Saturday, June 21, 2014

Sembang Sabtu : Mungkinkah GPK DG41 yang ada NPQEL bakal dilantik sebagai Guru Besar ?

Selamat bertemu kembali di ruangan Sembang Sabtu. Rasanya lama benar saya tidak menulis di ruangan  ini justeru kesibukan tugas ataupun berada di luar negeri. Walhal banyak isu yang menjentik minda untuk menulisnya khususnya  berkaitan kepimpinan dan pengurusan sekolah. Saya sangat percaya jika berlaku dengan baik "kemenjadian " kepimpinan sekolah maka "kemenjadian sekolah" juga berlaku dengan cantik dan moleknya.

Pada tahun 2013 kita telah diwar-warkan dengan syarat-syarat baru pelantikan guru besar. Antaranya mempunyai pengalaman pengurusan, memiliki NPQEL dan sihat tubuh badan. Seseorang calon guru besar boleh memohon melalui e-pangkat. Mereka yang memenuhi syarat akan mengikuti program pentaksiran dan temuduga sebelum diperaku oleh Lembaga Naik Pangkat untuk ditawarkan pemangkuan. Kuatkuasa pelantikan guru besar berasaskan kreteria baru bakal bermula 1 Julai 2014.

Persoalan besar yang pernah saya timbulkan dalam mesyuarat bersama Bahagian Pengurusan Sumber Manusia dan IAB akhir tahun lepas ialah berapa ramaikah calon GPK DG32 yang memiliki NPQEL. Adakah calon-calon yang ada dan mencukupi dan memenuhi syarat untuk dilantik? IAB perlu beri fokus kursus NPQEL hanya kepada calon untuk dilantik sebagai guru besar atau pengetua sahaja. Itulah antara persoalan dan cadangan saya. Namun ada yang tidak dipersetujui atas sekatan-sekatan tertentu. Maklumat-maklumat yang ada dalam risikan saya kebanyakan calon NPQEL dari GPK 32 atau DG34 sudah hampir tiada kerana kebanyakan sudah sambung belajar dan memperolehi DG41 ataupun DG44.

Apapun apabila dasar telah ditetapkan maka iklan telah dibuka dan apa yang dijangkakan telah berlaku di mana calon GPK 32 yang ada NPQEL terlalu sedikit untuk mengisi kekosongan jawatan yang ada. Apa lagi calon-calon guru besar ini ada yang tidak lulus ujian pentaksiran kerana tidak dapat menyiapkan tugasan dan sebagainya. Ini bermakna walaupun mereka ada NPQEL tetapi bukanlah me njadi tiket utama untuk dilantik sebagai guru besar. Kreteria-kreteria lain yang ditaksir menunjukkan mereka tidak layak atau tidak memenuhi aspirasi seorang pemimpin sekolah yang diharapkan dalam PPPM. Mungkin guru-guru di sekolah merekapun tidak terkejut kalau mereka gagal kerana itulah realiti yang mereka ada dan tunjukkan semasa mereka menjadi GPK di sekolah. Oleh itu siapa yang akan menjadi Guru Besar dan yang menjadi pemimpin barisan hadapan sekolah ?

Selain dari isu itu, kita juga diperkenalkan dengan gred baru naik pangkat yakni gred DG42. Yang sudah termaktub dalam pekeliling mana-mana xppld yang sambung belajar layak memohon DG42 dan tidak perlu lagi mohon pelantikan DG41. Lagipun mereka telah dilantik sebagai pegawai perkhidmatan pendidikan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran masa mula masuk perkhidmatan guru dahulu. DG41 ialah bukan gred naik pangkat tapi gred permulaan bagi guru siswazah. Cuma yang masih belum jelas dan samar ialah mengenai PPLD yang tidak sambung belajar tetapi cukup dengan kursus ringkas, mencapai umur tertentu maka layak dilantik ke gred DG42. Gembar-gemburnya telah ada tapi betulkah?

Jika benarlah PPLD yang tidak sambung boleh naik pangkat ke DG42 maka ianya mestilah jelas mendukung prinsip naik pangkat dari satu tingkat ke satu tingkat. Takkanlah PPLD gred DG32,34 terus naik DG42 tanpa melalui DG38 dahulu. Sewajarnya mereka yang berada pada gred DG38 diberi keutamaan terlebih dahulu untuk ke DG42. Baru nampak teratur dan tertib. Justru impak dari naik pangkat DG42 ini bermakna Pegawai Perkhidmatan Pendidikan yang layak tiada lagi sekatan. Sehubungan dengan itu struktur gred hakiki naik pangkat pengurusan sekolah juga perlu berubah sesuai dengan beban dan tanggungjawab serta tranformasi yang dilaksanakan.

Jika gred hakiki guru besar berubah DG42 atau DG44 maka GPK DG41/DG44 yang ada NPQEL boleh dilantik menjadi guru besar tanpa perlu tambahan apa-apa kos. Apalagi sesetengan GPK ini cukup berpengalaman dan bertenaga untuk menjadi pemimpin barisan hadapan. Kalau di negara maju guru prasekolah terdiri dari mereka yang memiliki Phd kenapa kita tidak boleh melantik guru besar kita yang memiliki siawazah sama ada sarjana, master atau Phd. Jangan kita hanya suka menceduk teori tapi jauh praktiknya sebagaimana idealnya KBSR dengan murid 25 orang sekelas. Namun kerana kekurangan pelbagai perkara kita laksanakan juga KBSR dengan murid 40 orang sekelas. Tentu hasilnya berbeza namun jika 40 orang sekelas kita boleh kuasai 3M dengan baik itu bukan idealnya KBSR tapi hebatnya daya usaha dan pengorbanan guru-guru kita.

Kita sangat percaya Kementerian Pendidikan sedang meneliti isu ini. Oleh itu kepada GPK DG41/DG44 yang ada NPQEL atau ingin memohon NPQEL saya sangat galakkan dan alu-alukan. Kita kena percaya teori limitasi di mana setiap perkara ada tempoh hayatnya atau luputnya dan akan bangkit benda baru yang lebih hebat. Begitu juga dengan sistem ataupun tamaddun. Sejarah telah membuktikan. Oleh itu bila berlaku kita jangan kata "unsangkareba" kerana setiap yang bakal berlaku sudah ada tanda dan petunjuk. Bila kita ingin menyelesaikan isu dan masalah kita perlukan idea baru yang tepat dan memberi impak. Sewajarnya kita sentiasa bersedia menyiapkan diri kita untuk menghadapi perubahan itu.







1 comment:

  1. Pendapatku :
    Gred hakiki yang paling relevan dengan guru besar (pengetua istilah akan datang), adalah dg44 kerana lebih menghampiri dengan Penolong Kanan sekolah menengah dg48. Tambahan lagi guru-guru yang dg44 di sekolah rendah pun dah mulai membiak.

    ReplyDelete