KUALA LUMPUR
(Bernama) -- Melihat kepada diri beliau hari ini serta senarai panjang
pencapaiannya termasuk dalam bidang perundingan, agak sukar untuk mengaitkan
dirinya sebagai budak nakal dan pelajar corot semasa di sekolah.
Pakar perunding motivasi ini juga pemegang tali pinggang hitam Taekwondo (Tali Pinggang Hitam Darjah Ke-lima).
Beliau juga menghasilkan sebuah buku bertajuk "Rahsia 100 Impian", Daripada Corot Menjadi Pakar, pertama kali dijual pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur lepas.
"Guru saya hanya ada dakwat merah untuk saya". Ini cara Noordin memberitahu penulis betapa teruknya beliau semasa alam persekolahan.
"Saya bukan sahaja lemah akademik semasa di sekolah rendah dan menengah tetapi juga tidak cergas dalam bidang sukan.
"Saya juga nakal. Orang kata nakal tak bertempat. Mak tak bagi mandi sungai, saya mandi sungai, mandi laut, mandi tasik. Puas kena rotan. Emak rotan, ayah pun rotan", kata Noordin Khalid, 43, pengasas Smarts Coach, syarikat perunding motivasi, dalam wawancara dengan Bernama di sini baru-baru ini.
TAK ADA CITA-CITA
Noordin menghabiskan zaman persekolahan rendahnya di Sekolah Rendah Temenggung Abdul Rahman 1 (STAR 1), Johor Bahru. Beliau meneruskan persekolahan menengah dari tingkatan 1 hingga 4 di Sekolah Menengah Datuk Jaafar (SDJ), Johor Bahru.
Persekolahan tingkatan lima disambung di Sekolah Menengah Datuk Onn, Butterworth.
Semasa di sekolah rendah, beliau pernah ditanya apa cita-citanya apabila dewasa.
"Masa itu saya berumur 10 tahun. Cikgu tanya semua orang dan bila sampai giliran saya, saya hanya kata saya hendak berjalan-jalan ke seluruh dunia.
"Kawan-kawan dalam kelas semua ketawakan saya dan saya tak faham mengapa mereka ketawa", kata Noordin.
Dalam kamus hidup sebagai pelajar, beliau hanya mahu berseronok dan banyak menghabiskan masa di luar rumah, bermain dengan kawan-kawan. Semua semak dan belukar habis diredah. Pulang ke rumah apabila lapar.
Noordin mengakui beliau tidak pernah memikirkan masa depan dan banyak berangan menjadi seperti watak fiksyen kegemarannya, antaranya Superman dan Spiderman.
Semasa peperiksaan Penilaian Darjah Lima pada tahun 1981, Noordin hanya memperoleh 1B dan 4C. Keputusan itu tidak meninggalkan apa-apa kesan ke atas dirinya. Untuk peperiksaan tingkatan 3, beliau memperoleh 18 agregat.
GAGAL SPM MEMBUKA MATA
Empat tahun persekolahan menengah masih tidak membawa sebarang perubahan kepada Noordin meskipun dia tahu akan berdepan dengan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di tingkatan lima.
Masuk universiti atau jadi pekerja kilang? Soalan ini mula berlegar di kepala Noordin. Kebimbangan ini bagaimanapun tidak merubah rentak hidupnya. Beliau tidak buat sebarang persiapan rapi untuk SPM dan sedikit pun tidak berasa tertekan. Noordin hanya mengharapkan sekurang-kurangnya lulus.
Bila keputusan diumumkan, beliau mula berasa amat kecewa. Sudah tergambar nasibnya menjadi pekerja kilang.
"Pertama kali saya mula memikirkan masa depan tetapi semua yang negatif. Saya berfikir apakah selama-lamanya saya akan begitu.
"Saya takut pulang ke rumah selepas mengambil keputusan SPM. Perasaan saya berkecamuk. Takut, malu, semua ada", kata Noordin.
Beliau membuat keputusan untuk mengulangi SPM. Dengan rakannya, Rasid Halim kedua-duanya mendaftar di Maktab Adabi Bukit Mertajam. Beliau bertekad kali ini mesti cemerlang.
Noordin bertekad sudah tiba masanya untuk beliau berubah. Bagaimanapun, beliau mengakui semangat berkobar-kobar untuk menduduki semula peperiksaan SPM hanya seperti peribahasa "Hangat-hangat tahi ayam".
APA IMPIAN?
Menurut Noordin, beliau kembali kepada perangai asalnya, hanya mahu berseronok dengan zaman remajanya sehinggalah berlaku satu peristiwa kira-kira enam bulan sebelum peperiksaan SPM.
Ia berlaku ketika mereka sekeluarga sedang menikmati minum petang. Noordin masih ingat sajian teh O dan kuih cucur badak yang emaknya sediakan.
Tiba-tiba ayahnya bersuara, "Din (nama panggilan yang digunakan ayahnya) apa impian hang?"
Noordin yang tersentak mendengar soalan ayahnya hanya mengulangi, "Impian?"
Lazimnya selepas minum petang, Noordin akan keluar bermain bola tetapi petang itu beliau hanya berkurung di dalam biliknya.
"Saya tak boleh jawab apa-apa semasa ayah bertanya kepada saya sebab dalam kepala saya memang tak ada cita-cita.
"Lepas ayah tanya, saya terus berfikir. Masa itu saya sudah berpindah dari Johor Bahru ke Butterworth. Kawasan keliling rumah saya kawasan kilang. Apakah saya akan berakhir sebagai pekerja kilang", kata Noordin.
AYAH PENCETUS MOTIVASI
Ayah Noordin, Khalid Ismail ialah seorang kapten kapal berasal dari Bagan Lebai Tahir Butterworth. Ibunya, Sjofiah Mohd Ali, anak seorang guru silat dari Jambi, Sumatra.
Menurut Noordin, sebelum menjadi kapten kapal, ayahnya membanting tulang sebagai nelayan.
Ayahnya jarang bercerita tentang kisah lampaunya tetapi petang itu, beliau berkongsi kisahnya sebagai nelayan dan hidup susahnya dengan Noordin.
"Bapa kata saya hanya tengok dia masa dia senang. Saya tak tengok dia masa dia susah. Bapa kata tak jauh dari rumahnya ada pantai diberi nama Pantai Bersih Bagan Ajam.
"Di situlah bapa membelat (menangkap ikan). Bapa kata dia juga selalu berdiri di pantai memerhatikan kapal-kapal besar belayar dan dia beritahu diri dia, suatu hari nanti dia akan menjadi kapten kapal", kata Noordin.
Bermula sebagai kelasi pada usia 33 tahun, Ayah Noordin belajar untuk menjadi kapten semasa menjadi kelasi di Singapura. Jika orang lain hanya bersantai selepas bekerja, ayahnya akan menghabiskan masa rehatnya belajar ilmu pelayaran termasuk bahasa Inggeris.
"Semasa bapa bercerita tentang kisah hidupnya, saya rasa terkedu sehingga menitiskan air mata. Adik-adik lain hanya tengok sahaja, mereka belum faham," kata Noordin sambil menambah ayahnya bersara pada usia 67 tahun dan meninggal dunia ketika berusia 73 tahun.
BERMULA KECEMERLANGAN
Bagi pakar motivasi ini, kisah ayahnya sudah cukup untuk membakar semangat untuk meraih kecemerlangan dalam peperiksaan SPMnya. Tekadnya membuahkan hasil.
Selepas SPM, beliau membuat dua pilihan, iaitu menyertai Akademi Laut Malaysia (ALAM), Melaka atau mengikuti pengajian Sains Komputer.
"Tawaran pertama yang saya dapat ialah daripada ALAM tetapi ayah tidak mengizinkan. Dia tak mahu saya menjadi kelasi, dia kata banyak pancaroba. Ayah koyakkan borang tawaran.
"Saya kemudiannya mendapat tawaran daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai dalam bidang Sains Komputer. Saya lupakan ALAM dan tumpukan perhatian saya kepada UTM", kata Noordin.
Jika di sekolah dahulu, beliau lemah akademik dan tidak minat bersukan, lain pula perjalanan hidup beliau di UTM.
Karektor Noordin di UTM jauh berbeza berbanding di sekolah. Selepas orientasi, beliau melibatkan diri dengan pelbagai persatuan dan menyertai kelas Taekwando.
"Apa yang membuatkan perbezaan itu? Saya sudah ada impian dan saya sudah ada kekuatan dalaman untuk berjaya.
"Untuk berjaya, kita kena tingkatkan sikap kepimpinan, sebab itu saya bina kepimpinan saya. Masa itu saya sudah menanam cita-cita untuk menjadi pemimpin dan itu antara sebab saya menyertai Taekwando", jelas Noordin.
Beliau tamat pengajian dengan Ijazah dalam Sains Komputer, pengkhususan 'Industrial Computing' pada 1995.
Bermula di Perodua sebagai jurutera sistem, Noordin kemudian menyertai beberapa buah syarikat Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT), antaranya New Technology & Innovation.
Beliau kemudiannya meraih pengiktirafan sebagai perunding dan jurulatih bertaraf pakar dalam bidang ICT apabila berkhidmat dengan Quint Wellington Redwood, syarikat perunding yang berpangkalan di Amsterdam.
"Untuk menjadi jurulatih, saya perlu belajar dan mengambil ujian sebelum diberi perakuan. Dalam masa enam tahun saya memperoleh 21 perakuan.
"Saya bekerja dengan firma ini selama enam tahun sebelum membuat keputusan untuk mengendalikan firma perundingan saya sendiri," kata Noordin yang berhenti daripada Quint pada bulan Mac 2014.
SMARTS COACH
Berbekalkan 19 tahun pengalaman dalam bidang ICT dan perundingan, ayah kepada lima orang putera ini sudah bersedia untuk menguruskan perniagaan perundingannya sendiri, Smarts Coach.
"Saya hanya seorang hamba Allah yang ingin berkongsi setitis ilmu semoga memberi manfaat buat insan lain dan ingin melihat titisan itu menjadi ribuan titisan pula," ini kata Noordin falsafah hidupnya, apabila ditanya mengapa beliau sanggup meninggalkan jawatan kanan dan pendapatan tinggi untuk menguruskan syarikat perundingannya.
"Idea ini sudah ada sejak 2002 cuma akhir-akhir ini mula laju sikit. Smarts Coach bermula dengan saya melatih anak-anak jiran yang berminat dalam bidang Taekwondo.
"Inipun isteri saya yang usahakan. Dia kumpul anak-anak jiran dan beritahu saya mereka mahu belajar Taekwondo. Saya buka kelas di belakang rumah sahaja.
Dari dua pelajar jadi 30. Masa itu saya gunakan nama Sentoasa Martial Arts School. Jika diringkaskan, jadi Smarts", kata Noordin.
Noordin mempunyai banyak perancangan untuk Smarts Coach. Antara programnya ialah sempena Hari Kemerdekaan ke-57 negara.
Smarts Coach merancang menganjurkan 'Kem Merdeka' khusus untuk golongan remaja dan pelajar institusi pengajian tinggi.
Beliau meletakkan sasaran 120 peserta dan antara yang akan ditekankan ialah pengertian jati diri.
"Untuk berjaya kita mesti ada nilai diri dan kita mesti kenal nilai diri kita. Amat sukar untuk pertahankan jati diri jika kita tak tahu nilai diri", jelasnya.
Noordin juga bercita-cita besar untuk Smarts Coach ke luar negara terutamanya negara-negara yang beliau pernah tinggal atas urusan kerja iaitu Jepun, Korea Selatan, Sudan dan Pakistan.
Untuk diri sendiri, Noordin ingin melanjutkan pengajian dalam bidang 'Holistic Psychology' peringkat kedoktoran.
Bagi Noordin, pencapaiannya setakat ini cuma satu kecemerlangan dan berikutnya beliau mahu menjejak langkah luar biasa.
-- BERNAMA