Wednesday, November 2, 2011

Karnival Pendidikan Terengganu 2011

KEMAMAN - Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu dengan bantuan dan kerjasama kerajaan negeri serta pelbagai agensi telah mengadakan Karnival Pendidikan Terengganu 2011. Karnival tahun ini menjadikan daerah Kemaman sebagai tuan rumah dan diadakan di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman, Terengganu. Karnival Pendidikan ini bermula 1 hingga 3 November 2011.

Karnival tiga hari ini bukan sahaja memperagakan pelbagai aktiviti pendidikan yang diadakan di sekolah melalui pelbagai kegiatan pameran tetapi juga pelbagai aktiviti menonjolkan bakat dan kebolehan murid dalam pelbagai bidang. Selain dari itu aktiviti-aktiviti bagi Program Memasyarakatkan Pendidikan seperti permainan tradisional dan sukanika turut juga diadakan. Kemuncak Karnival Pendidikan ini ialah Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Terengganu 2011 dalam pelbagai kategori anugerah. Sebanyak lebih tiga puluh anugerah meliputi pelbagai bidang kecemerlangan seperti akademik, kokurikulum dan juga pengurusan disediakan.

YAB Dato' Haji Ahmad bin Said, Menteri Besar Terengganu telah  merasmikan Karnival Pendidikan Terengganu 2011 serta menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Pendidikan 2011 petang tadi. Turut hadir ialah Exco Pelajaran Negeri Terengganu, Pengarah Pelajaran Negeri, Pegawai Daerah Kemaman serta pegawai kanan JPN dan PPD. Semua pengetua, guru besar, warga pendidikan daerah Kemaman serta masyarakat daerah Kemaman umumnya turut memeriahkan majlis perasmian dan karnival selama tiga hari ini.

Kita berharap melalui Karnival Pendidikan Terengganu 2011 ianya menjadi cetusan untuk memasyarakatkan pendidikan melalui pelbagai kegiatan pendidikan. Selain daripada itu ianya memberi inspirasi kepada murid dan guru agar sentiasa berusaha mencapai yang terbaik terbilang dan membanggakan negeri dan negara dalam pelbagai bidang yang diceburi. Kita yakin melalui mentaliti juara ini hasrat negeri menjadikan Terengganu sebagai Anjung Ilmu akan terus semarak dan subur selalu... Terima kasih dan tahniah kepada yang berjaya dan sentiasa tekal "Melestarikan Pendidikan Terbilang".

No comments:

Post a Comment