Wednesday, January 4, 2017

Sejarah dirujuk visi ditunjuk

Salam Sejahtera khususnya kepada warga pendidik yang dikasihi,

Rasa belum terlambat untuk kita ucapkan Selamat Tahun Baru 2017 dan Selamat Kembali Ke Sekolah setelah bercuti panjang. Sudah terlalu lama blog ini tidak update. Ada yang kata berhantu. Hihihi mungkin benar juga. Apabila kita dirasuk dengan perkara yang sama fungsinya tapi lebih cepat dan lambat maka kita tinggalkan. Begitulah dengan blog Unit Sekolah Rendah ini terbiar sepi setelah kehadiran facebook, tweeter yang lebih pantas, mudah update dengan smartphone maka blog ini seakan terbiar.

Walau bagaimanapun pada tahun ini pasukan blogger USR akan berusaha menghidupkan kembali blog yang banyak jasa dan sumbangan ini. Bertolak kerana jasa dan sumbangan inilah juga kami sengaja tidak "padam" blog ini. Walaupun tidak update tetapi ia sentiasa dirujuk oleh banyak pihak bagi mendapatkan maklumat-maklumat yang penting. Kita tidak perlu buang dan humbangkan sewenangnya sejarah kerana ada ketikanya kita ingin merujuk kes atau peristiwa sebagai pedoman dan panduan. Oleh yang demikian, kita tidak sewajarnya mengulangi kesilapan yang sama pada masa hadapan.

Ada cerdik pandai menganalogikan proses kehidupan ini seperti membawa kereta. Untuk membolehkan kita membawa kereta kita perlukan lesen, pengetahuan dan kemahiran memandu.Begitulah juga dengan kehidupan kita. Kita diberi tauliah, ilmu dan pengetahuan supaya kita berupaya memandu hidup kita ke hadapan dengan cekal dan berani. Kita mesti ada wawasan sebagaimana kita memandu bergerak ke hadapan dan kita akan mencapai wawasan ataupun selamat tiba ke destinasi jika cekal, sabar, cekap dan berpegang teguh pada stering. Stering itu bagaikan pegangan atau akidah kehidupan untuk bergerak di jalan lurus hingga tiba ke al-falah (kecemerlangan).

Dalam proses pemanduan itu sesekali kita memandang cermin pandang belakang untuk melihat risiko dan kemungkinan. Begitulah juga dalam kehidupan kita sesekali berintrospeksi dengan masa lalu agar masa hadapan kita lebih baik dan berjaya. Jangan ulangi kesilapan yang sama lebih dari sekali kerana itulah "orang yang paling bodoh antara kamu" kata Nabi.

Oleh itu mari kita kejapkan stering di tangan menuju destinasi yang kita telah tetapkan dan sesekali dalam proses perjalanan kita melihat ke belakang, menyalami sejarah sebagai panduan dan peringatan. Semoga
tahun ini lebih baik dari tahun terkemudiaan.

1 comment:

  1. Blog dan artikel yang menarik.
    Untuk mencuba permainan Lingo sila ke laman web ini.
    http://affendi.brinkster.net/lingo

    ReplyDelete