HULU TERENGGANU, 15 Mei (Bernama) -- Meskipun
terpaksa menggunakan kerusi roda ke sekolah dan menjalani rawatan
dialisis tiga kali seminggu, seorang guru tetap bersemangat mengajar dan
tidak pernah mengambil cuti sakit (MC) mahupun Cuti Rehat Khas (CRK).
Zarina Abdullah, 50, guru bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan (SK)
Peroh, di sini berpengalaman mengajar selama 27 tahun, namun terpaksa
menggunakan kerusi roda sejak dua tahun lalu setelah kedua-dua ligamen
lututnya putus dan cedera akibat terjatuh.
"Mula-mula saya terjatuh di rumah dan ligamen lutut saya sebelah kiri
putus. Sejak dari itu saya menggunakan tongkat ke sekolah, tetapi tidak
sampai empat bulan saya menggunakan tongkat, saya sekali lagi terjatuh
di hadapan kelas hingga menyebabkan ligamen lutut sebelah kanan turut
putus dan saya terpaksa bergantung sepenuhnya kepada kerusi roda.
"Sepatutnya pembedahan boleh dibuat supaya saya dapat berjalan semula,
tetapi atas nasihat doktor saya tidak menjalankan pembedahan kerana
risikonya tinggi sebab saya turut mengidap penyakit buah pinggang sejak
15 tahun lalu dan penyakit jantung sejak 10 tahun lalu," katanya ketika
ditemui Bernama di sekolahnya di sini hari ini.
Zarina berkata akibat penyakit buah pinggang, sebaik sahaja waktu
persekolahan setiap hari Ahad, Selasa dan Khamis, beliau terpaksa
bergegas ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu
untuk menjalani rawatan dialisis.
"Pukul 2.30 petang saya akan ke HSNZ untuk menjalani rawatan dialisis
yang mana setiap kali rawatan akan memakan masa selama empat jam dan
pada setiap Isnin, saya turut menjalani rawatan fisioterapi di hospital
tersebut.
"Memang kalau diikutkan agak penat dan letih bila terpaksa pulang lewat
malam selepas menjalani rawatan dan keesokan harinya terpaksa datang ke
sekolah untuk mengajar, tetapi saya tidak menganggap ianya sebagai
penghalang dan saya tetap akan datang ke sekolah demi mendidik anak-anak
murid saya," katanya dalam nada sebak.
Zarina berkata beliau turut menjalani rawatan susulan di Institut
Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur setiap empat bulan bergantung kepada
keadaan kesihatannya.
"Saya juga turut menjalani tiga pembedahan untuk memasukkan 'stent'
atau besi pada injap jantung pada tahun 2006, 2010 dan 2012 dan sekarang
ini saya masih menjalani rawatan susulan," katanya.
Setiap hari, ibu kepada dua anak ini dihantar suaminya, Mohd Sukri
Hamzah yang juga merupakan seorang guru di SK Felda Bukit Bading untuk
ke sekolah dan beliau turut diberikan sebuah bilik khas untuk kemudahan
pembelajaran dan pengajaran dilakukan.
"Saya memang tak dapat berdiri lama dan tak boleh memandu, suami saya
yang menghantar saya ke sekolah setiap hari dan di sekolah guru-guru
lain banyak membantu saya.
"Saya rasa satu kepuasan bila dapat tengok anak murid saya pandai
membaca dan dapat ikut apa yang saya ajar dalam kelas...apa yang
menyentuh dan menguatkan hati saya adalah bila waktu habis kelas, anak
murid akan bersalam dan memeluk saya sambil ucap 'I love you, teacher'
(saya sayangkan cikgu)...saya tak pernah ajar mereka (untuk ucapkan ayat
itu), tapi itulah reaksi mereka.
"Apabila waktu kelas dah nak habis, ada yang suruh saya mengajar sampai
habis waktu persekolahan...mungkin mereka suka cara saya mengajar,"
katanya.
Sementara itu, Guru Besar SK Peroh Siti Zainun Ismail berkata Zarina
merupakan seorang guru yang sangat komited dalam kerjayanya sebagai
seorang pendidik dan beliau yang mengenali guru tersebut lebih satu
tahun menganggap beliau seorang guru yang sangat kental.
"Saya bertukar ke sekolah ini tahun lalu dan sepanjang mengenalinya,
beliau tidak pernah mengambil MC ataupun CRK, malah bila saya tanya
guru-guru lain, memang sebelum ini pun Zarina tidak pernah
sewenang-wenangnya mengambil cuti.
"Kalau orang lain, dalam keadaan tidak sihat dan sering menjalani
dialisis mestilah mereka mengambil cuti untuk berehat kerana letih,
tetapi Zarina memang seorang guru yang sangat tabah dan kental, beliau
tak pernah mengambil kesempatan atas kekurangannya," katanya.
Siti Zainun berkata sifat keibuan dan penyayang yang ada pada Zarina
membuatkan guru tersebut disukai dan disayangi murid-murid di sekolah
tersebut.
"Kalau Teacher Zarina mengajar, memang murid-murid akan dengar cakapnya dan murid-murid memang sangat sayang padanya," katanya.
Sementara itu, murid tahun satu, Nurul Amirah Ahmad Firdaus berkata
beliau sangat menyayangi guru tersebut yang banyak membantunya dalam
subjek bahasa Inggeris.
"Saya tak pandai sangat subjek bahasa Inggeris, tapi saya rasa seronok
bila waktu kelas bahasa Inggeris...bila loceng berbunyi, kami akan
cepat-cepat beratur untuk ke bilik 'teacher'.
"Teacher sangat baik, walaupun sakit beliau tetap akan datang ke sekolah untuk mengajar," katanya sambil tersenyum.
-- BERNAMA
Kalo tiada MC macamana buat pembedahan?
ReplyDeleteteruskan perjuangan anda selagi diperlukan dan mampu untuk berkhidmat untuk anak didik demi agama dan bangsa
ReplyDeleteteruskan perjuangan anda selagi diperlukan dan mampu untuk berkhidmat untuk anak didik demi agama dan bangsa
ReplyDelete