Tuesday, July 7, 2015

Bercakap dengan Jari

BERCAKAP MELALUI JARI

Hari ini ramai si telor lidah
si jahil tukil yang kohong
si anak hingusan belum baligh
mahupun si pengecut menjadi berani
malah lebih berani dari pelagak ngeri
kerana mereka boleh bercakap
yang sulit dan yang umum
yang benar dan yang salah
tanpa takut tanpa nyeri
hanya dengan jari-jemari

Lidah itu semakin tumpul
kerana gagal memancung kebatilan
jari itu semakin runcing
menikam kebenaran menjadi kepalsuan
atau merodok kepalsuan menjadi kebenaran

Jangan jadi pejuang atau pemimpin
jika takut ditikam jari runcing
kerana lidah sudah tidak laku bersabda
jarilah suara baru yang menjadi raja
mengolah minda memerintah dunia

Lara MN
Kuala Terengganu
27062016

Sengaja aku letak puisi ini yang aku tulis setelah mendapat ilham dari satu sesi temubual YB Tan Sri Annuar Musa, Pengerusi Mara dengan RTM semasa bercuti balik kampung di rumah mak seminggu yang lepas. Sajak ini aku letak di satu group eSastera Sajak di Facebook. Aku tertarik dengan realiti bahawa hari ini tidak kira layak atau tidak, halal atau haram jari-jemari sebebas dan sewenangnya menulis atau bercakap tanpa segan silu, tanpa aib malu tidak mengira bulan dan musim termasuk Ramadhan yang mulia.

Tengok saja seorang guru menulis surat terbuka di wall facebook kepada Perdana Menteri yang mengkritik hal berkaitan dasar dan mendapat sokongan like ribuan orang. Tentu guru berkenaan tersenyum puas kerana mereka yang bercakap dengan jari memuji-muji keberanian bahkan seolah-olah kalau kena buang kerjapun seolah-olah mereka akan tanggung sara hidupnya. Statusnya dikongsi secara meluas. Mungkin cikgu itu kembang tidak tidur malam kerana menjadi popular sekelip mata tanpa menyedari dia mungkin boleh di bawa ke Lembaga Tatatertib Perkhidmatan kerana menulis perkara yang menimbulkan polimik atau menyangkuti dasar TANPA KEBENARAN KETUA JABATAN adalah melanggar Tatakelakuan Pegawai Awam 1993.

Kita mungkin belum lupa bila seorang mejar udara telah dipecat oleh Lembaga Tatatertib Perkhidmatannya bukan kerana dia tidak bagus tetapi kerana memberi kenyataan akhbar  tanpa kebenaran ketua jabatannya. Itulah masalahnya bila menjadi pegawai awam dan peraturan ini selagi tidak dimansuhkan terpakai kepada perkhidmatan awam "goverment on the day" yang memerintah pada waktu itu.Inilah bezanya pegawai awam dengan orang awam.

Hari ini sedang viral seorang guru menulis perkataan yang tidak sepatutnya ditulis apalagi dalam bulan Ramadhan yang mulia berkaitan seorang kematian seorang iman muda dalam satu kemalangan beberapa hari lepas. Walaupun ditulis dalam group whatsApp tetapi telah diprint screen dan diviralkan. Adakah guru ini seronok apa yang beliau tulis membiak dan menyebar begitu luas dalam masa singkat? Mungkin berguling-guling seronoknya. Pasti namanya akan popular dalam sekelip mata. Hebat bila bercakap dengan jari pasti menteripun boleh dengar. Apa helah bela diri guru ini jika beliau disiasat. Apakah alibi bahawa itu bukan dia apa lagi rutin kehidupan di sekolah berkenaan dalam pengetahuan dan perhatian rakan-rakan. Rakan-rakannya pasti tahu siapa sebenarnya dia.

Sebenarnya dalam pemerhatian aku dalam beberapa group whatsApp adalah segelintir guru yang sangat "dasyat" percakapan jarinya. Kalau diviralkan boleh meletop. Sebagai contoh ada satu group yang mengutuk  guru besar yang mana seorang ahli group tidak puashati dengan guru besarnya. Ianya kemudian ditokok tambah oleh rakan dengan percakapan jari yang tidak bertamaddun kerana jika guru besar berkenaan baca dia boleh mati terkena sakit jantung. Ada setengah ahli group ada yang aku kenal. Dulu sengkek dan kohong tapi bila dah senang ada yang kutuk kerajaan, kementerian, jabatan dan macam kutukan lagi. Sesekali teringin aku nak print screen dan viralkan. Kemudian biar jabatan panggil dan siasat.
Kita tengok macam mana muka makhluk yang sombong dan tidak bersyukur.

Nasihat aku pada diri dan rakan-rakan BIJAKSANALAH dalam bercakap dengan jari. Jangan seronok  dengan percakapan jari yang kontraversi kerana akibatnya yang kita akan tanggung sendiri. Jangan sebab jari badan binasa dan menyusahkan kita. Bila kita dikenakan apa-apa tindakan yang menyokong kita hanyalah sementara. Inilah dunia yang penuh tipu daya. Aku tutup dengan puisi yang aku letak kat eSastera Sajak untuk renungan:

BERAPA LAMA MEREKA MENANGIS
 
Sewaktu tangan dijabat terungkai
roh menggamit jasad yang tinggal
berapa lamakah mereka menangis
mengalun perpisahan tragis

Oh kawan karibmu hanya sedetik
sejam dua mereka kembali mengekek

Oh saudara-maramu pun tidak lama
kembali dari permakaman mereka mula ketawa

Oh anak-anakmu mungkin sehari dua
lepas itu mereka ceria dan lupa

Oh isteri cantik kesayanganmu
paling lama sebelum  edah
selepas itu kenangan padamu
hanya segumpal sejarah

Yang ingin kutanya sebenarnya
berapa lama engkau sendiri menangis
jika kau bisa melihat mereka
dan pulang dengan kosong dada

Lara MN​
Kuala Terengganu
2072015

0 ulasan:

Post a Comment