Monday, April 1, 2013

'Gelombang Biru' Berjaya Angkat Martabat Pendidikan Anak Terengganu



KUALA TERENGGANU, (Bernama) -- Terengganu terus melakar kejayaan dalam bidang pendidikan hasil semangat 'Gelombang Biru'.

Ini dibuktikan apabila Terengganu muncul juara dalam keputusan terbaik Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) buat tahun ke-11 berturut-turut, Penilaian Menengah Rendah (PMR) (empat tahun berturut-turut) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tiga tahun berturut-turut.

Pada Mac tahun lepas, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records berikutan kejayaan Terengganu paling cemerlang dalam keputusan UPSR buat tahun ke-11 berturut-turut.

Sebelum kejayaan ini, Terengganu pernah suatu ketika berada pada kedudukan negeri termundur, tetapi bangkit atas kesedaran bahawa melalui pendidikan dapat mengubah nasib rakyatnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata usaha memartabat pendidikan Terengganu sebenarnya bermula di bawah kepimpinan bekas Menteri Besar Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad (1974-1999) kerana beliau banyak berusaha membangunkan kemudahan pendidikan di negeri ini.

"Terengganu memang sudah berada pada landasan yang betul bermula dari zaman Tan Sri Wan Mokhtar, kerana beliau menyediakan kemudahan untuk agenda penting (pendidikan) membangunkan Terengganu yang lama ketinggalan," katanya di sini.

Menurutnya, ketika itu anak-anak Terengganu masih jauh ketinggalan dari segi pembentukan karakter, sahsiah dan penampilan diri jika dibandingkan dengan generasi sama di pantai barat Semenanjung.

Katanya usaha itu diteruskan oleh bekas Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh selepas Barisan Nasional (BN) kembali memerintah Terengganu pada 2004 selepas jatuh ke tangan PAS pada 1999.

Ahmad berkata Idris Jusoh merupakan orang yang bertanggungjawab meniup semangat 'Gelombang Biru' untuk mengembalikan kegemilangan BN di Terengganu bukan sahaja dari segi politik, ekonomi dan sosial, malah juga pendidikan.

Idris memperkenal konsep 'Ulul Albab' dan mengambil inspirasi daripada kehebatan tamadun Islam zaman silam, kebijaksanaan dan gesaan daripada Al-Quran.

Keistimewaan konsep ini ialah elemen hafazan dan penguasaan Al-Quran dijadikan sebagai asas pembelajaran di samping pembelajaran mengikut Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM).

Di bawah kepimpinan Idris, empat Sekolah Imtiaz ditubuhkan di Terengganu iaitu Imtiaz Besut, Imtiaz Dungun, Imtiaz Kuala Berang dan Imtiaz Kuala Terengganu.

Ahmad berkata, hari ini, di bawah kepimpinan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said, fokus pembangunan pendidikan bukan setakat peringkat rendah dan menengah, malah diperluas ke peringkat menara gading.

Katanya langkah kerajaan BN Terengganu itu ialah untuk memastikan anak-anak negeri ini bukan sahaja berpeluang merebut pasaran kerja tempatan malah mampu bersaing di peringkat global.

"Selepas ini kami mahu melihat anak Terengganu yang hebat, balik untuk mencurah khidmat mereka (di Terengganu), sudah bersedia mengubah paradigma dan bangga jadi anak Terengganu," katanya.

Disebabkan itu juga, kata Ahmad, Terengganu perlukan kestabilan politik kerana ia merupakan asas yang penting dalam meneruskan perjuangan mengangkat Terengganu sebagai 'Anjung Ilmu' sekali gus menjadi contoh dan model kepada negeri lain di Malaysia.

Dalam pembentangan Belanjawan 2013, Terengganu memperuntuk RM53.51 juta untuk pemantapan modal insan berkualiti.

Ia merangkumi program bermula di tadika, peringkat persekolahan rendah dan menengah hinggalah peringkat pengajian tinggi.

Terengganu juga merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang memberi kemudahan e-book kepada pelajar sekolah rendah sejak 2009 dan tahun lalu sebanyak 21,596 murid tahun empat menerima kemudahan itu, manakala tahun ini 20,000 lagi e-book akan diserahkan.

Untuk penajaan pelajar cemerlang, kerajaan Terengganu melalui Yayasan Terengganu mengeluarkan peruntukan RM123.85 juta untuk penajaan pelajar ke institut pengajian tinggi awam dan swasta di dalam dan luar negara.

Kecemerlangan Terengganu dalam bidang pendidikan menjadi pendorong kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Renek, Besut, Nor Izyan Suhaimi untuk melakar kejayaan sama apabila dinobatkan sebagai pelajar cemerlang STPM Kategori Sekolah Luar Bandar 2012.

Nor Izyan anak kepada tukang rumah, dan ibunya seorang suri rumah, memperoleh 5 Prinsipal A+ dalam kertas Pengajian Am, Bahasa Melayu, Sejarah, Geografi dan Ekonomi.

Pelajar ini menegaskan bahawa seseorang itu tidak boleh membuat pelbagai dalih sekiranya lemah dalam pelajaran kerana ia boleh diperbaiki daripada kesungguhan kerana segala-galanya boleh direalisasikan.

"Saya mempunyai 12 adik-beradik (enam masih bersekolah dan yang lain sama ada di institut pengajian tinggi ataupun sudah bekerja), dan tinggal di rumah dengan adik-adik masih kecil tetapi masih mampu belajar dengan jadual yang dirancang," katanya kepada Bernama ketika berkongsi rahsia kejayaannya.

Nor Izyan berkata bagi mengelak konsentrasinya terganggu, dia akan bangun seawal 4 pagi untuk mengulang kaji pelajaran.

"Saya terpaksa menunggu adik-adik yang berusia antara enam hingga 18 tahun tidur sebelum mengulang kaji pelajaran di rumah. Pada sebelah petang pula, saya akan pergi ke sekolah berbincang dengan kawan-kawan tentang sesuatu perkara yang diajar oleh guru pada sebelah pagi," katanya.

Kecemerlangan Nor Izyan itu merupakan sebahagian daripada bukti kejayaan anak-anak Terengganu yang mampu menempatkan nama mereka sebaris pelajar cemerlang lain di negara ini.

-- BERNAMA


No comments:

Post a Comment