Monday, November 21, 2011

Taklimat Orientasi Guru Baru Sekolah Rendah Terengganu

KOTA BHARU - Unit Sekolah Rendah, Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu telah mengadakan taklimat berkenaan pada 19 - 21 November 2011 di Sutra Inn, Kota Baharu. Guru-guru berkenaan seramai 20 orang adalah Ambilan KPLI SR Jun 2010 yang ditempatkan di Terengganu pada 20 Oktober 2011 yang lalu. Kesemua mereka adalah opsyen Bahasa Inggeris untuk SK dan SJKC. En. Kamal bin Abdullah, Penolong Pengarah Guru SR telah bertindak sebagai Pengurus Taklimat ini.

Perasmian Taklimat ini telah disempurnakan oleh Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, En. Zakariah bin Ali pada petang 19 November 2011. Guru-guru ini telah diberi pelbagai input berkaitan perkhidmatan, tugas dan peranan, perjawatan serta laluan kerjaya.

Pagi ini peserta didedahkan laluan kerjaya oleh En. Rosli bin Chik, Ketua Unit Naik Pangkat, Sektor Khidmat Pengurusan dan Pembangunan, Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu. Pendedahan awal ini sangat relevan dengan perubahan struktur perkhidmatan di masa laluan kerjaya guru di sekolah untuk kenaikan pangkat semakin luas dan singkat. Respone peserta terhadap kandungan ceramah ini sangat baik.

Ketua Unit Sekolah Rendah, En. Jelani bin  Sulong telah menyempurnakan majlis penutupan taklimat ini. Dalam ucapannya beliau mengingatkan semua peserta bersyukur kerana berpeluang ditempatkan di Terengganu dalam keadaan perjawatan sudah tepu. Tetapi kerana opsyen yang kritikal mereka beroleh peluang teristimewa ini. Oleh itu beliau berharap agar semua peserta dapat memberi pekhidmatan terbaik sebagai satu pernyataan syukur atas penempatan ini.


Sunday, November 20, 2011

DI UJUNG KEBERSAMAAN INI ( Sempena Persaraan Pengarah JPNT)


Arus masa menghayutkan usia ke ujung segalanya
Hiruk pikuk sorak sorai kian sayup di kaki hari
Biduk hidup sehala setia menuju persinggahan abadi
Meninggalkan pepohon jasa yang dikutip nilai musafir fana

Di ujung kerbersamaan ini
         Pabila tayangan silam memenuhi panggung nostalgia
Kami nikmati curahan ilmu guna menakhodai organisasi
Tersusun kejap bait-bait amanah seorang ketua
Terpikul di bahu kami perjuangan yang didamba
Menobatkan anak bangsa tercinta pada singgahsana kelestarian cemerlang
Moga bersinar dimercu
Terengganu Anjung Ilmu.

Di ujung kebersamaan ini
Lambaian longlai jari jemari kami
Melepasi permergian tuan sepenuh rindu
Gemersik jua senandung sayu dilubuk kalbu
Namun akur kami pada sunnah kejadian tetapan khaliqul Alam
Setiap pertemuan tunangan perpisahan

Di ujung kebersamaan ini

Tiada emas permata untuk kami balasi segala jasa budi
Hanya tadahan tangan pada Mu ya Rabbi
Moga hamba Mu cikgu Razali ketua kami
Sentiasa dicucuri rahmat, maghfirah nan mencurah
Sejahtera bahagia duniawi dan ukhrawi....

Di ujung kebersamaan ini
Maafkan kami cikgu Razali....

Sidisagerba SKSS II
19112011


Friday, November 18, 2011

Renungan Jumaat: Menghadapai anak yang kurang berjaya dalam peperiksaan

Semalam keputusan UPSR 2011 telah diumumkan. Anak-anak yang berjaya tentunya telah diraikan dengan pelbagai cara oleh ibubapa , ahli keluarga ataupun rakan-rakan. Namun bagaimana dengan anak-anak yang kurang menyerlah walaupun pelbagai usaha telah dibuat. Ada ibubapa atau anak-anak yang kurang berjaya ini gagal menerima kenyataan. Ada suami dan isteri bermasam muka atau saling menyalahkan antara satu sama lain kerana hal ini. Ada anak-anak yang murung dan tertekan kerana kegagalan dan krisis yang berlaku akibat dari keputusan yang kurang memuaskan.

Sebagai ibubapa, tentunya kita tidak ingin anak-anak kita terus dirundung kegagalan. Ada kata-kata hikmat yang menyatakan"gagal sekali tidak bererti gagal untuk selama-lamanya". Seperti setiap penyakit ada ubatnya (Tuhanlah penyembuh yang hebat) maka permasalahan dan persoalan juga ada jalan keluarnya. Oleh yang demikian jika punca kegagalan anak-anak itu daripada masalah dalaman keluarga maka ubatnya juga adalah menyelesaikan masalah dalaman berkenaan. Dalam hal ini kita harus positif bahawa segala sesuatu ada jalan penyelesaiannya. Saya meyakini ibu bapa adalah peribadi yang cukup dewasa dan matang untuk memahami keperluan anak-anak mereka.Oleh yang demikian apabila anak-anak gagal atau tidak cukup cemerlang dalam peperiksaan maka kita tidak perlu mencari pihak lain untuk"dikambing hitamkan" (seperti yang penulis jelaskan dalam tulisan sebelum ini).Sebaliknya, para ibubapa bolehlah muhasabah diri serta mengambil langkah untuk memperbaiki keadaan. Antara  tindakan yang boleh dilakukan ialah;

1. Perbaiki hubungan antara suami dan isteri.
Jadikan rumah tangga itu sebagai "surga kecil" bagi anak-anak. Hiasi rumah tangga dengan kasih sayang, saling menghargai, menghormati dan saling mengasihi antara satu sama yang lain. Pastinya ini wajar dimulai oleh ibu dan bapa.Memperbaiki hubungan  antara ibu bapa dianggap sangat penting kerana merekalah tonggak dalam keluarga, merekalah tunjang dalam keluarga. Biarlah anak-anak dapat melihat dan mengalami perubahan itu.  Ini mungkin sukar untuk dilaksanakan, namun pengaruhnya amat besar terhadap kecemerlangan anak-anak pada tahun-tahun yang mendatang. Kalau di negara barat apabila ada kerengangan antara  ibu dan bapa, mereka  boleh berhubung dengan  kaunselor keluarga untuk meminta nasihat dan bimbingan tetapi sebenarnya  kita juga boleh meminta nasihat dari "pemimpin agama" kita, atau langkah yang terpenting ialah sentiasa meminta pertolongan dan kekuatan daripadaNya.

2. Fokuslah pada pembentukan keperibadian anak-anak dengan kasih sayang.
Memberikan kasih sayang terhadap anak-anak merupakan satu bentuk pendidikan yang mampu memberikan impak positif pada minda mereka. Oleh yang demikian fokus ibubapa dalam mendidik anak ialah dengan membentuk peribadi yang positif dan menyeluruh serta bukan sekadar meletakkannya pada nilai dan gred markah yang akan diperolehi oleh mereka dalam peperiksaan. Siapa pun dan bagaimana pun tahap intelek mereka, selagi mereka digelar anak mereka tetap adalah anak kita. Memberikan pendidikan pada anak-anak merupakan tanggungjawab orang tua. Ibu bapa tidak harus membuat ugutan dan tuntutan pada anak-anaknya (apa lagi yang masih peringkat kanak-kanak) dengan kenyataan negatif seperti anak-anak berhutang pada orang tua mereka yang telah menyekolahkan mereka. Faktanya ialah para ibubapa harus membalas jasa orang tua mereka dengan cara mendidik cucu-cucu mereka dengan baik.Niat yang murni untuk mendidik anak-anak sangat penting.


3. Memahami kebolehan dan kekuatan anak.
Jangan sekali-kali membandingkan anak-anak kita dengan orang lain. Perbandingan negatif akan membuatkan anak-anak juga bersikap negatif.Jika anak-anak kita gagal atau kurang cemerlang jangan bandingkan mereka dengan orang lain, adik beradik, kawan-kawannya,jiran ataupun saudara-saudaranya yang lain. Ini akan menimbulkan perasaan rendah diri, tidak yakin,dendam dan marah pada ibubapa. Kekuatan dan kebolehan anak-anak kita mungkin berbeza dengan anak orang lain. Malah ia juga berbeza dengan adik beradiknya yang lain. Berilah pujian dan penghargaan sewajarnya terhadap segala usaha dan kejayaan anak itu sekalipun kejayaan dan usaha itu kecil pada pandangan kita. Kecenderungan, kebolehan dan kekuatan anak perlu dikenalpasti agar dapat dipupuk menjadi "gergasi" dalam diri mereka. Potensi itu juga perlu digilap serta dibajai dengan sempurna dan penuh kasih sayang. Apabila ini dapat dilakukan maka pastinya kebolehan dan potensi anak-anak itu akan dapat berkembang dan peribadi mereka juga dapat bertumbuh menjadi diri mereka sendiri dan bukan "dipaksa menjadi seperti orang lain".

4. Jadilah teladan kepada anak-anak dalam mencintai ilmu (belajar/membaca).
Anak-anak sangat mudah dipengaruhi oleh apa yang dilihatnya.Mereka suka meniru, mencontohi ataupun meneladani apa yang dilakukan oleh orang di persekitarannya.Oleh yang demikian apabila ibu bapa gagal menjadi teladan yang baik mereka akan menjadikan"seseorang" sebagai orang yang boleh mereka jadikan contoh (baik/buruk). Sehubungan dengan itu, ibu bapa perlulah menjadi teladan yang baik terutamanya dalam soal belajar (dan juga membaca). Anak-anak yang melihat orang tuanya rajin "belajar dan membaca"  serta sentiasa mengambil berat terhadap apa yang mereka lakukan akan menjadi menjadi ikutan atau idola anak-anak. Malah tabiat positif ibubapanya juga akan dikuti oleh anak-anak, seperti pepatah melayu yang berbunyi "bapa borek anak rintik."Begitu juga dalam hal mengambilberat terhadap perkembangan pelajaran anak-anak perlulah dilakukan oleh ibubapa.Persoalannya adakah kita menjadi idola yang positif buat mereka?..kalau tidak anak-anak itu akan mencari idola di luar sana yang mungkin tidak bersesuaian.


Akhir sekali, kegagalan anak-anak kita tidak bererti kiamat telah tiba, kita harus terima hakikat dan jangan malu untuk mengakuinya.  Beri pengharapan dan sokongan moral pada anak-anak serta elakkan dari melabelkan mereka sehingga menjadi menjadi bahan sindiran dan punca kekecewaan. Masih belum terlambat untuk membaikinya. Prestasi kecemerlangan anak yang kurang baik hanyalah sebagai buah kepada permasalahan utama yang ada, iaitu permasalahan dalam soal berkeluarga. Permasalahan utama itu harus diselesaikan terlebih dahulu...Kadang-kadang kebenaran ini pahit dan sukar untuk kita mengakuinya, tetapi terlalu banyak bukti yang dapat diangkat untuk menyatakan kebenaran ini.

Thursday, November 17, 2011

Pertukaran dan Penempatan Guru Besar dan GPK kuatkuasa 16 Nov 2011

Tahniah kepada Guru Besar dan GPK yang bertukar atau ditawarkan kenaikan pangkat yang berkuatkuasa pada 16 November 2011. Pada rakan Guru Besar dan GPK yang bertukar ke sekolah baru sama ada atas permintaan atau atas arahan perkhidmatan anda telah meninggalkan legasi hebat di sekolah lama dan teruskan legasi keterbilangan kerjabuat dan kerjakuat anda di sekolah baru. Dan kepada yang baru ditawarkan kenaikan pangkat serta menerimanya sama ada sebagai Guru Besar dan GPK, belajarlah dan lakukan dengan penuh kebijaksanaan untuk memimpin dan memacu kecemerlangan pendidikan di sekolah baru.

Guru Besar atau GPK yang hebat hari ini adalah mereka yang menghayati dan mengamalkan filosofi kepimpinan dan pengurusan berwawasan, berpegang pada nilai-nilai dan sikap positif, mempelajari pelbagai kemahiran pengurusan dan belajar menambah ilmu pengetahuan pengurusan (TASK). Dan anda juga boleh melakukan.Surat pertukaran dan penempatan boleh diperolehi di PPD masing-masing

Senarai penuh KLIK

Hari Anugerah Cemerlang SK Sultan Sulaiman 1..

 KUALA TERENGGANU - " Menghargai setiap kebolehan dan pencapaian murid", itulah hasrat Guru Besar, SK Sultan Sulaiman 1, Tuan Haji Yusof bin Karim apabila lebih 380 orang murid menerima hadiah daripada pelbagai kategori pada Hari Anugerah Cemerlang 2011 sekolah berkenaan pada petang tadi. Hari Anugerah Cemerlang SK Sultan Sulaiman 1 telah dirasmikan oleh wakil pengarah Tuan Haji Suhaimi Endut, Kaunselor Pentadbiran, PPD Kuala Terengganu.

Pegawai Perhubungan SK Sultan Sulaiman 1, En. Jelani Sulong, Ketua Unit Sekolah Rendah, Yang DiPertua PIBG, En. Wan Zakri dan AJK PIBG SK Sultan Sulaiman 1 turut hadir. Ramai ibubapa yang mana anak-anak mereka menerima anugerah telah hadir. Pelbagai hadiah disediakan bagi menghargai bakat, kebolehan dan pencapaian murid. Penyampaian hadiah diselang-seli dengan persembahan pelajar dari pelbagai peringkat. Sebelum itu bacaan doa dan bacaan Al-Quran adalah daripada kalangan murid. Ini ketrampilan kemenjadian murid sekolah kluster.

Tahniah SK Sultan Sulaiman 1, Sekolah Berprestasi Tinggi sedang menunggu.

Pencapaian UPSR 2011 bagi sekolah SBT dan SKK Terengganu

KUALA TERENGGANU - Alhamdulillah sebagaimana kita sedia maklum UPSR 2011 telah diumumkan dan pencapaian negeri Terengganu dari aspek semua A, Min C dan GPN telah meningkat. Keputusan kali ini juga membuat kita terpanggil untuk melihat pencapaian Sekolah Berprestasi Tinggi dan Sekolah-Sekolah Kluster Kecemerlangan di negeri ini secara lebih dekat. Inilah ikon baru sekolah berprestaj dalam hiraki kedudukan jenama sekolah terbilang dalam negara. Sebarang "kecacatan" walaupun kecil memberi impak besar kepada respektasi umum. Inilah cabaran yang perlu dihadapi oleh warga SBT dan SKK. Jom kita lihat pencapaian mereka:
Klik atas untuk besarkan atau klik SINI untuk lebih jelas atau muat turun.

Tahniah kepada semua sekolah SBT atau SKK kerana dapat mengekalkan GPS di bawah 1.7 dan pencapaian semua A melebihi 25% serta Min C melebihi 90%. Tahniah kepada SK Dusun, Hulu Terengganu kerana mencapai GPS 1.23 serta Min C 100% dan menduduki ranking pertama negeri bagi kedua kategori tersebut. Tahniah juga kepada yang sekolah yang menduduki ranking cemerlang pencapaian Semua A seperti SK Tengku Mahmud, Besut ( ranking 4 negeri), SK Dusun, Hulu Terengganu (ranking 6 negeri),SK Sultan Sulaiman 1 (ranking 16 negeri dan  SK Seri Berang, Hulu Terengganu (ranking 17 negeri).

Sekolah Sultan Ismail, Kemaman yang merupakan SBT tunggal setakat ini perlu mempertingkatkan usaha dan strategi agar tiada calon memperolehi D atau E dan merebut ranking yang lebih tinggi. Kita yakin dengan kepimpinan sekolah yang ada dan peruntukan besar SBT serta sokongan ibubapa dan masyarakat SK Sultan Ismail mampu melonjakkan lagi prestasi pencapaian UPSR pada masa depan.

Tahniah untuk semua warga SBT dan SKK Terengganu...

UPSR 2011 : Terengganu terus unggul !

KUALA TERENGGANU - Terengganu terus unggul dalam pencapaian semua A, UPSR 2011 dengan pencapaian 15.6 % meningkat sebanyak 0.2% berbanding tahun 2010 sebanyak 15.4%. Begitu juga dengan pencapaian Minimun C telah meningkat kepada 71.1% berbanding 66.8%. Peningkatan 4.3 % mengikut En.Razali bin Daud, Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu antara yang terbaik semenjak beberapa tahun ini. Begitu juga dengan Gred Purata Negeri telah meningkat 0.11 dari tahun 2010 sebanyak 2.25 kepada 2.14 tahun 2011.

Pengumuman keputusan UPSR 2011 bagi negeri Terengganu telah disampaikan oleh En. Razali bin Daud, Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu di Bilik Mesyuarat Alamanda, Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu pagi ini. Turut hadir Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri, Ketua-Ketua Sektor, Pegawai-Pegawai Pelajaran Daerah, pagawai di jabatan dan ppd serta wartawan akhbar dan media elektronik.

Pengarah Pelajaran Negeri bersyukur dengan pencapaian berkenaan dan semua pihak yang memberi sokongan ke arah kecemerlangan itu. Sebanyak 63 buah sekolah telah mencapai kejayaan cemerlang. SK. Kampung Bharu Tok Dor, Besut  memperolehi pencapaian tertinggi peratus 5A iaitu sebanyak 66.67 %. Sementara pencapaian tertinggi GPS ialah SK Dusun, Hulu Terengganu iaitu 1.23. Daerah terbaik pencapaian semua A ialah Daerah Besut iaitu 23.9%.

Insyaalah jika tiada aral melintang kami akan upload keputusan penuh UPSR Terengganu. Jangan lupa bersama USR Blog. Tahniah Ganu Kite !!! Terima kasih Menteri Besar, Terima Kasih Pemimpin Negeri dan Kepimpinan JPN Negeri,  Terima Kasih Cikgu, Terima Ibubapa, Tahniah anak-anak...Terima Kasih Rakyat Terengganu yang cintakan ilmu.

Seperti yang dijanjikan. Terima kasih kepada Sektor Peperiksaan Dan Penilaian : Analisa Pencapaian UPSR 2011 . Klik DI SINI dan DI SINI



Wednesday, November 16, 2011

Rumusan Dan Penutup Taklimat Peningkatan Prestasi Sekolah Band 2, Zon Timur

KUALA TERENGGANU - Taklimat Prestasi Sekolah Band 2, Zon Timur melabuhkan tirai petang ini apabila ditutup dengan rasmi oleh En. Shamsuri bin Sujak, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Sektor Perhubungan Sekolah Berprestasi Tinggi, KPM pada petang tadi. Pada sebelah pagi telah diadakan sesi bengkel dan pembentangan mengenai isu-isu yang dihadapi Sekolah Band 2 terlibat dan cara mengatasinya.

En. Shamsuri mengingatkan semua peserta agar apa yang ingin dibina dan dicapai mestilah selaras dengan hasrat pimpinan pendidikan terutama sekali berkaitan strategi mencapai kecemerlangan atau x-plus. Beliau berharap para Guru Besar khususnya melaksanakan transformasi bagi mempertingkatkan segala aspek pencapaian pendidikan di sekolah. Beliau berharap Guru Besar mampu memimpin sekolah ke arah yang lebih terbilang khususnya bagi mencapai sekolah bertaraf  Sekolah Berprestasi Tinggi.

Menurut Ketua Penolong Pengarah Kanan lagi untuk itu band perlu dipertingkatkan. Peningkatan band sekolah tidak boleh lari dengan peningkatan SKPM dan GPS. Tegas beliau pihak sekolah band 2 perlu mengadakan perancangan strategik dan gerakan bersepadu agar seluruh ahli organisasi yang dipimpin memahami dan mampu mencapai hasrat yang sama. Beliau juga merakamkan penghargaan kepada Guru Besar atau wakil yang dapat hadir walaupun dalam keadaan kekangan masa dan aktiviti persekolahan di akhir tahun.

Bahan Bengkel Sek Band 2 KLIK

Perkongsian Pengalaman Pengurusan..

KUALA TERENGGANU - Semalam semua peserta Taklimat Peningkatan Prestasi Sekolah Band 2, Zon Timur dapat berkongsi pengalaman pengurusan secara langsung dengan Tuan Haji Yusof bin Ab.Karim, Guru Besar Cemerlang, Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman 1,Kuala Terengganu, Sekolah Kluster Kecemerlangan. Pengalaman praktis pengurusan ini sangat besar ertinya dalam mengubah pandangan dan motivasi diri pengurus sekolah jika mereka ingin "belajar" sesuatu.

Tuan Haji Yusof Ab.Karim adalah mantan Yang Dipertua MGB Terengganu dan Bendahari Agong, Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia pernah bertugas di JPN Terengganu sebelum menjadi Guru Besar di beberapa buah sekolah sebelum ke SK Sultan Sulaiman 1 pada 16 November 2010. Hampir setahun di sekolah ini beliau telah banyak membuat perubahan dalam pembangunan pengurusan, profesionalisma guru, kecemerlangan akademik dan persekolahan, hubungan akram dengan PIBG, komuniti dan ibubapa serta membangun amalan nilai kemenjadian murid yang membanggakan.

Beliau berjaya membangunkan Sekolah Kluster yang malap kepada Sekolah Kluster yang bukan sahaja prograsif untuk dirinya tetapi jika juga memanafaatkan anugerah kluster kepada sekolah-sekolah lain melalui penganjuran pelbagai program di peringkat negeri dan kebangsaan. Beliau telah menggunakan pelbagai pendekatan yang rappo dan motivated merangsang potensi para guru, ibupada dan pelajar serta memanafaat sumber melalui jabatan., ppd, pibg dan pelbagai agensi strategik serta melaksanakan tindakan berisiko dan perubahan yang berani seperti membina gelari, memindahkan pusat sumber, pendekatan koloboratif bersama ibubapa dalam pengajaran-pembelajaran dan sebagainya. Hari ini SK Sultan Sulaiman 1, menunggu keputusan penilaian Sekolah Berprestasi Tinggi.

Secara ringkas Guru Besar, SK Sultan Sulaiman 1 telah menggunakan TASK dalam pengurusan. T (Target/sasaran/wawasan), A (Atitut/sikap atau nilai), S (Skill/Kemahiran/Kepakaran) dan K (Knowlage / Pengetahuan/Ilmu). Keempat elemen itu diadun dan dimanafaat dengan baik oleh Tuan Haji Yusof Ab. Karim sebagai pengurus sekolah yang hebat. Tahniah dan selamat maju jaya SK Sultan Sulaiman 1.

Tuesday, November 15, 2011

Taklimat Peningkatan Prestasi Sekolah Band 2 (Terpilih) Zon Timur

KUALA TERENGGANU - Sektor Pengurusan Dan Perhubungan, Sekolah Berprestasi Tinggi, Kememnterian Pelajaran Malaysia mengadakan Taklimat Peningkatan Prestasi Sekolah Band 2, Zon Timur di Hotel Grand Continental, Kuala Terengganu mulai 15 hingga 16 November 2011. Seramai 98 orang Guru Besar atau Guru Penolong Kanan dari Terengganu (20 orang), Kelantan (32 orang) dan Pahang (46 orang). Turut hadir ialah Pegawai Meja dari Jabatan Pelajaran Negeri berkaitan.

Sektor Pengurusan Dan Perhubungan, Sekolah Berprestasi Tinggi diketuai oleh En. Shamsuri bin Sujak, Ketua Penolong Pengarah Kanan.

Antara  tujuan penting taklimat ini ialah untuk memberi kefahaman kepada pengurusan sekolah laluan ke arah pencapaian Sekolah Berprestasi Tinggi melalui strategi peningkatan band sekolah. Peningkatan band bermakna keperluan kepada peningkatan Gred Purata Sekolah (70%) dan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (30%). Kedua elemen inilah akan menentu markah untuk penarafan band sekolah.

Pada sesi sebelah pagi  Pn. Faridah Yang Razali, Ketua Penolong Pengarah , Sektor Pengurusan Dan Perhubungan, Sekolah Berprestasi Tinggi telah menyampaikan input berkaitan strategi ke arah kecemerlangan sekolah khususnya ke arah Sekolah Berprestasi Tinggi. Beliau juga secara "hand on" menunjuk cara bagaimana proses pengiraan band berasaskan skore SKPM dan GPS. Sebagai pegawai yang pernah bertugas di Jemaah Nazir beliau turut berkongsi pengalaman dalam penilaian  terhadap pelbagai aspek khususnya verifikasi SKPM

Sementara pada sesi petang perbincangan khusus berkaitan dengan SKPM telah disampaikan oleh
En. Abd. Munir bin Abd. Rashid, Penolong Pengarah dari Jemaah Nazir Dan Jaminan Kualiti, Kementerian Pelajaran Malaysia. Beliau telah menerangkan versi SKPM 2003 dan 2010. Beliau memberi fokus khusus berkaitan SKPM termasuk kesilapan dalam pengurusan SKPM. Banyak sekolah yang dicalonkan untuk pelbagai anugerah gagal kerana apabila SKPM diverifikasi skornya jauh tersasar dari apa yang diisi secara online. Beliau mendakwa ada Guru Besar tidak tahu dan faham SKPM atau SKPM dibuat secara sambil lewa oleh individu yang tidak sepatutnya. Selain dari itu data tidak lengkap dan skor yang diberi tanpa avidance. Sesungguhnya banyak kesilapan yang tidak sepatutnya berlaku dan berlaku. Hal-hal beginilah yang menyebabkan skor SKPM tersasar jauh apabila diverifikasi.