Tuesday, August 30, 2011

Jadikan Aidilfitri hari memantapkan jalinan persaudaraan


KUALA LUMPUR 30 Ogos – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru rakyat Malaysia agar menjadikan Aidilfitri sebagai hari untuk memantapkan jalinan persaudaraan sesama umat Islam.

Sambil mengucapkan ”Selamat Hari Raya Aidilfitri” kepada semua umat Islam di Malaysia, beliau percaya dengan semangat perpaduan yang kental di kalangan umat Islam akan berjaya mengatasi segala cabaran yang mendatang.

"Sesungguhnya perpaduan adalah kunci utama yang membolehkan umat Islam bangkit sebagai umat terbaik, menjadi umat yang mencipta tamadun khaira ummah seperti mana yang dijanjikan dalam al-Quran,” katanya semalam dalam perutusan sempena Aidilfitri yang akan disambut hari ini. 

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata, sempena perayaan itu, rakyat Malaysia harus mengambil kesempatan untuk menyemarakkan amalan kunjung-mengunjung, bermaaf-maafan dan bantu membantu sesama mereka.

"Marilah kita ziarahi sanak-saudara dan rakan-taulan untuk mempertautkan jalinan persaudaraan. Kita lupakan sengketa lama dengan bermaaf-maafan di hari lebaran. 

"Kita pamerkan keprihatinan terhadap golongan miskin dan kurang bernasib baik dengan menunaikan zakat fitrah. Mudah-mudahan segala amalan yang baik ini akan memperkukuhkan lagi ikatan ukhuwwah dalam kalangan umat Islam dan seterusnya memantapkan perpaduan ummah,” katanya. – Bernama

No comments:

Post a Comment