Tuesday, June 30, 2015

Menghayati tagline "Memperkasakan Transformasi Pendidikan"

Kita kira semua kepimpinan sekolah telah dengar dan faham apa yang dimaksudkan dengan tagline "Memperkasakan Transformasi Pendidikan" oleh Tuan Haji Shafruddin bin Haji Ali Hussain, Pengarah Pendidikan Terengganu yang baru. Beberapa siri majlis perjumpaan dengan Pengetua dan Guru Besar Terengganu telah diadakan terutama di BTPN beberapa minggu yang lalu.

Bahkan saya kira tagline itu sudah begitu familiar di kalangan warga pendidikan dan masyarakat terutama yang memiliki facebook dan dihubungkan dengan facebook pengarah. Tagline itu selalu ditulis beliau di akhir setiap tulisan beliau. Begitu juga surat-surat rasmi jabatan telah menggunakan tagline berkenaan. Dalam perhimpunan Jabatan pada bulan Mei iaitu 30 Mei 2015 tagline ini telah dijadikan tema. Pengarah dalam ucapannya telah menyentuh makna tagline tersebut dan boleh diringkaskan seperti berikut:
  • Memperkasakan Transformasi Pendidikan - Pengertian.(Memperkasa : memperkukuh,memantap. Transformasi : Perubahan, anjakan. Pendidikan : Proses membangun insan dan pengurusan pendidikan.) Selari dengan prinsip ke lapan TTB (Transformasi Terengganu Baharu) dan PPPM.(Plan Perancangan Pendidikan Malaysia)
  • Transformasi PdP (Kurikulum)
  • Transformasi Kemenjadian Murid
  • Transformasi Pengetua dan Guru Besar
  • Transformasi Sekolah
  • Transformasi Guru
  • Transformasi JPN
    • Sikap - think of positive
    • Keterampilan termasuk dalaman
    • Patuh dan taat kpd ketua
    • Ikhlas
    • Kerja berpasukan
    • Hubungan antara kita
    • Kreativiti dan inovasi dalam kerja buat kita
Ini untuk menunjukkan betapa yakin, percaya dan seriusnya Pengarah Pendidikan mahu menjayakan tagline berkenaan dan tagline berkenaan difahami,dihayati dan dilaksanakan di semua peringkat pengurusan di peringkat tertinggi jabatan hingga ke sekolah. Tidak mungkin transformasi atau kemenjadian perubahan itu berlaku jika hanya pengarah sahaja yang mahu tanpa sokongan padu khususnya pegawai jabatan dan Pengetua dan Guru Besar di peringkat kepimpinan sekolah.

Soalnya sejauh mana kita bersegera dan mengamalkan budaya urgensi untuk melaksanakan transformasi di peringkat wilayah kekuasaan kita di sekolah. Sejauh mana sistem penyampaian kita di sekolah sampai ke sasarannya. Saya bertanya demikian kerana dalam siri jelajah pengarah bertemu GPK Pentadbiran ada gambar yang saya lihat penampilan yang agak mendukacitakan tanpa kot dan memakai tie.Budaya molek yang diwarisi dari zaman Dato' Cg Ab. Rahim Tahir mula sedikit longgar dan mahu diperkasakan balik. Apakah mesej memperkasakan transformasi pendidikan tidak sampai kepada GPK dan guru di sekolah hingga kita sebagai pemimpin tidak terasa canggung membiarkan  orang kuat kita bertemu Pengarah Pendidikan dalam situasi itu.

Apa yang saya sebut adalah satu menifestasi kecil bahawa kita masih belum mampu menghayati dan memahami tagline bermakna ini. Justru adalah wajar kepimpinan sekolah dan juga kepimpinan di ppd dan jabatan sentiasa mengingat dan mengkelaraikan makna tagline berkenaan agar semua orang menghayati dan bertindak melakukan transformasi yang benar-benar memberi impak kepada kemajuan dalam semua aspek pendidikan di negeri kita Terengganu Anjung Ilmu.

Pesan orang tua-tua "Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat". "Muafakat membawa berkat". Oleh itu marilah sama-sama kita bermuafakat menjayakan tagline "Memperkasakan Transformasi Pendidikan". Tagline itu tidak ada makna walau disebut beribu kali dan digantung di merata tempat jika kita sendiri tidak bertindak melaksanakan transformasi itu.

 TRANSFORMASI HELANG

Usia yang menyisir ke gerbang senja
kian berat mengheret beban takdir
melingkungi peribadi bagai gelung api
bisa membakar hangus hidup
yang semakin sepi dan redup

Paruh semakin tumpul mengoyak rezeki
kuku menjelir menyisih cengkam besi
bulu semakin tebal menyalut diri
kian sukar dan berat mengekor desir angin
yang membawa rezeki kian jauh pergi
pintu-pintu malam diketuk maut
yang silih ganti bertandang paut

Hidup adalah perhitungan pilihan
bukan janji hanya sekadar menunggu mati
atau menanggung jerih pedih transformasi
untuk hidup seribu tahun lagi

Patahkan paruh yang melingkar
rentapkan kuku yang menggulung
biar ampuh cengkam menanggung
cabutkan sayap dan bulu berat
nanti ke langit tinggi bisa mengepak

Biarkan pedih luka sengsara seketika
jika tahu kemudian menawan dunia
gagah mudah memangkas angin
menjadi raja di tanah sumpah leluhur
dari menjadi raja ilusi lapar kebulur

Demikian pengorbanan perjuangan
kelangsungan berhemah hidup bermaruah
di tanah tumpah darah yang dimakan sumpah
dengan keberanian diri bertransformasi
melihat sinar matahari di ufuk redang
dengan teliti dari mata sang helang.

Lara MN​

Thursday, June 25, 2015

Pelancaran Tabung Bencana Gempa Bumi Sabah

KUALA TERENGGANU - Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu pagi ini telah melancarkan Tabung Bencana Gempa Bumi Sabah. Majlis pelancaran tabung berkenaan telah disempurnakan oleh Tuan Haji Shafruddin bin Ali Husain di Dataran Perhimpunan Jabatan Pendidikan Negeri dengan dihadiri Timbalan Pengarah, Ketua-Ketua Sektor dan warga jabatan pendidikan negeri.

Tuan Haji Shafruddin Ali Hussain dalam ucapan ringkasnya menyeru semua warga jabatan, guru dan pelajar negeri ini mengambil peluang di bulan Ramadhan yang mulia untuk sama-sama menghulur sumbangan bagi membantu sedikit sebanyak mangsa musibah itu. Menurut analisa mudah beliau kalau setiap kakitangan jabatan termasuk PPD, semua guru menderma sekurang-kurangnya seringgit dan setiap murid sekurang-kurangnya sepuluh sen maka hampir lima puluh ribu sumbangan dapat dikutip.

Beliau berharap ibu bapa dapat menggalakkan anak-anak yang bersekolah sekurang-kurangnya sepuluh sen dan yang ingin menderma lebih sangat dialu-alukan. Beliau juga berharap agar pihak jabatan mengambil inisiatif lebih proaktif di masa-masa akan datang bagi menyemarakkan budaya membuat kebajikan
kepada warga, para guru dan para pelajar.

Selamat menyumbang dan berbuat kebajikan di bulan Ramadhan.


Thursday, June 18, 2015

Permohonan mengikuti Kursus Dalam Perkhidmatan Program Khas Pensiswazahan Guru Besar anjuran IAB dan IPTA sesi 2015/2018

Dipelawa kepada mereka yang sedang memegang jawatan Guru  Besar DG32 dan DG34 serta belum memiliki ijazah. Keterangan lanjut mengenai syarat dan tatacara permohonan sila klik link di bawah.

Keterangan lannjut KLIK

Wednesday, June 17, 2015

Najib Umum Bayaran Bantuan Khas Kewangan RM500 Kepada Penjawat Awam



PUTRAJAYA, 17 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Rabu mengumumkan bayaran bantuan khas kewangan sebanyak RM500 untuk penjawat awam Gred 54 dan ke bawah.

Beliau turut mengumumkan bantuan khas untuk lebih 700,000 pesara kerajaan yang menerima pencen, dengan bayaran berjumlah RM250.

Kedua-dua pembayaran berkenaan akan dibuat pada 25 Jun, yang melibatkan anggaran implikasi kewangan berjumlah RM1 bilion, katanya.

"Bayaran ini bagi membantu dan meringankan beban kewangan penjawat awam membuat persiapan menyambut Ramadan dan Aidilfitri," katanya pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-14 di sini.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, turut mengumumkan kadar baharu terendah imbuhan tetap perumahan dinaikkan daripada RM180 kepada RM300 sebulan untuk penjawat awam gred 41 dan ke bawah.

Beliau juga mengumumkan bagi mereka yang mendiami kuarters pula, yang selama ini tidak menikmati imbuhan tetap tersebut, turut mendapat faedah sebanyak 25 peratus daripada kadar imbuhan tetap perumahan sebenar, yang layak bagi mereka.

Najib berkata keputusan yang berkuat kuasa mulai 1 Nov depan melibatkan lebih 1.1 juta penjawat awam di seluruh negara, manakala implikasi kewangan pula ialah sebanyak RM1.04 bilion setahun.

-- BERNAMA

Puisi : Dirgahayu Ramadan


DIRGAHAYU RAMADAN

Angin dingin dari langit ketujuh
membuka sirr jendelamu Ramadan
beropol langsir mustika jiwa
menebak wangi ke langit dunia
gugur dalam titis hujah berakah
di sela tabir bunga-bunga iktiqaf


Al lam wasahlam Ya Ramadan
kami tabur rampai rindu di kaki mega
menjabat erat berkat kasihmu yang tiba
tidak bertepi dari laut rahmat
anugerah Tuhan penuh berkat


Dirgahayumu Ramadan
aku ingin menghayun dalam buai munajat
zikir dan tasbih rindu makrifat berkat
agar alur dosa yang terkopak hanyir
mampu ku timbus segala masam lendir
di padang nasuha pada rumput kasihmu
hijau luas laha melaha
biarkan nanti tumbuh pohon kebajikan
memberi teduh musafir di jalanan


Dirgahyumu Ramadan
aku bersimpuh syahdu tanpa malu
mohon kurnia selangit barakahmu.


Lara MN
Kuala Terengganu
17062015



Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Pendidikan Terengganu

TAMAN TAMADDUN ISLAM - Semalam Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu telah mengadakan Majlis Anugerah Khidmat Cemerlang bagi penerima tahun 2014. Seramai 1935 orang guru dan anggota sokongan di bawah Jabatan Pendidikan Negeri menerima anugerah tersebut  Dewan Besar, Taman Tamaddun Islam, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu.

Majlis bersejarah berkenaan telah disempurnakan oleh YB Dato' Haji Mohd Zubir bin Embong, Yang Di Pertua, Dewan Undangan Negeri Terengganu mewakili YAB Menteri Besar. Turut hadir Tuan Haji Shafruddin bin Ali Hussin, Pengarah Pendidikan Terengganu, Tuan Haji Matsor Ismail, Timbalan Pengarah Pendidikan, Ketua-Ketua Sektor dan Pegawai-Pegawai Pendidikan Daerah.

Mengikut Pengarah Pendidikan Negeri majlis seumpama ini kali terakhir diadakan pada tahun 2010 di mana selepas itu dilaksanakan mengikut daerah. Beliau secara keseluruhan berpuashati dengan perjalanan majlis berkenaan dan telah memberi 8.5 / 10 skor . Beliau melahirkan sedikit rasa kurang senang bila seolah-olah penerima dari Marang dan Setiu seakan tidak diraikan oleh rakan-rakan dari daerah lain kerana keluar awal dikesan melalui lokasi kerusi yang diduduki. Setiap penerima menerima sijil,sijil simpanan premium BSN bernilai RM1000.00.

Ramai di kalangan kita tidak berapa perasan melalui tagline " Memperkasakan Tranformasi Pendidikan" Pengarah telah mengadakan beberapa perubahan dan penambahbaikan. Antaranya pintu pejabat beliau akan dalam keadaan terbuka bila beliau berada di pejabat bagi memudahkan siapa sahaja berjumpa beliau. Selain dari itu semua kerusi sama ada di perhimpunan bulanan jabatan, perjumpaan guru besar, majlis anugerah cemerlang dan sebagainya yang melibat semua daerah, kerusi akan disusun dan ditag mengikut daerah. Ini bertujuan bukan sahaja mengujud ikatan semangat perpaduan tetapi juga mudah untuk mengesan daerah mana yang tidak hadir atau sebagainya

Selain dari pada itu kita masih belum mampu mengubah dan berubah bila "malas" menepuk tangan terhadap perkara yang sewajar tepuk bahkan disuruh tepukpun masih tidak bermaya. Terdapat juga segelintir dari kita yang seakan tidak faham budaya guru Terengganu yang telah diletak asas oleh Mantan Pengarah Dato' Cg Abd Rahim Tahir tentang tatacara berpakaian bila menghadiri majlis-majlis resmi jabatan. Selain dari itu budaya "temba" awal di sesuatu majlis sedang diperhati dan dikaji.

Mungkin "kecil bagi kita yang biasa dan terbudaya dengan keadaan begitu tetapi ianya menjadi besar pada pengurusan" apabila budaya ini menunjukkan ciri-ciri profesionalisma yang rendah apatah lagi jika seseorang itu dikatakan "cemerlang". Kita amat berharap mereka yang dianugerahi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang menjadi contoh ikutan dan berupaya mentransformasi rakan dan organisasi sekolah ke arah lebih terbilang


Sunday, June 14, 2015

Majlis Taklimat Dan Penyampaian Surat Penempatan Guru Besar dan GPK Flexi

KUALA TERENGGANU - Urus setia Jawatankuasa Penempatan dan Pertukaran Guru Besar dan GPK hari ini telah mengadakan taklimat dan penyerahan surat penempatan kepada Guru Besar dan GPK lantikan secara flexi. Majlis berkenaan turut dihadiri oleh PPD dan wakil-wakil PPD seluruh negeri yang diadakan di Bilik Mesyuarat SK Sultan Sulaiman 1, Kuala Terengganu.

En. Ahmad Shukor bin Mansor, Ketua Sektor, Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu dalam taklimatnya menjelaskan pelantikan Guru Besar dan GPK secara flexi (gred penyandang lebih tinggi dari gred jawatan) ialah bagi mengisi perjawatan Guru Besar dan GPK yang tidak dapat diisi oleh sekian lama oleh calon secara pemangkuan atau secara penghakikian.Beliau berkata pengisian calon flexi terutama GPK adalah salah satu dari tiga kaedah pengisian GPK diamalkan hingga kini. Pertama secara pemangkuan iaitu dari DG29 memangku DG32. Kedua secara penghakikian dari DG32 (KUP) kepada DG32 hakiki. Ketiga ialah secara flexi iaitu DG34(KUP), DG38(KUP), DG41/42(KUP) dan DG44(KUP) mengisi jawatan hakiki GPK DG32 atau DG34.

Menurut beliau lagi permohonan GPK lebih kurang lima ratus orang sedangkan keperluan hanyalah sekitar lapan puluh orang sahaja. Justru itu panel di PPD dan panel JPN telah membuat tapisan dan penilian sewajarnya agar mereka yang memenuhi kreteria; layak dan sesuai diperaku untuk dilantik.Menurut beliau
kumpulan perintis yang dilantik GPK flexi ini sangat bertuah dan beliau berharap dapat memberi sumbangan terbaik.

Beliau juga menyatakan ada tulisan di media sosial mendakwa berbagai cerita karut kononnya mereka yang berjaya jadi GPK ialah mereka yang ada kabel dan sebagainya. Sebab itu tegas beliau taklimat hari ini
untuk memberi faham bagaimana proses dan prosidur pelantikan Guru Besar dan GPK dibuat dan perlu disampaikan kepada rakan-rakan di sekolah.

Pada hari ini seorang Guru Besar DG41 Flexi ditempatkan. Sementara dua belas orang GPK flexi DG34 dilantik sebagai GPK. Selebihnya lapan belas DG41/42 dan dua puluh satu orang DG44. Baki yang selebihnya akan dilantik mengikut kekosongan sehingga 31 Disember 2015.

Kita berharap mereka yang ditempatkan dapat memberi khidmat terbaik setidak-tidak menafikan sebagaimana mereka diperlekeh oleh rakan-rakan lain bahawa mereka sememang layak dan sesuai untuk dilantik atau ditempatkan sebagai pemimpin sekolah dan menjayakan misi pengarah "Memperkasakan Transformasi Pendidikan".Sementara yang belum berjaya berusahalah melengkapkan keperluan seperti mana dalam borang permohonan agar bila kita memohon di masa depan sebahagian besar kreteria dapat kita penuhi secara optima. Permohonan GPK Flexi ini menjadi satu fenomena baru dalam pelantikan pengurusan sekolah.