Tuesday, August 11, 2015

Puisi : Gahnya Melayu

GAHNYA  MELAYU

Tanah leluhur ini sudah sering berlangir darah
mempertahankan setanjak bangsa bermaruah
dari susur zaman Tuah dan para pejuang terbilang
hingga zaman liberal demokrasi penuh tipu daya
Melayu masih menjadi raja penguasa
bersemayam atas tahta maruah bangsa merdeka

Dengan kuasa dan  rezeki dari tanah berdaulat
diadun dalam talam bijaksana muafakat
kita membawa perbezaan pelbagai bangsa
ke meja bulat saling hormat setia sejiwa
menjadi warga bangsa yang bijak dan kaya
bijaksana Melayu sering diludah cemburu
oleh para seteru yang sekian lama menunggu

Bijaksana  Melayu menggali strategi
memperkasa pendidikan dan ekonomi
bagi mereka bagai ditikam belati
kerana mereka sangat tahu dan faham
syarat  tamaddun dan menguasai alam
maka perang dilancarkan habis-habisan
agar Melayu tidak lagi menjadi tuan
di tanah leluhur nenek moyang

Hancur tamaddun bangsa di bumi ambia
menjadi mereka semakin teruja dan gila
anak negeri dijadikan senjata penebang
menumbang pohon bangsa yang rendang
mereka mengeksport kereta kebal demokrasi
mereka menyuntik racun libralisasi
pemimpin yang ada difitnah jahat
kononnya atas nama perjuangan rakyat

Begitulah semboyang dan serangan
anak muda bangsa yang kurang matang
diajar sembah durhaka menentang
menggunakan setiap strategi dan peluru
hingga timbul persepsi dan ragu-ragu
pada pemimpin bangsa sendiri
yang membawa Melayu ke puncak disegani

Mereka pastinya tidak akan pernah berhenti
hingga Melayu lenyap menyembah bumi
dan para pemimpin tidak bangun-bangun lagi
mengibar panji daulat bumi merdeka
yang pasti hanya tercatat dalam arkib
Melayu yang hebat lenyap diaib
kerana ukhwah dan setia jiwa
tercecer di lidah para pendusta durjana.

Gahnya Melayu atau ranah bangsamu
terpikul di pundakmu saudara-saudaraku
ini tanah warisan kita satu-satunya
tanah jawi tanah para wali tanah aulia
keramat dan barakahnya masih menyala
di jiwa para pejuang yang ikhlas dan setia

Lara MN
Kuala Terengganu
11.08.2015

 

No comments:

Post a Comment