Thursday, February 10, 2011

Siri Taklimat Permohonan Guru Besar Cemerlang DGA38(KUP) 2011

Hari ini merupakan siri terakhir Taklimat Permohonan Guru Besar Cemerlang DGA38 (KUP) 2011 bagi negeri Terengganu yang diadakan di Bilik Mesyuarat,PPD Setiu bagi guru besar daerah Setiu dan Besut.Pada 6 Februari yang lepas telah diadakan taklimat yang sama bagi guru besar daerah Dungun dan Kemaman di Auditorium,SMK Rantau Petronas,Kemaman.Sementara itu pada 7 Februari pula diadakan taklimat bagi guru besar daerah Marang,Hulu Terengganu dan Kuala Terengganu bertempat di Bilik Mesyuarat,Sekolah Kluster Kecemerlang,SK Sultan Sulaiman 1,Kuala Terengganu.

Rombongan kami iaitu saya,Ketua Unit Sekolah Rendah dan Ketua Unit Naik Pangkat dan Tatatertib telah bertemu secara langsung dengan semua Guru Besar DGA34 seluruh negeri. Walaupun sebahagian dari mereka tidak layak memohon kerana hampir bersara atau belum cukup tempoh atau telah menghampiri DG41(KUP) tetapi ianya amat penting khususnya kepada yang layak dan bakal layak untuk membuat persediaan awal agar permohonan mereka mematuhi kehendak dan kreteria yang ditetapkan.Bagi yang layak memohon pada tahun ini permohonan mereka mesti sampai ke Unit Naik Pangkat,Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu pada atau sebelum 1 Mac 2011

Kita sangat-sangat berharap mereka yang berkelayakan dan memenuhi kreteria ditetapkan memohon dengan lengkap dan sempurna agar panel dapat menilai keupayaan sebenar calon Guru Besar Cemerlang ini. Cuma ada di kalangan bekas guru besar yang hebat dan bagus yang telah ditempatkan di PPD mahupun jabatan merasa "terkilan" kerana terlepas untuk memohon Guru Besar Cemerlang dan juga mungkin "terlepas" memohon Pegawai/Pengelola Cemerlang DGA38(KUP) kerana belum cukup tempoh tiga tahun berkhidmat di PPD atau JPN. Mereka berharap kementeriaan mengkaji syarat berkhidmat tanpa putus tiga tahun sebagai Guru Besar / Pengelola  kepada berkhidmat atas gred hakiki DGA34 selama tiga tahun sahaja.

Begitu juga ada suara-suara perihati rakan Guru Besar Gred DGA34 ke atas agar Kementerian Pelajaran membuka laluan khas Guru Besar Cemerlang DGA34(KUP) kepada rakan-rakan Guru Besar Gred DGA32 SKM bukan sahaja kerana beban tugas dan tanggungjawab mereka sama seperti guru besar lain tetapi juga kerana laluan naik pangkat hakiki ke DGA34 agak sukar bagi mereka kerana bersaing dengan guru penolong DGA32(KUP) Time Base dan Guru Penolong Kanan

Kita berharap suara-suara ini dapat didengar oleh KPM kerana mereka juga berhak menikmati apa yang rakan-rakan sejawatan nikmati serta turut menyumbang kepada pembangunan pendidikan negera.

Wednesday, February 9, 2011

Mesyuarat Verifikasi Data DOSR dan Pengemaskinian ISO - PK01 & PK02

Bagi memenuhi piawaian pengurusan Data Operasi Rendah (DOSR) empat kali setahun dan ISO berkaitan PK Tukar dan PK Tempat dalam Pengurusan Guru ,Unit Pengurusan Sekolah Rendah telah mengadakan mesyuarat berkaitan bermula 8 hingga 10 Februari 2011 di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Pahang di Beserah,Kuantan.

Mesyuarat penting ini dihadiri oleh semua Penyelia Kanan Pengurusan Sekolah,Wakil Unit PraSekolah,Sektor Pengurusan Sekolah,Wakil Sektor Pendidikan Khas Dan Swasta,Wakil Sektor Pendidikan Islam,Pegawai-Pegawai Sektor ICT yang mengurus Emis dan Pegawai-pegawai dari Unit Pengurusan Sekolah Rendah di samping semua Pembantu Tadir PPD yang menguruskan pertukaran dan penempatan guru sekolah rendah.

En. Zakariah bin Ali,Ketua Sektor Pengurusan Sekolah,Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu menekankan akan kepentingan dalam pengurusan data yang tepat kerana pelbagai tujuan berikut:
  • memastikan kerja-kerja pengurusan data diurus dengan betul
  • menentukan data operasi guru di sekolah adalah tepat
  • membuat check and balance dengan data Emis
  • menentukan kedudukan guru di sekolah adalah sama dengan kelulusan ABM Perjawatan
  • memastikan data yang tepat untuk penempatan dan pertukaran guru
  • menunjukkan integriti dan kewibawaan kerjabuat pengurusan semua pegawai di semua peringkat
  • sebagai persediaan bagi tujuan pernaziran perjawatan oleh stake holder
  • untuk menyaring apa jua data guru yang dikehendaki dengan betul,cepat dan tepat
  • memudahkan JPN dan PPD membuat perancangan melibatkan kursus,seminar dan sebagainya untuk guru sekolah rendah
  • mengemaskini berkaitan prosidur ISO berhubungan dengan pertukaran dan penempatan guru
  • memastukan amalan kerjabuat pertukaran dan penempatan guru mematuhi prosidur ISO

Tuesday, February 8, 2011

Laporan Mingguan Penyertaan PermataPintar- Peringkat Negeri dan Negara 2011

Sebagaimana yang kita semua sedia maklum bahawa Ujian UKM1,Program Permatapintar bermula 1 Feb hingga 30 April 2011. Pada tahun 2010,Negeri Terengganu telah mencatat bilangan penyertaan yang tertinggi dan kita berharap pada tahun ini kita juga tidak ketinggalan untuk pelajar kita sertai berdasarkan kemudahan ebook yang ada serta kemudahan rangkaian internet yang ada.

Sehubungan dengan itu,blog ini akan menyiarkan laporan secara mingguan penyertaan pelajar di peringkat negara dan negeri sebagai dorongan,makluman dan motivasi untuk menyertai seoptima mungkin Ujian UKM1 ini.
Negeri Terengganu

Negara

DAFTAR DAN AMBIL UJIAN DI SINI

Monday, February 7, 2011

Sekitar Taklimat dan Penyampaian Surat Penempatan Guru Baru SR dan SM

Ketua Sektor Pengurusan Sekolah,En.Zakariah bin Ali mengingatkan guru baru (44 orang SR dan 14 orang SM) supaya jelas niat menjadi guru agar mereka dapat memberikan sepenuh sumbangan dan khidmat kepada anak bangsa.
"Jika tiada kasih sayang dalam jiwa guru,eloklah berundur dari menjadi guru",tegas beliau semasa menyampaikan ucapan mewakili Pengarah Pelajaran sewaktu Majlis Taklimat dan Penyampaian Surat Penempatan Guru Baru SR dan SM di Bilik Mesyuarat Alamada tengah hari tadi.

Pada sebelah pagi En.Salim Ghani,KPP Sektor Pengurusan Sekolah dalam ucapan beliau menggesa supaya guru-guru baru bersyukur kerana ditawarkan kerja tetap oleh kerajaan di saat beribu-ribu rakan-rakan lain yang ada ijazah masih lagi berhempas pulas menjadi Guru Sandaran Tidak Terlatih dan berharap diserap sebagai guru tetap.

Guru-guru baru telah diberi taklimat oleh pegawai-pegawai JPN seperti berkaitan perkhidmatan,pengurusan sekolah dan sebagainya sebelum diserahkan surat penempatan masing-masing. Alhamdulillah nampak semua ceria dan berjalan lancar. Kita amat mengharapkan guru-guru lama di sekolah dapat sama membimbing guru-guru baru ini supaya mereka dapat memberi sumbangan berkesan menjayakan misi pendidikan negeri dan  negara.

Selamat Bertugas Cikgu ! Terima Kasih Cikgu!

Sunday, February 6, 2011

Borang dan Dokumen Permohonan serta Pencalonan Guru Besar Cemerlang DGA38 (KUP) 2011

Permohonan terbuka kepada semua Guru Besar Gred DGA34 yang memenuhi syarat-syarat berikut:
  1. Calon perlu mengisi borang permohonan GBC38/11/A
  2. Mencapai prestasi(85% ke atas) berdasar LNP Tahun 2008,2009,2010
  3. Bebas Tindakan Tatatertib
  4. Lulus Istihar harta
  5. Lulus Tapisan SPRM
  6. Bebas dari pinjaman tegar Institusi Pinjaman/Tabung Pendidikan
  7. Diperaku oleh Pengarah Pelajaran Negeri
  8. Sedang berkhidmat sebagai Guru Besar Gred DGA34 sekurang-kurang 3 tahun
  9. Tarikh naik pangkat Guru Besar DGA34 hakiki ialah sebelum atau pada 28 Jun 2008
  10. Mempunyai sekurangnya 1 tahun lagi perkhidmatan sebelum bersara wajib pada tarikh permohonan
SEMUA PERMOHONAN YANG LENGKAP  MESTI SAMPAI KEPADA:

Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu
Jalan Bukit Kecil
20604 Kuala Terengganu
(U.P: Ketua Unit,Naik Pangkat)

PADA ATAU SEBELUM 1 MAC 2011

Catatan : Borang Permohonan dan semua dokumen hanya cukup ditebuk dan diikat dengan tali (tidak perlu binding) dan dimasukkan ke dalam sampul sebelum dipos di alamat di atas.

PERMARKAHAN DGA38(KUP) GURU BESAR CEMERLANG 
  • Markah LNPT 2008,2009,2010       -  40 %
  • Penilaian (Borang Permohonan)      -  30 %    -  calon mesti isi dengan lengkap berserta dokumen sokongan sebagai aviden
  • Pemantauan Pengurusan                  - 30%
Borang dan dokumen berkaitan sila download di bawah:
  1. Surat siaran
  2. Senarai Semak dokumen
  3. Kulit Borang GBC
  4. Borang Permohonan GBC
  5. Bahagian B GBC
  6. Akuan Ketua Jabatan
  7. Lampiran T1
  8. Carta Alir Urusan Pemangkuan GBC 2011

Saturday, February 5, 2011

Seminar Kebangsaan Pendidikan Sejarah

Hari ini sehari saya bersama Pn.Hjh Norehan Sulong bertugas sebagai juruacara majlis sesi pembentangan  kertas di Seminar Kebangsaan Pendidikan Sejarah anjuran Persatuan Bekas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia Cawangan Terengganu (PBPPMCMT) dengan kerjasama Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Terengganu di Hotel Tanjung Vista,Kuala Terengganu. Seakan kontrak tidak rasmi kami berdua selalu dijemput untuk bertugas sebagai juruacara bagi kegiatan besar PBPPCMT.

Seminar Kebangasaan Pendidikan Sejarah yang dihadiri 300 orang peserta seluruh negara kali ini bertujuan;
  • menilai keberkesanan pendidikan sejarah semasa
  • membina satu kerangka tindakan bagaimana untuk menyebar luas pendidikan sejarah supaya dapat dihayati dan diminati oleh semua rakyat Malaysia
  • meningkatkan keyakinan bahawa pembinaan jati diri bangsa bermula dengan penghayatan sejarah negara
  • mengemukakan cadangan dan rumusan seminar kepada kerajaan melalui kementerian-kementerian yang berkaitan.
 Sebanyakan empat kertas kerja telah dibentangkan oleh mereka yang pakar dalam bidang ini iaitu;
  1. Sejarah Dalam Pembinaan Negara Bangsa oleh Yang Berbahagia Dato'Prof.Mohamad bin Abu Bakar dari Universiti Malaya
  2. Ketuanan Melayu dari Perspektif Sejarah Nusantara oleh Yang Berbahagia Prof. Dr.Abdullah Zakaria bin Ghazali dari Universiti Malaya
  3. Mempertingkatkan Keberkesanan Pengajaran dan Pembelajaran Sejarah Melalui Kajian Tindakan oleh En.Zahari bin Awang (Guru Pakar Sejarah,SMK Kompleks Seberang Takir) dan En.Abdullah bin Mamat (Guru Pakar Sejarah,SMK.Seri Nilam,Kuala Terengganu
  4. Pendididkan Sejarah Dan Politik Malaysia oleh Yang Berbahagia Prof.Madya Dr.. Muhamad Agus Yusof dari Universiti Kebangsaan Malaysia
Keseluruhan seminar ini amat berjaya dengan jumlah peserta dan penglibatan aktif dalam perbincangan.Tahniah kepada Persatuan Bekas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia Cawangan Terengganu (PBPPMCMT) dan Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Terengganu

Cabaran, perubahan dasar pendidikan

ABAD Ke-21 dijangkakan akan mengalami perkembangan pesat lagi mencabar dalam bidang ekonomi, politik dan sosial. Perkembangan ini berlaku di seluruh dunia tidak kira sama ada di negara maju atau negara sedang membangun. Ramai pihak berpendapat bahawa perubahan tersebut sedikit sebanyak mempunyai kaitan yang rapat dengan perkembangan bidang pendidikan.

Alvin Toffler seorang penulis terkenal pernah menyatakan bahawa 'the illiterate of the 21st century are not those that cannot read or write, but those that cannot learn, unlearn and relearn.' Menurutnya pendidikan di abad ini lebih mencabar dan mestilah berupaya melahirkan pelajar yang kreatif dan inovatif, mampu menyelesaikan masalah dan berfikir secara kritikal.

Ini memberi gambaran bahawa pendidikan tidak lagi berkisar hanya memberikan pengetahuan asas 3M (membaca, menulis dan mengira) kepada kanak-kanak. Tetapi mestilah boleh melahirkan orang yang berilmu pengetahuan dan mempunyai pelbagai kemahiran bagi menghadapi cabaran di abad ini.

Bagi mencapai hasrat tersebut pendidikan perlu bersifat dinamik dan holistik yang sentiasa segar serta berubah mengikut keperluan masa dan persekitarannya. Memandangkan ianya berkait rapat dengan perkembangan individu, keperluan masyarakat dan proses pembinaan negara bangsa maka usaha penambahbaikkan dan perubahan dasar perlu dilakukan dengan cepat bagi memenuhi keperluan semasa.

Sekiranya kita menyingkap kembali sejarah ketamadunan dunia maka kita dapati ianya bermula dengan masyarakat pertanian yang memberi menekankan kepada aktiviti bercucuk tanam dengan kehidupan yang ringkas dan mudah. Bagaimanapun dalam abad ke-19 tamadun dunia telah berubah kepada masyarakat industri yang mempunyai ciri-ciri pengkhususan dan memberi keutamaan kepada hasil pengeluaran atau produksi komoditi.

Kini masyarakat dunia di abad ke-21 telah berubah kepada zaman baru yang dikenali sebagai 'knowledge age' atau k-ekonomi. Keperluan baru ini menekankan tentang peri pentingnya maklumat, kreativiti dan inovasi dalam memberi perkhidmatan baru kepada masyarakat.

Perubahan ini juga menekankan perlunya pendekatan berfikir secara kreatif, strategi penyelesaian masalah dan melibatkan aktiviti ekonomi berbentuk global. Zaman maklumat ini memberi ruang kepada setiap individu untuk mengembangkan bakat dan potensi mereka melalui techology-powered knowledge dan peluang kepada semua pihak untuk mengikuti pendidikan sepanjang hayat.

Perubahan kepada zaman k- ekonomi yang menekankan keperluan maklumat dan bercirikan globally networked adalah sangat berkait rapat dengan perkembangan ICT. Oleh itu sering dikatakan bahawa mana-mana negara yang dapat menguasai teknologi maklumat dan mempunyai kemudahan jaringan ICT maka mereka dianggap mempunyai kelebihan dan seolah-olah memiliki kuasa tambahan. Sementara itu negara-negara yang mengabaikannya akan ketinggalan dalam persaingan di peringkat global ini.

Seorang lagi penulis terkenal yang telah mengupas tentang perubahan dan cabaran abad ke-21 ialah Thomas Friedman dalam bukunya The World Is Flat : A Brief History of the Twenty-First Century. Menurutnya ekonomi dunia adalah sangat terikat serta terjalin rapat antara satu negara dengan yang lain dalam suatu bentuk ekosistem ekonomi.

Ini bermakna jika berlaku krisis ekonomi dalam sebuah negara ia akan memberi kesan kepada negara lain. Sebagai contoh ialah krisis pinjaman perumahan yang baru-baru ini berlaku di Amerika Syarikat maka tempiasnya turut terkena dan dirasai oleh negara-negara lain.

Keduanya, terdapat kecenderungan bertambah lebar jurang perbezaan ekonomi antara negara maju dan negara sedang membangun. Perkembangan tidak sihat ini akan membawa pada kepada berlakunya ketegangan sosial, konflik, munculnya kumpulan pelampau dan menjadikan dunia seolah-olah tidak selamat.

Ketiganya ialah wujudnya isu kepanasan global yang membawa kepada kemarau panjang atau perubahan iklim yang boleh menjejaskan bidang pertanian. Selain itu pertambahan mendadak jumlah penduduk dunia yang seolah-olah tidak dapat dikawal terutama di negara-negara sedang membangun. Keadaan ini menyebabkan bertambahnya kadar kemiskinan dan melebarnya perbezaan dalam strata masyarakat.

Menurut Friedman ketiga-tiga isu besar tersebut sebenarnya boleh dikurangkan atau tangani melalui transformasi dan perubahan dasar pendidikan. Jelasnya pendidikan turut memainkan peranan penting dan menjadi kunci utama kepada kejayaan ekonomi dan kelestarian dunia dalam abad ke-21 ini.

Perkembangan pendidikan di negara kita juga tidak terlepas daripada keperluan masyarakat serta persekitaran politik, sosial dan ekonomi pada masa tersebut. Ini dapat dibuktikan dengan terbentuknya Dasar Razak 1956, Dasar Rahman Talib 1961 dan Dasar Pendidikan Kebangsaan 1970 adalah berkait rapat dengan tuntutan dan keperluan negara pada masa itu.

Sebagai sebuah negara yang baru mencapai kemerdekaan sudah tentulah dasar pendidikan yang bentuk pada masa itu adalah bertujuan untuk membina sebuah negara bangsa yang kuat, bersepadu dan dapat bersaing dengan negara-negara lain. Tambahan pula negera kita terdiri daripada rakyat pelbagai kaum, agama dan latar belakang maka sudah tentulah dasar pendidikan berpaksikan kepada usaha untuk mengukuhkan perpaduan rakyat terutamanya di kalangan kanak-kanak.

Bagi menangani perubahan dan cabaran baru di peringkat global maka negara kita juga tidak terlepas dari memperkenalkan dasar-dasar baru dalam bidang pendidikan. Oleh itu baru-baru ini Menteri Pelajaran Tan Sri Mahyuddin Yassin telah mengumumkan pelaksanaan Transformasi Kurikulum yang bertujuan untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran yang berbentuk kreatif dan inovatif serta menarik minat pelajar-pelajar.

Selain itu diperkenalkan dasar 'Satu Pelajar Satu Sukan' yang bertujuan untuk meningkatkan minat dan keupayaan pelajar dalam bidang permainan dan sukan supaya mereka lebih cergas dan aktif. Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Mengukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) pula bagi mengembalikan semula peranan utama bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu di samping meningkatkan keupayaan pelajar dalam menguasai bahasa Inggeris. Dasar-dasar baru ini akan mula dilaksanakan pada tahun ini.

Sementara itu dasar menghadkan 12 mata pelajaran dalam peperiksaan SPM dan penambahbaikkan peperiksaan UPSR dan PMR adalah jelas untuk meningkatkan kualiti pendidikan supaya dapat melahirkan pelajar-pelajar yang seimbang dan mampu mengembangkan potensi diri mereka. Dengan kata lain dasar ini mengubah persepsi pendidikan supaya tidak hanya berorientasikan peperiksaan semata-mata tetapi berupaya melahirkan modal insan cemerlang yang sangat diperlukan oleh negara.

Satu lagi dasar baru ialah mewajibkan lulus mata pelajaran Sejarah dalam peperiksaan SPM mulai 2013. Ini bertujuan untuk meningkatkan semangat patriotik dan menanamkan rasa cintakan negara seperti kata bidalan 'jika tak kenal maka tak cinta.' Usaha menanam cintakan tanah air melalui pendidikan turut menjadi amalan di negara-negara lain.

Seperti yang dinyatakan tadi cabaran baru dunia sekarang ini ialah melalui knowledge age atau k-ekonomi. Dalam hal ini sebenarnya kita telah bersedia dan bertindak lebih awal. Sejak awal 1980-an apabila bermulanya ledakan teknologi maklumat maka sekolah-sekolah kita telah mula memperkanal dan menggunakan peralatan komputer.

Kini penggunaan ICT begitu meluas sekali di mana makmal komputer telah didirikan di semua sekolah. Guru-guru diberi kemahiran melalui latihan dan penggunaan LCD, laptop dan internet di mana pelajar-pelajar kita telah mendapat manfaat yang besar.

Negara akan bertambah maju jika ramai di kalangan penduduknya dapat menguasai kemahiran teknologi maklumat dan menggunakan kemudahan ICT dalam semua urusan. Sesungguhnya zaman knowledge age dan k-ekonomi merupakan perubahan global dan cabaran baru ini perlu ditangani melalui perubahan-perubahan dasar pendidikan.
Sumber:  Utusan Malaysia Online

Friday, February 4, 2011

Renungan Jumaat - Sikap dan Telatah Manusia

Pada suatu hari, Luqman al-Hakim telah masuk ke dalam pasar dengan menaiki seekor himar, manakala anaknya mengikut dari belakang. Melihat tingkah laku Luqman itu, sesetengah orang pun berkata, "Lihat itu orang tua yang tidak bertimbang rasa, sedangkan anaknya dibiarkan berjalan kaki"
.
Setelah mendengarkan desas-desus daripada orang ramai, maka Luqman pun turun daripada himarnya itu lalu diletakkan anaknya di atas himar itu. Melihat yang demikian, maka orang di pasar itu berkata pula, "Lihat orang tuanya berjalan kaki sedangkan anaknya sedap menaiki himar itu. Sungguh kurang adab anak itu"

Sebaik saja mendengar kata-kata itu, Luqman pun terus naik ke atas belakang himar itu bersama-sama dengan anaknya. kemudian orang ramai pula berkata lagi. "Lihat itu, dua orang menaiki seekor himar, sungguh menyeksakan himar itu".

Oleh kerana tidak suka mendengar percakapan orang, maka Luqman dan anaknya turun daripada himar itu, kemudian terdengar lagi suara orang berkata., "dua orang berjalan kaki, sedangkan himar itu tidak ditunggai."

Dalam perjalan pulang ke rumah, Luqman al-Hakim telah menasihati anaknya tentang sikap manusia dan telatah mereka, katanya " Sesungguhnya tiada seorang pun terlepas daripada percakapan manusia. Maka orang yang berakal tiadalah dia mengambil pertimbangan melainkan kepada Allah SWT sahaja. Barang siapa mengenali kebenaran, itu lah yang menjadi pertimbangannya dalam tiap-tiap perkara"

Kemudian Luqman al-Hakim berpesan kepada anaknya. Katanya, "Wahai anakku, tuntutlah rezeki yang halal supaya kamu tidak menjadi fakir. Sesungguhnya tiadalah orang fakir itu melainkan tertimpa kepadanya tiga perkara, iaitu tipis keyakinannya (iman) tentang agamanya, lemah akalnya (mudah tertipu dan diperdayai orang) dan hilang kemulian hatinya (keperibadianya), dan lebih celaka lagi daripada tiga perkara itu ialah orang yang suka merendah-rendahkan dan meringan-ringankanya".

Thursday, February 3, 2011

Isu Naik Pangkat Guru - Laluan Pentadbiran paling diminati


1.    Dua hari lepas Ketua Unit Rendah menerima sms  dari Ketua Unit Naik Pangkat JPN Terengganu mengenai seorang Guru Besar SKM Gred DGA32 mahu berjumpa Pengarah Pelajaran Negeri untuk mendapat penjelasan mengapa beliau tidak lagi diberi pemangkuan Guru Besar Gred DGA34 sedangkan ada guru DGA32(KUP) Time Base atau Guru Penolong Kanan yang muda dan baru diberi tawaran.

2.    Semalam dalam perjalanan dari Kuantan ke Kuala Terengganu,Ketua Unit Naik Pangkat menghubungi Ketua Unit Rendah mengenai seorang Pengerusi Persatuan  yang berjumpanya mahu penjelasan kerana dakwa beliau ramai yang mengadu ada naik pangkat GPK sekejap dan kemudian ditawar sebagai Guru Besar dan yang muda mengatasi yang senior atau yang sedang berjawatan. Saya yang mendengar hanya tersenyum dan berkata “Molekla dia rujuk KU Unit Pangkat biar dia faham supaya senang nak bagitau kat ahli dia"

3.    Pertanyaan-pertanyaan atau luahan seperti ini bagi saya bukan sesuatu yang luar biasa kerana komen-komen atau luahan seperti ini dapat dilihat dalam posting dalam beberapa isu naik pangkat. Boleh baca dan lihat kat sini,kat sini dan kat sini. Atau dalam ruangan “Shout” dalam blog ini terutama selepas disiarkan berkaitan Pertukaran dan Penempatan Guru Besar dan GPK.Isu-isu  ini telah saya bawa ke pihak lebih atas dan kritikal semasa menjadi AJK Kesatuan Guru di peringkat kebangsaan dan sentiasa menyalurkan isu-isu melalui suara kesatuan,MGB Negeri atau Persatuan Pengelola Negeri agar dipanjangkan ke pihak atasan.

4.    Rupa-rupanya untuk memberi kefahaman kepada pihak-pihak atasan kadangnya lebih mudah daripada memberi faham kepada rakan sejawat atau para pendidik. Sama ada mereka tidak study dan hanya berdasar logik atau emosi  atau sengaja buat-buat tak fahaman hanya Allah jua yang tahu. Mungkin agaknya perkara naik pangkat ini selalu diseal dengan istilah “SULIT” maka apabila terbuka ramai yang berpinar seperti baru keluar dari gua waktu siang hari. Walahualam.

5.    Antara salah satu hasilnya perjuangan senyap kesatuan dan persatuan ini barangkali mulai Julai tahun lepas pengisian jawatan GPK telah diubah di mana hanya 20% sahaja kekosongan diisi secara pemangkuan oleh DGA29 dan 80% lagi diisi oleh kalangan DGA32(KUP) Time Base.

6.    Tujuan UTAMA kita memberi penerangan untuk memberi kefahaman kepada pemohon supaya mereka boleh membuat persediaan dan permohonan dengan lengkap dan sempurna. Jika sesuatu  perkara tiada dalam kreateria seperti kursus misalnya,mereka boleh berusaha mengikuti kursus

7.    Kita dapati trend guru sekolah rendah (PPLD) untuk naik pangkat dalam laluan pentadbiran sangat tinggi. Contoh permohonan pemangkuan DGA32 ke DGA34 tahun 2009 yang mana calon ditawarkan pemangkuan tahun 2010 dan 2011 ialah seramai 1,200 pemohon. Kita hanya mahu pakai lebih kurang 50 orang sahaja setiap tahun Guru Besar di Terengganu. Begitu juga bila kita buka permohonan DGA32(KUP) Time Base ke hakiki pada September 2011.Hampir 1000 yang mohon seluruh negeri sedangkan kita nak pakai lebihkurang 48 orang sahaja.

8.    Saya masih teringat pada tahun 2007 dan 2008 hampir separuh atau lebih  daripada calon GPK yang nama mereka telah disenaraikan BPSM MENOLAK tawaran menjadi GPK sehingga pada bulan Mac semua calon telah habis dan memaksa kita mohon kebenaran BPSM memperakukan calon DGA32(KUP) Time Base bagi mencukupkan calon. Mengapa? Mengapa luar biasanya hari ini isu pemilihan dan pelantikan GPK menjadi perhatian dan minat ramai para guru. Dalam hidup ni kita harus belajar kadang-kadang peluang tidak datang banyak kali.

9.    Sama ada sedar atau tidak banyak laluan naik pangkat PPLD. Antara laluan paling mudah ialah naik pangkat secara time base. Tapi ramai yang lupa time juga naik pangkat. Baca tulisan menegenai Time Base oleh Cikgu Anuar Ibrahim,x-prasiden NUTP di sini. Selain itu ada laluan cemerlang  seperti Guru Cemerlang,Pengelola Cemerlang,Pegawai Cemerlang dan Guru Besar Cemerlang.Data terkini penyandang cemerlang PPLD di Terengganu
    • Guru Besar Cemerlang DGA38(KUP) - 95 orang
    • Pengelola Cemerlang  DGA38(KUP) – 8 orang
    • Pegawai Cemerlang DGA34(KUP) – 2 orang
    • Guru Cemerlang DGA38(KUP) – 5 orang
    • Guru Cemerlang DGA34(KUP) – 28 orang
    • Guru Cemerlang DGA32(KUP) – 59 orang
Penyelia-penyelia Sekolah PPLD yang berada di JPN ,PPD atau BTPN dan lain-lain yang setara jika mahu terus kekal di JPN/PPD/BTPN boleh mohon Pegawai Cemerlang ini. Kalau nak jadi Guru Besar mohon ikut cara biasa. Berdasarkan data ini ruang untuk guru mohon jawatan laluan cemerlang masih banyak.
10. Sebelum berundur diri saya ingin menjelaskan isu yang dikemukan dalam permulaan tulisan saya
    • Mengapa saya tak naik pangkat lagi ?
    • Mengapa sekejap jadi GPK terus tawar Guru Besar
    • Mengapa junior naik dulu pada senior?
Saya ulang sekali lagi dalam posting ini untuk naik pangkat kena MEMOHON kerana ramai sangat yang dok sibuk hal naik pangkat tapi dia sendiri tidak memohon. MEMOHON itu syarat WAJIB.Tidak ada istilah ‘DIBERI’ jawatan dalam naik pangkat tapi  “DITAWARKAN”.
Perkara kedua selepas memohon dan memenuhi segala syarat markah dinilai. Klik di sini bagaimana penilaian markah dinilai. Kena ke tidak apa yang kita ada dengan  apa yang mereka nilai. Berapa yang lembaga Naik Pangkat boleh beri jika jadi jurulatih kebangsaan. Atau jika ada pengalaman jadi GPK,jadi Guru Besar SKM.Tengok dan tilik biar jelas berapa jumlah penuh markah bahagian tu, jangan kerana itu saja seolah-olah segala markah bahagian lain tidak berguna. Kira molek-molek.
Perihal tentang pengalaman,senioriti,kemahiran dan kehebatan telah ditetapkan siap-siap oleh Lembaga Naik Pangkat. Kalau semua aspek itu lengkap dan ada aviden dari markah 20% bahagian ini PASTI calon boleh dapat 18% tambah dengan prestasi 80% (tak mungkin ada manusia dapat 80%) katakan dapat 76% maka calon atau pemohon ni dah dapat markah keseluruhan : 94%. Paling rendah markah keseluruhan ialah 80% untuk melayakkan ditawarkan naik pangkat.Cuma katakan dengan markah 80.50%  dan kedudukan 1000/1,200 adakah kita akan ditawarkan sebagai Guru Besar kalau keperluan keseluruhan Guru Besar yang perlu diisi hanya 60 orang sahaja.?
Semua pemohon yang dinilai markah tadi sama ada dia guru DGA32(KUP)Time Base ke,GPK ke,Guru Besar SKM ke (calon yang layak mohon dalam  iklan) disusun markah dari tinggi ke markah paling rendah atau disebut RANKING sebagai calon layak untuk diberi TAWARAN. Mana yang markah tinggi akan diberi tawaran terdahulu sehingga 31 Disember tahun semasa.Selepas pada tarikh itu senarai ini tidak berguna lagi.
Selain itu asas utama melayakkan calon mohon DGA34 juga ialah bila anda naik pangkat gred DGA32 bukannya bila anda jadi GPK atau bila jadi Guru Besar SKM. Ramai guru lupa bahawa tarikh naik pangkat DGA32(KUP) Time Base itulah tarikh permulaan naik pangkat ke DGA32 atau bagi calon DGA29 tarikh mereka diberi pemangkuan DGA32 itulah tarikh mereka naik pangkat ke gred DGA32. Tiga tahun atas gred DGA32 mereka layak mohon DGA34.
11. Kita juga mencadangkan perubahan pemarkahan 20% kepada LNP sama ada melalui wakil JPN atau kesatuan guru melalui pindaan seperti di sini. Kita harap pihak LNP KPM ambil perhatian dan tindakan supaya GPK dan Guru Besar SKM lebih diberi keutamaan dalam kenaikan pangkat Guru Besar.Selain itu kita sangat berharap para guru memberi input dan candangan profesional dengan justifikasi yang mantap terhadap isu-isu naik pangkat supaya dapat kita bawa ke pihak yang lebih tinggi bukan luahan emosi dan tuduhan sinikal yang tidak menguntungkan sesiapa.

Wednesday, February 2, 2011

Mesyuarat Penempatan Guru Baru Sekolah Rendah ,7 Feb 2011


Mesyuarat Penempatan Guru Baru Sekolah Rendah bagi penempatan 7 Februari 2011 telah diadakan di Hotel Seri Malaysia,Kuantan pada 1 dan 2 Februari 2011.Ketua Sektor Pengurusan Sekolah,En.Zakariah Ali turut hadir sama di samping Ketua Unit Pengarah,Penolong Pengarah Guru,Penolong Pengarah Data & ABM,Penyelia-Penyelia Kanan Unit Rendah dan Penyelia Kanan Pengurusan Sekolah PPD seluruh negeri.

Seramai 44 orang guru dari Program PISMP (14 orang),TESL (4 orang)  dan J-QAF (26 orang) terlibat dengan penempatan ini. Bagi guru J-QAF mereka bakal ditempatkan di sekolah asal kerana mengikut Perjanjian LPBS-J-QAF selepas tamat latihan mereka mesti ditempatkan di sekolah yang sama selama sekurang-kurangnya 36 bulan. Bagi penempatan PISMP dan TESL jawatankuasa memutuskan penempatan mereka berasaskan  keperluan bilangaan perjawatan sekolah dan daerah,keperluan dari segi opsyen dan beberapa faktor lain dan justifikasi oleh jawatankuasa/panel.

Semua bakal guru ini akan mengetahui sekolah mereka pada Majlis Taklimat Penempatan yang akan diadakan pada 7 Februari 2011,di Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu.