Friday, September 14, 2012

Renungan Jumaat : Ujian Allah : Sejauh Mana Keredhaan Kita?


Ujian Allah iaitu suatu perkara yang telah ditentukan oleh Allah SWT kepada sesiapa saja yang selagi dinamakan manusia (terutama orang-orang yang beriman kepada Allah), maka dia tidak akan sunyi dari dikenakan ujian, cabaran dan rintangan dari Allah SWT. Dalam kehidupan seharian ini, ujian Allah ini bergantung sejauh mana kecintaan kita terhadap yang Maha Pencipta.
Ada orang di uji dengan penyakit, ada yang terpaksa memelihara anak-anak yang cacat, ada yang suami penagih dadah, isteri yang ditinggalkan kerana perempuan lain, panas baran yang menyiksa isteri, malah ujian rumahtangga ini yang paling common sekali. Ada yang masih keci sudah diuji, dimana ibu bapa meninggal dunia, dirogol keluarga sendiri, diseksa ibu tiri dan macam-macam lagi di luar sana.
Andai dirimu di uji dengan kesusahan hidup, tetapkan hatimu dan bersangka baiklah (husnu dzon) pada Allah SWT. Itu tandanya Allah rindu untuk mendengar luahan bicaramu. Allah amat suka mendengar bisikan-bisikan hati yang rindu kasih sayangNya.
Sedang dirimu di uji, Allah sebenarnya ingin memeliharamu dari sejuta keburukan. Ingatlah orang-orang yang dikasihi Allah SWT. Setiap kesusahan itu akan diakhiri dengan kebaikan dan kemuliaan. Maka hendaklah engkau lapangkan dadamu dan bersyukur penuh redha agar kebaikan dunia akhirat itu menjadi penghuni hatimu. Moga kedukaan itu berganti dengan ketenangan, redha dan ikhlas dalam setiap apa yang berlaku lantaran husno dzonnya engkau pada ALLAH SWT.
Ayat 2 Surah al-Ankabut, yang bermaksud,
"Adakah manusia itu mengira, bahwa Kami akan membiarkan sahaja mereka berkata: Kami telah beriman, sedangkan mereka belum diuji oleh Allah swt."
Suatu peristiwa bilamana Saad bin Abi Waqash bertanya kepada Nabi saw, "Ya Rasulullah, siapakah manusia yang paling teruk kena uji?"...Lalu jawab Rasulullah saw, "Yang paling teruk kena uji ialah para nabi dan para rasul, kemudiannya golongan yang mengikut para nabi selepas zaman nabi (tabiin) dan kemudiannya golongan selepas tabiin yang mengikut para tabiin."
Allah s.w.t. berfirman "Tiadalah terjadi sesuatu bencana itu melainkan dengan kehendak Allah, dan siapa yang percaya kepada Allah nescaya dipimpin Allah hatinya" (Surah At-Taghabun:11)
Allah s.w.t. berfirman "Orang-orang yang beriman itu akan menjadi tenteram hati mereka. Ingatlah dengan mengingati Allah itu hati akan menjadi tenteram" (Surah Ar-Rad:28)
Oleh itu dengan mengenal diri, seseorang akan tahu dimana kelemahan dan kelebihan yang ada pada dirinya. Dia juga akan tahu, bagaimana untuk memperbaiki dan meningkatkan mutu ibadahnya kepada Allah SWT. Nabi SAW pernah berkata "Sampaikan sesuatu, walaupun hanya dengan satu ayat"
 Sumber : - iluvislam.com

Thursday, September 13, 2012

Salah pelajar, bukan sekolah



 KUALA LUMPUR - Siasatan Jabatan Pelajaran Selangor mendapati dakwaan seorang pelajar Sekolah Kebangsaan Taman Bunga Raya (1) Bukit Beruntung, Rawang bahawa dia dilarang daripada menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kelmarin sebagai tidak berasas.


Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd. Ghafar Mahmud berkata, apa yang sebaliknya berlaku ialah pelajar itu, Muhammad Faiz Mahadzir tidak hadir ke sekolah pada hari pertama peperiksaan itu kelmarin.

Katanya, pelajar itu juga tidak hadir ke sekolah untuk beberapa hari sebelum itu.
"Pihak sekolah tidak menghalang pelajar itu menduduki peperiksaan.

"Rekod sekolah menunjukkan dia tidak hadir pada hari pertama peperiksaan walaupun Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SUP) telah memaklumkan kepada pelajar untuk hadir," katanya kepada pemberita selepas mengiringi Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meninjau perjalanan peperiksaan UPSR di Sekolah Kebangsaan Sultan Hisamuddin Alam Shah di sini semalam.

Kosmo! semalam melaporkan kenyataan bapa pelajar itu, Mahadzir Mokhtar, 42, yang mendakwa sewaktu Muhammad Faiz datang ke sekolah pada Isnin lalu, guru besar sekolah tersebut telah meminta anaknya itu supaya tidak menduduki UPSR atas alasan dikhuatiri boleh menjejaskan reputasi sekolah berkenaan.

Muhammad Faiz kemudian dikatakan merajuk sehingga tidak mahu ke sekolah bagi menduduki UPSR pada Selasa lalu walaupun selepas puas dipujuk oleh bapanya.

Mahadzir kemudian membuat laporan di Balai Polis Bukit Sentosa serta Pejabat Pelajaran daerah Hulu Selangor.

Abd. Ghafar menjelaskan, pihaknya setakat ini menerima sembilan aduan berhubung dakwaan berlaku penyelewengan berkaitan UPSR, namun siasatan mendapati kesemuanya tidak berasas.

Sumber : Kosmo

Tuesday, September 11, 2012

Najib Lancar Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia


KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang menggariskan 11 anjakan strategik dan operasi untuk mengubah sistem pendidikan negara.

Laporan awal pelan itu yang memaparkan visi sistem pendidikan dan pelajar yang Malaysia perlu dan berhak miliki, memperincikan anjakan yang diperlukan untuk mencapai objektif tersebut.

Terdahulu laporan berkenaan dibentang Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini.

Menurut dokumen itu, Kementerian Pelajaran berharap usaha tersebut akan memperjelaskan kepada masyarakat usaha mengubah sistem pendidikan negara dan akan mendapatkan maklum balas daripada komuniti mengenai laporan awal berkenaan sebelum pelan dimuktamadkan pada Disember ini.

Proses transformasi sistem pendidikan akan dilaksana dalam tempoh 13 tahun dengan Gelombang 1 (2012-2015) menumpukan kepada usaha memperbaiki sistem dengan memberi sokongan guru dan tumpuan kepada kemahiran asas; Gelombang 2 (2016-2020) pula mempercepatkan penambahbaikan sistem; dan Gelombang 3 (2021-2025) ke arah kecemerlangan menerusi operasi yang lebih fleksibel.

Pelan itu menyasarkan hasil pada lima aspek iaitu akses, kualiti, kesaksamaan, perpaduan dan kecekapan.

Pelan turut menyasarkan pembangunan pelajar yang memiliki enam sifat utama untuk membolehkan mereka bersaing di peringkat global iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran diwbahasa, beretika dan beragama, serta beridentiti kebangsaan.

Sebelas anjakan yang digariskan kementerian ialah:

1. Menyediakan akses sama rata untuk pendidikan berkualiti dengan standard antarabangsa;

2. Memastikan setiap pelajar fasih dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris;

3. Membangunkan rakyat Malaysia yang dipacu nilai murni;

4. Menjadikan perguruan sebagai profesion pilihan;

5. Memastikan pemimpin sekolah berprestasi tinggi di setiap sekolah;

6. Memperkasakan Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah untuk menyelesaikan isu mengikut keperluan;

7. Memanfaatkan teknologi komunikasi dan maklumat untuk meningkatkan kualiti pembelajaran di seluruh Malaysia;

8. Menambah baik keupayaan penyampaian dan kapasiti kementerian;

9. Bekerjasama dengan ibu bapa, masyarakat dan sektor swasta;

10. Memaksimumkan kemenjadian pelajar bagi setiap ringgit yang dibelanja;

11. Meningkatkan ketelusan untuk kebertanggungjawaban umum.

Laporan itu juga menyatakan Kementerian Pelajaran melancarkan semakan menyeluruh sistem pendidikan pada Oktober 2011 bagi membangunkan Pelan Pembangunan Pendidikan baharu tersebut.

Menurut laporan itu, keputusan tersebut dibuat dalam konteks peningkatan standard pendidikan antarabangsa, aspirasi kerajaan untuk mempersiapkan kanak-kanak di Malaysia dalam menghadapi abad ke-21 serta harapan menggunung masyarakat serta ibu bapa terhadap dasar pendidikan.

Dalam tempoh setahun, lebih 50,000 pegawai kementerian, guru, pengetua, ibu bapa, pelajar dan orang ramai dilibatkan dalam pelbagai bentuk perbincangan.

Kementerian juga melantik panel 12 pakar tempatan dan sebuah panel empat pakar antarabangsa bagi memberi input mengenai hasil semakan.

-- BERNAMA


Tahniah Timbalan PPD Marang yang baru..

Tuan Haji Mohamad Nawawi bin Rani menerima surat pelantikan sebagai
Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Marang yang baru daripada
Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu semalam.

Tahniah daripada warga Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu  kepada Tuan Haji Mohamad Nawawi bin Rani, Ketua Unit Perhubungan dan Tugas Khas, Sektor Pengurusan Sekolah yang telah dilantik sebagai Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah, Pejabat Pelajaran Daerah Marang, Terengganu. Kami di Sektor Pengurusan Sekolah khususnya kehilangan seorang ketua dan pegawai yang dedikasi.

Kita berharap dan berdoa semoga beliau dapat memberi sumbangan berkesan kepada pengurusan dan kecemerlangan pendidikan daerah Marang khususnya dan Terengganu amnya. Kita amat yakin dengan pengalaman luas beliau sebagai Guru Penolong Kanan, Pegawai di Unit Sekolah Menengah dan Ketua Unit Perhubungan dan Tugas Khas segala cabaran mampu ditangani dengan cekap dan bijaksana. Tahniah tuan !


Selamat Berjuang Anak-Anak Tahun 6

Hari ini lebih kurang 22,000 ribu orang calon UPSR dari SK dan SJKC Terengganu mula menduduki UPSR 2012 bagi meneruskan legasi kecemerlangan UPSR untuk tahun kedua belas. Daripada jumlah itu 171 orang calon adalah dari SK Teluk Ketapang, sekolah angkat saya.

Pagi ini saya dan Penolong Pengarah Guru Rendah berkesempatan meninjau persediaan pengurusan UPSR di SK Teluk Ketapang. Alhamdulillah segalanya berjalan dengan sempurna kemas dan teratur. SK Teluk Ketapang terdiri dua pusat dengan 12 orang pegawas UPSR. Jam tujuh pagi semua calon UPSR berkumpul di makmal untuk bacaan yasin, zikir kemudiaan diikuti doa sebelum berbaris memasuki bilik-bilik peperiksaan.

Seorang guru, Cikgu Mohd Yusof telah dilantik sebagai Pegawai Pehubungan UPSR bagi mengurus persediaan calon sepanjang ujian ini. YDP Pertua PIBG turut sama hadir memberi sokongan dan lebih kurang 30 orang ibubapa secara sukarela menunggu anak-anak sambil membaca yasin di surau sekolah.

Mengikut Guru Besar dan GPK 1, SK Teluk Ketapang seramai tiga belas orang guru SK Teluk Ketapang terlibat menjadi Pengawas Peperiksaan termasuk GPK Kokurikulum. Bagaimanapun urusan persekolahan berjalan lancar di mana murid-murid yang tidak terlibat dengan UPSR disediakan ujian OTI. Sementara makan-minun calon UPSR seramai 171 orang diurus dan disediakan secara pakej berasingan selama tiga hari ini supaya masa mereka tidak terganggu. Mereka juga tidak perlu berebut-rebut dengan murid-murid lain.

Tahniah kepada Pengurusan Sekolah, para guru, YDP PIBG, ibubapa di atas muafakat, kesatuan, keikhlasan dan semangat cintakan kejayaan anak-anak. Mudah-mudahan kerja-kerja dan usaha-usaha yang ikhlas ini diberi ganjaran dengan kejayaan terbilang kepada calon UPSR SK Teluk Ketapang khasnya dan seluruh calon UPSR Terengganu amnya. Insyaallah.,

Selamat menduduki UPSR...


Sunday, September 9, 2012

Sentuhan Kasih Terakhir Sebelum UPSR

KUALA TERENGGANU - Pagi tadi saya, Ketua Unit Rendah dan Ketua Unit PraSekolah sempat bertemu guru-guru Tahun 6 dan murid-murid Tahun 6 di SK Sultan Sulaiman 2 dan SK Losong, Kuala Terengganu dalam "Program Sentuhan Kasih Sebelum UPSR". Kami kira hari ini banyak sekolah mengambil peluang kesempatan mengadakan pelbagai sentuhan kasih bagi memperkukuhkan keyakinan murid-murid mereka.

Kami ingin merakamkan setinggi tahniah kepada pengurusan sekolah, para guru Tahun 6 terutamanya dan murid-murid Tahun 6 di SK Sultan Sulaiman 2 dan SK Losong. Mereka semua telah cukup bersedia untuk menghadapi UPSR pada Selasa nanti. Tentunya para guru dan murid Tahun 6, SK Sultan Sulaiman 2 ingin membuktikan bahawa mereka juga mampu menyaingi jiran mereka SK Sultan Sulaiman 1 yang bertaraf Sekolah Berprestasi Tinggi kerana mereka juga memiliki apa yang SK Sultan Sulaiman 1 miliki. Para guru dan murid SK Sultan Sulaiman 2 harus menyedari "bahawa apa sahaja kejayaan yang luarbiasa yang dicapai bukan dihasilkan oleh manusia-manusia luar biasa tetapi oleh manusia-manusia biasa yang berfikir, berusaha, bersemangat dan beriltizam secara luarbiasa"

Kita ingin melihat SK Sultan Sulaiman 2, SK Losong dan sekolah-sekolah primier di Kuala Terengganu  bukan lagi seperti hari ini sebagai sekolah biasa-biasa tetapi sekolah terhebat luarbiasa dalam semua aspek pencapaian. Kita yakin itu bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dilakukan. ....

Kami menerima satu email dari seorang Guru Bimbingan untuk dikongsi dengan anak-anak kita sebagai tips mudah mengurangkan stress atau tekanan :


Tip mudah hilangkan stress atau tekanan untuk calon-calon UPSR 2012

Setelah sekian lama berjuang dalam pelajaran, tibalah masanya murid tahun enam akan menduduki peperiskasaan UPSR pada 11-13 Sepetember 2012. Saya terpanggil untuk menitipkan beberapa coretan petua untuk menjadi rujukkan murid-murid bila berhadapan dengan keadaan panik dan tertekan.

Pertamanya kita harus mengesan tanda-tanda panik atau tekanan yang berlaku. Tanda-tanda tekanan yang sering berlaku kepada calon UPSR adalah seperti berikut:
  • ·         bimbang… perubahan tingkahlaku
  • ·        rungsing….tiada selera atau terlalu berselera makan
  • ·         tidak boleh tidur atau semakin kuat tidur
  • ·         murung, sensitif, marah, sedih dan resah gelisah

Bagaimana caranya untuk menghilangkan rasa tekanan ini….

  • 1.     Semestinya kita sebagai umat islam harus memperbanyakkan bacaan al-Quran dan sembahyang sunat selain sembahyang lima waktu.

  • 2.    Murid-murid boleh mengira dangan perlahan atau mengira dalam hati. kira (bilang 1,2,3,4,5,6,7,8,9,10) sehingga murid-murid berasa tenang.

  • 3.    Semasa berada di rumah atau sebelum turun ke dewan peperiksaan murid-murid boleh menyiram pokok bunga dengan mengunakan getah paip. Hujung getah paip diletakkan dimuka hadapan ibu jari dan pancurkan air tersebut kerana di sekitar muka depan ibu jari ada urat-urat yang boleh menenangkan jiwa seseorang.

  • 4.    Ambil sehelai kertas dan sebatang pen. Buat bulatan diatas kertas tersebut dengan mengunakan pen sehingga murid-murid berasa tenang.

Diharapkan dengan sedikit tips itu dapat meredakan tekanan yang dihadapi oleh murid-murid clon UPSR 2012. Sekian wasalam.

Wan Abdul Razzak Wan Yaacob
Guru Bimbingan Dan Kaunseling(Kaunselor)
SK Ceneh Baru, Kemaman
0129461063