Sunday, January 8, 2017

Kemas kini data kerja mudah tapi terabai


Kementerian Pendidikan Malaysia dari masa ke semasa berusaha memperbaiki pengurusan data online supaya memudahkan banyak pihak untuk akses bagi pelbagai tujuan. Data Pengurusan Guru (e-operasi) misalnya digunakan untuk urusan kenaikan pangkat,persaraan, kedudukan perjawatan dan sebagainya. Bahkan untuk memudahkan pengurusan data operasi ini di peringkat sekolah pihak kementerian telah mengintegrasikan melalui satu sistem yang dinamakan Sistem Pengurusan Sekolah yang mengandungi Pengurusan Sekolah,Pengurusan Guru dan Pengurusan Murid.

Saya dalam tulisan ini hanya ingin menyentuh berkaitan pengurusan guru dan fokusnya ada dalam data e-operasi. Berdasarkan pengalaman dan pemerhatian Penolong Pengarah Data dan ABM , Unit Sekolah Rendah selalu mengingatkan pihak pengurusan sekolah dan PPD akan sentiasa kemaskini atau " update" data guru dalam e-operasi agar sentiasa menjadi "terkini".Di peringkat sekolah data e-operasi ini di bawah kawalselia Guru Penolong Kanan Pentadbiran dan mungkin ada kalangan mereka mungkin tidak menyedari akan fungsi dan peranan mereka yang sangat penting. Begitu juga dengan Guru Besar sendiri ada segelintir yang sangat kurang cakna tentang data mereka sendiri.

Ada beberapa kes yang kami hadapi di mana data dalam e-operasi Guru Besar bersara pada umur 58 tahun tapi bila ditanya dan dirujuk mereka bersara umur 60 tahun. Ada guru besar yang sudah naik pangkat bertahun tapi dalam e-operasi masih DG34 dan jika berlaku pertukaran berlaku kesilapan gred pada surat kerana pihak jabatan mengesahkan gred ini berdasarkan maklumat PPD dan apa yang ada dalam data e-operasi. Kesilapan-kesilapan yang tidak sepatutnya berlaku kerap berlaku kerana kecuaian pengurusan dalam mengemaskini perubahan data guru terutama data Guru Besar sendiri. Barangkali jika kesilapan seperti ini berlaku lagi di masa hadapan saya mencadangkan "surat tunjuk sebab" dikemukakan bagi mendapat penjelasan mengapa ianya masih berlaku.

Kita mungkin untuk tidak akan mencapai sifar kesilapan sesuatu perkara tetapi membiarkan kesalahan terhadap perkara penting dan utama adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku. Ia memberi petunjuk tentang kelemahan dan ketidakcekapan kita mengurus organisasi keseluruhannya.



1 comment:

  1. Semoga penambahbaikan akan melancarkan lagi semua urusan :)

    ReplyDelete