Monday, April 29, 2013

Taklimat Penempatan Pegawai Perkhidmatan Pelajaran Siswazah Gred DG41 Bagi Guru Interim Lantikan 16 Oktober 2012

KUALA TERENGGANU ,29 APRIL - Seramai 142 orang daripada 147 orang Pegawai Perkhidmatan Pelajaran Siswazah Gred DG41  bagi Guru Interim lantikan 16 Oktober 2012 menerima surat penempatan dan tawaran lantikan DG41 daripada En. Hashim bin Mohd Zin, Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu pagi ini. Majlis berkenaan telah diadakan di Hotel Permai, Kuala Terengganu.

Kesemua 142 orang yang lulus temuduga Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran menerima pelantikan terus sebagai Pegawai Perkhidmatan Pelajaran Siswazah DG41. Kesemua mereka adalah guru-guru j-Qaf yang mengikut Mod Latihan Berasaskan Sekolah di seluruh negeri Terengganu dan telah dilantik secara interim pada 16 Oktober 2012. Hari ini mereka menerima pelantikan secara tetap.

Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada yang telah berjaya dilantik secara tetap ini. Menurut beliau permohonan menjadi guru dalam pelbagai mod latihan sangat tinggi dan mereka terpilih menikmati peluang ini sewajarnya bersyukur dengan peluang yang diperolehi.

Beliau memberi peringatan sebagai guru yang juga penjawat awam para guru tahu kedudukan diri, tugas dan peranannya. Beliau mengingatkan para guru berkenaan, jangan mudah lupa diri dan dapat memain peranan sebagai hamba Allah dan peranannya sebagai khalifah untuk mendidik dan memimpin ke arah kejayaan.

Timbalan Pengarah juga berharap dalam situasi pendidikan yang penuh cabaran hari ini, beliau berharap mereka dapat kawal diri dari segi emosi dan perasaan. Mereka mesti sanggup menghadapi karenah anak-anak murid dan sentiasa bersabar dan cekal menghadapinya. Begitu juga mereka perlu mampu mengawal diri berhubung dengan rakan sejawat dan ketua jabatan mereka.

Beliau juga menegaaskan tugas guru bukan sekadar menyampai ilmu tetapi juga membangun kemahiran dan adab kepada anak didik mereka. Tegas beliau lagi, sebagai Guru j-Qaf  mereka akan sentiasa diperhati dan dinilai adakah mereka memberi impak besar terhadap kemenjadian murid menguasai Jawi, Al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain sebagai asas mengenali Allah kerana isu-isu moral dan disiplin murid berkait rapat kerana jauhnya hati mereka dengan agama.

Timbalan Pengarah juga menyeru agar para guru sentiasa belajar pelbagai bidang dan cara bagi mempercekapkan tugas dan peranan mereka supaya mereka benar-benar kompeten dan mencintai kerjaya yang mulia ini bukan sekadar melepaskan batuk di tangga.



No comments:

Post a Comment