah-sekolah yang dipilih dan disenaraikan oleh PPD masing-masing. Semua sekolah yang tersenarai adalah sekolah yang hebat-hebat belaka sama ada meraih Tawaran Baru dan juga menerima pengiktirafan sebagai Anugerah Sekolah Kluster Kecemerlangan.

Walau bagaimanapun instrument dan penilaian telah direka khas dengan skor yang diluluskan panel negeri. Kemungkinan titik kritikal untuk menentukan perbedaan markah ialah pencapaian di peringkat tertinggi serta peratus pencapaian semua A dan Lulus Semua Matapelajaran UPSR 2012. Secara umumnya panel melihat sekolah -sekolah yang dicalon ke peringkat akhir ini mempunyai potensi dan kekuatan tersendiri dan boleh menjadi sekolah rujukan untuk benchmarking bagi sekolah lain dalam negeri dan negara kita.

Tahniah kepada semua sekolah yang terpilih memasuki saringan akhir.


Monday, April 8, 2013

Program Pengarah Pelajaran Bersama-sama Kepimpinan Sekolah Terengganu 2013

KUALA TERENGGANU - Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu yang diurusetia oleh Sektor Pengurusan Sekolah telah mengadakan siri pertama Program Pengarah Pelajaran Bersama-sama Kepimpinan Sekolah Terengganu 2013. Acara rutin tahunan ini untuk siri pertama kali ini diadakan di Dewan Konvensyen, Taman Tamaddun Islam, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu.

Format program kali ini disesuaikan dengan taklimat pengurusan sekolah oleh Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, ucaputama oleh Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu dan sesi dialog dengan Pengarah dan Ketua-Ketua Sektor Jabatan Pelajaran Negeri. Bagaimanapun program kali ini diadakan serentak dengan pelancaran Sarana Ibubapa dan Guru dan juga Saranan Sekolah.

Pengarah Pelajaran Terengganu, En.Zakaria bin Hussin dalam ucaputama antara lain menyentuh cabaran pengurusan pendidikan masa kini bagi memenuhi tuntutan keperluan pelanggan yang semakin rencam dan pelbagai. Akibat kelemahan dari pengurusan keperluan pelanggan ini tegas beliau telah menimbulkan pelbagai aduan . Jika aduan ini tidak dapat diselesaikan maka isu yang boleh menjadi krisis yang boleh menggugat keharmonian pendidikan negara.

Beliau juga menegaskan sebagai urusan perniagaan yang mengutamakan pelanggan maka pengurusan dan pentadbiran pendidikan perlu meleetakkan keperluan dan kepuasan pelanggan sebagai fokus utama dalam amalan  kerja harian. Oleh yang demikian bagi mengurangkan aduan dan perasaan tidak puas hati pelanggan maka sistem penyampaian di semua peringkat perlu dimantapkan.

Selain dari itu amalan budaya kerja cemerlang dan berintegriti di kalangan warga pendidikan perlu dimantapkan kerana ia juga mampu menjadi formula efektif mengurus keperluan dan kepuasan pelanggan yang maksima. Beliau juga mengingatkan pengurus sekolah iaitu Pengetua dan Guru Besar terhadap beberapa isu pengurusan  yang sering berlaku dan selalu diperingatkan. Antaranya:-
  1. Pengurusan kewangan - tanggungjawab dan peranan Pengetua dan Guru Besar
  2. Pengurusan Sumber Manusia :-
    • BISP
    • Pengurusan Cuti
    • Pengesahan Jawatan
    • Penurunan Kuasa - Buku Perkhidmatan Kerajaan
    • Lawatan Rasmi ke luar negara
    • Tuntutan Sara Ubat
    • eHHrmis,eSLPG,Sistem Pengurusan Bukan Guru, e-Pangkat, Pengurusan Prestasi
  3. Pengurusan dan Aset Perolehan - Pengurusan Kontrak pembersihan dan keselamatan
  4. Pengurusan Naik Pangkat
  5. Pembangunan - prosidur yang perlu dipatuhi
  6. Pengurusan Tatatertib
    • Peranan Pengetua dan Guru Besar
    • Prosidur dan tatacara yang diambil
Pengarah Pelajaran Negeri juga mengajak Pengetua dan Guru Besar supaya dapat memantapkan pengurusan dan mengambil pendekatan pengurusan strategik terkini. Tegas beliau, kita perlu mahir mencari ruang dan peluang untuk mencetuskan idea-idea baru dan inovasi dalam melaksanakan tugas, misalnya dengan menggunakan pendekatan " Blue Ocean Strategic"

Banyak lagi perkara-perkara yang telah disentuh Pengarah terutama berkaitan perubahan-perubahan dan dasar-dasar baru serta halatuju jabatan untuk turut serta merealisasi Terengganu sebagai Negeri Anjung Ilmu. Kita amat berharap agar apa yang disampaikan oleh Pengarah dapat pula dikomunikasi dengan berkesan oleh Pengetua dan Guru Besar masing-masing kepada guru-guru dan warga sekolah mereka. Kefahaman mendalam peringkat pelaksana adalah penentu kejayaan sesuatu hasrat, dasar dan program yang dirancang.


Sunday, April 7, 2013

Anugerah Pengurusan SR Cemerlang

KUALA TERENGGANU - Pasukan Panel Penilaian Anugerah Pengurusan Sekolah Rendah Cemerlang sempena Hari Guru Peringkat Negeri Terengganu 2013 akan memulakan sesi pemantauan dan penilaian bermula 9 April - 15 April 2013. Sekolah-sekolah yang bakal dinilai telah disaring dan dipilih oleh Panel PPD masing-masing itu adalah sebagaimana berikut:
  1. SK Kerteh, Kemaman
  2. SK Kuala Berang, Hulu Terengganu
  3. SK Paka 2, Dungun
  4. SK Padang Mengkuang, Marang
  5. SK Sultan Sulaiman 1, Kuala Terengganu
  6. SK Maktab Perguruan Kuala Terengganu
  7. SK Felda Selasih, Besut
  8. SK Kampung Fikri, Sungai Tong
Aspek-aspek yang bakal dinilai ialah berkaitan pengurusan pejabat, pengurusan kurikulum,hem,kokurikulum,anugerah,pencapaian dalam peperiksaan awam, penyertaan dalam bidang kokurikulum di peringkat tertinggi dan juga aspek inovasi dan 3K Tahun 2012 hingga terkini.

Jadilah yang terhebat dari yang hebat-hebat.