Tuesday, November 22, 2011

Harap agenda pendidikan negeri diteruskan


Razali Daud (kiri) menyerahkan fail kepada Hashim Mat Zin di majlis serah tugas 
Pengarah Pelajaran Negeri di Kuala Terengganu, kelmarin. 

KUALA TERENGGANU 21 Nov. - Setelah lebih 34 tahun berkhidmat dalam sektor pendidikan, Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Razali Daud mencapai usia persaraan, semalam.

Razali, 58, menyerahkan tugas kepada Timbalannya, Hashim Mat Zin dalam satu majlis ringkas di pejabatnya hari ini yang akan memikul tangung jawab itu buat sementara waktu.

Razali ketika ditemui pemberita berkata, persaraannya tidak akan membataskan khidmatnya dalam bidang pendidikan di negeri ini.

"Sekiranya masih diperlukan, saya akan terus menyumbang apa yang termampu termasuk dari segi tenaga dan buah fikiran untuk kebaikan sistem pendidikan di sini.

"Saya sendiri mengimpikan Terengganu negeri terulung dalam bidang pendidikan di negara ini," katanya.

Pada masa sama, Razali turut berharap agar warga pendidik terus mempertingkatkan komitmen masing-masing di bawah kendalian pengarah baru nanti.

"Bidang pendidikan perlu dijaga, diberikan perhatian, diteliti dan dirancang dengan sebaik mungkin demi kepentingan anak bangsa.

"Justeru, saya harap pengarah baru nanti akan teruskan agenda kita untuk melestarikan pendidikan terbilang di negeri ini dalam usaha menjadikan Terengganu sebagai Negeri Anjung Ilmu," ujar beliau.

JPN Terengganu kumpul RM80,513 untuk Palestin


KUALA TERENGGANU 21 Nov. - Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) berjaya mengumpul RM80,513 hasil Kempen Ramadan Untuk Palestin di sekolah-sekolah sepanjang Ogos lalu.

Pengarahnya, Razali Daud berkata, sumbangan itu diterima daripada pelajar menerusi tabung yang dibekalkan ke setiap sekolah menengah dan rendah di seluruh negeri.

"Dengan adanya sumbangan ini, ia diharap dapat menampung peruntukan sebanyak RM511,000 yang diperlukan oleh Aman Palestin bagi diserahkan kepada rakyat Palestin," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada majlis ringkas bagi menyerahkan cek sumbangan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin, Awang Suffian Awang Piut di sini semalam.

Sumbangan terbesar diterima dari Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Terengganu iaitu sebanyak RM24,046 diikuti Kemaman sebanyak RM13,035, Besut (RM10,625), Marang (RM10,055), Dungun (RM9,846), Hulu Terengganu (RM7,778) dan Setiu (RM5,126).

Razali memberitahu, selain pungutan derma, pihak Aman Palestin juga dibenarkan mengadakan ceramah dan tayangan video berkaitan isu-isu Palestin di empat sekolah di negeri ini.

Sumber : Utusan Malaysia Online 


 

Monday, November 21, 2011

Wang bantuan RM100 perlu diberikan sepenuhnya - Muhyiddin




BANGI 21 Nov. - Pihak sekolah perlu mengagih-agihkan pemberian bantuan kerajaan sebanyak RM100 kepada pelajar sepenuhnya, tanpa membuat sebarang pemotongan, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, arahan sudah dikeluarkan dan langkah itu bagi merealisasikan apa yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Belanjawan 2012 bulan lepas, dapat dinikmati rakyat.

"Mudah saja, tiap-tiap pelajar yang berada dalam sistem pendidikan negara, sama ada dalam sekolah kerajaan atau swasta, semua layak dapat.

"Tanggungjawab guru, jangan soal, beri RM100 bagi tiap-tiap pelajar kepada ibu bapa. Itu saja. Dan saya sudah beritahu dan arahan, jangan ada pemotongan dan jangan buat taksiran pelbagai. Serah dulu RM100.

"Jika ada cita-cita lain nak beri PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) atau nak buat itu ini, itu soal kedua tetapi untuk menunjukkan bahawa apa yang disebutkan oleh Perdana Menteri dalam bajet bahawa itu benar-benar berlaku, maka sekolah yang bertanggungjawab mesti sampaikan jumlah yang disebutkan, RM100 tidak lebih dan tidak kurang,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Ilham Desa peringkat Kebangsaan di sini hari ini. - Bernama