Sunday, February 28, 2016

Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Ketua Sektor

KUALA TERENGGANU - Jam 4.00  petang tadi telah berlangsung Majlis Penyerahan Watikah Ketua Sektor Pengurusan Sekolah dan Ketua Sektor, Sektor Pengurusan Akademik oleh Yang Berusaha Tuan Haji Safruddin bin Haji Ali Hussain, Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu. Majlis telah diadakan di Bilik Mesyuarat Alamanda, Jabatan  Pendidikan Negeri Terengganu.

En. Azhar bin Abu Bakar, Ketua Sektor, Sektor Pengurusan Akademik telah dilantik sebagai Ketua Sektor, Sektor Pengurusan Sekolah menggantikan En. Ahmad Shukor bin Mansor yang bersara wajib pertengahan Januari lepas. Sebelum ini En. Azhar Abu Bakar adalah mantan Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Terengganu. Beliau pernah menjawat jawatan sebagai Pengetua SMK Padang Pulut, Dungun, Terengganu. Beliau yang mempunyai pengalaman pengurusan yang luas serta "cool" dan tenang dikatakan oleh banyak pihak sangat sesuai berada di "hot chair" ini.

Sementara tempat yang dikosongkan oleh En. Azhar Abu Bakar  telah diisi oleh En. Azman bin Othman, Pengetua SMK Pengkalan Berangan, Marang. Sektor Pengurusan Akademik tidak asing bagi beliau kerana beliau adalah mantan Ketua Penolong Pengarah Bahasa di sektor berkenaan yang mahir Bahasa Inggeris. Sebelum itu beliau lama berkhidmat di BTPN Terengganu sebagai Penolong Pengarah dan fokusnya berkaitan peningkatan Bahasa Inggeris.

Kita percaya kombinasi pasukan pengurusan yang mantap dapat merealisasikan aspirasi PPPM, TTB dan MTP yang dilaksanakan dan didokong bersungguh-sungguh oleh pengarah dan warga guru negeri Terengganu.


Tahniah, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah



Friday, February 26, 2016

Pendaftaran Murid Tahun 1 Bagi Sesi 2017 dan 2018.


Dengan hormatnya dimaklumkan ibubapa/penjaga yang mempunyai anak lahir pada 2.1.2010 - 1.1.2011 dan 2.1.2011- 1.1.2012  boleh mendaftar anak= anak mereka di sekolah berhampiran atau kawasan tadahan masing masing.


Urusan pendaftaran bermula pada 1 Mac 2016 hingga 31 Mac 2016 di pejabat sekolah (hari bekerja sahaja)

Sila bawa bersama salinan dokumen berikut:

1. Sijil lahir dan salinan fotostat.
2. Kad pengenalan ibubapa dan salinan fotostat.
3. Surat nikah dan salinan fotostat
4. Bil elektrik/ Air/Astro untuk pengesahan alamat.

Kerjasama tuan/puan amat dihargai dan didahului dengan ucapan terima kasih.

Thursday, February 25, 2016

Cergas dah sihat

Kebelakangan ini ramai kita dapati warga guru bukan sahaja menghidapi pelbagai penyakit kronik tetapi juga telah pergi mendahului kita. Benar hidup mati, rezeki dan jodoh pertemuan di tangan tuhan namun berusaha mencapai sesuatu yang baik dan menghindarinya sesuatu yang memudaratkan bukanlah pula melanggar suratan takdir. Bahkan ia adalah satu pernyataan syukur kerana menggunakan akal dan kudrat yang Allah kurniakan bagi mencari kebaikan dan kesempurnaan dalam hidup.

Pelbagai sebab kematian warga guru kita seperti serangan jantung, kanser dan pelbagainya lagi. Jelas sekali penyakit yang dihidapi oleh warga guru berkait rapat dengan rencam hidup masa kini seperti stress, cara gaya hidup dan amalan pemakanan yang tidak seimbang. Oleh yang demikian, menyedari hakikat itulah Tuan Haji Shafruddin Ali Hussain, Pengarah Pendidikan Terengganu memperkenalkan dan menggalakkan warga  Jabatan Pendidikan Negeri misalnya mengadakan hari keluarga, pemeriksaan kesihatan berkala dan senamrobik bulanan. Usaha ini diharapkan dapat menyedarkan kakitangan dan pegawai tentang pentingnya  menjaga kesihatan kerana badan yang cergas dan sihat saja mampu mempertingkatkan kualiti dan produktiviti

Program Cergas Senamrobik ini telah dimulakan beberapa tahun dahulu tetapi diperkasa dan ditransformasikan oleh pengarah sekarang dengan cara berjadual tetap dan melibatkan semua warga Jabatan Pendidikan Negeri. Kita berharap melalui usaha-usaha seperti ini,  kita dapat melahirkan pegawai yang cergas dan sihat untuk melaksanakan tugas.

Kita juga sarankan agar pihak sekolah boleh mengambil inisiatif yang sama untuk memikirkan program-program yang boleh mengeratkan ukhwah dan program berorientasikan kecergasan dan kesihatan kepada para guru, kakitangan dan juga para pelajar. Program seperti inilah kita dapat membina semangat cintakan sekolah, negara dan bangsa dengan menerapkan semangat jati diri melalui lagu, karya seni dan "world cry" yang menggetarkan jiwa dan semangat untuk terus berjuang dengan sihat, cergas dan selamat.