Monday, March 23, 2015

PERMOHONAN PERTUKARAN GURU SESI JUN 2015

PERMOHONAN PERTUKARAN GURU SESI JUN 2015
 Permohonan Pertukaran Guru Antara Bahagian/Negeri, Antara Daerah dan Dalam Daerah Sesi Jun 2015 untuk Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG29, DG32 (KUP Time-based), DG34 (KUP Time-based), DG38 (KUP Time-based), DG41, DG42, DG44 (KUP Time-based), DG48 (KUP Time-based), DG52 (KUP Time-based) dan DG54 (KUP Time-based) dibuka mulai 01 hingga 25 April 2015.

Pengemaskinian maklumat diri melalui Sistem Pengurusan Sekolah (SPS) Modul Pengurusan Guru e-OPERASI adalah tanggungjawab pemohon sebelum permohonan pertukaran guru melalui Modul e-GTukar dibuka.
Sila hubungi Pejabat Pendidikan Daerah/Jabatan Pendidikan Negeri atau Bahagian masing-masing jika terdapat sebarang masalah berkaitan dengan permohonan pertukaran. (dapatkan no. telefon di 'Bantuan').

SILA AMBIL PERHATIAN BAHAWA PERTUKARAN YANG DILULUSKAN TIDAK BOLEH DIBATALKAN.


Sekian dimaklumkan.

Friday, March 6, 2015

Puisi : Meredakan Kepergian

MEREDAKAN KEPERGIAN

Telah tiba makna pesan Rasulmu
bila muda telah pergi dan tua datang bertamu
adalah kebenaran mutlak yang tidak bisa ditolak
biarpun kau bancuh segala penawar
atau seru segala serapah
tua tetap akan singgah.

Perginya mudamu mengheret bersama kudrat
serta segala khafilah sebuah kehebatan
api keberanian dan daya juang
kilatan ketangkasan dan pengorbanan
yang kini hanya bersimpuh di memori kenangan
menguliti hari tua yang semakin usang

Kerpergian mudamu meninggalkan teman buat si tua
sejalur lelah dengan dengan kudrat tersisa
menghalau segerombolan sengal waktu dingin
dalam pandangan kabur dan telinga kian tuli
mencicip rasa dari lidah yang hilang rumah deria

Relakan kepergiaan dari hukum suratan kalam
dalam munajat sabarmu di mimbar restu
dengan sisa hayat dan ilmu di atas redamu
dialah kandil penyuluh jalan pulangmu.

Lara MN
Kuala Terengganu

Thursday, March 5, 2015

11 lagi sekolah Terengganu menerima Anugerah Sekolah Kluster Kecemerlangan

Tahniah ! sebelas buah lagi sekolah ( 3 SM) dan (8 SK) bakal dianugerahi Sekolah Kluster Kecemerlangan Fasa 9 pada 3 Mac 2015 .Semua Pengetua dan Guru Besar terlibat beserta Pembantu Tadbir telah hadir. Turut hadir ialah Tuan Haji Shafruddin bin Ali Husain, Timbalan Pengarah Pendidikan Terengganu  dan dua orang pegawai meja SKK Negeri, Pn. Siti Rohaya bt  Mohd Noor dan En.Mat Lazim Noor.

Majlis penganugerahan tersebut diadakan di Dewan Za'ba Sektor Pengajian Tinggi, Persint 5, Putrajaya dan disempurnakan oleh Yang Berbahagia, Dato' Sri Dr Khair bin Mohamad Yusof, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia. Sejumlah 139 sekolah (106 sekolah rendah dan 29 sekolah menengah) menerima anugerah SKK Fasa 9.

Di majlis berkenaan juga Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia dalam ucapannya menyebut bahawa SK Kuala Berang, Hulu Terengganu telah menjadi SKK Tahap A Terbaik Kebangsaan dalam Pencapaian UPSR 2014 dan SK Dusun, Hulu Terengganu telah menjadi SKK Tahap C Terbaik Kebangsaan dalam Pencapaian UPSR 2014. Bagi kategori SKK Tahap B Terbaik UPSR 2014 telah dicapai oleh sekolah dari Serawak.

Sementara itu, SK Kuala Berang,. Hulu Terengganu juga adalah antara dua SKK dari jumlah tujuh buah sekolah seluruh negara yang layak dicalon dan diverifikasi untuk anugerah Sekolah Berprestasi Tinggi Kohort 6. Tahniah semoga impian menjadi kenyataan.

Bagi negeri Terengganu dengan pertambahan sebelas buah lagi kedudukan Sekolah Kecemerlangan (SKK dan SBT ) adalah sebagaimana data di bawah:
KAT SEK SKK SBT JUMLAH
SR 20 5 25
SM 16 5 21
JUMLAH 36 10 46

Sekolah-sekolah yang mendapat penganugerahan SKK Fasa 9 bagi negeri Terengganu adalah sebagaimana berikut:
  • SMKA Durian Guling, Marang
  • SMKA Wataniah , Besut
  • SMKA Kuala Abang, Dungun
  • SK Sultan Sulaiman 2, Kuala Terengganu
  • SK Tok Jiring, Kuala Terengganu
  • SK Pusat Chabang Tiga, Kuala Terengganu
  • SK Lembah Jaya, Setiu
  • SK Kelulut, Marang
  • SK Tapu, Hulu Terengganu
  • SK Seri Paka, Dungun
  • SK Teluk Kalong, Kemaman
Tahniah. Kita harapkan penganugerahan ini menyemarakkan lagi semangat kita melonjakkan Terengganu sebagai Anjung Ilmu. Penganugerahan ini juga menuntut tanggungjawab agar legasi kecemerlangan akademik, pengurusan kewangan dan semua aspek persekolahan perlu ditingkat dan dikekalkan dengan membawa prestej nama Sekolah Kluster Kecemerlangan dan Sekolah Berprestasi Tinggi.

Monday, March 2, 2015

Pendaftaran Murid melalui E-Daftar Rendah 2015 Negeri Terengganu

Jadual eDaftar Rendah 2015

Tarikh eDaftarRendah dibuka                  -   01/03/2015
Tarikh tutup eDaftar Rendah                    -   31/03/2015
Tarikh Daftar  lewat  di buka                   -   01/06/2015
Tarikh Rayuan dibuka                              
Tarikh Rayuan ditutup                              -   31/10/2015
Tarikh Mula  Pengesahan Penempatan     -   01/08/2015
Tarikh Tamat Pengesahan Penempatan     -   30/08/2015
Tarikh Surat                                             -   14/07/2015

CATATAN:

Sebarang masalah yang berbangkit semasa proses permohonan dan penempatan murid, boleh berhubung dengan semua Penyelia Pengurusan Murid Rendah di setiap PPD dan Penyelia Kanan Pengurusan Murid di Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, En. Wahab bin Mohamad dan En. Mohamad bin Muda (09-6213110)


Sunday, March 1, 2015

Kaedah Pengisian Guru Penolong Kanan masih ada yang keliru

KUALA TERENGGANU - Hari ini adalah hari penutup permohonan GPK Flexi untuk negeri Terengganu. Semua permohonan hendaklah sampai ke PPD masing setelah dua minggu diiklankan melalui blog ini dan juga edaran siaran dan borang ke sekolah masing-masing.  Bila tiba penguhujung ini macam-macam cerita kita dengar.

Ada seorang guru telefon kami mengesahkan betul ke tidak apa yang dia baca dakwanya melalui carian google. Dakwa beliau tidak tahu menahu tentang iklan tersebut. Saya hanya suka bercampur geram. Pertama macam mana guru-guru yang berada di Sabah dan Serawak bertalu-talu menelefon kami bila terbaca iklan itu di blog. Adakah guru kita hanya tahu berwhatsapp dan berfacebook? Kedua macam mana rakan-rakan guru sekolah lain, adakah mereka begitu kedekut berkongsi info? Atau kalau PPD email ke sekolah adakah email sekolah dibuka atau atau diselaraskan ke dalam telefon pintar Guru Besar atau GPK masing-masing supaya segala maklumat yang disalur ke email sekolah dapat diketahui serta-merta oleh pentadbir.

Begitu juga pagi-pagi saya dapati satu borang permohonan dari DG32(KUP) untuk mengisi GPK Flexi yang dihantar terus ke pejabat saya. Kemudian petang ini dua buah sekolah menghantar borang permohonan ke pejabat kami lagi. Kedua petunjuk ini menunjukkan betapa tidak fahamnya pentadbir mengurus kenaikan pangkat guru. Pertama dalam borang jelas untuk pegawai DG34(KUP), DG38(KUP, DG41/DG42 dan DG44 (KUP) mengisi jawatan GPK DG32 dan DG34. Bermakna guru DG32(KUP) tidak boleh memohon melalui borang dan kaedah ini. Kedua dalam surat siaran yang ditandatangani Pengarah Pendidikan Negeri jelas semua permohonan hendaklah dihantar ke Pejabat Pendidikan Daerah masing-masing (u.p : Penyelia Kanan Pengurusan Sekolah).

Posting kali ini saya ingin berkongsi beberapa kaedah pelantikan GPK supaya boleh difahami dan dilaksanakan oleh pemohon dan pentadbir sekolah dengan betul

  1. Kaedah Pemangkuan - Kaedah Pemangkuan di mana seseorang yang gred lebih rendah memangku jawatan gred yang lebih tinggi. Misalnya guru DG29 yang memenuhi syarat dilantik secara pemangkuan memegang jawatan GPK DG32. Ia berdasarkan vetage prestasi 80% dan 20% kemahiran, pengalaman dan sumbangan. Pemohon memohon berasaskan iklan yang dikeluarkan melalui borang khas. Panel Negeri akan mencadangkan ke BPSM (LNP KPM) dan bila senarai keluar mereka ditawarkan penempatan. Biasanya tawaran boleh terima atau tolak. 
  2. Kaedah Penghakikian - Kaedah Penghakikian ialah memberi jawatan hakiki kepada mereka yang telah dinaikkan pangkat secara KUP . Misalnya guru DG32(KUP) ke GPK DG32 hakiki. Ianya diurus seratus peratus oleh PPD/JPN dengan menggunakan borang khas yang boleh diperolehi di PPD. Penilaian berasaskan 45% prestasi, 35% sumbangan, kemahiran dan pengalaman dan 20% temuduga. Amalan biasanya boleh terima atau tolak.
  3. Kaedah Penempatan dan Pertukaran (Kaedah Flexi) - Kaedah Flexi ialah memberi peluang mereka yang berada pada gred lebih tinggi mengisi jawatan lebih rendah. Contoh sebagaimana yang kita laksana sekarang. Mereka yang bergred DG34(KUP), DG38(KUP, DG41/DG42 dan DG44(KUP) mengisi jawatan GPK DG32 dan DG38(KUP, DG41/DG42 dan DG44(KUP) mengisi jawatan GPK34 (bagi SKK dan SBT). Permohon menggunakan borang khas. Penilaian vetage prestasi 80% dan 20% kemahiran, pengalaman dan sumbangan. Dipanelkan di peringkat PPD dan JPN. Senarai dihantar ke BPSM (LNP KPM). Lulus baru ditempat dan ditukarkan secara mandatori seperti Guru Besar Flexi.
Beberapa tahun kita telah mengamalkan pelantikan berasaskan kekosongan "district base" dan itulah orientasi kita untuk masa hadapan walau apa kaedah pelantikan GPK sekalipun. Oleh itu tiada sebab mengapa para guru tidak mengambil peluang ini.

Kita harap para guru dan pentadbir faham tatacara dan kaedah permohonan GPK ini dan sebarang kekeliruan boleh hubungi kami dan juga pegawai dari Unit Naik Pangkat. Sebagai orang bijak kita tentu tahu bagaimana menyelesaikan masalahnya.