Tuesday, June 10, 2014

Masyarakat Hilang Kepercayaan Jika Guru Salah Guna Laman Sosial – KP Pelajaran



PUTRAJAYA, 10 Jun (Bernama) -- Kementerian Pendidikan mengingatkan golongan guru agar sentiasa bertindak secara profesional, berhati-hati dan berintegriti dalam menggunakan laman sosial bagi mempertahan prinsip berkecuali dan tidak berpihak dalam perkhidmatan awam.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Khair Mohamad Yusof berkata guru sebagai penjawat awam juga hendaklah melaksanakan tugas serta tanggungjawab yang diamanah untuk memberi perkhidmatan kepada masyarakat dan negara tanpa sebarang unsur berat sebelah kepada mana-mana pihak.

Beliau berkata kementerian menerima aduan daripada pihak awam terdapat guru yang memuatkan unsur berbau politik dalam laman sosial 'Facebook'.

"Pada dasarnya, kementerian berpandangan bahawa ia merupakan perbuatan tidak sihat yang boleh menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap profesion perguruan.

"Tindakan guru tersebut boleh mencemarkan imej profesion perguruan kerana telah menzahirkan dirinya secara berpihak menerusi laman tersebut," katanya dalam satu kenyataan Selasa.

Khair berkata kementerian tidak pernah menghalang guru menggunakan laman sosial malah menggalakkannya untuk kepentingan perbincangan dan perkongsian ilmu, termasuk penyampaian maklumat secara berkesan.

Beliau berkata kementerian maklum penggunaan secara meluas media sosial seperti 'Facebook', 'Twitter', 'Whatsapp' dan seumpamanya, yang kini menjadi kemudahan penting termasuk bagi golongan pendidik.

"Penggunaan tersebut sememangnya digalakkan selagi tidak mendatangkan kemudaratan kepada masyarakat dan negara, termasuk profesion perguruan, integriti perkhidmatan awam dan kerajaan," katanya.

-- BERNAMA


2 ulasan:

Anonymous said...

Jadi-jadilah buat kenyataan yang terkebelakang..... Kaum pendidik seharusnya digalakkan bercakap benar walaupun pahit.... Bila kaum pendidik lening bersifat mendiamkan/menyembunyikan kebenaran kerana larangan dan ugutan...tengoklah kesan kepada sahsiah generasi masa hadapan.... Tak ada maknanya HOTS ke KBAT ke kalau yang prinsip kebenaran tidak menjadi amalan.

Anonymous said...

Saya tidak nampak apa yang disebut oleh KP dalam berita diatas berbentuk ugutan. Guru sepatutnya mencermin diri sendiri sesuai dengan statusnya. Kita suka bercakap benar bila menceritakan tentang diri orang lain tetapi jarang bercakap benar bila melibatkan diri sendiri.

Post a Comment