RAMAI pengkaji berselisih pendapat tarikh sebenar turunnya kitab
suci al-Quran, namun mereka bersepakat mencatat peristiwa Nuzul al-Quran
berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan. Perkataan 'nuzul' bererti turun atau
berpindah dari atas ke bawah. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan
pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jenayah, muamalat, sains,
teknologi dan sebagainya.
Firman Allah SWT: "Dan tidak seekor pun binatang yang melata
di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya,
melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di
dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan
mereka (untuk dihisab dan menerima balasan)." (Al-An'am:38)
Nuzul al-Quran suatu peristiwa besar yang penuh makna dan hikmah.
Kita seharusnya melihat al-Quran itu sebagai 'kitab induk' panduan Ilmu
pengetahuan untuk memajukan manusia seluruhnya. Bukan setakat membaca, bahkan
kita harus berusaha menyelidiki rahsia ilmu pengetahuan di dalamnya.
Al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi
penjelasan bagi manusia. Segala isi kandungan al-Quran itu benar. Al-Quran juga
dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang
dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang
memberi peringatan.
Dalam sejarah Nabi SAW, ayat Al-Quran yang mula-mula diturunkan
kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibril ialah lima ayat
pertama daripada surah Al-'Alaq. maksudnya: "Bacalah (wahai Muhammad)
dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan
manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang
mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang
tidak diketahuinya." (al-'Alaq:1-5)
Nabi SAW banyak membaca al-Quran dalam bulan Ramadan. Maknanya
Nabi juga belajar secara berguru iaitu dengan Jibril dan umatnya juga dituntut
belajar dengan berguru. Nabi Muhammad juga mengulang-ulangi bacaan al-Quran
begitu juga dengan para sahabat. Nabi bersabda maksudnya: "Semulia-mulia
umatku ialah orang yang menghafaz al-Quran."
Antara faedah membaca al-Quran adalah;
1. Mampu mengusir bisikan syaitan terkutuk;
2. Menjadi penyebab meraih keredaan Allah SWT;
3. Memperoleh pahala yang banyak;
4. Membahagiakan rakan seperjuangan;
5. Menghapus kesalahan dan dosa;
6. Menjadikan wajah (pembaca al-Quran) berseri-seri;
7. Melapangkan hati dan fikiran, menjernihkan sanubari;
8. Melahirkan ketenteraman dalaman antara seorang hamba dengan
Allah SWT;
9. Memelihara umur manusia;
10. Merangsang seorang hamba untuk terus melakukan kebaikan dalam
hidup yang sementara;
11. Mengembali, menjernihkan hati kepada Allah untuk meningkatkan
kualiti hubungan dengan-Nya.
Sumber : Berita Harian
Kalau nabi sering membaca Al Quran dan bertadarus dengan Malaikat, bagaimana pula umat Islam masih menyatakan Nabi tak tahu baca dan tulis? hairan jugak ye?
ReplyDelete