Thursday, July 30, 2015

Bengkel Kerja Pengurusan Sekolah Murid Orang Asli (SMOA) Zon Timur

KUANTAN - Seramai 60 orang pemimpin sekolah murid orang Asli Zon Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang telah mengikuti Bengkel Kerja Pengurusan SMOA di Bukit Gambang Resort City bermula 28 - 30 Julai 2015. Bengkel ini telah diurusetia oleh Unit Sekolah Alternatif, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pelajaran Malaysia yang diketuai oleh En.Mohd Noor Azam bin Ahmad Mion.

Para peserta telah diberi input berkaitan mempertingkatkan inovasi dan kualiti dalam pengurusan dan pdp oleh Pegawai dari Sektor Jaminan Kualiti, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang selain input dari Pegawai Akademik dari BPSH sendiri. Ianya sangat berguna dan bermanafaat bagi mempertingkatkan prestasi dan kehadiran murid-muid orang Asli. Prestasi dan kehadiran murid Asli ke sekolah merupakan isu utama bagi sekolah-sekolah murid orang Asli ini.

Selain dari itu, para peserta berkongsi idea dalam bengkel yang memberi fokus kepada dua isu utama di atas. Kadang-kadang kita turut bersimpati dengan masalah dan pengorbanan guru besar dan guru-guru sekolah murid orang Asli terutama yang jauh ke dalam hutan. Menurut mereka ada murid tinggal empat dan lima kilometer dari sekolah dan hanya kenderaan pacuan empat roda boleh sampai ke sekolah dan ke rumah pelajar. Ada guru besar dan guru yang bangun pukul dua pagi mencari murid di rumah mereka. Bermacam-macam cabaran terpaksa dihadapi demi menjayakan visi dan misi pendidikan negara.

Kita berharap perkongsian pengalaman seperti bengkel ini memberi motivasi khususnya kepada guru-guru sekolah murid orang Asli yang lebih mudah dihubungi dan mampu diakses dengan pelbagai kemudahan supaya memberi perkhidmatan terbaik.

Kita mencadangkan juga bagi memajukan pendidikan sekolah murid Asli guru besar yang muda seperti guru besar flexi, guru cemerlang patut ditambah untuk ditempatkan di sekolah-sekolah murid sekolah orang Asli dalam tempoh tertentu. Kita yakin dengan transformasi yang lebih kreatif dan inovatif pendidikan sekolah murid sekolah mampu merapatkan jurang pencapaian dengan sekolah aliran perdana. Mereka bukan lagi selepas itu sebagai faktor dominan sebagai "menarik turun" prestasi negeri.


Wednesday, July 22, 2015

Puisi : Rumah Terbuka

RUMAH TERBUKA

Biarkan dedaun pintu rumahmu
dibuka seperti biasa-biasa
tapi lebarkan pintu-pintu hatimu
menerima para tamu yang singgah
rumah terbukamu menjadi indah

Hidangkan mereka juadah yang ada
serta kuntum senyum berpanjangan
dengan buah butir bicara menyenangkan
nanti mereka bisa kenyang
biarpun tidak kecukupan

Rumah terbukamu harum dan meriah
dengan bunga-bunga rahmat tuhan
bila ditatah tatang dengan keikhlasan
ada tamu tidak kau undang
tergerak hadir untuk meraikan

Rumah terbukamu dapur syukur
yang Tuhan amanahkan rezeki
di pinggan rezekimu untuk dinikmati
para tamu yang Tuhan kehendaki

Lara MN​

Kuala Terengganu
21072015


Jangan cemar imej perkhidmatan awam



KUALA LUMPUR - Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa menasihatkan penjawat awam agar tidak melibatkan diri dalam perbuatan yang boleh mencemarkan imej perkhidmatan awam dan menjejaskan ketenteraman negara.

Sebaliknya beliau berkata mereka harus memberikan tumpuan dan komitmen dalam meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat selaras dengan Agenda Transformasi Nasional, dan tidak melibatkan diri dalam perbuatan atau aktiviti seumpama itu.

Dalam satu kenyataan Ali berkata beliau mengambil maklum dan memandang serius terhadap beberapa perkembangan semasa dalam negara yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam dan keselamatan negara.

"Ini termasuk laporan berikutan siasatan pihak polis Thailand bahawa ada pihak tertentu dalam negara bersama anasir luar yang terbabit dalam konspirasi terhadap kepimpinan negara untuk mengganggu-gugat proses demokrasi negara.

"Perkara ini boleh mengancam ketenteraman awam dan keselamatan negara serta merupakan tindakan khianat terhadap negara," kata beliau. - Bernama


Wednesday, July 8, 2015

Kerajaan Tidak Akan Hentikan Pinjaman Perumahan Kepada Penjawat Awam



KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Kerajaan tidak akan memberhentikan pinjaman perumahan kepada penjawat awam seperti yang dilaporkan oleh sebuah stesen televisyen dalam talian baru-baru ini.

Laporan itu menyebut bahawa kerajaan akan berbuat demikian bagi mengukuhkan kedudukan fiskal negara.

"Kementerian kewangan amat kesal atas kenyataan tersebut yang disiarkan tanpa merujuk kepada Kementerian terlebih dahulu," kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Malah, kerajaan akan menambah baik urusan pembiayaan pinjaman perumahan untuk penjawat awam.

"Untuk itu, kerajaan telah menubuhkan sebuah badan berkanun yang dikenali sebagai Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) di bawah Kementerian Kewangan untuk menguruskan semua perkara berkaitan pinjaman perumahan penjawat awam."

LPPSA akan memastikan pinjaman perumahan dibuat secara lebih efisyen dengan mengekalkan segala terma dan kemudahan sedia ada, katanya.

-- BERNAMA


Tuesday, July 7, 2015

Perdana Menteri Meluluskan RM3 juta untuk pembinaan dewan serbaguna Imtiaz Besut

 Yab Dato’ Seri Haji Mohd Najib Tun Abdul Razak Perdana Menteri Malaysia, 
ketika berucap dihadapan rakyat Terengganu ketika perasmian 
Sekolah Menengah Imtiaz,Besut, Terengganu Darul Iman.

Kehadiran YAB Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak hari ini ke Sekolah Menengah Imtiaz Terengganu memberi kemudahan baharu kepada sekolah itu.

Beliau yang telah meluluskan peruntukkan sebanyak Rm3 juta untuk pembinaan dewan serbaguna yang dilengkapi dengan kemudahan terkini bagi memenuhi keperluan pelajar .

” kita berharap sekolah ini bakal melahirkan ramai ilmuan Islam dimasa akan datang serta menjadikan sekolah ini tempat lahirnya pemimpin Islam, katanya ketika berucap pada majlis perasmian sekolah Menegah Imtiaz Yayasan Terengganu Besut.

Selain daripada itu, Najib Razak meminta rakyat agar bertenang dan jangan bimbang dengan isu-isu yang digembar gemburkan oleh media asing membabitkan kepimpinannya dalam Mentadbir negara.

“saya sebagai Perdana Menteri tidak akan mengkhianati rakyat dari dulu sehingga sekarang”

“saya berterima kasih kepada seluruh kepimpinan UMNO Terengganu yang berdiri teguh dalam memberi sokongan dan kepercayaan kepada saya”

“saya juga berterima Kasih kepada Mursydul Am Pas, Datuk Harun Din yang berkata tidak masuk akal Perdana Menteri boleh songlap duit” ujurnya lagi.

Beliau memberi jaminan kebenaran akan terbukti juga akhirnya, dan memohon agar rakyat bersatu hati dalam menangkis segala tuduhan terhadap kerajaan dan pemimpin negara walaupun mereka berbeza dari segi fahaman politik.

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

أُوصِيكُمْ بِتَقْوَى اللَّهِ وَالسَّمْعِ وَالطَّاعَةِ وَإِنْ عَبْدًا حَبَشِيًّا فَإِنَّهُ مَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ بَعْدِى فَسَيَرَى اخْتِلاَفًا كَثِيرًا فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِى وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الْمَهْدِيِّينَ الرَّاشِدِينَ تَمَسَّكُوا بِهَا وَعَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ وَإِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الأُمُورِ فَإِنَّ كُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ

“Aku wasiatkan kepada kalian untuk bertakwa kepada Allah, tetap mendengar dan ta’at kepada pemimpin walaupun yang memimpin kalian adalah seorang budak dari Habasyah. Karena barangsiapa di antara kalian yang hidup sepeninggalku nanti, dia akan melihat perselisihan yang banyak. Maka wajib bagi kalian untuk berpegang pada sunnah-ku dan sunnah Khulafa’ur Rasyidin yang mereka itu telah diberi petunjuk. Berpegang teguhlah dengannya dan gigitlah ia dengan gigi geraham kalian. Jauhilah dengan perkara (agama) yang diada-adakan karena setiap perkara (agama) yang diada-adakan adalah bid’ah dan setiap bid’ah adalah kesesatan (HR. At Tirmidzi no. 2676. ia berkata: “hadits ini hasan shahih”)

sumber : Terengganu Times

Bercakap dengan Jari

BERCAKAP MELALUI JARI

Hari ini ramai si telor lidah
si jahil tukil yang kohong
si anak hingusan belum baligh
mahupun si pengecut menjadi berani
malah lebih berani dari pelagak ngeri
kerana mereka boleh bercakap
yang sulit dan yang umum
yang benar dan yang salah
tanpa takut tanpa nyeri
hanya dengan jari-jemari

Lidah itu semakin tumpul
kerana gagal memancung kebatilan
jari itu semakin runcing
menikam kebenaran menjadi kepalsuan
atau merodok kepalsuan menjadi kebenaran

Jangan jadi pejuang atau pemimpin
jika takut ditikam jari runcing
kerana lidah sudah tidak laku bersabda
jarilah suara baru yang menjadi raja
mengolah minda memerintah dunia

Lara MN
Kuala Terengganu
27062016

Sengaja aku letak puisi ini yang aku tulis setelah mendapat ilham dari satu sesi temubual YB Tan Sri Annuar Musa, Pengerusi Mara dengan RTM semasa bercuti balik kampung di rumah mak seminggu yang lepas. Sajak ini aku letak di satu group eSastera Sajak di Facebook. Aku tertarik dengan realiti bahawa hari ini tidak kira layak atau tidak, halal atau haram jari-jemari sebebas dan sewenangnya menulis atau bercakap tanpa segan silu, tanpa aib malu tidak mengira bulan dan musim termasuk Ramadhan yang mulia.

Tengok saja seorang guru menulis surat terbuka di wall facebook kepada Perdana Menteri yang mengkritik hal berkaitan dasar dan mendapat sokongan like ribuan orang. Tentu guru berkenaan tersenyum puas kerana mereka yang bercakap dengan jari memuji-muji keberanian bahkan seolah-olah kalau kena buang kerjapun seolah-olah mereka akan tanggung sara hidupnya. Statusnya dikongsi secara meluas. Mungkin cikgu itu kembang tidak tidur malam kerana menjadi popular sekelip mata tanpa menyedari dia mungkin boleh di bawa ke Lembaga Tatatertib Perkhidmatan kerana menulis perkara yang menimbulkan polimik atau menyangkuti dasar TANPA KEBENARAN KETUA JABATAN adalah melanggar Tatakelakuan Pegawai Awam 1993.

Kita mungkin belum lupa bila seorang mejar udara telah dipecat oleh Lembaga Tatatertib Perkhidmatannya bukan kerana dia tidak bagus tetapi kerana memberi kenyataan akhbar  tanpa kebenaran ketua jabatannya. Itulah masalahnya bila menjadi pegawai awam dan peraturan ini selagi tidak dimansuhkan terpakai kepada perkhidmatan awam "goverment on the day" yang memerintah pada waktu itu.Inilah bezanya pegawai awam dengan orang awam.

Hari ini sedang viral seorang guru menulis perkataan yang tidak sepatutnya ditulis apalagi dalam bulan Ramadhan yang mulia berkaitan seorang kematian seorang iman muda dalam satu kemalangan beberapa hari lepas. Walaupun ditulis dalam group whatsApp tetapi telah diprint screen dan diviralkan. Adakah guru ini seronok apa yang beliau tulis membiak dan menyebar begitu luas dalam masa singkat? Mungkin berguling-guling seronoknya. Pasti namanya akan popular dalam sekelip mata. Hebat bila bercakap dengan jari pasti menteripun boleh dengar. Apa helah bela diri guru ini jika beliau disiasat. Apakah alibi bahawa itu bukan dia apa lagi rutin kehidupan di sekolah berkenaan dalam pengetahuan dan perhatian rakan-rakan. Rakan-rakannya pasti tahu siapa sebenarnya dia.

Sebenarnya dalam pemerhatian aku dalam beberapa group whatsApp adalah segelintir guru yang sangat "dasyat" percakapan jarinya. Kalau diviralkan boleh meletop. Sebagai contoh ada satu group yang mengutuk  guru besar yang mana seorang ahli group tidak puashati dengan guru besarnya. Ianya kemudian ditokok tambah oleh rakan dengan percakapan jari yang tidak bertamaddun kerana jika guru besar berkenaan baca dia boleh mati terkena sakit jantung. Ada setengah ahli group ada yang aku kenal. Dulu sengkek dan kohong tapi bila dah senang ada yang kutuk kerajaan, kementerian, jabatan dan macam kutukan lagi. Sesekali teringin aku nak print screen dan viralkan. Kemudian biar jabatan panggil dan siasat.
Kita tengok macam mana muka makhluk yang sombong dan tidak bersyukur.

Nasihat aku pada diri dan rakan-rakan BIJAKSANALAH dalam bercakap dengan jari. Jangan seronok  dengan percakapan jari yang kontraversi kerana akibatnya yang kita akan tanggung sendiri. Jangan sebab jari badan binasa dan menyusahkan kita. Bila kita dikenakan apa-apa tindakan yang menyokong kita hanyalah sementara. Inilah dunia yang penuh tipu daya. Aku tutup dengan puisi yang aku letak kat eSastera Sajak untuk renungan:

BERAPA LAMA MEREKA MENANGIS
 
Sewaktu tangan dijabat terungkai
roh menggamit jasad yang tinggal
berapa lamakah mereka menangis
mengalun perpisahan tragis

Oh kawan karibmu hanya sedetik
sejam dua mereka kembali mengekek

Oh saudara-maramu pun tidak lama
kembali dari permakaman mereka mula ketawa

Oh anak-anakmu mungkin sehari dua
lepas itu mereka ceria dan lupa

Oh isteri cantik kesayanganmu
paling lama sebelum  edah
selepas itu kenangan padamu
hanya segumpal sejarah

Yang ingin kutanya sebenarnya
berapa lama engkau sendiri menangis
jika kau bisa melihat mereka
dan pulang dengan kosong dada

Lara MN​
Kuala Terengganu
2072015

Thursday, July 2, 2015

Akulah guru, akulah guru besar



Selama enam tahun, Xie Bihua menjadi satu-satunya guru yang mengajar di sebuah sekolah rendah yang terletak di satu kawasan terpencil di wilayah Guizhou.

Bihua dan isterinya tinggal di kaki gunung di Weining Yi di daerah Hui dan Miao.

Pada setiap hari Bihua akan menunggang motosikalnya menuju ke sebuah sekolah rendah yang terletak rabung gunung berkenaan.

Sekolah itu sangat daif dan hanya berlantaikan tanah merah serta meja usang namun itu tidak mematahkan semangat kira-kira 20 murid untuk belajar.

Sejak enam tahun lalu, Bihua bertugas sebagai guru besar dan dia juga adalah guru di sekolah berkenaan.

Kerana kedudukan sekolah itu yang sangat terpencil dan daif, tiada guru yang sanggup bertugas di situ.

Bihua sebelum ini bertugas di sebuah sekolah yang lebih baik tetapi secara sukarela menawarkan diri untuk mengajar di sekolah berkenaan.

Kerana pengorbanan Bihua itu, muridnya kini boleh belajar di sekolah yang berhampiran dengan tempat tinggal mereka.

Mereka sebelum ini perlu berjalan kaki selama dua jam untuk ke sebuah lagi sekolah berhampiran.

Bihua juga sangat menjaga kebajikan anak muridnya dan dia juga selalu menyediakan makanan untuk mereka.

Pada setiap hari Bihua akan menghantar anak muridnya pulang ke rumah kerana bimbang dengan keselamatan mereka.

Bihua berharap, ada guru yang sanggup menggantikan tempatnya apabila dia bersara kelak.

Sumber :  Harian Metro