Friday, April 5, 2013

Renungan Jumaat : Akhlak dan budi pekerti mulia mengikut Hadish.



Rasulullah s.a.w. telah mensifatkan orang Mu’min dengan sifat yang berbagai-bagai, kesemuanya menunjukkan kepada akhlak dan budi pekerti yang terpuji. Sabdanya:

“Seorang Mu’min itu mencintai saudaranya, sebagaimana ia mencintai dirinya. 

Sabdanya lagi:

“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah ia menghormati tetangganya.” 

Lagi sabdanya:

“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah ia berkata baik ataupun ia berdiam diri.” 

Rasulullah s.a.w. menyebutkan juga tentang sifat-sifat kaum Mu’minin, iaitu hendaklah mereka berbudi pekerti indah. Sabdanya:

“Sempurna-sempurna iman orang Mu’min, ialah yang paling terpuji budi pekertinya.” 

Sabdanya seterusnya:

“Tidak patut bagi seorang Mu’min memandang kepada saudaranya dengan pandangan yang boleh menyakiti hatinya.” 

Sabdanya lagi

“Tidak patut bagi seorang Muslim mengancam orang Muslim lainya.” 

Lagi sabdanya:

Hanyasanya dua orang yang sedang duduk dalam sesuatu majlis itu, hendaklah menjaga amanat Allah azzawajalla, maka tiada boleh seorang dari keduanya melahirkan suatu rahsia yang dibenci oleh saudaranya.” 

Ujian yang paling utama harus ditujukan kepada orang yang bersifat dengan budi pekerti yang luhur, ialah sifat sabar atas segala macam perkara yang menyakiti hati, dan menanggung segala kelakuan yang tidak disenangi.
Diriwayatkan bahawa pada suatu hari Rasulullah s.a.w. sedang berjalan-jalan bersama sahabatnya Anas, mereka bertemu dengan seorang Badwi, lalu Badwi itu menarik Baginda secara kasar dan keras, sedang baginda memakai kain tutup buatan Najran yang kasar tepi-tepinya. Berkata Anas menceritakan berita ini: Saya boleh nampak pada leher Baginda Rasulullah s.a.w. ada bekas yang ditinggalkan orang tarikan orang Badwi itu oleh kerana sangat kuatnya tarikan itu. Kemudian Badwi itu berkata kepada Baginda: Wahai Muhammad! Berikanlah aku harta Allah yang ada padamu! Rasulullah s.a.w. menoleh kepada Badwi itu seraya tertawa. Kemudian Baginda menyuruh agar Badwi itu diberikan kehendaknya.

Demikianlah pula apabila orang-orang Quraisy terlalu banyak yang menyakiti Baginda, maka Baginda hanya berdoa begini:

Ya Allah! Ya Tuhanku! Ampunilah terhadap kaumku! Sesungguhnya mereka tiada mengetahui.” 

 

No comments:

Post a Comment