Wednesday, December 30, 2015

Tahun 2015 penuh kenangan, 2016 menanti cabaran

Sehari dua lagi kita akan melangkah ke tahun baru 2016. Berasaskan situasi semasa khususnya kedudukan harga minyak dunia maka ada berpendapat tahun 2016 akan penuh getir dan mencabar. Walau apapun berlaku kita tidak boleh lari, mengelak apa lagi berundur. Kita mesti hadapi dengan penuh keberanian dan kebijaksanaan yang ada. Kita yakin tentu ada cara mengatasinya. Kadang keadaan tidak seteruk mana tapi persepsi dan nilai-nilai berubah begitu rupa.

Apapun sebagai sumber inspirasi dan kekuatan, tidak salah kita merenung kembali saat-saat manis sepanjang tahun 2015 khususnya pencapaian KPI atau target yang kita sasarkan pada tahun 2015. Kalau berjaya kita perlu mencatat susur galur prosesnya untuk dijadikan panduan oleh orang-orang terkemudian. Kalau gagal kita mencari sebab mengapa tidak berjaya untuk kita memperbaiki kelemahan kita dan organisasi kita pada masa hadapan. Apa lagi kalau kita pemimpin organisasi , kita memikul penanggungjawaban di atas segala yang berlaku pada organisasi kita. Menyalahkan anak buah, sistem atau apa sahaja di sekeliling kita bukanlah cara terbijak kerana pada prinsipnya samalah kita menyalahkan diri kita sendiri justru kegagalan kita mengambil langkah awal mengatasi kelemahan tersebut.

Bagaimanapun secara sepintas selalu tahun 2015 pendidikan Terengganu mencipta zaman kegemilangan yang hebat. Pastinya kegemilangan itu bermula dengan kepimpinan pendidikan baru di bawah Tuan Haji Shafruddin bin Haji Ali Hussin sebagai Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu. Beliau yang mempunyai rekod cemerlang sebagai pengurus pendidikan sebelum ini mula mengadakan gerakan "Memperkasakan Transfiormasi Pendidikan" selepas menjadi pengarah dan berjaya membuat pelbagai pembaharuan dan transformasi ke arah kecemerlangan pendidikan negeri Terengganu. Tindakan berani dan luar biasa beliau sama ada pelantikan pegawai, pengetua dan juga guru besar selaku barisan utama kepimpinan telah menampakkan impak positif . Antaranya keputusan UPSR 2015 dan PT3 telah menunjukkan peningkatan tinggi dan luar biasa. Kita percaya momentum ini akan diteruskan oleh semua warga guru bagi tahun 2016.

Sebenarnya jika ingin ditulis terlalu banyak pencapaian dalam pelbagai bidang untuk tahun 2015. Dan harus kita akui di samping kita mempunyai Pengarah Pendidikan dan barisan kepimpinan hebat kita juga mempunyai pemimpin idola negeri yang hebat iaitu YAB Dato' Seri Haji Ahmad Razif, Menteri Besar Terengganu yang meletakkan agenda pembangunan pendidikan sebagai salah satu prinsip Transformasi Terengganu Baharu (TTB). Kombinasi, gabungan kerjasama dan persefahaman dua pemimpin ini dan dengan sokongan YB En. Ghazali bin Taib, Exco Pendidikan dan YB Dato' Haji Mohd Zubir Embong, Yang Dipertua Dun Terengganu yang juga bekas guru menjadikan Terengganu ledakan budaya dan kecemerlangan ilmu.

Saya teringat bagaimana kagumnya dan terujanya para penyelia yang mengadakan Persidangan Pengelola Kebangsaan April lepas di Permai Hotel bila mendengar ucapan Pengarah Pendidikan Terengganu dan YDP Dewan Undangan Negeri tentang formula kejayaan Terengganu yang unik itu. Begitu juga beberapa orang Guru Besar dari luar yang ditempatkan di Terengganu, mereka sangat kagum dan berkata Terengganu berada sepuluh langkah di hadapan berbanding apa yang ada di negeri mereka yang mampu dilaksanakan dalam bidang pendidikan.

Apa yang jelas kita bergerak ke arah yang lebih cemerlang dan terbilang. Pengetua dan Guru Besar selaku barisan hadapan telah dapat berkongsi dan menghayati Memperkasakan Transformasi Pendidikan. Kita juga harus berterima kasih kepada Guru-Guru Penolong Kanan dan Guru-Guru yang sekolah mereka tidak dapat diisi dengan Guru Besar kerana ketiadaan calon tetapi telah mampu menunjukkan konsistensi pencapaian mereka. Ini merupakan bukti kesetiaan, semangat cintakan kecemerlangan di kalangan pendidik kita. Syabas dan tahniah.

Kita berharap semangat jati diri, cintakan ilmu di kalangan warga pendidikan dan sokongan ibu bapa yang berterusan kita mampu menghadapi tahun 2016 dengan gagah dan berani. Apa jua kemungkinan dengan semangat bersatu padu pasti kita berupaya mengatasinya dan mampu meneruaskan tradisi sebagai juara pendidikan di negara ini.

0 ulasan:

Post a Comment