Tuesday, June 30, 2015

Menghayati tagline "Memperkasakan Transformasi Pendidikan"

Kita kira semua kepimpinan sekolah telah dengar dan faham apa yang dimaksudkan dengan tagline "Memperkasakan Transformasi Pendidikan" oleh Tuan Haji Shafruddin bin Haji Ali Hussain, Pengarah Pendidikan Terengganu yang baru. Beberapa siri majlis perjumpaan dengan Pengetua dan Guru Besar Terengganu telah diadakan terutama di BTPN beberapa minggu yang lalu.

Bahkan saya kira tagline itu sudah begitu familiar di kalangan warga pendidikan dan masyarakat terutama yang memiliki facebook dan dihubungkan dengan facebook pengarah. Tagline itu selalu ditulis beliau di akhir setiap tulisan beliau. Begitu juga surat-surat rasmi jabatan telah menggunakan tagline berkenaan. Dalam perhimpunan Jabatan pada bulan Mei iaitu 30 Mei 2015 tagline ini telah dijadikan tema. Pengarah dalam ucapannya telah menyentuh makna tagline tersebut dan boleh diringkaskan seperti berikut:
  • Memperkasakan Transformasi Pendidikan - Pengertian.(Memperkasa : memperkukuh,memantap. Transformasi : Perubahan, anjakan. Pendidikan : Proses membangun insan dan pengurusan pendidikan.) Selari dengan prinsip ke lapan TTB (Transformasi Terengganu Baharu) dan PPPM.(Plan Perancangan Pendidikan Malaysia)
  • Transformasi PdP (Kurikulum)
  • Transformasi Kemenjadian Murid
  • Transformasi Pengetua dan Guru Besar
  • Transformasi Sekolah
  • Transformasi Guru
  • Transformasi JPN
    • Sikap - think of positive
    • Keterampilan termasuk dalaman
    • Patuh dan taat kpd ketua
    • Ikhlas
    • Kerja berpasukan
    • Hubungan antara kita
    • Kreativiti dan inovasi dalam kerja buat kita
Ini untuk menunjukkan betapa yakin, percaya dan seriusnya Pengarah Pendidikan mahu menjayakan tagline berkenaan dan tagline berkenaan difahami,dihayati dan dilaksanakan di semua peringkat pengurusan di peringkat tertinggi jabatan hingga ke sekolah. Tidak mungkin transformasi atau kemenjadian perubahan itu berlaku jika hanya pengarah sahaja yang mahu tanpa sokongan padu khususnya pegawai jabatan dan Pengetua dan Guru Besar di peringkat kepimpinan sekolah.

Soalnya sejauh mana kita bersegera dan mengamalkan budaya urgensi untuk melaksanakan transformasi di peringkat wilayah kekuasaan kita di sekolah. Sejauh mana sistem penyampaian kita di sekolah sampai ke sasarannya. Saya bertanya demikian kerana dalam siri jelajah pengarah bertemu GPK Pentadbiran ada gambar yang saya lihat penampilan yang agak mendukacitakan tanpa kot dan memakai tie.Budaya molek yang diwarisi dari zaman Dato' Cg Ab. Rahim Tahir mula sedikit longgar dan mahu diperkasakan balik. Apakah mesej memperkasakan transformasi pendidikan tidak sampai kepada GPK dan guru di sekolah hingga kita sebagai pemimpin tidak terasa canggung membiarkan  orang kuat kita bertemu Pengarah Pendidikan dalam situasi itu.

Apa yang saya sebut adalah satu menifestasi kecil bahawa kita masih belum mampu menghayati dan memahami tagline bermakna ini. Justru adalah wajar kepimpinan sekolah dan juga kepimpinan di ppd dan jabatan sentiasa mengingat dan mengkelaraikan makna tagline berkenaan agar semua orang menghayati dan bertindak melakukan transformasi yang benar-benar memberi impak kepada kemajuan dalam semua aspek pendidikan di negeri kita Terengganu Anjung Ilmu.

Pesan orang tua-tua "Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat". "Muafakat membawa berkat". Oleh itu marilah sama-sama kita bermuafakat menjayakan tagline "Memperkasakan Transformasi Pendidikan". Tagline itu tidak ada makna walau disebut beribu kali dan digantung di merata tempat jika kita sendiri tidak bertindak melaksanakan transformasi itu.

 TRANSFORMASI HELANG

Usia yang menyisir ke gerbang senja
kian berat mengheret beban takdir
melingkungi peribadi bagai gelung api
bisa membakar hangus hidup
yang semakin sepi dan redup

Paruh semakin tumpul mengoyak rezeki
kuku menjelir menyisih cengkam besi
bulu semakin tebal menyalut diri
kian sukar dan berat mengekor desir angin
yang membawa rezeki kian jauh pergi
pintu-pintu malam diketuk maut
yang silih ganti bertandang paut

Hidup adalah perhitungan pilihan
bukan janji hanya sekadar menunggu mati
atau menanggung jerih pedih transformasi
untuk hidup seribu tahun lagi

Patahkan paruh yang melingkar
rentapkan kuku yang menggulung
biar ampuh cengkam menanggung
cabutkan sayap dan bulu berat
nanti ke langit tinggi bisa mengepak

Biarkan pedih luka sengsara seketika
jika tahu kemudian menawan dunia
gagah mudah memangkas angin
menjadi raja di tanah sumpah leluhur
dari menjadi raja ilusi lapar kebulur

Demikian pengorbanan perjuangan
kelangsungan berhemah hidup bermaruah
di tanah tumpah darah yang dimakan sumpah
dengan keberanian diri bertransformasi
melihat sinar matahari di ufuk redang
dengan teliti dari mata sang helang.

Lara MN​

0 ulasan:

Post a Comment