Monday, February 21, 2011

Perkongsian - Selayang Pandang,SK Padang Mengkuang

Kantin - dicalonkan ke peringkat kebangsaan pertandingan Kantin Bersih

Sempena lawatan penilaian dan pemantauan Anugerah Pengurusan Cemerlang Kategori Sekolah Rendah,Hari Guru 2011,kami rakamkan Selayang Pandang sudut yang boleh kita nikmati dan kongsikan di SK Padang Mengkuang,Marang,Terengganu...TAHNIAH KEPADA SELURUH WARGA SK PADANG MENGKUANG

Jadual Penilaian Anugerah Sekolah Pengurusan Cemerlang SR ,Hari Guru Negeri 2011

Sebagaimana tradisi tahun sebelumnya Jawatankuasa Hari Guru Negeri 2011 akan mengadakan pelbagai aktiviti bagi memeriahkan sambutan. Antaranya ialah memilih sekolah rendah yang terbaik dari segi aspek pengurusan dan pencapaian untuk dianugerahkan sebagai Anugerah Pengurusan Sekolah Terbaik Kategori Sekolah Rendah,Hari Guru Negeri 2011.

Berikut ialah sekolah yang telah dicalon oleh PPD masing-masing bagi merebut anugerah tersebut dan Panel Penilaian akan melaksanakan pemantauan sebagaimana jadual. Diharap sekolah-sekolah yang dicalonkan dapat membuat persediaan;


Panduan penilaian klik di sini

Sunday, February 20, 2011

Sekitar Taklimat dan Penyampaian Surat Penempatan Sekolah Untuk LPBS J-Qaf Ambilan Jan 2011

Seramai 138 orang daripada 150 orang LPBS J-Qaf Ambilan Jan 2011 menerima surat penempatan sekolah untuk latihan perguruan di bawah mod LPBS selama satu setengah tahun mulai besok. Mulai esok semua pelatih J-Qaf ini akan melapor diri di sekolah yang akan melaksanakan program berkenaan sama ada sekolah peluasan ataupun pembukaan program baru J-Qaf.

Sementara dua belas lagi tidak hadir melapor diri kerana ada yang mendapat tawaran jawatan lain dan sebahagiannya lagi tidak layak ditawarkan kerana mengandung.

Ketua Unit Rendah,En.Jelani Sulong dalam taklimatnya dalam program yang diadakan di SK Sultan Sulaiman 1 mengingatkan pelatih-pelatih J-Qaf supaya dalam masa latihan setahun setengah ini mereka tidak boleh mengandung setelah menandatangani perjanjian kerana jika berlaku mereka akan diberi penangguhan selama setahun. Beliau juga menambah bahawa mengikut Perjanjian LPBS pelatih yang berjaya dalam latihan akan dilantik sebagai Guru Siswazah di sekolah yang sama dan mesti bertugas sekurang-kurangnya selama 36 bulan sebelum layak mohon bertukar ke sekolah lain.

Penolong Pengarah Operasi Program J-Qaf, Ustaz Wan Fauzi berharap semua pelatih perlu memberi imej yang baik semasa melapor diri esok di samping memberi sepenuh komitmen kepada latihan ini dan program lain di peringkat sekolah. Beliau juga mengingatkan terutama Guru Besar bahawa guru latihan J-Qaf tidak boleh dilibatkan dengan apa juga kursus anjuran PPD dan JPN atau menjadi hakim dan pengiring di peringkat luar dari sekolah kerana mereka berstatus "bukan guru" atau 'pegawai tetap".

Semua pelatih J-Qaf telah menerima surat penempatan mereka daripada En.Zakariah bin ALI,Ketua Sektor,Sektor Pengurusan Sekolah. Sebelum itu semasa ucapannya beliau mengingatkan guru agar sentiasa prograsif dan sentiasa kehadapan bukan seperti "cikru" yang lembab dan sentiasa berjalan mengundur ke belakang.

Laporan Minggu 3 - Ujian UKM1 - Permatapintar

Negeri Terengganu
SK - 337 buah
SJKC - 10 buah
SMK - 111 buah
SMKA - 6 buah
SABK -14 buah
SBP -5 buah
SMT - 5 buah

 
 Negara
MENGAMBIL UJIAN KLIK

Saturday, February 19, 2011

2 sekolah Terengganu diiktiraf SBT

Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI

utusanterengganu@utusan.com.my

KUALA TERENGGANU 18 Feb. - Pengiktirafan dua buah sekolah di negeri ini sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) Kohort Kedua 2011 menjadi asas kepada pencapaian yang lebih besar pada masa depan.

Selain membanggakan seluruh warga pendidik di negeri ini, ia menjadi perangsang bagi sekolah-sekolah lain meningkatkan kecemerlangan akademik dan menempa nama dalam pelbagai pertandingan di persada negara dan antarabangsa.


Ketua Sektor Pengurusan dan Akademik Jabatan Pelajaran negeri, Mohd. Zubir Embong, pemilihan Sekolah Menengah Imtiaz Besut dan Sekolah Kebangsaan Sultan Ismail, Kemaman adalah tepat.
''Biarpun pihak jabatan mensasarkan tiga buah sekolah setiap tahun menerima pengiktarafan tersebut namun dua buah sekolah itu sudah memadai untuk peringkat permulaan," ujar beliau.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam yang menyenaraikan 23 buah sekolah lagi yang diiktiraf sebagai SBT bagi Kohort Dua menjadikan jumlah keseluruhannya 43 buah setakat ini.


Sebelum ini, sebanyak 20 buah sekolah telah diumumkan sebagai SBT pada tahun 2010 namun tiada sekolah di negeri ini tersenarai dalam kelompok perintis itu.


Menurut Zuber, apa yang penting langkah untuk mengekalkan prestasi sekolah berkenaan di tahap yang paling cemerlang terus dilakukan selain merealisasikan sasaran tiga buah sekolah SBT setiap tahun pada masa akan datang.


"Dalam usaha ke arah itu, pelaksanaan melalui pelan induk Hala Tuju Pembangunan Pendidikan Negeri Terengganu akan digerakkan merangkumi pelbagai agenda dan program untuk sekolah tersebut.


"Pengiktirafan ini juga membakar semangat kita untuk terus melahirkan mereka-mereka yang berjaya dalam bidang pendidikan seterusnya mencapai hasrat kerajaan melaksanakan pendidikan terbilang Terengganu pada masa depan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam usaha menempatkan sekolah-sekolah dalam kelompok SBT, pihak jabatan telah melakukan lawatan ke beberapa buah sekolah yang telah diiktiraf untuk meninjau perkembangannya.
"Kecemerlangan kita di dalam bidang pendidikan telah diakui namun ada beberapa perkara yang kita masih tidak memenuhi spesifikasi kementerian pada tahun lalu menyebabkan kita gagal terpilih.


"Justeru itu, dengan pengiktirafan dua buah sekolah ini membolehkan ia menjadi penanda aras buat sekolah-sekolah lain untuk meningkatkan kecemerlangan mereka.


''Kita mahu memastikan sasaran untuk mencapai tiga buah sekolah SBT setiap tahun tercapai dan ini menuntut komitmen semua pihak," ujarnya.

Friday, February 18, 2011

Renungan Jumaat - Jangan Celupar Mulut Dengan Anak-Anak


Do'a ibu bapa kepada anak-anak adalah mustajab dan cepat diterima oleh Allah Subhanahu Wata'ala. Oleh kerana itu, janganlah diucapkan kata - kata yang jahat - jahat dan tidak baik kepada anak - anak yang nakal atau cerdas, kerana tersebut di dalam sebuah hadis yang bermaksud:

"Ada tiga do'a yang diterima oleh Allah Ta'ala iaitu do'a orang yang kena zalim atau kena aniaya ke atas orang yang menzaliminya, do'a orang yang sedang belayar dan do'a ibu bapa ke atas anaknya." (Hadis riwayat Tirmizi, Abu Daud dan Ibnu Majah)

Kanak - kanak yang nakal atau cerdas menunjukkan ia cerdik dan pandai. Mereka akan sentiasa bergerak, dan ada sahaja perkara yang hendak dibuatnya. Mereka tidak ingin duduk diam. Kelakuan ini adalah sifat semula jadi kanak - kanak. Karenah seperti ini kadang-kadang menimbulkan rasa tidak menyenangkan kepada setengah ibu bapa. Bagi ibu bapa yang kurang kesabaran, mereka akan mengeluarkan kata - kata yang tidak baik seperti menyumpah seranah dan lain-lain perkataan yang boleh membawa akibat yang tidak baik ke atas anak mereka.


Ibu bapa haruslah mengelak dari menggunakan perkataan - perkataan negatif kepada anak - anak seperti berkata bodoh, tak faham bahasa, tak dengar kata, pemalas, samseng, degil, keras kepaladan lain lain

Dari itu, ibu bapa hendaklah melayani anak-anak mereka dengan penuh sabar dan sifat kasih sayang, sebab di tangan ibu bapalah yang akan mencorakkan warna - warni kehidupan anak - anak mereka. Setiap ibu bapa tentulah berharap anak-anak mereka akan menjadi orang yang berguna kepada keluarga, bangsa, agama dan negara pada masa yang akan datang. Bahagia anak-anak ada di tangan ibu bapa, demikian juga sebaliknya. Sabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam maksudnya:

"Daripada Abu Hurairah Radhiallahu Anhu katanya: Sabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam: "Tidak ada seorang kanak-kanak yang dilahirkan melainkan dalam keadaan suci (fitrah), maka kedua ibu bapanya yang bertanggungjawab menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Allah Subhanahu Wata'ala memerintahkan ibu bapa supaya menjaga anak-anak mereka daripada terjerumus ke jurang api neraka. Dalam hubungan ini, tanggungjawab ibu bapa ialah mendidik, mengajar dan membimbing mereka dengan tunjuk ajar, nasihat, adab sopan, pelajaran agama, mengerjakan ibadat sembahyang dan lain-lain ibadat wajib, cara berpakaian dan sebagainya dari sejak mereka kecil lagi. 

"Hai mereka yang beriman, ambil perlindungan diri kamu dan ahli-ahli kamu, isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu daripada api neraka dengan berbuat taat kepada Allah dan beramal dengan hukum-hakam Allah."
(Surat at-Tahrim:6)

Diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dengan isnad yang sahih daripada sahabat Jabir Radhiallahu Anhu telah berkata : "Telah bersabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam maksudnya:

"Jangan kamu do'akan (menyumpah seranah) di atas diri kamu, jangan kamu menyeranah di atas anak - anak kamu, jangan kamu menyeranah di atas pakaian kamu, jangan kamu menyeranah di atas pekerjaan kamu, jangan kamu menyeranah di atas harta - harta kamu, jangan kamu berjumpa suatu saat yang diterima do'a kamu dengan seranah kamu itu, maka Allah akan menerimanya daripada kamu, yakni ada saat-  saat dan waktu yang sangat dilulus permintaan dan do'a seseorang itu. Oleh takutilah kamu akan saat yang baik jadi tempat diterima do'a jahat dan seranah kamu itu." (Hadis ini tersebut dalam Sahih Muslim)

Di dalam hadis-hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah dan Ibnu Sunni, daripada sahabat Huzaifah Radhiallahu Anhuma telah berkata: "Saya mengadu kepada Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam akan jahat mulut saya," sabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam yang bermaksud:

"Di mana kamu daripada mengucap istighfar, yakni jangan jauh daripada istighfar, bahawa demi saya (Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam yang mengucapkan yakni mohon ampun daripada Azzawajalla tiap-tiap hari 100 kali."

Di dalam kitab Sunan Abu Daud dan Ibnu Majah daripada sahabat Ibnu Abbas Radhiallahu 'Anhu telah berkata: 'Telah bersabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam yang bermaksud:

"Barangsiapa selalu mengucap Istighfar nescaya Allah lepaskan dia daripada segala kesusahan dan daripada segala masalah dan daripada segala perkara berbangkit yang menyusahkan, dan Allah Ta'ala lepaskan dia daripada segala sedih dan bimbang dan Allah Ta'ala murahkan rezekinya dan diberi rezeki daripada pihak yang tidak disangka."

Oleh yang demikian, khusus kepada ibu bapa atau siapa saja yang celupar mulutnya hendaklah memperbanyak ucapan istighfar setiap hari supaya terhindar daripada ucapan - ucapan yang tidak baik kepada anak atau orang lain.

Rencana Sumbangan: 
Ustaz Hatta Che Man,Guru Besar,SK Pasir Puteh,Merchang.

Thursday, February 17, 2011

Tahniah SM Imtiaz dan SK Sultan Ismail Kemaman antara 23 buah diiktiraf SBT Kohort 2

SK Sultan Ismail, Kemaman

LIMBANG: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan nama 23 sekolah lagi yang diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) selepas ia didapati memenuhi kriteria yang diperlukan.

Beliau membuat pengumuman nama-nama sekolah itu semasa melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Lubai, kira-kira 55 kilometer dari sini, yang juga salah satu daripada sekolah yang tersenarai di bawah pengiktirafan itu
 
Katanya, sekolah-sekolah itu terdiri daripada Sekolah Menengah Imtiaz, Terengganu; Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Empat, Selangor; Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Perak; Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak, Selangor; Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Kubang Pasu, Kedah; Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Pekan, Pahang; Sekolah Menengah Sains Alam Shah, Kuala Lumpur; Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra, Kelantan; Sekolah Menengah Sains Miri, Sarawak; Sekolah Menengah Sains Seri Puteri, Kuala Lumpur; Sekolah Menengah Sains Selangor, Kuala Lumpur; Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah, Pahang dan Sekolah Menengah Sains Muar, Johor;

Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Lubai, Sarawak; SK Convent Muar, Johor; SK Seri Biram, Pahang; SK Sultan Ahmad Tajuddin, Kedah; SK Setiawangsa, Kuala Lumpur; SK (Perempuan) Methodist Kuantan, Pahang; SK Sultan Ismail, Terengganu; SK Jalan Tiga, Selangor; SJK(C) Perempuan China, Pulau Pinang dan SJK(C) Lick Hung, Selangor.


Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, tahun lalu 20 sekolah diumum sebagai SBT.
Berhubung pencapaian SK Ulu Lubai, Muhyiddin berkata, sekolah ini menunjukkan pencapaian akademik yang cemerlang sejak 2006 dengan memperolehi kelulusan 100 peratus dalam UPSR.

Katanya, sekolah itu mengambil pelbagai inisiatif yang cukup luarbiasa sehingga membolehkan ia menjadi sekolah pedalaman pertama mendapat pengiktirafan Sekolah Berprestasi Tinggi.

Beliau berkata, sekolah itu juga pernah memenangi dua anugerah di peringkat antarabangsa, lima anugerah peringkat kebangsaan dan 14 peringkat negeri. - BERNAMA

Majlis Budi Abadi Sektor Pengurusan Sekolah

Tengahari tadi (17 Feb 2011) berlangsung Majlis Budi Abadi Sektor Pengurusan Sekolah di Motel Desa,Kuala Terengganu. Majlis ini diadakan bagi meraikan pegawai dan staf Sektor Pengurusan Sekolah yang bertukar atau bersara.

Pengarah Pelajaran Terengganu,En.Razali bin Daud  turut hadir dan menyampaikan cenderamata kepada pegawai dan staf yang bertukar. Semua Ketua Unit daripada empat unit di bawah Sektor Sekolah berserta pegawai dan staf juga hadir sama.Terdahulu majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Tuan Haji Othman bin Abdullah dari Unit Perhubungan Dan Pendaftaran dan diikuti dengan ucapan dari Ketua Sektor Pengurusan Sekolah,En.Zakariah bin Ali.

Kita berdoa semoga rakan-rakan seperjuangan yang pernah bersama di Sektor Pengurusan Sekolah sentiasa bahagia dan gembira di tempat baru serta berdoa semoga persahabatan akan terus berkekalan.

Pelancaran Buku Sempena Hari Guru Kebangsaan 2011

Bahagian Pendidikan Guru selaku Jawatankuasa Kecil Pelancaran Buku Sempena Perayaan Hari Guru Kebangsaan 2011 mempelawa penulis buku dari kalangan pendidik melancarkan buku-buku tulisan mereka. Mana-mana penulis pendidikan dari Terengganu ataupun seluruh negara boleh mengemukakan buku mereka kepada Bahagian Pendidikan Guru pada atau sebelum 1 Mac 2011.

Keterangan lanjut boleh diperoelehi di sini

Wednesday, February 16, 2011

Pertukaran dan Penempatan Guru Besar Dan GPK Berkuatkuasa 16 Feb 2011

"Buatlah kerja kita kerana Allah dan Rasul pasti kita akan merasai keseronokan dan kepuasan yang sebenar",begitulah antara ucapan En.Zakariah Ali,Ketua Sektor Pengurusan Sekolah sewaktu upacara penyampaian surat Pertukaran dan penempatan Guru Besar dan GPK kuatkuasa 16 Februari 2011 di pejabat beliau pagi tadi.

Beliau juga mengingatkan bakal Guru Besar dan GPK agar mempunyai visi dan misi disamping mengamalkan kebijaksanaan dalam melaksanakan tanggungjawab di sekolah. Selain dari itu beliau berharap Guru Besar dan GPK sentiasa berganding bahu dan menjauhi sebarang perselisihan yang boleh menyebabkan lunturnya keyakinan guru,murid,ibubapa dan masyarakat kepada pihak pengurusan sekolah.

Senarai Guru Besar dan GPK klik di sini