KUBANG PASU 25 Okt. – Penderitaan akibat menghidap penyakit
kronik berkaitan saluran darah tidak menjadi penghalang kepada seorang guru,
Siti Intan Baizura Musa, 32, menyambung pengajian di peringkat sarjana di
Universiti Utara Malaysia (UUM).
Sesuatu mengagumkan, di sebalik kesakitan yang terpaksa
ditanggungnya, guru Sekolah Kebangsaan Binjai Kertas, Hulu Terengganu,
Terengganu itu berjaya menamatkan pengajian dan menerima ijazahnya hari ini.
Menurut anak kelahiran Manir, Kuala Terengganu itu, dia amat
cintakan ilmu dan bertekad untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi
walaupun terpaksa belajar dalam kesakitan.
“Penyakit ini membuatkan kedua-dua belah kaki akan berasa
sakit seperti terkena arus elektrik dan berdenyut-denyut hampir setiap masa,
namun saya terpaksa menahannya untuk menjalani kehidupan seperti biasa.
“Biarpun terpaksa belajar dalam keadaan sakit, saya
terimanya sebagai ujian Allah yang perlu saya lalui untuk memperoleh kejayaan
seperti hari ini,” katanya ketika ditemui selepas menerima ijazah dalam Sarjana
Pendidikan pada Majlis Konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) Ke-28 di
Dewan Mu’adzam Shah, UUM, di sini hari ini.
Siti Intan Baizura yang disahkan menghidap penyakit Arteriovenous
Malformation (AVM) sejak empat tahun lalu itu ditemani ibu bapanya iaitu Musa
Ahmad, 54, pemandu bas dan Robiah Saad, 51, suri rumah.
Kata anak sulung daripada sembilan beradik itu, dia juga
terpaksa menangguhkan pembedahan kali ketiga yang sepatutnya dijalankan pada
tahun 2014 kerana mahu menyiapkan tesis.
“Alhamdulillah, saya dapat menyiapkan tesis dan
menghantarnya kepada pensyarah pada 17 Ogos lalu dan menjalani pembedahan dua
hari selepas itu,” ujarnya yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA)
3.9.
Ujar Siti Intan Baizura, keadaannya semakin buruk selepas
pembedahan kali ketiga itu apabila dia kini tidak boleh berjalan dan terpaksa
bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak.
“Saya terima ujian Allah ini dan saya mahu kecekalan saya
ini menjadi pendorong kepada mereka yang juga mempunyai penyakit kronik untuk
menyambung pengajian kerana tiada yang mustahil dalam hidup,” tambahnya lagi.