Monday, July 21, 2014

Nahas MH17: PM tekad bawa balik mayat



Kuala Lumpur: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tekad membawa balik mayat mangsa pesawat MH17 dari Malaysia, sebelum Aidilfitri.

Beliau berkata, mayat yang sudah dikenal pasti identitinya akan dibawa balik secepat mungkin.
Kita akan pastikan (43 rakyat Malaysia) yang terkorban disemadikan di bumi Malaysia.

Sejak insiden menyayat hati itu, saya tidak tidur dua malam berturut-turut memikirkannya.

Saya menghubungi pemimpin dunia dan pihak lain yang berkepentingan untuk menyatakan pendirian negara, katanya ketika berucap merasmikan Program Nur Kasih Ramadan Wilayah Persekutuan di Cheras, di sini, malam tadi.

Pesawat MH17 itu ditembak jatuh di perkampungan Grabovo, Donestk, Ukraine, berhampiran sempadan Russia, Khamis lalu.

Ketika kejadian, pesawat Boeing 777-200 yang dalam perjalanan dari Amsterdam, Belanda ke Kuala Lumpur itu membawa 298 penumpang termasuk 29 rakyat Malaysia dan 15 kru. Semua penumpang dan kru terbunuh dalam tragedi itu. 

Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak mahu mangsa dibawa ke tempat yang tidak diketahui.

Beliau turut mengulangi pendirian mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa membawa pihak terbabit ke muka pengadilan.

Beliau turut gagal mengawal emosi ketika berjumpa keluarga mangsa di sebuah hotel di Putrajaya, malam kelmarin.

Sebagai pemimpin, kita tak suka ada peristiwa begitu menyayat hati.
Saya bersemuka dengan seorang isteri yang kehilangan suami sedang memangku anak kecil berusia tiga tahun.

Ada anak berusia 10 tahun menyuarakan kerinduan kepada ibunya, katanya.
Najib turut mengutuk serangan Zionis terhadap rakyat Palestin di Gaza, yang mengorbankan ratusan nyawa.

Saya sendiri pernah ke Gaza. Ia umpama penjara terbuka yang besar, katanya.

Yang hadir sama, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Sehingga malam tadi, pihak pemberontak sudah mengumpulkan 196 mayat di lokasi nahas MH17 dan dimuatkan ke dalam peti sejuk sebuah kereta api. Bagaimanapun belum dapat dipastikan lokasi mayat akan dihantar.

Setakat ini, Malaysia bersama lapan negara lain termasuk Belanda melantik pihak ketiga untuk berunding dengan kumpulan pemberontak, Donestk Peoples Republic bagi membolehkan pasukan penyelamat antarabangsa memasuki lokasi nahas pesawat MH17.

Sumber : Berita Harian
 

No comments:

Post a Comment