Sunday, June 29, 2014

Apa Beza PT3 dengan PMR?



Tidak dinafikan ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut berkaitan kaedah Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang menggantikan Penilaian Mene­ngah Rendah (PMR). Ikuti temubual wartawan Harian Metro Rosyahaida Abdullah bersama Ketua Sektor Pengendalian Peperiksaan Mene­ngah Rendah dan Rendah Lembaga Peperiksaan (LP) Johara Abdul Wahab mengenai PT3.

S: Apakah yang dimaksudkan dengan PT3 dan bilakah ia mula diperkenalkan?

J: PT3 adalah komponen Pentaksiran Pusat (PP) di bawah Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). Ia adalah penambahbaikan dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang dilalui pelajar tingkatan tiga mulai Julai 2014. Pelajar tingkatan satu pada 2012 adalah kohort pertama melalui Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan akan menempuhi PT3 pada tahun ini.

S: Apakah perbezaan antara PT3 dan PMR? Apakah bentuk penambahbaikan yang sudah dibuat?

J: Secara asasnya, skop pentaksiran PT3 masih sama seperti PMR di mana ia berbentuk pentaksiran sumatif iaitu mengukur penguasaan intelek pelajar secara menyeluruh di peringkat menengah rendah.

Namun, beberapa instrumen seperti ujian lisan misalnya, diperkukuhkan dalam PT3 untuk memastikan pelajar bukan saja menguasai mata pelajaran terbabit secara bertulis malah secara lisan. Pelbagai instrumen pentaksiran lain seperti kajian kes turut digunakan supaya pelajar benar-benar menguasai aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai bagi mata pelajaran yang dipelajari.



S: Adakah PT3 turut menilai keupayaan murid dari segi jasmani, emosi dan rohani seperti di­nyatakan dalam PBS?


J: Melalui PBS, terdapat dua komponen dalam bidang akademik dan dua komponen dalam bidang bukan akademik. Dua komponen dalam bidang akademik ialah Pentaksiran Sekolah (PS) dan Pentaksiran Pusat (PP) iaitu PT3. Namun begitu, setiap pelajar akan turut diukur dari sudut jasmani melalui Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) serta dari segi emosi dan rohani melalui Pentaksiran Psikometrik (PPsi).

Pada akhir tingkatan tiga, pelajar akan diberi empat pelaporan iaitu PT3, PAJSK, PPsi dan Pentaksiran Sekolah (PS).



S: Apa pula PS dan mengapa perlunya PT3 sedangkan pelajar turut melalui PS pada akhir ting­katan tiga?

J: PS mempunyai dua bentuk pentaksiran formatif (mengesan perkembangan pembelajaran murid secara berterusan bagi tujuan membaiki kelemahannya membuat penambahbaikan de­ngan serta merta serta sumatif seperti ujian dan peperiksaan bagi mengesan pencapaian murid berdasarkan beberapa unit pembelajaran dan pemeringkatan gred murid. Makluman awal mengenai perkembangan dan pencapaian murid adalah penting bagi membolehkan pihak sekolah melaksanakan intervensi dalam pengajaran dan pembelajaran. Guru dapat merancang program pemulihan yang diperlukan bagi membantu meningkatkan prestasi murid.

S: Apakah peranan LP dalam pelaksanaan PT3?

J: LP menyediakan soalan untuk digunakan guru dalam menjalankan PT3 di sekolah masing-masing. Bagi ujian bertulis misalnya, pihak LP bertanggungjawab menyediakan item, format instrumen, panduan pemasangan instrumen, panduan penskoran item, peraturan pentadbiran dan format pelaporan PT3.


Manakala, bagi ujian lisan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, kajian kes Sejarah dan Geografi pula, LP akan menyediakan instrumen, panduan penskoran dan peraturan pentadbiran. LP juga menyediakan format pelaporan PT3.

S: Bagaimana pula dengan tang­gungjawab pihak sekolah dalam pentaksiran ini?

J: Pihak sekolah bertanggung­jawab dalam melaksanakan beberapa perkara antaranya memasang instrumen ujian bertulis berdasarkan, Format Instrumen dan Panduan Pemasangan Instrumen, memeriksa skrip jawapan murid dan menyediakan pelaporan.


S: Sebelum ini PMR digunakan sebagai kayu ukur untuk menentukan kelayakan kemasukan pelajar lepasan tingkatan tiga ke sekolah berasrama penuh, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan seumpamanya. Dengan PT3, bagaimana calon dinilai untuk kemasukan ke sekolah terbabit?

J: Di peringkat menengah rendah, murid akan menerima 4 pelaporan iaitu Pelaporan Pentaksiran Sekolah, Pelaporan PT3, Pelaporan PAJSK dan Pelaporan Pentaksiran Psikometrik.


Pelaporan-pelaporan ini memberi gambaran tentang perkemba­ngan , pencapaian dan potensi murid secara menyeluruh. Pelaporan ini boleh digunakan oleh pihak yang berkepentingan untuk membuat keputusan yang lebih tepat dalam pemilihan murid ke aliran pendidikan peringkat menengah atas.
 

Saturday, June 28, 2014

Puisi : Ambang Ramadhan

AMBANG RAMADHAN

Jendela langit Ramadhan telah terbuka
diufuk tersenyum bulan sabit
aroma kudus menerpa wangi
menyelinap dalam darah
insan rabani

Hamparkan tikar barakah
pada setiap relung hati
menyambut Ramadhan anugerah Rabbi
kamilkan malam dan siang
dalam satu pengabdian kasih
dengan tasbih,tahmid dan tarawih

Kejapkan dakapan kasih
sewaktu rantai masih membelenggu
para syaitan pemabuk nafsu
justru anugerah serwajagat 
untuk kita menilik diri
di cermin Ramadhan milik Rabbi.

Lara MN
Kuala Terengganu
28062014


Friday, June 27, 2014

Pengiktirafan Sekolah Kluster Kecemerlangan Fasa 8

PUTRAJAYA - Majlis Pengiktirafan SKK Fasa 8 telah selamat disempurnakan oleh YBhg. Dato' Wan Khazanah binti Ismail, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) pada 26 Jun 2014 di Dewan Serbaguna Aras 9, E12, Putrajaya.

Sebanyak 104 SKK telah diiktiraf iaitu 19 Sekolah Menengah dan 85 Sekolah Rendah. Tahniah kepada Sekolah Menengah dan Sekolah Rendah Terengganu yang mendapat pengiktirafan SKK Fasa 8. Sekolah berkenaan adalah sebagaimana berikut:

  1. SMK Dato Haji Razali Ismail, Kuala Terengganu
  2. SK Kerteh, Kemaman
  3. SK Tok Randok, Hulu Terengganu
  4. SK Gong Badak, Kuala Terengganu
  5. SK IPGM Dato Razali Ismail
  6. SK Felda Selasih, Besut
Tahniah semoga pengiktirafan ini menyemarakkan lagi perjuangan menjulangan keterbilangan pendidikan anak bangsa.



Saturday, June 21, 2014

Sembang Sabtu : Mungkinkah GPK DG41 yang ada NPQEL bakal dilantik sebagai Guru Besar ?

Selamat bertemu kembali di ruangan Sembang Sabtu. Rasanya lama benar saya tidak menulis di ruangan  ini justeru kesibukan tugas ataupun berada di luar negeri. Walhal banyak isu yang menjentik minda untuk menulisnya khususnya  berkaitan kepimpinan dan pengurusan sekolah. Saya sangat percaya jika berlaku dengan baik "kemenjadian " kepimpinan sekolah maka "kemenjadian sekolah" juga berlaku dengan cantik dan moleknya.

Pada tahun 2013 kita telah diwar-warkan dengan syarat-syarat baru pelantikan guru besar. Antaranya mempunyai pengalaman pengurusan, memiliki NPQEL dan sihat tubuh badan. Seseorang calon guru besar boleh memohon melalui e-pangkat. Mereka yang memenuhi syarat akan mengikuti program pentaksiran dan temuduga sebelum diperaku oleh Lembaga Naik Pangkat untuk ditawarkan pemangkuan. Kuatkuasa pelantikan guru besar berasaskan kreteria baru bakal bermula 1 Julai 2014.

Persoalan besar yang pernah saya timbulkan dalam mesyuarat bersama Bahagian Pengurusan Sumber Manusia dan IAB akhir tahun lepas ialah berapa ramaikah calon GPK DG32 yang memiliki NPQEL. Adakah calon-calon yang ada dan mencukupi dan memenuhi syarat untuk dilantik? IAB perlu beri fokus kursus NPQEL hanya kepada calon untuk dilantik sebagai guru besar atau pengetua sahaja. Itulah antara persoalan dan cadangan saya. Namun ada yang tidak dipersetujui atas sekatan-sekatan tertentu. Maklumat-maklumat yang ada dalam risikan saya kebanyakan calon NPQEL dari GPK 32 atau DG34 sudah hampir tiada kerana kebanyakan sudah sambung belajar dan memperolehi DG41 ataupun DG44.

Apapun apabila dasar telah ditetapkan maka iklan telah dibuka dan apa yang dijangkakan telah berlaku di mana calon GPK 32 yang ada NPQEL terlalu sedikit untuk mengisi kekosongan jawatan yang ada. Apa lagi calon-calon guru besar ini ada yang tidak lulus ujian pentaksiran kerana tidak dapat menyiapkan tugasan dan sebagainya. Ini bermakna walaupun mereka ada NPQEL tetapi bukanlah me njadi tiket utama untuk dilantik sebagai guru besar. Kreteria-kreteria lain yang ditaksir menunjukkan mereka tidak layak atau tidak memenuhi aspirasi seorang pemimpin sekolah yang diharapkan dalam PPPM. Mungkin guru-guru di sekolah merekapun tidak terkejut kalau mereka gagal kerana itulah realiti yang mereka ada dan tunjukkan semasa mereka menjadi GPK di sekolah. Oleh itu siapa yang akan menjadi Guru Besar dan yang menjadi pemimpin barisan hadapan sekolah ?

Selain dari isu itu, kita juga diperkenalkan dengan gred baru naik pangkat yakni gred DG42. Yang sudah termaktub dalam pekeliling mana-mana xppld yang sambung belajar layak memohon DG42 dan tidak perlu lagi mohon pelantikan DG41. Lagipun mereka telah dilantik sebagai pegawai perkhidmatan pendidikan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran masa mula masuk perkhidmatan guru dahulu. DG41 ialah bukan gred naik pangkat tapi gred permulaan bagi guru siswazah. Cuma yang masih belum jelas dan samar ialah mengenai PPLD yang tidak sambung belajar tetapi cukup dengan kursus ringkas, mencapai umur tertentu maka layak dilantik ke gred DG42. Gembar-gemburnya telah ada tapi betulkah?

Jika benarlah PPLD yang tidak sambung boleh naik pangkat ke DG42 maka ianya mestilah jelas mendukung prinsip naik pangkat dari satu tingkat ke satu tingkat. Takkanlah PPLD gred DG32,34 terus naik DG42 tanpa melalui DG38 dahulu. Sewajarnya mereka yang berada pada gred DG38 diberi keutamaan terlebih dahulu untuk ke DG42. Baru nampak teratur dan tertib. Justru impak dari naik pangkat DG42 ini bermakna Pegawai Perkhidmatan Pendidikan yang layak tiada lagi sekatan. Sehubungan dengan itu struktur gred hakiki naik pangkat pengurusan sekolah juga perlu berubah sesuai dengan beban dan tanggungjawab serta tranformasi yang dilaksanakan.

Jika gred hakiki guru besar berubah DG42 atau DG44 maka GPK DG41/DG44 yang ada NPQEL boleh dilantik menjadi guru besar tanpa perlu tambahan apa-apa kos. Apalagi sesetengan GPK ini cukup berpengalaman dan bertenaga untuk menjadi pemimpin barisan hadapan. Kalau di negara maju guru prasekolah terdiri dari mereka yang memiliki Phd kenapa kita tidak boleh melantik guru besar kita yang memiliki siawazah sama ada sarjana, master atau Phd. Jangan kita hanya suka menceduk teori tapi jauh praktiknya sebagaimana idealnya KBSR dengan murid 25 orang sekelas. Namun kerana kekurangan pelbagai perkara kita laksanakan juga KBSR dengan murid 40 orang sekelas. Tentu hasilnya berbeza namun jika 40 orang sekelas kita boleh kuasai 3M dengan baik itu bukan idealnya KBSR tapi hebatnya daya usaha dan pengorbanan guru-guru kita.

Kita sangat percaya Kementerian Pendidikan sedang meneliti isu ini. Oleh itu kepada GPK DG41/DG44 yang ada NPQEL atau ingin memohon NPQEL saya sangat galakkan dan alu-alukan. Kita kena percaya teori limitasi di mana setiap perkara ada tempoh hayatnya atau luputnya dan akan bangkit benda baru yang lebih hebat. Begitu juga dengan sistem ataupun tamaddun. Sejarah telah membuktikan. Oleh itu bila berlaku kita jangan kata "unsangkareba" kerana setiap yang bakal berlaku sudah ada tanda dan petunjuk. Bila kita ingin menyelesaikan isu dan masalah kita perlukan idea baru yang tepat dan memberi impak. Sewajarnya kita sentiasa bersedia menyiapkan diri kita untuk menghadapi perubahan itu.







Friday, June 20, 2014

Renungan Jumaat : Persediaan Menghadapi Kedatangan Ramadhan



Allahumma Ballighna Ramadhan. Inilah doa yang diulang-ulang oleh Rasulullah s.a.w apabila mendekati bulan yang mulia ini. Diriwayatkan bahawa apabila tibanya bulan Rejab, maka Rasulullah akan berdoa ‘Ya Allah Berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya’ban, dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan’ (Riwayat Al-Bazzar, At-Thabrani, Al-Baihaqi).

Para sahabat yang bersama dengan Rasulullah s.a.w dididik dengan tema yang agung ini; Allahumma Ballighna Ramadhan. Kesannya, mereka menyambut dan menanti Ramadhan dengan penuh kerinduan dan kecintaan. Ini terbukti dengan doa mereka selama enam bulan sebelum Ramadhan menharap agar bertemu dengannya. Kemudiannya, enam bulan selepas Ramadhan pula disi dengan tangisan kerana berlalunya Ramadhan. Saudara yang mulia, bagaimanakah halnya kita?

Allahumma Ballighna Ramadhan, merupakan doa dan harapan. Menjadi tanda bagi hamba-hamba yang salih bahawa mereka mengidam dan tamakkan limpahan Allah dalam bulan ini (Rahmat, Keampunan, Pelepasan dari Neraka). Kita mesti sentiasa berjaga-jaga agar peluang ini tidak disia-siakan atau berlalu tanpa dimanfaatkan

Maka bagaimanakah caranya kita menyambut kedatangan bulan Ramadhan yang mulia ini? Persediaan yang rapi dan terancang sangat penting dalam menjayakan Ramadhan kali ini.

Iman 
1. Taubat yang benar (Istighfar, meninggalkan maksiat).
2. Sentiasa berdoa Allahumma Ballighna Ramadhan.
3. Perbanyakkan puasa di bulan Sya’ban (Isnin-Khamis, 15-16-17).
4. Membaca Al-Quran (meletakkan matlamat satu juz sehari misalnya).
5. Mujahadah untuk bangun malam (beberapa kali seminggu).
6. Berzikir setiap masa, Al-Mathurat pagi dan petang (penggunaan tasbih sangat membantu).

Ilmu 
1. Membaca/belajar buku Feqah Puasa dengan lengkap beserta kelebihan, rahsia, dan tafsiran ayat Al-Quran yang berkait dengan puasa.
2. Membaca buku-buku penyucian jiwa.
3. Mendengar ceramah-ceramah tentang Ramadhan.
4. Mengulangkaji surah-surah yang telah dihafal, sebagai persediaan solat samada sebagai imam atau makmun di bulan Ramadhan.

Dakwah 
1. Bersedia untuk memberi tazkirah/ceramah tentang kelebihan dakwah di bulan Ramadhan.
2. Menghadiri majlis ilmu di masjid-masjid samada sebagai penceramah atau pendengar.
3. Mengingatkan orang lain tentang kepentingan membuat persediaan untuk Ramadhan.
4. Memberi hadiah Ramadhan kepada rakan-rakan dengan tujuan mendekatkan diri dan mereka kepada Allah.
5. Menyediakan risalah/majalah kecil untuk jiran-jiran tentang persediaan menyambut Ramadhan.

Keluarga 
1. Membuat persediaan bersama seluruh ahli keluarga untuk menyambut Ramadhan terutama dari aspek iman dan ilmu.
2. Membaca buku berkaitan Ramadhan bersama-sama.

Keazaman 
1. Membuka lembaran amalan baru yang jauh lebih baik.
2. Menjadikan hari-hari dalam bulan ini, lebih baik dari hari-hari biasa.
3. Sentiasa memakmurkan rumah Allah, pada setiap solat fardhu dan iktikaf.
4. Membersihkan puasa dari perkara yang merosakkannya seperti mengumpat.
5. Sentiasa berlapang dada.
6. Menghadirkan niat untuk amal soleh di bulan puasa.

Jihad 
1. Merealisasikan matlamat ‘Bersungguh-sungguh melawan nafsu’.
2. Menahan diri dari berlebihan dalam perkara harus (makan, pakaian, tidur).
3. Menjaga lidah dari berkata keji, mengumpat, dan mencaci.
4. Menahan syahwat dari perkara yang haram.
5. Membuat semakan amalan di bulan Ramadhan tentang segala yang dibincangkan di atas.



Sunday, June 15, 2014

Ujian PT3 ganti PMR bermula 1 Julai



KUALA LUMPUR 14 Jun - Ujian Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR) akan bermula 1 Julai ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penilaian akan dimulakan dengan Instrumen Kajian Kes berbentuk kerja kursus bagi mata pelajaran Sejarah dan Geografi bermula 1 hingga 18 Julai.

Menurutnya, ujian bertulis bagi 11 mata pelajaran lain pula akan diadakan pada 12 hingga 17 Oktober depan.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, ujian lisan (mendengar dan bertutur) bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris akan dijalankan dalam tempoh 6 hingga 29 Ogos ini.

Kita sudah buat keputusan bahawa PMR tidak diteruskan bermula tahun ini dan dalam tempoh beberapa minggu lagi akan diadakan ujian menggantikan peperiksaan awam berpusat iaitu PT3 bertujuan melihat pencapaian prestasi pelajar mengikut penilaian band 1 (paling lemah) hingga band 6 (paling baik).

Dengan pentaksiran ini kita tahu bagaimana pencapaian pelajar-pelajar bukan di akhir tahun tetapi di peringkat awal tahun lagi dan guru akan mengetahui kekuatan dan kelemahan pelajar dan mereka yang mundur dapat kita baiki sejak awal dan apabila di hujung tahun mereka akan lebih cemerlang,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Amal Bukit Damansara, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin meminta semua pihak termasuk ibu bapa untuk memberi peluang kepada pelaksanaan sistem penarafan baharu itu selaras dengan perkembangan sistem pendidikan peringkat global yang menuntut pelajar berfikir aras tinggi iaitu bukan semata-mata menghafal.

Menurutnya, walaupun corak penilaian agak berbeza, beliau percaya sistem berkenaan mampu diadaptasi oleh para pelajar dan guru sekali gus semua pihak dapat menerima kebaikan sistem tersebut apabila tahap pencapaian pelajar akan dinilai secara lebih telus.
Ini tahun pertama dianjurkan, jadi kita faham ada pihak belum mengetahuinya dan saya sedar ibu bapa juga belum faham, tetapi kita akan memberi penjelasan berterusan melalui sarana Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sehingga ibu bapa faham.

Saya minta ibu bapa menerima usaha sebegini, ibu bapa boleh datang ke sekolah pada bila-bila masa untuk melihat prestasi pentaksiran yang dibuat lebih telus,’’ katanya.
Muhyiddin berkata, seramai 63,000 guru tingkatan tiga telah pun diberi latihan sewajarnya dan pihak sekolah akan diberi bantuan daripada Lembaga Peperiksaan yang akan menyediakan tabung soalan untuk dipilih oleh guru sekolah bagi menguji kecekapan pelajar.

Muhyiddin berkata, pihak lembaga seterusnya akan mengumpul maklumat serta membuat analisis pencapaian pelajar secara keseluruhan dan perkara itu akan dijadikan penanda aras baharu penilaian tingkatan tiga.

Sesetengah pihak juga ada menyatakan apabila penilaian di buat di sekolah maka berlaku ketidakadilan kerana pihak sekolah akan memberi penilaian tinggi walaupun pelajar mereka tidak cemerlang, namun perkara itu akan diatasi dengan bentuk penilaian dibuat oleh pemeriksa daripada sekolah lain supaya keputusannya selaras. 

Sijil yang akan dikeluarkan pula mengikut format baharu iaitu dengan diletakkan gred band kerana peperiksaan dibuat di sekolah dan tidak lagi secara berpusat,’’ katanya.

sumber : Utusan Malaysia

Tuesday, June 10, 2014

TPM Lakukan Lawatan Kerja Sehari Ke Terengganu, Khamis Ini



YAB Dato' Hj Ahmad Razif bin Abdul Rahman
Menteri Besar Terengganu

KUALA TERENGGANU, 10 Jun (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadual melakukan lawatan kerja sehari ke Terengganu, Khamis ini, kata Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman.

Beliau berkata menurut kenyataan dikeluarkan Pejabat Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin akan meninjau gerai di pasar nelayan serta minum pagi bersama para nelayan di Pasar Nelayan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Seberang Kastam, Kuala Besut, Besut.

Muhyiddin kemudiannya akan merasmikan majlis pelancaran 'Jom Bertani' peringkat kebangsaan di Tapak Perasmian Kampung Nyior Tujuh dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Jertih, Besut.

Pada sebelah petang, Muhyiddin, yang juga Menteri Pendidikan dijadual menyampaikan ucaptama kepada warga pendidik negeri ini pada Seminar Profesionalisme Pengurusan Pendidikan di Hotel Tabung Haji, di sini sebelum berlepas pulang ke ibu negara.

-- BERNAMA