Thursday, October 2, 2014

Tahniah Pelajar Termuda Meraih PHD

Johor Bahru: “Saya tidak pernah menyangka akan menerima gelaran doktor falsafah (PhD) pada usia yang muda seperti ini, namun gembira kerana ia pencapaian paling membanggakan dalam hidup,” kata pemegang ijazah PhD termuda pengajian matematik di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai Hazzirah Izzati Mat Hassim.

Hazzirah Izzati, 24, yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan berkata, sejak di bangku sekolah lagi, dia berpegang kepada prinsip tidak mudah berputus asa dan menganggapnya sebagai kunci kejayaannya. 

Anak kedua daripada lapan beradik itu berkata, dia turut menjadikan pakar serta penyelidik dari luar negara sebagai rujukan bagi menambah pengetahuan sepanjang tempoh pengajiannya.

“Bidang matematik tulen belum berkembang luas di negara ini dan sumber rujukannya seperti pakar juga terbatas.


“Disebabkan itu, saya meminta bantuan daripada penyelia akademik untuk memperkenalkan dengan penyelidik dari universiti di Iran dan Itali.


“Walaupun berjaya mengenalinya, tetapi cabarannya tetap ada kerana perlu berkomunikasi dengan mereka melalui e-mel dan kadangkala saya hampir berputus asa namun sokongan keluarga dan pensyarah menguatkan semangat untuk terus memberi fokus,” katanya.

Hazzirah Izzati ditemui di Bangunan Canselori UTM di sini, semalam selepas menerima sijil daripada Malaysia Book of Records (MBR) selepas diiktiraf sebagai pemegang PhD termuda iaitu pada usia 24 tahun dua bulan.


Sumber : Harian Metro

No comments:

Post a Comment