Tuesday, November 5, 2013

Dengarlah keluhan para guru

Oleh :
Dua minggu lagi cuti sekolah bermula.

Biasanya guru-guru cukup gembira dengan percutian ini kerana mereka mempunyai masa untuk berehat dan bercuti bersama keluarga.

Tapi kali ini kegembiraan tersebut suram kerana ramai dari mereka tertekan dengan sistem baru yang digunakan oleh Kementerian, iaitu Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Betul sistem ini diperkenalkan oleh Kementerian setelah beberapa kali mesyuarat diadakan.

Betul sistem ini diperkenalkan kerajaan setelah mengambil kira kebaikannya untuk guru, murid-murid dan sistem pendidikan negara.

Betul tujuan sistem ini baik untuk transformasi sistem pendidikan negara, iaitu “untuk menilai potensi murid dan kesediaan untuk belajar, selain menguji penguasaan dan pencapaian.”

Tetapi apakah sistem ini betul-betul baik untuk meningkatkan mutu pendidikan negara? Apakah sistem ini betul-betul boleh diterima oleh para guru? Pertanyaan ini perlu diteliti sebelum mendapat jawapannya.

Saya sudah mendengar lama rungutan para guru tentang hal in sejak ia mula dilaksanakan pada tahun 2011 di peringkat sekolah rendah dan pada tahun lepas bagi peringkat sekolah menengah.

Ada yang menulis secara peribadi meminta saya membangkitkan hal ini.

Tetapi saya diam sehinggalah saya dapati kelemahan pelaksanaan sistem ini semakin ketara.

Apa yang lemahnya dengan sistem ini?

Lemahnya bukanlah pada tujuannya yang baik:

(i) untuk menilai potensi murid,
(ii) memantau pertumbuhan dan membantu meningkatkan potensi murid; dan
(iii) membuat pelaporan bermakna tentang pembelajaran individu.

Tetapi lemahnya sistem ini adalah pada penggunaan sistem memasukkan datanya yang tidak boleh ‘comply’ dengan beban data semasa.

Sistem Pangkalan Data PBS Lemah Justeru lemahnya sistem data PBS ini, maka guru perlu memasukkan data pada waktu lewat malam.

Akibatnya, pada waktu pagi guru mengantuk menyebabkan mutu mengajar menjadi lemah, sekali gus menjejas mutu pengajaran dan pembelajaran.

Akibatnya, murid tidak mendapat pembelajaran yang sempurna kerana waktu guru dihabiskan pada tugas perkeranian, bukan pada tugas hakikinya. Ini kerana selain sibuk memasukkan data, guru juga sibuk mengemaskan rekod.

Aduh!!! Apa lagi? Guru juga terpaksa menyiapkan kerja-kerja PBS sendiri seperti membina instrumen soalan, menanda dan menyemak kertas soalan.

Selepas itu, guru perlu mengadakan aktiviti bilik darjah untuk menyelesaikan segala keperluan kurikulum dan kemahiran insaniah yang lain.

Guru kadang-kadang terpaksa lepaskan murid ke aras band yang lebih tinggi biarpun arasnya belum dicapai.

Selain itu, guru perlu mengurus fail pelajar yang mungkin mencecah angka ribu dan puluhan unit almari untuk penyimpanan fail berkenaan serta memasukkan ratusan band pelajar ke dalam sistem.

Bayangkan bagaimana susah dan tertekannya guru jika internet hang?

Bayangkan bagaimana lelahnya guru setelah disemak semula dalam sistem, data yang dimasukkan sebelum ini tidak ada dalam pangkalan?

Maka dari sinilah, guru selalu bertanya, siapakah yang membangunkan sistem ini?

Mengapa diberi kepada pembekal yang tidak berkelayakan untuk menyediakan sistem ini kepada sekolah dan guru?

Mengapa kerajaan boleh melaksanakan sistem ini dikala sistem ini masih belum mesra pengguna? Bilakah mutu sistem ini akan dipertingkatkan? Dan bermacam persoalan lagi.

Saya pernah menceritakan kelemahan sistem ini kepada kawan saya, seorang pegawai di PPD.

Beliau kata kepada saya guru yang merungut dengan sistem PBS ini adalah guru yang malas dan tidak ada semangat untuk berjaya dalam bidang keguruan.

Maka beliau pun mulalah bercerita kepada saya tentang kejayaan sistem ini di negara-negara lain.

Saya tidak nafikan kejayaan sistem ini di negara lain, tetapi saya katakan sistem di sini tidak mesra guru kerana sistemnya selalu 'hanged' sehingga menyebabkan guru tertekan.

Ada guru yang terpaksa bangun pada jam 3 pagi semata-mata untuk memasukkan data. Jadi kata saya, sistem PBS ini mungkin sesuai di negara lain, tapi belum tentu sesuai di negara kita.

Anggur yang sesuai ditanam di Perancis belum tentu sesuai ditanam di Cameron Highlands.

Akhirnya, setelah mendengar keluhan para guru sejak sistem ini diperkenalkan, saya cuma ingin katakan guru yang mengeluh bukan kerana mereka tidak ‘love teaching’. Tapi mereka mengeluh kerana sistem PBS ini membebankan dan tidak mesra pengguna.

Oleh itu, jika kerajaan mahu juga meneruskan penggunaan sistem ini, teruskanlah dengan membaiki dan meningkatkan sistemnya supaya para guru tidak lagi tertekan dengan sistem yang tidak mesra pengguna.

Tugas mengajar ini seronok dan mulia. Maka, jangan bebankan para guru dengan perkara yang tidak sepatutnya.


Sunday, November 3, 2013

Penjawat Awam terlibat 81 skim ditambahbaik akan terima opsyen bulan ini - KPPA



PUTRAJAYA, 1 Nov (Bernama) -- Lebih 600,000 penjawat awam yang terlibat dalam 81 skim perkhidmatan awam yang ditambah baik di bawah Bajet 2014 akan menerima surat tawaran opsyen itu bulan ini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata mereka perlu memberi maklum balas dalam tempoh sebulan daripada tarikh surat itu dikeluarkan oleh ketua jabatan masing-masing.

Menurutnya perjumpaan dengan bahagian sumber manusia di semua agensi dan kementerian terlibat untuk memberi maklumat terperinci berhubung penambahbaikan itu akan diadakan secepat mungkin.

Bercakap pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan Cuepacs mengenai skim itu di sini Jumaat, Mohamad Zabidi berkata mereka yang tidak bersetuju dengan opsyen itu akan kekal dalam skim atau jawatan asal.

"Antara penambahbaikan itu ialah kenaikan taraf skim perkhidmatan gred 1 hingga 10 kepada gred 11, pemberian dua tambahan kenaikan mata gaji dan pertukaran nama beberapa skim seperti diminta Cuepacs dan kesatuan berkaitan," katanya.

Mohamad Zabidi berkata penambahbaikan itu adalah sejajar dengan kerja keras penjawat awam pada masa kini yang bekerja dengan cepat, tepat dan produktif.

Berikutan penambahbaikan terhadap 81 skim perkhidmatan itu, beliau berkata jumlah skim perkhidmatan sedia ada dapat dikurangkan daripada 274 kepada 249 skim bermula 1 Jan 2014.

Sebelum ini, Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman berkata kesatuan sekerja yang terlibat dalam penguatkuasaan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Kastam, Jabatan Imigresen, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta pihak berkuasa tempatan mengemukakan memorandum penambahbaikan skim perkhidmatan masing-masing kepada kerajaan.

Sementara itu Omar berkata skim-skim lain yang tidak termasuk dalam 81 skim yang ditambahbaik itu masih mempunyai harapan untuk mendapat peluang yang sama.

"Untuk skim yang lain, kami sedang berunding," katanya. 

sumber : blog cuepacs

Saturday, November 2, 2013

Program pendidikan Ulul Albab dilaksana 2014



KUALA TERENGGANU - Program pendidikan Ulul Albab akan dilaksanakan di sekolah rendah dan menengah secara berperingkat mulai tahun depan bagi melahirkan generasi yang seimbang dalam aspek duniawi dan ukhrawi.
  
Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, program berkenaan yang diterapkan dalam kurikulum akan diubah suai mengikut program terkini yang ada mengikut kesesuaian, tempat dan juga apa yang telah ada di kementerian.

"Untuk memantapkan kurikulum pengajian Islam, seluruh sekolah terutama di sekolah menengah (harian) dan sekolah menengah agama kita akan mengenal pasti kurikulum Ulul Albab dilaksanakan sekurang-kurangnya satu sekolah di setiap negeri.
  
"Insya-Allah ia akan bermula pada tahun hadapan ataupun tahun selepasnya mengikut kemampuan sekolah masing-masing," katanya selepas merasmikan penutupan majlis Khatam al-Quran Perdana dan pertandingan Kalam Jama'ie peringkat kebangsaan di sini hari ini.
  
Dalam perkembangan sama, Idris berkata kementerian akan memanjangkan program Khatam al-Quran yang merupakan tradisi ulama secara berterusan ke sekolah-sekolah melalui pelaksanaan program J-Qaf yang dilancarkan sejak 2005.
  
"Sejak itu, kita lihat perkembangan demi perkembangan pengajian Islam yang lebih mantap di sekolah-sekolah. Kali ini ditambah pula dengan Bahasa Arabnya melalui Arabic Chorus Speaking (pertuturan) dalam pertandingan Kalam Jama'ie yang telah dibuat buat kali kedua ini," katanya.
  
Tradisi budaya khatam membaca al-Quran dan pembudayaan Bahasa Arab di sekolah-sekolah wajar diteruskan untuk memastikan pelajar mantap menguasai bidang berkenaan, katanya.  - Bernama


Sembang Sabtu : Menunggu perubahan

Barangkali ramai yang sudah tidak sabar-sabar menunggu apakah 81 penambahbaikan dalam perjawatan awam sebagaimana yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri semasa pembentangan Bajet 2014 yang lalu. Seluruh kakitangan awam sedang menunggu perincian dan impak perubahan terhadap masa depan kerjaya dan skim perkhidmatan mereka. Satu siaran Pekeliling menjelaskan perkara berkaitan dijangka akan dikeluarkan.

Bila kita membicarakan perubahan sama ada perubahan dasar, syarat , skim dan sebagainya ia mungkin mengambil masa bertahun , berbulan, berminggu atau beberapa hari sahaja. Ianya bukan sesuatu yang mustahil dan rigid. Mungkin sesuatu perkara tidak boleh pada minggu lalu tetapi menjadi boleh pada minggu ini dan  begitulah di sebaliknya. Banyak yang kita saksi dan alami perubahan dalam sistem perkhidmatan awam dan juga pendidikan kita. Ini adalah sesuatu yang normal dan dinamik sesuai dengan perubahan masa dan keperluan serta tuntutan kesempurnaan yang semua pihak mahukan.

Kita menjangkakan dalam konteks perkhidmatan pendidikan mungkin pelaksanaan gaji sebaris akan diperkenalkan. Secara mudahnya seseorang pegawai perkhidmatan pendidikan yang kompeten boleh terus bergerak menikmati faedah gaji secara berterusan sepanjang perkhidmatan hingga peringkat tertinggi tanpa sekatan melalui skim yang disepadukan setelah memenuhi keperluan dan syarat tertentu yang ditetapkan. Ini bermakna mereka akan menikamti faedah yang lebih baik.

Selain dari itu janji kerajaan untuk memperkasakan kepimpinan sekolah bakal dilaksanakan. NPQEL bakal menjadi syarat wajib bagi memenuhi syarat pemilihan Guru Besar dan Pengetua selain maknisma lain yang sedang dirancang. Soalnya bila bakal dilaksanakan ? Berasaskan prosuder urusan naik pangkat terdahulu dan muktakhir bagi Guru Besar tarikh akhir iklan ialah pada tahun ini dan senarai kelulusan gunapakai biasanya sahlaku dalam masa setahun iaitu bermula Julai 2013 hingga Jun 2014. Ini bermakna iklan baru jawatan Guru Besar yang mensyaratkan NPQEL sebagai syarat dijangka bakal dikeluarkan kemungkinan Feb atau Mac 2014 dan senarai bersih bakal digunakan pada Julai 2014. Ini hanya jangkaan dan jika kerajaan membuat keputusan bagi menyegerakan juga bukan menjadi masalah.

Sementara itu proses pembugaran kepimpinan melalui Prime telah mula dilaksanakan oleh IAB bagi menyediakan calon-calon kepimpinan sekolah yang lebih berpengetahuan, berwibawa dan berkemahiran. Pelan pengantian lebih awal untuk mengganti pimimpin sekolah yang bersara adalah pendekatan yang baik. Walau bagaimanapun justru prosidur sekarang jawatan Guru Besar misalnya diletak di bawah konsep "tawaran" bukannya "arahan" adakah mereka yang mengikuti Prime ini akan menerima "tawaran" jika ditempatkan di sekolah yang agak jauh apa lagi mereka sudah berada pada gred DGA34 atau menjadi Guru Besar dan sedang belajar untuk pensiswazahan di sekolah kekurangan murid. Jika mereka menolak bermakna program Prime ini akan menjadi sia-sia. Justru kerajaan atau kementerian perlu meneliti atau menilai balik kaedah dan tatacara penawaran agar mereka yang terpilih menyertai Prime adalah seratus peratus menerima jawatan sebagai Guru Besar di sekolah baru.

Selain itu apakah ada perubahan besar mengenai naik pangkat ini terutama mengenai gred hakiki naik pangkat Guru Besar dan GPK. Apakah peluang akan dibuka untuk siswazah DG41 yang semakin ramai di sekolah rendah dan juga kalangan GPK yang telah ada NPQEL dan mempunyai ijazah terutamanya. Atau satu sistem baru yang lebih flexible di mana gred hakiki untuk jawatan pengurus sekolah ini tidak perlu lagi kepada sesuatu gred. Ini adalah kerana jika gred hakiki lama DGA32 atau DGA34 dikekalkan maka GPK yang ada NPQEL dan bergred DG41 tidak dapat memanafaatkan NPQEL tersebut sebagai syarat menjadi orang nombor satu di sekolah rendah.

Sekiranya dilaksanakan gred hakiki Guru Besar dan GPK gred siswazah atau DG41 ke atas bagaimana dengan status dengan Guru Besar dan GPK yang tidak sambung belajar. Adakah mereka dibiarkan sehingga memasuki zon persaraan atau diberi satu gred lain yang setara dan munasabah. Kesatuan Guru telah lama mencadangkan agar DG42 dibuka kerajaan kepada kumpulan ini dan jika ianya berlaku bukan  sahaja ia menjadi penyelesaian terbaik tetapi juga menemukan dimensi baru bahawa dibawah skim siswazah ada gred naik pangkat baru. Harus diingat gred DG41 bukan gred naik pangkat tetapi gred permulaan PPPS.

Pihak kerajaan dan kementerian tentunya telah mendengar dan meneliti pelbagai rungutan dan isu-isu naik pangkat yang dikemukan oleh kaum guru. Tentunya sudah tidak logik dan sesuai guru yang menanggung amanah tanggungjawab melalui jawatan khas yang diujud berada di bawah atau sama taraf dengan naik pangkat secara TBBK dari segi grednya. Begitu juga isu pertembungan tarikh perlantikan hakiki dan TBBK pastinya ada penyelesaian jelas berasaskan perubahan dan keperluan semasa. Mungkin dasar dan peraturan yang tidak relevan perlu disemak semula. Kita merubah dan berubah ke arah yang baik tidak salah dan menepati prinsip asas kecemerlangan.

Kita juga berharap perubahan-perubahan ini memberi impak kepada warga guru untuk merubah dan bersedia mengubah pemikiran, iltizam, semangat dan kesungguhan memartabatkan profesion dan menghargai usaha murni kerajaan untuk menjadi kakitangan kerajaan yang setia dan dedikasi. Apa lagi guru adalah arkitek merekacorak anak bangsa bagi mewarnai nasib bangsa,agama dan negara.Tidak ada maknanya pelbagai perubahan telah dibuat tetapi cara berfikir dan bertindak berada di takuk lama. Kita perlu berhijrah. Kita perlu tranformasi. Keberhasilan murid kita dan pendidikan kita bergantung sejauhmana kita bergerak dan berubah secara menyeluruh...


Friday, November 1, 2013

SPPBS, SPS Akan Diintegrasikan, ringakan tugas guru..



MELAKA: Kementerian Pendidikan akan mengintegrasikan Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) dan Sistem Pengurusan Sekolah (SPS) sebagai satu pengkalan data bagi meringankan beban guru di sekolah dalam tempoh dua bulan akan datang.

Langkah itu merupakan sebahagian daripada inisiatif Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia iaitu Pengintegrasian 1Data.

Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr Madinah Mohamad berkata melalui langkah itu, guru hanya perlu memasukkan maklumat pengoperasian harian sekolah menggunakan satu sistem.

"Kementerian sedang meneliti dan berusaha mengintegrasikan kedua-dua sistem ini dan guru tidak perlu menggunakan pelbagai sistem sehingga membebankan tugas mereka sebagai pengajar," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis dialog Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (JPA) Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal bersama kira-kira 2,000 guru dan pegawai pelaksana negeri Melaka dalam program Pemantapan Profesion Guru (PPG) di sini, Khamis

Turut hadir Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud.

Dr Madinah berkata usaha itu juga perlu dilaksanakan secara serius kerana guru berhadapan masalah mengakses kedua-dua sistem berkenaan disebabkan capaian sistem tersebut sering tergendala dan sukar diakses.

Beliau berkata pengintegrasian kedua-dua sistem tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat dengan kerjasama kementerian dan JPA sebelum diperluaskan di 10,091 sekolah seluruh negara, menjelang akhir tahun ini.

Mengulas lanjut, Madinah berkata bilangan maklumat yang perlu dimasukkan guru akan berkurangan daripada 130 maklumat kepada kira-kira 60 maklumat.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Zabidi berkata Program Pemantapan Profesion Guru bertujuan memartabatkan profesion guru supaya golongan itu memberi fokus sepenuhnya kepada tugas pengajaran dan pembelajaran tanpa perlu melaksanakan tugas pentadbiran akan diperluas secara berperingkat di enam zon melibatkan Sabah, Sarawak, Utara, Selatan, Timur dan Barat.

"Pada masa ini, program ini sedang dilaksanakan di negeri Melaka sebagai negeri perintis melibatkan 313 sekolah yang telah bermula sejak Januari lepas," katanya.

Katanya kajian rintis itu memberi fokus kepada beban tugas guru khas meliputi guru penyelaras bestari, guru data serta guru perpustakaan dan media. - BERNAMA


Renungan Jumaat : Merebut Kelebihan Bulan Muharram



ALLAH SWT berfirman (maksudnya), “Sesungguhnya bilangan bulan di sisi ALLAH adalah 12 bulan sebagaimana ketetapan ALLAH ketika DIA menciptakan langit dan bumi. Di antaranya ada empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu.” (Surah at-Taubah, 9: 36)

Nabi SAW bersabda, “Waktu itu telah berputar sebagaimana biasa sejak ALLAH menciptakan langit dan bumi. Satu tahun ada 12 bulan, di antaranya empat bulan haram. tiga bulan berturut-turut, iaitu Zulkaedah, Zulhijah, Muharam, dan satu lagi ialah Rejab yang terletak di antara Jamadilakhir dan Syaaban.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Muharam ialah bulan yang mulia dan ia memiliki keutamaannya tersendiri. Nabi SAW menyatakan Muharam ialah bulan ALLAH, dan puasa yang paling afdal setelah Ramadan ialah puasa dalam Muharam.


Kata Nabi SAW, “Puasa yang paling afdal setelah puasa Ramadan ialah puasa di bulan ALLAH, al-Muharam. Solat yang paling afdal setelah solat yang difardukan adalah solat pada malam hari.” (Hadis Riwayat Muslim)

Dalil-dalil ini semuanya menunjukkan kemuliaan di bulan haram, terutamanya Muharam. Selain itu, di dalamnya turut ditegaskan lagi akan larangan menganiaya diri. Ini menunjukkan perbuatan maksiat di bulan haram lebih diharamkan lagi berbanding bulan-bulan selainnya. Sebaliknya, amalan soleh pula akan diberikan ganjaran yang besar.


Di antara hikmah dijadikan empat bulan haram di mana tiga bulan secara berturut-turut dan satu bulan lagi dengan menyendiri adalah bagi memberi ketenangan kepada umat Islam yang melaksanakan ibadah haji. Iaitu Zulkaedah merupakan satu bulan pertama sebelum bermulanya bulan haji. 

Seterusnya bulan Zulhijah di mana umat Islam disibukkan dengan ibadah haji dan melaksanakan manasiknya. Kemudian dijadikan bulan yang seterusnya juga sebagai bulan haram, iaitu Muharam supaya pada bulan tersebut mereka dapat kembali ke wilayah atau negara mereka masing-masing yang saling berjauhan secara aman.

Manakala Rejab yang berada di pertengahan tahun pula adalah supaya pada bulan tersebut umat Islam di sekitar Jazirah Arab dapat mengunjungi Kaabah dan melaksanakan umrah dengan aman. (Lihat: Tafsir Ibnu Katsir, 4/148)

Ini adalah kerana dalam bulan-bulan haram, umat Islam diharamkan untuk berperang melainkan sekiranya umat Islam lebih dahulu diserang atau diperangi. Pada ketika umat Islam lebih dahulu diserang, mereka dibolehkan untuk mempertahankan diri serta membuat serangan balas.

Di antara amalan sunnah yang disebutkan secara khusus pada Muharam adalah berpuasa sunnah.
Sebagaimana disebutkan dalam hadis di atas, puasa yang paling afdal setelah puasa Ramadan adalah puasa Muharam. Maksud puasa dalam hadis tersebut adalah puasa sunnah secara umum. Memperbanyakkan amalan puasa sunnah dalam bulan ini (Muharam) terutamanya pada hari ke-10 Muharam adalah termasuk sunnah-sunnah yang sangat dianjurkan.

‘Abdullah B ‘Abbas r.a berkata, “Nabi tiba di Madinah dan beliau mendapati orang-orang Yahudi sedang berpuasa ‘Asyura (hari ke-10 Muharam).” Nabi bertanya, “Puasa apakah ini?”
Orang-orang menjawab, “Hari ini adalah hari yang baik, iaitu hari di mana ALLAH telah menyelamatkan bani Israel daripada kejahatan musuhnya, maka Musa pun berpuasa sebagai tanda syukur beliau kepada ALLAH dan kami pun turut serta berpuasa.

” Nabi SAW pun berkata, “Kami lebih berhak terhadap Musa daripada kamu semua.” Akhirnya Nabi pun berpuasa dan memerintahkan umat Islam untuk berpuasa.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Sejarah penetapan puasa ‘Asyura mengalami beberapa fasa. Pada awalnya, ketika di Makkah Nabi berpuasa ‘Asyura tanpa memerintah orang lain untuk berpuasa. Kemudian apabila sampai di Madinah, beliau tetap terus berpuasa di hari Asyura dan memerintahkan umat Islam agar turut berpuasa
.
Tetapi setelah perintah kewajiban berpuasa Ramadan turun, puasa pada hari Asyura menjadi sunnah dan tidak diwajibkan. Rasulullah mengatakan, “Sesiapa yang hendak berpuasa (pada hari Asyura), silakan berpuasa, bagi yang tidak berpuasa, juga tidak mengapa.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Kemudian ketika di penghujung hayatnya, Rasulullah SAW bertekad untuk tidak hanya berpuasa pada hari Asyura (hari ke-10) Muharam, tetapi juga bertekad untuk puasa pada hari yang ke-9.

Ibnu ‘Abbas r.a berkata, “Ketika Nabi sedang berpuasa pada hari Asyura dan memerintahkan para sahabatnya untuk turut berpuasa, para sahabat berkata, “Wahai Rasulullah, hari Asyura adalah hari yang diagungkan oleh Yahudi dan Nashara.”

Maka Rasulullah SAW berkata, “Jika begitu, tahun depan insya-ALLAH kita puasa sekali pada hari yang ke sembilannya.” Ibnu ‘Abbas berkata, “Tetapi belum sempat sampai tahun depan, beliau telah wafat terlebih dahulu.” (Hadis Riwayat Muslim)

Dari hadis ini, umat Islam tidak hanya disunnahkan agar berpuasa di hari ke-10 Muharam atau dikenali sebagai hari Asyura, tetapi juga turut disunnahkan agar berpuasa pada hari ke sembilan Muharam.
Rasulullah mengisyaratkan tentang kelebihan puasa ‘Asyura sebagaimana sabdanya, “Adapun puasa di hari Asyura, aku memohon kepada ALLAH agar ia dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu.” (Hadis Riwayat Muslim)