Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) mensasarkan berlaku
penurunan 0.10 peratus dari segi salah laku displin di kalangan pelajar
negeri ini, setiap tahun.
Pengarah JPNT, Shafruddin Ali Hussin berkata, walaupun masalah itu
tidak begitu berleluasa di negeri ini, pihaknya masih memandang serius
dan mengambil pendekatan berkesan bagi mengurangkan gejala tersebut.
“Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kita masih mencapai tahap yang
ditetapkan, tetapi pihak berwajib khususnya pihak sekolah memandang
serius masalah ini termasuk kes ponteng.
“Sebagai contoh, berkaitan masalah kes ponteng antara pendekatan
dilakukan adalah dengan turun padang untuk memujuk mereka kembali ke
sekolah dan sebagainya,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan
Majlis Perasmian Sambutan Jubli Emas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)
Panji Alam, Kuala Terengganu, hari ini.
Turut hadir, Pengetua SMK Panji Alam, Che Lai Hashim.
Katanya, JPNT turut bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk
mencegah gejala ponteng selain mendapat kerjasama penuh daripada
Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
Dalam pada itu jelasnya, punca utama masalah salah laku displin
pelajar termasuk kes ponteng adalah mempunyai kaitan dengan perpecahan
keluarga.
“Kita cuba selesaikan apa sahaja masalah walaupun kadang-kadang yang berkaitan dengan kewangan dan masalah keluarga,” ujarnya.
Sumber : teganukita.my