Thursday, July 2, 2015

Terengganu Bantu Anak Orang Asli Sambung Pelajaran Di Madrasah Moden



HULU TERENGGANU, 1 Julai (Bernama) -- Satu cadangan akan dikemukakan kepada kerajaan Terengganu bagi memberi kelonggaran kepada anak Orang Asli dari Kampung Sungai Berua di sini, untuk memasuki Madrasah Moden di Batu Rakit dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan Islam mereka.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong Datuk Rozi Mamat berkata beliau akan memaklumkan cadangan itu kepada Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains Teknologi dan Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib untuk perbincangan lebih terperinci.

"Kerajaan sudah berjaya menyediakan kehidupan yang agak selesa kepada mereka setakat ini dengan pelbagai kemudahan infrastruktur, sama seperti masyarakat di bandar dan kampung lain.

"Cuma, mereka ini agak ketinggalan dalam bidang pendidikan dan inilah yang perlu kita beri penekanan agar mereka mampu terus bersaing dan berdepan pelbagai cabaran mendatang," katanya kepada Bernama hari ini.

Pada masa ini, terdapat 106 keluarga menetap di perkampungan itu dan tiga pelajar anak Orang Asli telahpun memasuki Madrasah Moden itu, namun hanya seorang yang masih bertahan untuk meneruskan persekolahan di situ.

Rozi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri Terengganu berkata beliau akan cuba mendapatkan kuota tambahan untuk anak Orang Asli memasuki Madrasah Moden itu selepas ini, dengan beberapa kelonggaran diberi kepada mereka.

"Namun, sudah pasti kita akan tawarkan kepada mereka yang betul-betul berminat dan mampu memberi komitmen tinggi sepanjang berada di sekolah tersebut.

"Pada masa sama, sokongan dari segi moral dan motivasi akan dipertingkatkan agar mereka sedar kepentingan menguasai pelbagai cabang ilmu Islam agar mampu menjadi pendakwah di masa depan," katanya.

Idea penubuhan Madrasah Moden yang mula beroperasi sejak April lepas itu, dicetuskan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman hasil kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu dan Yayasan Terengganu.

-- BERNAMA


0 ulasan:

Post a Comment