Pada zaman dahulu guru adalah segala-galanya. Kita amat retorik dan nastolgik dengan "ajarlah anak saya cikgu.Buatlah apa sahaja supaya mereka pandai asal jangan buta dan patah". Waktu itu guru adalah sumber utama pendidikan bagi masyarakat. Kata guru selalu dianggap benar dan menjadi ikutan mutlak anak-anak ataupun masyarakat. Apa sahaja yang guru buat walaupun mungkin silap tapi tidak dianggap 'silap" atau menjadi besar dalam kaca mata masyarakat. Guru tidak masuk kelas ke, datang lewat ke tidak menjadi hal pada masyarakat asal anak mereka pandai. Bahkan untuk "cover" kekurangan itu hubungan akrab guru-masyarakat telah menjadi ubat menutup kesilapan-kesilapan itu.
Begitu juga dari segi nilai sosial masyarakat dahulu. Seingat saya semasa di sekolah rendah dan menengah kita biasa bermain "police sentri' waktu malam bulan mengambang di kampung. Kita bermain antara kawan-kawan lelaki dan perempuan yang sudah besar atau berstatus anak dara dan anak teruna. Ibu bapa tidak pernah risau dengan pergaulan itu. Kita sendiripun tidak "terasa" apa. Namun dengan perkembangan sekarang anak-anak perempuan yang kecil atau sekolah rendah pantang datuk nenek kita tidak akan benarkan bermain apa lagi bermain pada malam hari dan bercampur gaul antara lelaki dan perempuan.
Masa berlalu. Zaman berubah dengan pesat. Perkembangan ict dan langit terbuka serta keruntuhan nilai feudal serta terbangunnya nilai-nilai lebih liberal telah mengubah dengan pesat struktur dan nilai kehidupan kita dan masyarakat. Ibu bapa menemui pelbagai maklumat dan alternatif sumber memantapkan pengetahuan dan kemahiran anak-anak mereka.
Guru bukan lagi menjadi sumber rujukan dominan murid untuk belajar dan memperolehi ilmu. Tuisyen,internet dan media sosial adalah antara alternatif baru yang menjadi rujukan. Perkongsian ibu bapa di timur, di barat, di utara dan selatan telah memperkayakan mereka dengan pelbagai pengetahuan dan nilai baru. Mereka menjadi lebih peka dan sensitif dengan perubahan apalagi berkaitan ketidakadilan, rasuah, salah laku dan sebagainya terutama yang menyangkuti masa depan anak-anak mereka.
Sayangnya terdapat segelintir pengurus sekolah dan guru seakan tidak menyedari perubahan yang berlaku. Mereka masih memakai pendekatan feudal sedangkan mereka berada dalam pusaran baru perubahan. Mereka lupa segala tindakan dan tingkah laku mereka diperhati, dilihat, dirakam dan dinilai oleh rakan sejawat,murid,ibu bapa dan masyarakat. Apa lagi tingkah laku-tingkah laku yang berubah persepsi dari sudut pandang masa kini atau bertentangan dengan adab dan agama.
Suatu masa dahulu seorang Guru Besar yang baik selalu dinilai sebagai seorang yang tidak marah-marah, mudah kira bicara dan lemah lembut. Namun dalam sudut pandang sekarang Guru Besar yang seperti ini akan dilihat lemah,tidak berupaya dan umpama "raja" yang tidak tahu memerintah. Guru Besar yang dilihat hebat pada masa kini boleh mengurus sekolah dengan baik dan berkesan serta boleh nampak petunjuk keberkesanan sama melalui prestasi akademik atau keseluruhan sekolah nampak teratur dan menjadi. Justru kelambatan dan kesediaan menyesuaikan diri dengan perubahan dan melaksanakan amalan yang bercanggah dengan nilai baru bakal memberi kesan serta perasangka dan pemberontakan yang kurang menyenangkan.
Pemberontakan dapat dilihat melalui pelbagai aduan yang mungkin datang dari rakan sejawat, ibu bapa dan masyarakat yang semakin meningkat. Kemudahan menyalurkan aduan juga antara faktor perubahan baru yang perlu disedari oleh semua pihak bahawa mereka sentiasa dilihat dan diperhatikan.Walaupun sesetengah aduan itu tidak berasas tetapi yang kita ingin sampaikan bahawa hari ini orang sudah berani menyangggah ketua atau membongkar kesilapan walaupun dosa itu boleh dimaafkan.
Cara gaya pemimpin sekolah yang selama ini biasa kini menjadi luar biasa dan salah pada sesetengah pihak. Kita sering menerima aduan pemimpin sekolah pilih kasihla, tidak pedulikan sekolahla, ada skandal dengan warga sekolahla dan macam-macam lagi. Mungkin dahulupun ada tetapi bukan dianggap serious dan ketiadaan saluran untuk mengadunya.
Begitu juga aduan tentang Guru Penolong Kanan tidak menjalankan tugas, banyak menghabiskan masa di kantin dan macam-macam lagi. Guru Penolong juga ada yang diadu tidak masuk kelas, politik pembangkang, tidak cakna murid dan sebagainya. Bahkan sesetengah dibuktikan dengan gambar, print screen dan pelbagai aviden yang sukar untuk dinafikan.
Inilah akibat bila kita tidak berubah seiring dengan perubahan yang berlaku. Pekong yang tidak busuk mana selama ini akan menjadi lebih busuk bila terburai dan dihidu semua orang akibat kegagalan kita membaca perubahan dan situasi.Kita lupa bahawa kita hidup dalam zaman generasi Y. Maklumat dan gajet-gajet satu keperluan dan berada di hujung hari. Bahkan sesetengah perkara yang kita lakukan itu pada zaman dahulu tidak menjadi kudis gatalpun tetapi zaman telah berubah yang kecil mampu menjadi besar.
Dahulu orang luar nak masuk kampung kalau tidak cukup empat "tapang" jangan cuba untuk mengorat anak dara orang. Hari ini usunglah anak dara dari kampung itu kerana bukan sahaja ibu bapa restu tetapi pemudanya sudah tidak perkasa lagi.Perubahan nilai yang melanda merubah struktur dan nilai begitu rupa. Ia melanda semua bidang termasuk ekonomi dan politik.
Cukuplah sekadar renungan. Ingatlah zaman telah berubah. Kita juga harus berubah dengan menyesuaikan dengan zaman dengan tidak meninggalkan nilai-nilai unggul agama dan budaya. Kegagalan berbuat demikian bermakna kita sengaja memerangkap diri dan menjadi mangsa atas perbuatan kita sendiri.
No comments:
Post a Comment