Hujung minggu
ini @ 30 September 2012 adalah tarikh tutup permohonan Pengisian DGA32 (KUP) ke
DGA32 Hakiki atau ringkasnya kita panggil iGPK32 akan tamat. Iklan ini
bertujuan memilih, menapis dan menyaring permohonan mereka yang berada pada
gred DGA32 (KUP) dan berminat mengisi
jawatan penyelia di PPD, JPN dan sebagai Guru Penolong Kanan di sekolah pada
tahun 2013. Ini adalah sesi siri ketiga dilaksanakan apabila proses perlantikan
mereka ini diletak di bawah bidang kuasa Pengarah Pelajaran negeri.
Dua siri
pemilihan yang lepas kita telah melaksanakan prosidur proses pemilihan yang
ketat berasaskan garis panduan yang disediakan oleh KPM namun kita terlepas
"segelintir" kumpulan pengurusan sekolah yang tidak mencapai “piawaian” sebagai
Guru Penolong Kanan yang sepatutnya. Piawaian yang kita harapkan adalah seorang GPK
yang berkemahiran, berpengetahuan, berintegriti tinggi, hormat ketua, hormat
rakan sejawat,mempunyai visi dan misi kecemerlangan organisasi, pemimpin yang
boleh membantu transform organisasi ke arah yang lebih gemilang dan terbilang.
Malangnya
kita menerima maklumbalas pengurusan sekolah dan warga sekolah ada segelintir
yang melepasi kelayakan yang dianugerahkan amanah sebagai GPK sangat
mendukacitakan. Bukan sahaja tidak cekap mengurus, tidak cekap berkomunikasi
tapi bersikap negative,malas mempertingkatkan pengetahuan dan ilmu tetapi juga
pencetus hura-hara dalam organisasi, bermulut longkang, rendah degree
integritinya dan menyusahkan ramai orang. Kadang-kadang mengunakan nama pegawai
di jabatan atau PPD kononnya untuk menghalalkan cara dan tindakan semborono.
Justru itulah timbul tuduhan kalangan guru-guru kononnya GPK ini kroni si anu dan si anu seperti
terkeluar dalam Bualbicara USR. Walhal pegawai-pegawai yang diguna nama mereka
tidak tahu menahupun. Mereka bukan dilantik atau proksi pegawai berkenaan
tetapi diluluskan panel peringkat PPD dan JPN.
Memilih GPK
adalah memilih Guru Besar untuk masa depan. Justru itu kesilapan memilih GPK
akan menyebabkan kesilapan melantik Guru Besar dan bakal menghancurkan reputasi pendidikan di sekolah.
Kita mungkin boleh membuat analogi sendiri bahawa segelintir Guru Besar yang
bermasalah sekarang adalah lahir daripada GPK masa lalu. Kesilapan besar lagi
Guru Besar masa itu ialah menilai prestasi GPK secara sembarangan bukan
secara holistik. Terdapat kecenderungan di kalangan sebilangan kita Guru Besar "mengeluarkan" GPK bermasalah dengan memberi prestasi yang baik. Lantas mereka mungkin tersenarai dalam calon tawaran sebagai Guru Besar. Maka berlakulah “tragedi” berpanjangan ini.
Justru itu
kita mohon bagi pemilihan siri ketiga ini, agar Guru Besar
membuat penelitian yang betul dengan betul permohonan calon mana yang perlu
diketengahkan. Tilik taakul secara keseluruhan aspek personaliti calon dari
segi perwatakan, sahsiah, kemahiran, pengetahuan, pengalaman supaya calon
berkenaan dapat memenuhi kreteria sebenar sebagai pemimpin sekolah.
Tanggungjawab Guru Besar di sini amat penting kerana kita adalah penyokong
pertama. Pertama akan menentukan kedua, ketiga dan seterusnya. Kita bukan sekadar hendak memilih calon GPK tetapi kita hendak menentukan juga calon Guru Besar pada masa depan yang bakal mengambil alih tempat kita. Kita tentunya tidak rela mewariskan apa yang kita bina dengan jerih-perih kepada mereka yang tidak berupaya dan lemah.
Kita juga
mengharapkan pasukan panel PPD akan membuat penelitian yang lebih ketat untuk
menyaring dan menapis calon sebelum dikemukakan kepada panel negeri. Kita tidak
boleh lagi memandang mudah implikasi jangka panjang yang bakal menimpa akibat
kesilapan kecil yang kita buat. Kita kadang-kadang merasa muak dengan karenah
yang ditimbulkan sedangkan sesuatu perkara itu amat remeh-temeh.
Kita juga
akan mencadangkan kepada Bahagian Pengurusan Sumber Manusia,KPM supaya bukan sahaja
kebenaran untuk melantik dan meluluskan permohonan perletakan jawatan GPK
sekarang terletak di bawah bidang kuasa Pengarah Pelajaran negeri tetapi juga menambah
satu lagi kuasa kepada Pengarah Pelajaran Negeri menurunkan
pangkat GPK kepada Guru Penolong kepada GPK-GPK yang tidak perform dan
bermasalah. Selain kita boleh menggunakan kaedah percubaan selama enam bulan
atau setahun. Selain memperkenalkan program mentoring berterusan. Kita yakin dengan cara-cara ini tidak ada lagi segelintir GPK ini
menganggap jawatan GPK itu lesen untuk bermegah, berseronok membuli orang lain
dan sebagainya tetapi sebagai satu amanah besar yang selalu diaudit
kemampuannya.
Sementara
kepada majoriti sahabat Guru Penolong Kanan yang sentiasa positif dan proaktif gunakan
platform GPK anda sebagai peluang untuk mempelajari teknik dan kaedah mengurus
sekolah dengan berkesan. Jika suatu masa nanti anda diizinkan Allah menjawat
jawatan Guru Besar, anda akan berada di kerusi Guru Besar dengan penuh
penghormatan kerana ada sememangnya layak untuk mendudukinya.