Wednesday, May 20, 2015

50 Guru Bakal Kerjakan Umrah Sempena Hari Guru Peringkat Negeri Terengganu



Menteri Besar Terengganu, Dato Seri Haji Ahmad Razif Abd Rahman hari ini mengumumkan 50 orang guru Islam bakal dipilih mengerjahkan umrah dan bagi guru yang bukan Islam akan akan dihantar melancong keluar negara.

Menurut Ahmad razif, hadiah ini adalah untuk menghargai jasa guru-guru di negeri ini dalam mendidik anak-anak sehingga berjaya dalam semua peperiksaan dan mengekalkan  negeri Terengganu sebagai negeri terbaik .

“Itu terpulang kepada Jabatan Pendidikan untuk menentukan pemilihan guru-guru yang bakal dipilih mengerjakan Umrah.

“Keutamaan pembentukkan akhlak murid hendaklah seiring dengan penguasaan pelbagai disiplin ilmu yang dipelajari demi menyahut cabaran globalisasi kini.

“Saya yakin bahawa dengan budaya integriti dan komitmen para guru dalam menunaikan amanah dan tanggungjawab ini , matlamat pendidikan negara untuk melahirkan modal insane yang berpengetahuan tinggi , berketerampilanserta berpaksikan sahsiah terpuji akan tercapai.

“Warga guru perlu sentiasa mempertingkatkan profesionalisme serta menambah nilai intelektualbagi tuntutan tugasan yang semakin mencabar termasuklah melengkapkan murid dengan pelbagai kemahiran alaf baharu,” katanya ketika merasmikan majlis Sambutan Hari Guru peringkat Negeri Terengganu ke 44 bertemakan “ Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak” di Stadium Tertutup Gong Badak.

Dalam majlis ini juga Tuan Haji Salleh Busu yang juga mantan Timbalan Pengarah Pendidikan Terengganu telah dipilih sebagai Tokoh Guru Peringkat Negeri Terengganu pada tahun ini.

Dalam pada itu beliau turut mengumumkan sumbangan syarikat GLC , Epic menyumbangkan RM100 ribu dan TDM berhad RM100 ribu.

Kerajaan negeri juga memperuntukkan RM 1juta 400 ribu kepada Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) untuk diagihkan kepada setiap PIBG sekolah sebanyak RM2000.

Turut hadir dalam majlis ini Yang DiPertua DUN Dato’ Mohd Zubir Embong,  Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Osman Muda,  Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains Teknologi dan Tugas-tugas Khas Ghazali Taib, Pengerusi Jawatankuasa Belia,  Sukan dan Sumber Manusia Dato’ Rozi Mamat dan Pengarah Pendidikan Terengganu Shafruddin Ali Hussin.

 sumber : Terengganutimes

Friday, May 15, 2015

PUISI : INSPIRASI

I N S P I R A S I
(Dedikasi kepada Inspire Teacher 

sempena Hari Guru 2015)

Parut yang masih membekas di lutut
menghantar ingatan rindu padamu
di saat bendera di kibar di puncak mercu
dan lagu dinyanyikan meraikan jasa budi
hari peringatan yang mulia dan penuh erti

Kuraba parut luka dalam segar ingatan
dalam bayang wajah lembut dan senyummu
jari-jemarimu menari melerai kelikir dan darah
menyapu ubat dan membebat luka penuh hemah
sambil menitip pujukan  dan nasihat bermutu
segalanya masih basah dalam ingatan, guruku
biarpun empat dasawarsa telah berlalu

Kenangan itu bagai angin seru yang berdesir
menyala dian inspirasi di dupa jiwa segenap sir
membakar seluruh tanah keinginan berkobar
guruku suatu waktu aku ingin jadi sepertimu
menjadi guru yang penuh memberi inspirasi
penuh kasih tanpa kira siapa muridmu di sisi
penuh ikhlas berkhidmat penuh berhemat
merangsang jiwa berkobar penuh semangat

Hari ini sudah hampir tiga dasawarsa guruku
mengikuti denai jejak laluanmu yang berliku
namun  hati berbunga bahagia gelaran cikgu
kadang-kadang aku merasa megah dan kaya
dengan ramainya rakan dan murid yang ada
moga aku bisa menjadi sepertimu guruku
panjang umur walaupun telah tiada lagi
hidup dalam jiwa dan minda murid dikasihi
Al-Fatihah buat para guru yang telah pergi
Berkatlah di sisiNya wahai murabbi.

Lara MN
Kuala Terengganu.
15052015


Tuesday, May 12, 2015

Tahniah, 27 Guru Besar menerima Anugerah Tawaran Baru 2014

Majlis Anugerah Tawaran Baru Guru Besar Tahun 2014 telah diadakan di Dewan Seri Endon, Puspanitapuri, Putrajaya yang disempurnakan oleh YAB Tan Sri  Dato Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yasin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Pelajaran. Seramai 27 orang Guru Besar dari negeri Terengganu turut menerima anugerah berkenaan. Tahniah dan syabas kita ucapkan bukan sahaja kepada Guru Besar berkaitan tetapi juga kepada seluruh warga sekolah yang turut menyumbang ke arah kejayaan ini. Semoga ianya menjadi dorongan untuk terus mencipta kecemerlangan di masa hadapan.



gambar-gambar penerima
 

Tema Hari Guru 2015 dan Huraian



 GURU : MEMBINA ILMU MENYEMPURNAKAN AKHLAK

DEFINISI
 
  • GURU: Kata Guru merangkumi semua warga pendidik yang menyumbang khidmat bakti dalam semua bentuk institusi pendidikan yang menjadi penggerak derta pendukung kepada pembangunan pendidikan negara. Guru merupakan insan yang berpengetahuan luas, berkemahiran tinggi dalam bidangnya dan mempunyai keperibadian terpuji serta berupaya menjadikan diri mereka sebagai suri teladan. 
  • MEMBINA ILMU: Individu yang membangunkan dan membentuk atau mewujudkan kualiti pada setiap insan dan keilmuan. Dalam konteks penmdidikan,  guru berperanan sebagai individu yang membina dan membentuk kualiti individu murid/pelajar dalam aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek (kognitif)
  • MENYEMPURNAKAN : Menjadikan sempurna atau lengkap. Warga pendidik berperanan untuk menyempurnakan keberhasilan murid berpandukan ebam aspirasi murid yang dinyatakan dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 - 2025.
  •  AKHLAK: Budi pekerti dan nilai-nilai murni sejagat yang perlu ada dan dihayati oleh setiap modal insan bagi mendepani cabaran dan perubahan dalam menjalani kehidupan.
    HURAIAN:
  • Guru berperanan mengupayakan diri dengan ilmu dan pengalaman agar dapat membangunkan potensi insan melalui penyerapan elemen-elemen kerohanian dan kurikulum, menyediakan kepelbagaian bahan rangsangan bagi mengoptimumkan potensi murid serta menyediakan pelan pembangunan individu yang menyeluruh dan bersepadu bagi menghasilkan modal insan bertaraf dunia. Warga pendidik perlu memainkan peranan penting dalam menyediakan serta membentuk insan peribadi mulia berpersonaliti unggul di dalam membina negara bangsa yang berkualiti. 
  •  Peranan guru juga tidak terbatas hanya kepada menyampaikan kandungan silibus dalam bilik darjah, malah guru perlu kreatif dan inovatif dalam pembangunan ilmu (knowledge development) dalam kalangan anak didik seiring dengan perkembangan teknologi dan keperluan masa depan melalui amalan pengajaran guru yang berpusatkan pelajar serta penggunaan bahan sumber secara berkesan. 
  • Peranan guru adalah menghasilkan modal insan holistik yang berilmu dan berakhlak ke arah kesempurnaan kemenjadian murid. Seperti yang digarapkan dalam PPPM 2013 - 2025, sistem pendidikan Malaysia berhasrat untuk melahirkan murid berdasarkan enam aspirasi murid, iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika serta kerohanian dan identiti nasional. Justeru guru merupakan agen ke arah merealisasikan hasrat tersebut.
2015 Guru : Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak
2014 Guru : Pencetus Kreativiti Penjana Inovasi
2013 Guru Malaysia: 1Aspirasi, 1Agenda
2012 Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara
2011 Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara
2010 Guru Pembina Negara Bangsa
2009 Guru Pembina Negara Bangsa
2008 Guru Cemerlang Negara Terbilang
2007 Guru Penjana Modal Insan Gemilang
2006 Pendidikan Bestari Pemangkin Kegemilangan
2005 Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan
2004 Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan
2003 Guru Berkualiti Aspirasi Negara
2002 Guru Berkualiti Aspirasi Negara
2001 Memartabatkan Profesion Keguruan tanggungjawab Bersama
2000 Bersatu Memartabatkan Profesion Keguruan
1999 Guru Berkesan Pendidikan Cemerlang
1998 Guru Penyemai Tanggungjawab Bersama
1997 Guru Bestari Sekolah Bestari
1996 Guru Malaysia Teras Pendidikan Bertaraf Dunia
1995 Permuafakatan dan Perpaduan Menjayakan Wawasan
1994 Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan
1993 Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan
1992 Guru Cemerlang Teras Kejayaan Wawasan
1991 Ke Arah Pendidikan Cemerlang
1990 Pendidikan Bermutu Masyarakat Sejahtera
1989 Guru Pembina Budaya Ilmu
1988 Guru Pengasas Budaya Membaca
1987 Pendidikan Ke Arah Kesejahteraan Insan
1986 Pendidikan Teras Nasionalisme
1985 Guru dan Masyarakat Asas Kemajuan Pendidikan
1984 Kepimpinan Berteladan Kesempurnaan Pendidikan
1983 Kepimpinan Berteladan Teras Pendidikan
1982 Ke Arah Kecekapan Guru Dan Pendidikan Bermutu
1981 Pengorbanan Guru Kejayaan Rakyat
1980 Pendidikan Teras Perpaduan Negara
1979 Murid Sejahtera Negara Jaya
1978 Guru Pembentuk Generasi Akan Datang
1977 Dedikasi dan Disiplin Asas Kemajuan Pendidikan
1976 Pendidikan Moral Dalam Zaman Kemajuan Pendidikan
1975 Guru dan Pembangunan Negara
1974 Peranan Guru Dalam Zaman Sains dan Teknologi
1973 Kerjasama Ibu Bapa Untuk Kemajuan Pendidikan
1972 Peranan Guru Dalam Pembangunan Negara

Thursday, May 7, 2015

Perkongsian Visi Kepimpinan Pendidikan Negeri

Y.Brs Haji Shafruddin bin Hj Ali Hussain
Pengarah Pendidikan Terengganu 

Orang kata berusaha mencapai kecemerlangan adalah lebih mudah dari mempertahankan kecemerlangan itu sendiri. Sejauh mana benarnya pandangan ini sama-sama kita analisa. Apapun sejarah mempertahankan kecemerlangan UPSR terutama pencapaian terbaik 5A berbelas tahun telah Terengganu buktikan. Kemuncak dari keterbilangan itu pada tahun 2014 UPSR Terengganu bukan sahaja mengungguli Percapaian Terbaik 5A tetapi juga terbaik GPS dan terbaik Lulus Semua Mata Pelajaran (LSMP). Apakah tahun 2015 Terengganu mampu mengulanginya dan Tuan Haji Shafruddin Hj Ali Husain, Pengarah Pendidikan yang baru mampu meneruskan legasi yang ditinggalkan oleh En.Zakaria bin Husain, mantan Pengarah yang lepas ?

Berasaskan tradisi mencintai kecemerlangan yang terpahat di jiwa warga Terengganu semenjak Dato' Cg Abd. Rahim Tahir menjadi pengarah lagi dan tradisi perkongsian visi, turun padang dan kesungguhan Haji Shafruddin Hj Ali Husain, Pengarah yang baru sejak menjadi Pegawai Pendidikan Daerah Hulu Terengganu kita sangat-sangat optimis pendidikan Terengganu akan terus melonjak ke mercu. Sahabat-sahabat pendidik dari Kelantan dalam perbualan dengan saya sangat beria-ia benar untuk memintas Terengganu. Lihat petikan di bawah:
Berasaskan dialog rakan saya di atas inilah salah satu cabaran nyata kepada kita bahawa Kelantan sangat beria-ia mahu memintas kehebatan dan pencapaian kita. Tentunya sebagai pemegang teraju kecemerlangan kita tentu tidak mahu melepaskan tali itu kepada orang lain. Apa lagi menerima aib "dirampas". Kita yang ada maruah dan harga diri pastinya tidak akan membiarkan sejarah kecemerlangan Anjung Ilmu diaib dan diperkotak-katikkan. Persoalannya kalau Pengarah Pendidikan sahaja yang berusaha, berkorban menyatakan visi "Memperkasakan Transformasi Pendidikan" ke pelusuk negeri tetapi kepimpinan sekolah, para guru, para pelajar dan para ibubapa serta masyarakat tidak menghayati dan bertindak merealisasikan, semuanya itu hanyalah tinggal sebagai ilusi dan mimpi.

Kita berharap semua peringkat kepimpinan pendidikan di jabatan, ppd dan sekolah memahami, menghayati dan melaksanakan serta berkongsi visi pengarah di semua peringkat untuk memperkasakan lagi transformasi pendidikan sama ada dalam aspek pengurusan, kecemerlangan akademik, kecemerlangan kokurikulum,pembangunan sahsiah dan sebagainya supaya melonjak tinggi dan keluar dari tradisi ketulaan. Namun sebelum pelaksanaan transformasi di lapangan kita harus memulakan dengan transformasi diri ; sikap dan pemikiran. Sikap adalah tanggapan kita terhadap sesuatu. Kalau kita tanggap pendidikan adalah nyawa kecemerlangan agama, bangsa dan negara maka kita akan berusaha bermati-matian mempertahankannya. Sikap yang positif terhadap perubahan menyumbang 80% kepada kecemerlangan yang diharapkan.

Ini cabaran kepimpinan kita . Kita mesti transform sikap, nilai dan pemikiran kita sebagai pemimpin pendidikan dinamik selari dengan visi Pengarah Pendidikan. Sebagai pemimpin pendidikan terutama di sekolah kita mesti mampu dan berupaya 'mempengaruhi' ahli-ahli oraganisasi kita untuk menjayakan visi kepimpinan pendidikan negeri khususnya melalui amal praktik yang boleh dicontohi ahli-ahli organisasi kita.
Justru itu tidak timbul krisis "integriti dan kredibeliti" bila kita menyeru mengajak kepada perubahan namun kita sendiri menjadi penentang dalam diam atau tidak berbuat apa-apa.

Oleh yang demikian, kita mesti selalu menyebut, merancang, melaksana dan memantau agar visi yang kita kongsi itu dilaksanakan sebaik mungkin sehingga ia menjadi fenomena dan berakar dalam jiwa dan pemikiran kita. Dalam bahasa paling mudah kita mesti memimpin organisasi kita yakni sekolah kita sebaik mungkin kerana di sekolah itulah proses transformasi itu berlangsung dan berlaku. Bagaimana kita mahu berkongsi visi dan melaksanakan visi kalau kita tidak "lekat ddasar" di sekolah. Hati jauh dengan sekolah. Hati jauh dengan guru-guru. Hati jauh dengan muruid-murid. Hati jauh dengan ibubapa dan masyarakat yang melingkungi kita.

Saya sangat percaya jika kita berupaya menyediakan diri sebagai pemimpin yang berkeupayaan mempengaruhi organisasi kita dengan ilmu,kemahiran, sahsiah, keperihatinan, keadilan dan kasih sayang maka kita akan lebih  dihormati. Segala arahan dan kehendak kita dilaksanakan dengan senang dan sepenuh hati. Justru itu proses perkongsian dan penghayatan visi kepimpinan pendidikan mudah dicairkan.

Marilah kita memberi sepenuh komitmen dan sokongan kepada Pengarah Pendidikan Negeri untuk terus memimpin dan melonjak pendidikan melalui "Memperkasakan Transformasi Pendidikan". Kita percaya berkat muafakat kita akan terus melonjak cemerlang dan terus menjadi pendahulu. Insyaallah.