Friday, May 17, 2013

Renungan Jumaat : Keutamaan Mengajar



Sempena sambutan Hari Guru, USR Blogger Team kongsikan tulisan yang membicarakan keutamaan orang yang mengajar serta kelebihan-kelebihannya. Maka bertuahlah mereka yang dipilih untuk menjadi guru, muadib atau pengajar. Semoganya menghilangkan sedikit dukacita dan keresahan dapat jiwa pendidik.

Ayat-ayat al-Quran mengenai keutamaan mengajar ini, ialah di antaranya firman Allah Ta’ala:

“Hendaklah mereka memberikan peringatan kepada kaumnya, apabila telah kembali kepada mereka nanti, moga-moga mereka berhati-hati.” (at-Taubah: 122)

Maksudnya ialah memperingatkan mereka itu dengan pelajaran dan petunjuk yang diperolehinya.

“Dan di waktu Tuhan mengambil janji orang-orang yang diberikan olehnya kitab; iaitu hendaklah kamu sekalian menerangkan perkara-perkara yang tersebut di dalam kitab itu, dan jangan sampai kamu menyembunyikannya.” (ali-Imran: 187)

Maksudnya ialah mewajibkan orang yang berilmu itu menyebarkan ilmunya dengan mengajar.

“Ada sebahagian dari mereka itu yang menyembunyikan kebenaran, sedangkan mereka itu mengetahui (hukumnya).” (al-Baqarah: 146)

Maksudnya menghukumkan salah atau haram orang yang menyembunyikan ilmu pengetahuanya, sebagaimana dihukumkan haram pula orang yang menyembunyikan penyaksiannya.

Firman Allah Ta’ala:

“Barangsiapa menyembunyikannya (penyaksian), maka berdosalah hatinya.”    (al-Baqarah: 283)

“Siapakah orang yang lebih baik ucapannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan berbuat kebaikan.”  (Fushshilat: 32)

Allah berfirman lagi:

“Serulah ke jalan Tuhanmu dengan kebijaksanaan dan nasihat yang baik.”  (an-Nahl: 125)

“Dan dia mengajarkan kepada mereka (kandungan) kitab dan kebijaksanaan.”  (al-Baqarah: 151)

Adapun Hadis-hadis yang menunjukkan tentang keutamaan mengajar, umpamanya pesanan baginda Rasulullah s.a.w. ketika mengirim Mu’az ke Yaman, bunyinya:

“Andaikata Allah s.w.t memberikan hidayat kepada seorang dari hasil usahamu, adalah lebih baik bagimu dari dunia dan seisinya.”

Sabda Rasulullah s.a.w.

“Sesiapa yang mengetahui sesuatu ilmu lalu disembunyikannya, niscaya di Hari Kiamat nanti, ia akan dikekang oleh Allah s.w.t. dengan tali kekang dari api neraka.”

“Sesungguhnya Allah s.w.t. dan para MalaikatNya, begitu juga penghuni langit dan buminya, sehingga semut yang berada di lubangnya dan ikan yang di lautan, semuanya memohon rahmat bagi orang yang mengajarkan kebaikan kepada orang ramai.”

“Apabila seorang anak Adam meninggal dunia, maka terputuslah amalannya melainkan dalam tiga perkara: iaitu sedekah jariah (yang berterusan), ilmu yang dimanfaatkan dan anak yang saleh yang mendoakan baginya.”

“Orang yang menunjuk ke jalan kebaikan sama saperti mengerjakan baginya.”

Ada satu sabda lagi berbunyi: “Moga-moga Allah mencucurkan rahmatNya ke atas Khalifah-khalifahku.” Baginda lalu ditanya: “Siapakah mereka khalifah-khalifahmu?” Rasulullah s.a.w. bersabda lagi: “mereka itu adalah orang-orang yang menghidupkan sunnatku serta mengajarkannya kepada hamba-hamba Allah.” 

Dari atsar pula, apa yang diriwayatkan dari Mua’z, katanya:

“Pelajarilah ilmu pengetahuan, sebab mempelajarinya kerana Allah adalah tanda takut kepadaNya, menuntutnya adalah ibadat, menelaahnya adalah tasbih, mencarinya adalah jihad, mengajarkannya kepada orang yang belum mengetahui adalah sedekah, memberikannya kepada ahlinya adalah kebaktian. Dialah kawan dalam masa kesepian dan teman dalam masa kesunyian. Dialah petunjuk jalan kepada agama, dan pendorong kesabaran dalam masa kepayahan dan kesempatan.”

Allah mengangkat setengah-setengah kamu karena ilmu pengetahuannya, maka dijadikannya pemimpin, penghulu dan penunjuk jalan kebaikan yang diikut oleh orang ramai. Orang yang berilmu pengetahuan itu juga menjadi model utama dalam amalan kebajikan, dicontohi segala jejak-langkahnya, dan dituruti segala kelakuannya.

Dengan ilmu pengetahuan seorang hamba itu akan sampai ke peringkat orang-orang yang terpuji ketaatannya dan tertinggi kedudukannya. Memikirkan perihal ilmu pengetahuan setanding pahalanya dengan berpuasa, dan menelaahnya setanding pahalanya dengan bangun beribadat di tengah malam.

Dengan ilmu pengetahuanlah manusia mentaati Allah Azzawajalla, memperhambakan diri kepadaNya, MengEsakanNya dan membesarkanNya. Dengan ilmu pengetahuan juga manusia boleh mencapai darjat kewajiban kewarakan, dan dengannya pula manusia menyambung silaturrahim.

Dengan ilmu pengetahuan juga, ia akan mengenal yang halal dan yang haram. Ilmu pengetahuan itu adalah diumpamakan sebagai pembimbing, manakala amalan pula menjadi pengikutnya, dan berbahagialah orang yang menerima ilham dari ilmu pengetahuan, dan celakalah orang yang terhalang dari ilmu pengetahuan.

Berkata al-Hassan r.a.:

“Kalaulah tidak kerana para ulama, niscayalah manusia sekaliannya sama seperti binatang.”

Maksudnya dengan adanya para ulama yang mengajar manusia terkeluarlah mereka dari peringkat-peringkat  kebinatangan dan memasuki peringkat kemanusiaan.



Thursday, May 16, 2013

Tawaran Pelantikan PJJ Siri 8

Tahniah dan alhamdulillah Jabatan Pelajaran Negeri menerima 83 orang lagi guru-guru PJJ yang ditawarkan ke DG41. Mereka terdiri daripada 5 orang Guru Besar, 13 orang GPK dan 65 orang Guru Penolong.
 
Tarikh pelantikan ditawarkan ialah pada 2.1.2013. Bagi guru yang tidak terlibat dengan naik pangkat terutama secara hakiki mungkin tiada masalah . Tetapi sukacita kami mengingatkan  kepada guru-guru yang menerima naik pangkat atau dilantik memegang jawatan hakiki terkemudian dari tarikh tawaran DG41 agar membuat keputusan bijak yang menguntungkan diri sendiri. Antara beberapa cara penyelesaian yang boleh dibuat adalah sebagaimana berikut:


  1. Menerima tawaran lantikan DG41 dengan meletak jawatan hakiki atau menolak naik pangkat terkini; atau
  2. Menolak tawaran lantikan DG41, kekal atas jawatan hakiki atau gred naik pangkat terakhir dan memohon semula DG41 dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran; atau
  3. Menerima pakej  tawaran DG41 dan mengemukakan surat rayuan agar tarikh pelantikan DG41 dipinda lewat  dari tarikh pelantikan jawatan hakiki dengan memberi alasan dan justifikasi atau tarikh kuatkuasa naik pangkat yang terkini.
Berdasarkan rakan-rakan terdahulu yang berada dalam situasi ini mereka telah dinasihatkan oleh SPP agar menerima DG41 dan menyertakan surat rayuan kepada SPP semasa penghantaran pakej untuk SPP pertimbangkan pindaan tarikh yang anda sendiri cadangkan agar anda boleh kekal berada dalam jawatan hakiki atau gred naik pangkat terakhir dan sekaligus kemudiannya menikmati  DG41

Jika anda memerlukan pertanyaan, penjelasan dan rayuan anda hendaklah berhubung terus dengan pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran kerana kuasa melantik DG41 terletak di bawah bidang kuasa mereka. Rayuan seelok-elok dibuat secara individu.

Penyelesaian cara 1 dan 2 adalah biasa dilakukan pada masa terdahulu tetapi cara 3 sudah ada GPK  yang mohon pindaan pelantikan  DG41 telah diluluskan oleh SPP. Ini bermakna mereka boleh kekal di atas jawatan GPK / Guru Besar dan sekaligus menikmati DG41. Ramai lagi yang sedang menunggu keputusan. 

Surat-surat tawaran boleh diperolehi mulai sekarang di USR, JPN Terengganu.Sila tanya  Pn. Bibah Bibi ditalian 09-6213390 di Unit Sekolah Rendah sebelum datang ke Unit Sekolah Rendah.

Senarai lengkap PJJ Siri 8. Klik link di bawah:
Akan datang Siri 9




Wednesday, May 15, 2013

Tahniah! Sekolah yang berjaya ke pencalonan SKK Fasa 8



KUALA TERENGGANU - Hari adalah hari kedua siri Pembentangan Pencalonan SKK Peringkat JPN Terengganu yang diadakan di Bilik Mesyuarat SK Sultan Sulaiman 1, Kuala Terengganu.

Setelah Panel Penilai membuat pertimbangan maka sekolah-sekolah berikut diperaku layak untuk meneruskan pencalonan di peringkat KPM. Tahniah:

SMK Dato’ Razali Ismail, Kuala Terengganu, Terengganu
SMKA Durian Guling, Marang, Terengganu.
SK Maktab Perguruan Kuala Terengganu, Kuala Terengganu, Terengganu.
SK Langgar, Hulu Terengganu, Terengganu.
SK Lembah Jaya, Setiu, Terengganu.
SJK(C) Kwang Hwa, Dungun, Terengganu.
SK Batu 7, Dungun, Terengganu.
SK Felda Selasih, Besut, Terengganu.
SK Tapu, Hulu Terengganu, Terengganu.
SK Kampung Jaya, Setiu, Terengganu.
SK Tengku Mahmud 2, Besut, Terengganu.
SK Kerteh, Kemaman, Terengganu. 

Pihak urusetia mohon sekolah terbabit sentiasa membuka email sekolah masing-masing kerana beberapa tindakan pantas dan segera perlu dibuat atau diambil tindakan. Email,sms,web, blog adalah sebahagian budaya dalam pengurusan SKK.

Tahniah semoga tersenarai untuk verifikasi akhir.

 

Tuesday, May 14, 2013

Pembentangan Pencalonan SKK Peringkat JPN Terengganu

KUALA TERENGGANU - Urusetia SKK, JPN Terengganu melaksanakan pembentangan pencalonan SKK kepada Sekolah Rendah dan Menengah yang dicalonakan SKK Fasa 8,2013 bermula 14 dan 15 Mei 2013. Pembentangan berkenaan diadakan di Bilik Mesyuarat SK Sultan Sulaiman 1, Kuala Terengganu.

Pembentangan ini bertujuan menilai tahap kemampuan dan kesediaan sekolah menghadapi pencalonan dan memilih sekolah yang benar-benar mampu bersaing di peringkat kebangsaan. Anggota Panel terdiri dari wakil-wakil sektor dan juga Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti Negeri Terengganu bagi menilai setiap aspek dan kreteria yang ditetapkan.

Hari ini  pembentangan siri pertama melibatkan SK Langgar, Hulu Terengganu, SK Kemat, Hulu Terengganu, SK Maktab Perguruan Kuala Terengganu, SK Felda Selasih, Besut, SK Batu 7, Dungun dan SK Lembah Jaya, Setiu. Umumnya semua sekolah telah membuat persediaan yang baik. Walau bagaimanapun ada juga yang masih keliru untuk memahami konsep SKK dan mengaitkan elemen berkenaan dan slaid pembentangan.Ada juga yang kurang sesuai pemilihan bidang kebitaraannya dan perlu dipinda.

Esok sebilangan  sekolah lagi akan membuat pembentangan. Pencalonan SKK Fasa 8 bagi Sekolah Menengah agak mendukacitakan kerana hanya dua sahaja yang layak dicalon kerana GPS kebanyakan tidak memenuhi syarat genarik pencalonan.

Walau bagaimana kita berharap sekolah-sekolah tercalon dapat membuat persediaan rapi untuk verifikasi akhir nanti.


Monday, May 13, 2013

Budak enam tahun jadi hero



KOTA BHARU 12 Mei - Tindakan pantas seorang abang berusia enam tahun membawa ketiga-tiga adiknya berusia lima, tiga dan setahun keluar daripada rumah yang terbakar berjaya menyelamatkan nyawa mereka.

Ketika kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu, Afit Hadi Mohd. Hakimi, 6, sedang menonton televisyen bersama-sama adiknya, Alif Azim, 5, Aufa Imtias, 3, dan Akim Hanif, setahun di Jalan Tanjong Mas di sini.

Menurut Afit Hadi, ketika sedang menonton televisyen, dia terhidu bau hangit dan terkejut apabila mendapati api mula marak dari rumahnya itu.

"Sebaik sahaja melihat api, saya terus mendukung adik, Aufa Imtias manakala seorang lagi adik, Alif Azim membawa Akim Hanif keluar melalui pintu belakang rumah mereka," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.

Ketika kejadian hanya empat beradik itu berada di rumah kerana bapa mereka, Hakimi Ismail, 37, sedang bekerja dan ibu mereka, Syarifah Sharizat Wan Idris, 37, keluar mengambil kakak sulung mereka, Alia Insyirah, 8, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Chempaka.

Sementara itu, Syarifah Sharizat ketika ditemui berkata, sejurus sampai di rumah pukul 1.35 petang, jantungnya bagaikan terhenti apabila melihat keadaan rumahnya yang musnah.

Katanya, ketika itu, di dalam fikirannya hanya satu sama ada keempat-empat orang anaknya yang berada di rumah itu selamat ataupun tidak.

"Alhamdulillah, anak-anak saya semuanya selamat walaupun Afit Hadi mengalami sedikit kecederaan di bahagian lengan. Saya bersyukur anak saya selamat dan dalam masa yang sama merasa sedih kerana rumah yang didiami sejak tujuh tahun lalu musnah dalam sekelip mata," katanya.

Tambahnya, segala kelengkapan rumah, barang emas dan duit yang disimpan di rumah musnah sama sekali dan jumlah kerugian dianggarkan lebih RM50,000.

"Saya tidak tahu punca sebenar kejadian ini berlaku mungkin disebabkan litar pintas memandangkan gas di dapur rumah ketika itu sudah ditutup," katanya sebak.

Dalam pada itu, kebakaran tersebut turut memusnahkan sebuah lagi rumah yang terletak bersebelahan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Kota Bharu, Mohamad Sabri Ismail, berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada pukul 1.57 petang.

Sumber : Utusan Malaysia
 

Saturday, May 11, 2013

Majlis Istiadat Perisytiharan Pelantikan MB & Portfolio EXCO Negeri Terengganu

KUALA TERENGGANU 11 Mei – Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Ahmad Said hari ini mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu untuk penggal kedua.

IMG-20130511-WA0018 

Ia disusuli 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri yang turut mengangkat sumpah di hadapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Upacara mengangkat sumpah itu berlangsung dalam Istiadat Perisytiharan Pelantikan Menteri Besar dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Istana Maziah di sini pagi ini

Senarai Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri:

1. YAB Dato’ Seri Hj. Ahmad Said (ADUN Kijal)
Menteri Besar Terengganu
- Pengerusi Jawatankuasa Perancang, Kewangan Dan Pelaburan, Tanah, Petroleum Dan Sumber Asli, Kerajaan Tempatan Dan Perumahan.

2. YBM Dato’ Hj. Tengku Putera Bin Tengku Awang (ADUN KUALA BERANG)
- Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian Dan Perdagangan.

3. YB Dato’  Hj. Mohd. Jidin Shafee (ADUN PERMAISURI)

- Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Penerangan, Komunikasi Dan Kebudayaan.

4. YB Dato’ Hj, Razif Bin Abdul Rahman (ADUN SEBERANG TAKIR)

- Pengerusi Jawatankuasa Sains Dan Teknologi, Alam Sekitar, Teknologi Hijau Dan Air.

5. YB Hj. Rozi Bin Mamat (ADUN TELEMONG)

- Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan Dan Sumber Manusia.

6. YB Dr. A. Rahman Bin Mokhtar (ADUN KUALA BESUT)

- Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat.

7. YB Ir. Rosli Bin Othman (ADUN KEMASIK)

- Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya Dan Pengangkutan.

8. YB Hj. Nawi Bin Mohamad (ADUN HULU BESUT)

- Pengerusi Jawatankuasa Pertanian & Industri Asas Tani Dan Perusahaan Perladangan & Komoditi.

9. YB A. Latiff Bin Awang (ADUN PENGKALAN BERANGAN)

-Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Penyampaian & Pengurusan Prestasi Dan Teknologi Maklumat.

10. YB Roslee Bin Daud (ADUN BUKIT BESI)

- Pengerusi Jawatankuasa Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Kepenggunaan Dan Koperasi.

11. YB Ghazali Bin Taib Ajil (ADUN AJIL)

- Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi Dan Tugas-Tugas Khas.
Speaker hanya dibuat melalui cadangan dan pengundian dalang sidang dun yg pertama nanti.

 Sumber : Terengganu Today

 

Sembang Sabtu : Kakitangan awam yang tidak mendokong aspirasi kerajaan



Sebuah kerajaan yang kuat
perlukan kakitangan yang kominted dan setia

Pilihanraya ketiga belas (PRU13) telah selesai. Gabungan parti dalam Barisan Nasional kekal memerintah di peringkat pusat dan sembilan negeri. Kerajaan Persekutuan Malaysia dan sembilan kerajaan negeri dapat dibentuk oleh Barisan Nasional. Sementara selebihnya oleh Pakatan Rakyat.

Walaupun sudah hampir seminggu pilihanraya selesai namun bahangnya masih terasa. Ada seribu satu macam cerita pahit maun, suka duka dan sebagainya. Sembang Sabtu dalam diskusi kali ini bukan untuk membicarakan soal pilihanraya tetapi peranan di bawah sedar oleh kakitangan awam khususnya oleh kaum guru dalam gelombang pilihanraya.

Ramai orang berkata, banyak orang mengadu bahawa dari Putrajaya ke pantai timur, dari Sabah hingga Perlis kakitangan awam “menyokong” dan “mengundi pembangkang”. Menyokong dan mengundi pembangkang adalah dua perkara berbeza. Mengundi mana-mana parti politik adalah rahsia dan menjadi amalan dalam sistem demokrasi. Tidak salah dan tidak menjadi masalah kerana kita sebagai rakyat menunaikan hak sebagai warganegara.

Walau bagaimanapun kakitangan awam yang menyokong parti politik boleh jadi salah dan boleh jadi tidak salah. Seseorang kakitangan awam atau guru akan dianggap menyalahi peraturan dan boleh dikenakan tindakan tatatertib jika memegang apa-apa jawatan dalam parti  atau terlibat secara langsung melalui perbuatan,percakapan dan penulisan berkempen menyokong pembangkang tanpa kebenaran daripada Ketua Perkhidmatan.Ini bermakna seseorang guru boleh terlibat aktif dalam parti pembangkang atau kerajaan dengan adanya kebenaran khas tersebut. Itu adalah sumber kuasa atau lesen yang membolehkan kita aktif.

Namun apa yang berlaku dalam keghairahan PRU13 lalu sama ada di pejabat atau di sekolah, di dalam media sosial, di tempat penamaan calon dan dalam tempoh kempen dan pengundian ada kakitangan awam khususnnya guru tanpa segan silu menyatakan sokongan kepada pembangkang sama ada secara perbuatan,percakapan dan penulisan.Ada yang mendakwa terdapat juga pegawai di JPN, PPD dan juga guru terlibat langsung dengan kempen politik terutama pembangkang. Seorang guru mendakwa dari sebuah sekolah di Kuala Terengganu guru dengan sewenang berkempen di kantin sekolah termasuk Guru Besar yang dikenalpasti sebagai penyokong pembangkang.

Seorang pembantu tadbir dihantar dengan menaiki kereta yang ada bendera parti seolah-olah mereka datang bekerja di pejabat parti berkenaan. Dalam facebook tidak payah ceritalah bermacam sokongan dan komen mengutuk kerajaan. Kerajaan yang dia sendiri bekerja  di dalamnya. Kerajaan yang diberi gelaran "kera" kepada kakitangan dalam satu ceramah pembangkang  dan ditentang oleh kesatuan-kesatuan guru.

Persoalannya adakah mereka yang dikenalpasti ini mempunyai kebenaran Pengarah Pelajaran Negeri untuk melaksanakan fungsi dan tugas demikian? Kalau ada oklah  tidak ada masalah. Tetapi jika tiada maka tentunya kita telah bersedia untuk menghadapi apa jua tindakan. Kita bukanlah orang-orang yang bodoh untuk memahami ruang lingkup peraturan yang membatasi kita sebagai pegawai awam.

Ironinya bila tindakan tatatertib dikenakan kerana melanggar peraturan kita akan menuduh orang lain atau ketua jabatan menzalimi kita. Walhal kitalah yang telah sewenangnya menzalimi diri kita sendiri kerana meletakkan status diri kita sebagai kakitangan awam di tempat yang orang boleh persoalkan integriti kita. Banyak kali kita sebutkan kalaulah dasar-dasar Goverment On The Day tidak secocok dan sebulu dengan pendirian kita jangan menjadi kakitangan kepada kerajaan itu. Jangan ambil gaji tetapi bersara atau berhenti daripada terus menjadi pengkhianat. Kalau kita ada maruah dan ada harga diri kita tentunya tidak akan bersama dalam tempayan budu yang kita anggap kotor dan busuk.

Selain kita mematuhi order goverment kita juga hendaklah mematuhi setiap arahan Ketua Perkhidmatan kita sama ada lisan atau bertulis. Seruan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia agar guru tidak terlibat dengan politik tetapi tumpuan kepada PnP tidak dipedulikan. Ingatan Ketua Setiausaha Negara, Ketua Setiausaha Kementerian berkaitan larangan dan pematuhan prosidur berpolitik kakitangan awam juga diremehkan. Surat-surat arahan Pengarah Pelajaran Negeri untuk mereka menghadiri program dipertikaikan. Seolah-olah mereka mempunyai  majikan lain yang maha besar dan tinggi dan tidak berkhidmat sebagai kakitangan awam Malaysia.

Lebih memualkan lagi golongan yang kita anggap cerdik membangun insan terbilang rupanya mudah dipergulakan oleh politikus untuk tawaran bermacam elaun dan menghapus pbs dan sebagainya. Seolah mereka yang berada jauh dari dunia dan rencah pendidikan lebih faham dan mengerti pahit getir guru dan dunia pendidikan dengan tawaran picisan dan ditelan bulat-bulat oleh kaum guru seolah-olah sengsaranya hidup berkerjaya sebagai seorang guru. Apabila disebut kerajaan zalim, rasuah,menindas rakyat dan sebagainya maka kitapun gatal ingin bertanya ramai manakah rakyat yang kebuluran tidak makan, ramaikah rakyat yang hidup dalam reban kerana tidak mampu beli rumah, sukarkah rakyat nak beramal ibadah dan sebagainya. Kita minta kakitangan awam khususnya para guru celik minda dan celik mata adakah kehidupan berkualiti kita semakin mengundur ke arah yang tidak baik atau kepada yang lebih baik.

Sesungguhnya konsep wasatiah atau kesederhanaan adalah ajaran Islam sangat indah. Maka juga jika dalam berpolitikpun konsep ini diamalkan maka perpecahan dan kebencian dapat dielakkan. Kerajaan juga mesti peka dengan pelbagai isu perkhidmatan awam yang dibangkit dan cuba dimanipulasikan hingga menyebabkan segelintir kakitangan awam kelabu mata perlu di bawa ke makmal untuk dikaji dan dinilai. Bai’ah kesetiaan kakitangan awam dengan kerajaan perlu dimantapkan dan mana yang sudah tidak boleh dibangun kesetiaan perlu dinyahkan dengan cepat dan pantas.

Kita sangat percaya masih ramai kakitangan awam dalam pelbagai sektor perkhidmatan bersikap profesional dan sentiasa mendokong aspirasi kerajaan. Kejayaan dasar-dasar kerajaan adalah kerana kesetiaan dan kominted mereka melaksanakan amanah rakyat dan kerajaan dengan sedar dan bersengaja.Kita tentunya tidak mahu sesuatu yang bertentangan dengan dasar dan aspirasi berlaku dan dibiarkan subur yang memberi gambaran seolah-olah kita memberi restu pengkhianat membocorkan kapal yang sama-sama kita naiki dan menunggu masa untuk tenggelam.

Kita berharap kerajaan yang baru ditubuhkan mengambil inisiatif memperbetulkan salah tanggap sesetengah kakitangan awam tentang konsep parti, kerajaan, mengundi, menyokong aktif, goverment on the day, peraturan berpolitik pegawai awam. Adalah satu kezaliman menghukum orang jahil. Berikan ilmu dan kefahaman dan jika mereka sedia faham tapi masih khianat maka wajar dihukum setidak-tidaknya mengajar mereka untuk “berterima kasih kepada makhluk dan bersyukur kepada Allah”.