Tuesday, April 25, 2017

KUALA TERENGGANU: Tiada pelajar di Terengganu yang terlibat dalam mana-mana kumpulan kongsi gelap atau gangsterism setakat ini, demikian tegas Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Shafruddin Ali Hussin.

Beliau berkata setakat ini, jabatan tidak pernah menerima laporan berhubung penglibatan pelajar Terengganu dalam kumpulan kongsi gelap.

“Kesalahan yang dilakukan pelajar Terengganu setakat ini hanya berkaitan masalah disiplin dan ia masih dalam keadaan yang sangat terkawal.

“Peranan guru disiplin dan guru kaunselor di semua sekolah di Terengganu setakat ini berjaya mengekang aktiviti seumpama itu,” katanya.

Beliau memberitahu pemberita selepas Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang STEM Exxonmobil 2016 yang disempurnakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri, Bazlan Abdul Rahman di sini.

Mengulas lanjut, Shafruddin berkata pihak sekolah sentiasa proaktif dan setiap kesalahan pelajar akan direkodkan seterusnya diberi kaunseling agar perkara itu tidak terus berulang.

“JPNT sangat peka dengan perkara seperti ini, sebab itu semua kesalahan pelajar akan direkodkan oleh guru disiplin dan guru kaunselor pula memastikan pelajar tersebut tidak tersasar jauh dari matlamat sebenar mereka sebagai pelajar.

“Secara tidak langsung masalah disiplin di Terengganu akan terkawal begitu juga penglibatan murid-murid dalam kegiatan gangsterisme, setakat ini tak pernah lagi berlaku perkara yang melibatkan gangsterisme secara besar-besaran di negeri ini,” katanya.

Hubungan rapat antara sekolah, ibu bapa, komuniti setempat serta pelajar juga sentiasa dipupuk untuk mengelak kegiatan seperti itu dan bersama-sama memfokuskan kejayaan pelajar dalam pelbagai bidang akademik, sukan dan kokurikulum, katanya.

sumber

Monday, February 6, 2017

Kursus NPQEL 1/2017


 Antara GPK Terengganu yang mengikuti NPQEL 1/2017

Calon-calon Pengetua dan Guru Besar (PGB) bagi Kursus NPQEL Kohort 1/2017 mula mendaftar diri di kampus IAB Genting Highland dan juga Nilai semalam. Mereka akan menghabiskan kursus ini dengan pelbagai kaedah pembelajaran bagi melayakkan mereka menerima sijil NPQEL selama enam bulan. Selain menghadiri kuliah, kerja kumpulan, pembelajaran online mereka juga perlu mengadakan program sandaran di sekolah tertentu bagi mengaplikasikan teori dan praktik pengurusan dan kepimpinan sekolah.

Negeri Terengganu juga turut menghantar calon PGB Kohort 1/2017 sebagai calon kepimpinan sekolah. Kemungkinan sesetengah mereka yang terpilih akan ditawarkan sebelum menamatkan kursus sekitar pertengahan Jun hingga Disember. Sementara jawatan PGB ataupun Guru Besar khususnya dari Januari hingga awal Jun 2017 diisi oleh lulusan NPQEL Kohort 2/2016.Ini bermakna kita di Terengganu terutamanya tidak ada masalah untuk mengisi jawatan PGB kerana kita mempunyai calon PGB yang mencukupi.

Kita berharap para pegawai dan guru-guru yang diberi peluang mengikuti NPQEL ini dapat memanafaatkan peluang keemasan ini sebaik mungkin. Timbalah segala ilmu pengurusan dengan bersungguh-sungguh agar mampu menjadi pemimpin sekolah yang mampu membawa transformasi dan seterusnya meninggalkan legasi dalam kerjaya mereka. Selamat berkursus.

Sunday, February 5, 2017

Program Jom ke Sekolah

Kementerian Pendidikan Malaysia telah kerjasama Polis DiRaja Malaysia (PDRM) hari melancarkan program Jom ke Sekolah serentak di seluruh negara.Program ini bertujuan memperkasakan lagi kehadiran murid ke sekolah dengan menghindari gejala ponteng dan salah laku disiplin dan jenayah.

Saya berkesempatan ke SK Gong Badak, Kuala Terengganu sebagai sekolah angkat saya. Sementara pihak polis beserta orang pegawai yang diketuai oleh Koperal Rosli dari Balai Polis Gong Badak. Majlis pelancaran dengan semua guru dan murid-murid mengambil tempat di dataran perhimpunan sekolah. Perhimpunan dimulai dengan nyanyian lagu-lagu patriotik, ikrar murid, membaca perutusan Ketua Polis Negara, membaca Perutusan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Pelancaran dan penyerahan peti aduan.

Program Jom Hadir ke Sekolah perlu ditangani oleh semua pihak terutama ibu bapa dan pimpinan masyarakat, bukannya pihak sekolah dan polis sahaja. Sekolah-sekolah yang dikenalpasti mencapai peratus kehadiran rendah, ponteng yang tinggi dan salah laku disiplin tinggi perlu diberi fokus. Sekolah-sekolah Murid Orang Asli yang mana peratus kehadiran sangat rendah perlukan kesungguhan ibu bapa, tok batin dan agensi-agensi strategik seperti Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) bagi membantu pihak sekolah dan pihak polis.



Tahniah dan Selamat Bertugas

Tahniah kepada Guru Besar baru daerah Kemaman, Pn. Lazifah bt. Mohd Azif yang dilantik sebagai Guru Besar SK Kijal berkuatkuasa 02.02.2017 dan Puan Rosnani binti Mohd Yusof yang dilantik sebagai Guru Besar, SK Ketengah Jaya. Penyerahan surat pelantikan berkenaan telah disampaikan oleh En. Azahar bin Abu Bakar, Ketua Sektor, Sektor Pengurusan Sekolah pada hari Khamis, 2 Februari 2017 di Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu.

Pn. Lazifah bt. Mohd Azif menerima surat
pelantikan dari Ketua Sektor Pengurusan 
Sekolah.

Puan Rosnani binti Mohd Yusof menerima surat
pelantikan dari Ketua Sektor Pengurusan 
Sekolah.

Dari kiri : En. Mohd Arifin (KUSR), En.Rosli (KPPSPS)
En.Azahar (KS SPS), Pn. Lazifah dan Pn. Rosnani


Wednesday, February 1, 2017

Ujian Saringan Pertama Talian UKM1 Tahun 2017

http://ukm1.permatapintar.edu.my .




KUALA TERENGGANU, 1 Februari 2017 - Terengganu akan berusaha mempertahankan penyertaan teramai tiga tahun berturut-turut Ujian UKM1 bagi tahun 2017. Mesyuarat Penyelarasan UKM1 yang dipengerusikan oleh En. Azahar Abu Bakar, Ketua Sektor, Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu mensasarkan 60,000 murid dari 8 hingga 15 tahun mengambil ujian ini pada tahun ini. Pada tahun lepas 51,000 orang lebih berjaya menyertai ujian ini dan negeri paling ramai penyertaannya.


Sehubungan dengan itu beberapa strategi promosi telah dirancang bersama-sama daerah. Antaranya taklimat kepada Penyelaras Permata Pintar setiap sekolah, melalui media baru seperti blog,facebook dan sebagainya.
Cadangan Taklimat sebagaimana berikut:
  • Daerah Setiu dicadangkan 13 Feb 2017 bertempat di PPD Setiu
  • Daerah Hulu Terengganu dicadangkan 12 Feb 2017 bertempat di PPD Hulu Terengganu
  • Daerah Marang dicadangkan 8 Feb 2017 bertempat di PPD Marang
  • Daerah K.Trg & K. Nerus dicadangkan pada 21 Feb 2017 di Dewan SK Sultan Sulaiman 2
  • Daerah Besut dicadangkan 9 Feb 2017 di PPD Besut
  • Daerah Dungun dicadangkan pada 16 Feb 2017 di PPD Dungun
  • Daerah Kemaman dicadangkan 15 Feb 2017 di PPD Kemaman
 Ujian Saringan UKM1 akan bermula 1 Febuari dan akan berakhir pada 31 Mei 2017. Ujian ini adalah saringan pertama untuk mencari murid pintar dan berbakat bagi menyertai program-program berikut:
  1. Murid beragama Islam berusia 8 tahun (Tahun 2 tahun 2017) untuk program Perkhemahan PERMATA Insan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) 2017
  2. Murid beragama Islam berusia 11 tahun (Tahun 5 pada tahun 2017) untuk program Perkhemahan Khas PERMATA Insan di USIM 2018 untuk kemasukan ke Kolej PERMATA Insan pada tahun 2019
  3. Murid pelbagai bangsa berusia 9 - 15 tahun untuk program Perkhemahan Cuti Sekolah STEM UKM-JHU 2017-2018 di Pusat PERMATApintar Negara UKM.
  4. Murid berusia 11 - 15 tahun untuk kemasukan ke Kolej PERMATApintar UKM pada tahun 2018.
Ujian tersebut terbuka kepada semua murid berusia 8 hingga 15 tahun dan boleh diakses secara atas talian di laman sesawang http://ukm1.permatapintar.edu.my .


Tuesday, January 24, 2017

Penyerahan Surat Penempatan Guru Besar baru

Semalam 23 Januari 2017 diadakan Majlis Penyerahan Surat Penempatan Guru Besar baru. Majlis berkenaan telah disempurnakan oleh Tuan Haji Shafruddin bin Haji Ali Hussain, Pengarah Pendidikan Terengganu. Turut hadir En. Azahar bin Abu Bakar, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah dan En. Mohd Ariffin bin Ismail, Ketua Unit Sekolah Rendah.

Tahniah kepada guru baru;
  • En. Tan Woon Su sebagai Guru Besar, SK Getang, Hulu Terengganu
  • Pn. Kasmah binti Ibrahim sebagai Guru Besar, SK Durian Mentangau, Dungun
  • Pn. Norlizai binti Awang Abdul Aziz sebagai Guru Besar, SK Tebing Tembah, Dungun
  • Cik Rozila binti Ami sebagai Guru Besar, SK Pulau Redang, Kuala Terengganu

Pemantauan ke SOA SK Sungai Pergam

Pada 18 Januari 2017, saya selaku Pegawai Meja SMOA Terengganu bersama-sama En. Azahar bin Abu Bakar, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah dan En. Rosli bin Chik, Penolong Pengarah, Sektor Pengurusan Sekolah telah mengadakan pemantauan pengurusan sekolah di SK Sungai Pergam, Kemaman.

Tujuan utama kehadiran kami untuk memantau pengurusan pengoperasian sekolah bagi tahun 2017 di samping memberi apresiasi dan sokongan pada kepada salah sebuah SMOA Terengganu yang telah berusaha gigih membina reputasi. En. Mohd Shafie A.Bakar, Guru Besar, SK Sungai Pergam dalam taklimatnya melahirkan rasa terima kasih kepada Pengarah Pendidikan, PPD Kemaman dan semua pihak yang bersungguh-sungguh membantu SK Sungai Pergam hingga pencapaian kehadiran 2016 mencapai 83.49% melebihi KPI Menteri : 82%

Sementara itu menurut beliau UPSR 2016 sekolah mencapai GPS 3.42 dan pencapai terbaik sepanjang 5 tahun. Pada tahun 2017 sekolah mensasarkan GPS kepada 3.41.  Ketua Sektor dalam ucapan mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada pihak sekolah pada tahun 2017 pihak sekolah dapat melonjakkan pencapaian kepada KPI Baru Kehadiran 88.00% dan KPI Kadar Peralihan Tahun 6 ke Tingkatan 1 sebanyak 82% . Ketua Sektor juga merasa kagum dengan lonjakan rangking SK Sungai Pergam ke 325/352 yakni mengatasi sekolah harian yang lain. Beliau menyeru agar guru jangan cepat mengalah tetapi terus berusaha mencuba sentiasa mendapat "kepercayaan" masyarakat Orang Asli. Menurut beliau bila masyarakat percaya kepada sekolah mereka bekerjasama dengan baik.

Tahun 2017, kita doakan SK Sungai Pergam akan terus maju dan mencipta sejarah.

Monday, January 9, 2017

Guru main peranan mencorak hala tuju negara




Asyraf Wajdi Dusuki (tiga kiri) beramah mesra sambil mengagihkan kalendar
                                      kepada guru di SK Cherang Ruku, Pasir Puteh, Kelantan, semalam. - Utusan/Torek Sulong


Asyraf Wajdi Dusuki (tiga kiri) beramah mesra sambil mengagihkan kalendar kepada guru di SK Cherang Ruku, Pasir Puteh, Kelantan, semalam. - Utusan/Torek Sulong - See more at: http://www.utusan.com.my/pendidikan/guru-main-peranan-mencorak-hala-tuju-negara-1.427593#sthash.MjuLdAO0.dpuf

PASIR PUTEH 3 Jan. – Guru memainkan peranan penting dalam mencorak hala tuju negara meskipun terpaksa memikul tanggungjawab yang semakin mencabar.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asy­raf Wajdi Dusuki berkata, bidang perguruan merupakan pekerjasaan yang mulia di sini agama dan pastinya mendapat keberkatan kerana membantu memberi ilmu kepada anak bangsa.

Katanya, beliau melihat, guru di negara ini melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan, bukan sahaja membantu memantapkan pembangunan ilmiah pelajar malah mampu membentuk disiplin mereka.

“Saya kagum dengan tugas guru dalam mengajar murid. Ini adalah tugasan yang berkat, bernilai dan mampu mendapat pembalasan ganjaran pahala yang berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Temu Mesra bersama guru Sekolah Kebangsaan (SK) Cherang Ruku di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Pasir Puteh, Harun Yusof dan Guru Besar sekolah berkenaan, Wan Abdul Aziz Wan Noh.

Tambah Asyraf, guru juga perlu memainkan peranan de­ngan menyampaikan dasar-dasar kerajaan kepada komuniti setempat.

Katanya, langkah tersebut penting bagi mengelakkan masyarakat memperoleh maklumat palsu berhubung sesuatu perkara.

“Guru ini dianggap sebagai wakil kepada masyarakat. Golo­ngan pendidik ini sangat dihormati oleh penduduk,” katanya.


Sunday, January 8, 2017

Kemas kini data kerja mudah tapi terabai


Kementerian Pendidikan Malaysia dari masa ke semasa berusaha memperbaiki pengurusan data online supaya memudahkan banyak pihak untuk akses bagi pelbagai tujuan. Data Pengurusan Guru (e-operasi) misalnya digunakan untuk urusan kenaikan pangkat,persaraan, kedudukan perjawatan dan sebagainya. Bahkan untuk memudahkan pengurusan data operasi ini di peringkat sekolah pihak kementerian telah mengintegrasikan melalui satu sistem yang dinamakan Sistem Pengurusan Sekolah yang mengandungi Pengurusan Sekolah,Pengurusan Guru dan Pengurusan Murid.

Saya dalam tulisan ini hanya ingin menyentuh berkaitan pengurusan guru dan fokusnya ada dalam data e-operasi. Berdasarkan pengalaman dan pemerhatian Penolong Pengarah Data dan ABM , Unit Sekolah Rendah selalu mengingatkan pihak pengurusan sekolah dan PPD akan sentiasa kemaskini atau " update" data guru dalam e-operasi agar sentiasa menjadi "terkini".Di peringkat sekolah data e-operasi ini di bawah kawalselia Guru Penolong Kanan Pentadbiran dan mungkin ada kalangan mereka mungkin tidak menyedari akan fungsi dan peranan mereka yang sangat penting. Begitu juga dengan Guru Besar sendiri ada segelintir yang sangat kurang cakna tentang data mereka sendiri.

Ada beberapa kes yang kami hadapi di mana data dalam e-operasi Guru Besar bersara pada umur 58 tahun tapi bila ditanya dan dirujuk mereka bersara umur 60 tahun. Ada guru besar yang sudah naik pangkat bertahun tapi dalam e-operasi masih DG34 dan jika berlaku pertukaran berlaku kesilapan gred pada surat kerana pihak jabatan mengesahkan gred ini berdasarkan maklumat PPD dan apa yang ada dalam data e-operasi. Kesilapan-kesilapan yang tidak sepatutnya berlaku kerap berlaku kerana kecuaian pengurusan dalam mengemaskini perubahan data guru terutama data Guru Besar sendiri. Barangkali jika kesilapan seperti ini berlaku lagi di masa hadapan saya mencadangkan "surat tunjuk sebab" dikemukakan bagi mendapat penjelasan mengapa ianya masih berlaku.

Kita mungkin untuk tidak akan mencapai sifar kesilapan sesuatu perkara tetapi membiarkan kesalahan terhadap perkara penting dan utama adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku. Ia memberi petunjuk tentang kelemahan dan ketidakcekapan kita mengurus organisasi keseluruhannya.



Wednesday, January 4, 2017

Sejarah dirujuk visi ditunjuk

Salam Sejahtera khususnya kepada warga pendidik yang dikasihi,

Rasa belum terlambat untuk kita ucapkan Selamat Tahun Baru 2017 dan Selamat Kembali Ke Sekolah setelah bercuti panjang. Sudah terlalu lama blog ini tidak update. Ada yang kata berhantu. Hihihi mungkin benar juga. Apabila kita dirasuk dengan perkara yang sama fungsinya tapi lebih cepat dan lambat maka kita tinggalkan. Begitulah dengan blog Unit Sekolah Rendah ini terbiar sepi setelah kehadiran facebook, tweeter yang lebih pantas, mudah update dengan smartphone maka blog ini seakan terbiar.

Walau bagaimanapun pada tahun ini pasukan blogger USR akan berusaha menghidupkan kembali blog yang banyak jasa dan sumbangan ini. Bertolak kerana jasa dan sumbangan inilah juga kami sengaja tidak "padam" blog ini. Walaupun tidak update tetapi ia sentiasa dirujuk oleh banyak pihak bagi mendapatkan maklumat-maklumat yang penting. Kita tidak perlu buang dan humbangkan sewenangnya sejarah kerana ada ketikanya kita ingin merujuk kes atau peristiwa sebagai pedoman dan panduan. Oleh yang demikian, kita tidak sewajarnya mengulangi kesilapan yang sama pada masa hadapan.

Ada cerdik pandai menganalogikan proses kehidupan ini seperti membawa kereta. Untuk membolehkan kita membawa kereta kita perlukan lesen, pengetahuan dan kemahiran memandu.Begitulah juga dengan kehidupan kita. Kita diberi tauliah, ilmu dan pengetahuan supaya kita berupaya memandu hidup kita ke hadapan dengan cekal dan berani. Kita mesti ada wawasan sebagaimana kita memandu bergerak ke hadapan dan kita akan mencapai wawasan ataupun selamat tiba ke destinasi jika cekal, sabar, cekap dan berpegang teguh pada stering. Stering itu bagaikan pegangan atau akidah kehidupan untuk bergerak di jalan lurus hingga tiba ke al-falah (kecemerlangan).

Dalam proses pemanduan itu sesekali kita memandang cermin pandang belakang untuk melihat risiko dan kemungkinan. Begitulah juga dalam kehidupan kita sesekali berintrospeksi dengan masa lalu agar masa hadapan kita lebih baik dan berjaya. Jangan ulangi kesilapan yang sama lebih dari sekali kerana itulah "orang yang paling bodoh antara kamu" kata Nabi.

Oleh itu mari kita kejapkan stering di tangan menuju destinasi yang kita telah tetapkan dan sesekali dalam proses perjalanan kita melihat ke belakang, menyalami sejarah sebagai panduan dan peringatan. Semoga
tahun ini lebih baik dari tahun terkemudiaan.