Sunday, March 6, 2011

Taklimat Permohonan Pengelola Cemerlang DGA38 (KUP) 2011

Jam 10.00 pagi tadi telah diadakan Taklimat Permohonan Pengelola Cemerlang DGA38(KUP)  Tahun 2011 di Rumah Tamu,Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu. Ketua Unit Naik Pangkat,En.Rosli Chik telah menyampai taklimat kepada semua pengelola sekolah Terengganu DGA34 yang hadir. Turut hadir ialah Ketua Unit Rendah,En.Jelani bin Sulong.

Pelbagai isu dan perkara berhubung naik pangkat telah diutarakan terutama tindakan kepada pengelola sekolah yang berkelayakan untuk memohon sebagai Pengelola Cemerlang. Semua permohoan hendaklah sampai ke urusetia Unit Naik Pangkat ,Jabatan Pelajaran Negeri pada atau sebelum 15 Mac 2011.

Friday, March 4, 2011

Bagaimana Guru Besar boleh "memerintah" sekolah dengan hebat ?


" Sebuah negara yang rajanya tidak mahu memerintah,negaranya tidak akan maju dan sesebuah negara yang ramai rakyatnya mahu menjadi raja,negara itu akan huru-hara".Bagaimana nak memerintah sekolah dengan hebat ?

Itu adalah antara petikan terakhir dalam tulisan saya terdahulu (di sini ). Persoalan di hujung frasa itulah yang akan kita bincangkan kali ini. Barangkali pendekatan paling mudah sebagai petunjuk bagi melihat seseorang Guru Besar "memerintah" atau mengurus sekolah dengan hebat ialah mengukur pencapaiannya,mengukur pencapaian sekolahnya. Apakah pencapaian sekolah Kluster Kecemerlangan,Sekolah Berprestasi Tinggi,Sekolah Harapan Negara,Anugerah New Deals dan sewaktu dengannya cukup sebagai bukti mutlak kehebatan Guru Besar memgurus sekolahnya? Dan sekolah yang tidak banyak semua A dalam peperiksaan awam sebagai petunjuk yang lemah ? Atau bagaimana ?

Kita sering mendengar atau terbaca keresahan kalangan guru yang sekolahnya menerima anugerah New Deals,Guru Besar mahu "mencukai" sedikit hadiah yang guru terima. Kita mungkin terdengar dan terbaca kerisauan guru baru yang tidak dibuat pengesahan jawatan walaupun perkhidmatannya sudah menjangkau tiga tahun lebih. Kita juga barangkali pernah mendengar Guru Besar membiarkan guru atau kakitangan sokongan "bebas" tanpa kawalan. Apa lagi banyak kes yang kita dengar Guru Besar tidak sebulu dengan Guru Penolong Kanan dan bermacam-macam lagi.....

Berdasarkan pengalaman,pembacaan dan pemerhatian saya selalu bertanya hebatkah seorang pemimpin atau Guru Besar kalau inginkan kejayaan menindas dan menekan anak buahnya ? Hebatkah Guru Besar membiar dan menyerah bulat-bulat kerjabuatnya kepada orang lain ? Hebatkah kalau hanya tahu mengarah tapi tidak tahu memimpin ? Justru itu pada pandangan saya Guru Besar yang "memerintah" sekolah dengan hebat ialah:
  1. Sedar dan tahu bahawa tugasnya adalah "amanah" yang wajib dilaksanakan dengan penuh dedikasi,integriti,telus dan adil
  2. Sentiasa berupaya memberi kepuasan kepada setiap "pelanggan" dengan memberi serta menyediakan perkhidmatan terbaik
  3. Sentiasa menyanyangi dan menghargai anak buah dan stafnya sebagai aset dan sumber utama membantunya membangunkan kecemerlangan organisasinya
  4. Sentiasa sedia memberi motivasi dan sokongan untuk staf dan kakitangannya menghasilkan produktiviti berkualiti tinggi
  5. Sedia rela secara telus berkongsi setiap kejayaan dan kegagalan organisasi bersama pasukannya
  6. Sentiasa perihatin dari isu-isu kecil hingga sebesar-besarnya dan kesediaan menyelesaikannya dengan segera dan pantas
  7. Sentiasa menunjukan contoh dan amalan terbaik serta konsisten melakukannya
  8. Tidak kedekut - wang ringgit,idea,tunjuk ajar,perhatian dan sebagainya
  9. Tegas,bermotivasi,berpengetahuan .....
  10. Visi yang jelas,kaedah yang tersusun dan dikongsi dengan semua .
Saya percaya banyak lagi tips bagi menjadikan Guru Besar mampu memimpin sekolah dengan hebat dan kunci kepada kehebatan itu ialah "KEPUASAN AHLI ORGANISASI".Kepuasan itu akan memberi impak untuk setiap ahli organisasi melaksanakan visi secara sedar bersengaja dan melonjakkan pencapaian setiap dimensi kecemerlangan sekolah dengan penuh keseronokan,keghairahan dan semangat membara di dalam jiwa..

Dan saya amat yakin mereka yakni pemimpin atau Guru Besar yang menerima amanah sebagai sambil lewa akan sentiasa diburu "ketakutan dan kecemasan" sepanjang masa dan alangkah malangnya kerana "dipanggang" oleh jawatannya sendiri. Apakah ertinya hidup demikian rupa ????


Renungan Jumaat - Wasiat Luqman Al-Hakim - 1

Mulai minggu ini dan seterusnya Renungan Jumaat akan membawa kepada pembaca siri Wasiat Luqman Al-Hakim melalui tulisan Abd.Rahman Hassan Al Maidani  di dalam bukunya 'Fiqh Dakwah' bahawa  terdapat 14 permasalahan yang dapat dipelajari melalui kisah Luqman mendidik anaknya melalui 'wasiat'. Oleh itu marilah sama-sama kita menilai wasiat tersebut yang mengandungi 14 permasalahan penting buat kita ibubapa mendidik anak-anak juga kepada umat Islam keseluruhan:

Permasalahan Pertama : Jangan Syirik Kepada Allah


Perkara pertama yang diajar oleh Luqman kepada anaknya ialah jangan Syirik kepada Allah s.w.t.. Disebutkan di dalam wasiat ini, bahawa syirik kepada Allah s.w.t. adalah kezaliman yang amat besar. Mengapa? Kerana ia mengandungi syirik terhadap Rububiyatullah (Allah Yang Maha Berkuasa memelihara alam semesta ) dan syirik terhadap Uluhiyatullah (Tidak ada tuhan yang disembah melainkan Allah). Atau dengan ertikata lain, mempersekutukan Allah s.w.t. dengan sesuatu lain yang juga mampu memelihara alam semesta dan mempersekutukan Allah s.w.t. dengan sesuatu yang lain yang juga layak untuk disembah. Inilah Syirik!!!

Meskipun syirik terhadap Uluhiyatullah lebih ringan dari syirik terhadap Rububiyatullah, akan tetapi Allah s.w.t. tidak akan mengampuni dosa orang yang mati dalam hal demikian!

Syirik sebesar-besar kezaliman. Zalim pula bererti meletakkan sesuatu bukan di tempat yang sepatutnya. Lagi sekali kita ingin mengajukan soalan. Mengapa syirik dikatakan zalim? Telah disepakati, bahawa Allah s.w.t.lah yang menciptakan makhluk semesta alam. Allah s.w.t. jua yang menurunkan nikmat. Adakah layak kita samakan kekuasaanAllah s.w.t. ini dengan sesuatu kuasa yang lain? Jika ada di kalangan manusia yang menyamakan kekuasaan Allah s.w.t. dengan kuasa yang lain maka ia telah melakukan kezaliman!!!

Allah s.w.t. sahaja yang layak disembah dan diagungkan kerana apa yang dilakukan-Nya itu tak mampu dilakukan oleh kuasa lain. Tetapi jika kuasa lain yang diagungkan, maka inilah kezaliman. iaitu meletakkan sesuatu bukan di tempat yang sepatutnya.

Inilah yang diperkatakan melalui ayat 13 surah Luqman yang bermaksud:


"Wahai anakku! Janganlah engkau mempersekutukan Allah s.w.t.. Sesungguhnya mempersekutukan Allah s.w.t. itu adalah kezaliman yang amat besar."

bersambung.....


Thursday, March 3, 2011

Pendapat : Gred guru besar, penolong kanan sepatutnya lebih tinggi !!

PENDIDIKAN adalah proses berterusan dan sentiasa mengalami perubahan dan pembaharuan sesuai dengan keperluan semasa. Berjaya atau gagalnya proses akademik di sekolah bergantung kepada kebolehan dan profesionalisme guru besar serta penolong kanan.

Cadangan Majlis Guru Besar agar gred jawatan Guru Besar dan Penolong Kanan diletakkan pada gred DG34 /DG36/DG38 seolah-olah usaha menongkah arus. Kita tidak menolak ada kalangan guru besar bukan siswazah juga berjaya mentadbir sekolah dengan cemerlang, namun perkara ini boleh diperhalusi bersandarkan beberapa alasan berikut:

Jawatan guru besar wajar disandang guru gred DG44 untuk menggambarkan profesionalisme dan dihormati, bukan ditakuti. Adalah sesuatu yang sinis apabila guru biasa majoritinya mempunyai gred DG41, sedangkan guru besar sekadar DG32/DG34/DG38, akhirnya guru besar selalu terpaksa menunjukkan dialah berkuasa

  • Pensiswazahan guru besar adalah usaha murni Kementerian Pelajaran untuk mengangkat martabat profesion guru besar tetapi selepas tamat pengajian, mereka berada dalam gred DG41 dan hanya pada tahun keempat, baru layak untuk diserapkan pada gred DG44.

    Keadaan pelik lagi berlaku kerana pada ketika ini ramai guru biasa sudah pun berada pada gred DG44.

    Sudah pasti wujudnya jurang dan gaya pemikiran yang berbeza. Memang faktor pengalaman sesuatu yang diperlukan, namun alangkah bijaknya jika faktor ini digandingkan dengan faktor akademik.

  • Jawatan guru besar wajar menerima elaun khas berpatutan untuk menjadikan jawatan ini lebih dihormati dan diperlukan. Apa pun gred sesuai pastinya mempunyai ijazah.

  • Adalah pelik apabila guru besar/penolong kanan/penyelia petang mempunyai tahap gred dan akademik lebih rendah daripada guru biasa.

    Sudah tiba masanya pelantikan jawatan guru besar dan penolong kanan dirombak dengan memberi penekanan kepada tahap akademik dan gred DG44 sesuai dengan tuntutan semasa dan memenuhi keperluan PIPP untuk memartabatkan profesion perguruan.

    ZAM,
    Kuching, Sarawak
     

  •  Sumber: lhakim-suarahati.blogspot. 



    Wednesday, March 2, 2011

    Arahan Mengemaskini Maklumat Guru melalui Laman Web e-Operasi


    Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengeluarkan Surat Siaran tentang Pertukaran Guru Antara Negeri, Dalam Negeri dan antara Daerah sesi Jun 2011. Lanjutan daripada itu, semua Guru Besar dan Pengetua sekolah rendah dan menengah di negeri Terengganu diminta mengambil tindakan mengemaskini maklumat guru melalui laman web e-Operasi (Lihat sebelah kiri blog ini dalam ruang Aplikasi Online). Laman web ini boleh juga  dipaut melalui laman web e-GTukar, iaitu:-

    i.              http://www.moe.gov.my    atau
    ii.             http://apps.moe.gov.my/epgo
     
    Semua pihak pengurusan sekolah diminta untuk melaksanakan proses pengemaskinian ini bermula pada 1 hingga 27 Mac 2011. Sila guna  Id,Katalaluan dan No.KP Guru Penolong Kanan Pentadbiran untuk memasuki sistem e-Operasi.Kerjasama Guru Data Sekolah boleh dimanfaatkan untuk melicinkan urusan ini. Surat arahan daripada jabatan berkait perkara ini akan dihantar ke semua sekolah dalam masa terdekat.


    Petua Menjadi Pelajar Cemerlang Menurut Al - Quran

    Anda inginkan petua-petua untuk menjadi pelajar cemerlang walau di mana sahaja anda berada?

    Apa kata kita renungkan kembali beberapa petua atau tips kejayaan yang telah Allah SWT titipkan di permulaan surah Al-Mu'minun, surah yang ke-23 di dalam lembaran Al-Quran.

    01.Keyakinan, kepercayaan and keimanan kepada Allah SWT

    "Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman." [23:1]

    Iman dan kejayaan disebut oleh Allah SWT dalam ayat yang sama. Maka imanlah faktor utama kejayaan. Dan keyakinan yang tinggi inilah yang akan melahirkan sikap positif yang bakal disebutkan dibawah.

    02.Fokus, bersungguh-sungguh, sepenuh hati

    "iaitu orang-orang yang khusyuk dalam solatnya." [23:2]

    Lakukan satu-satu perkara dalam satu-satu masa. Jangan mencapah dan melayang fikiran ke sana ke mari. Lakukan dengan sepenuh hati, bukan sambil lewa.

    03.Prioriti. Mengutamakan apa yang utama.

    "dan orang-orang yang menjauhkan diri dari lagha (perbuatan dan perkataan yang tidak berguna)." [23:3]

    Kebiasaannya dalam menghadapi musim peperiksaan yang penuh tekanan, kita cenderung untuk berehat dan menenangkan minda dengan hiburan, menonton drama, bersembang di Facebook dan seumpanya sehinggakan selalu sahaja melebihi daripada masa rehat yang telah kita peruntukkan.

    Sebaik-baiknya kita mengoptimumkan penggunaan masa untuk belajar, dan mengisi masa rehat kita dengan perkara-perkara yang berfaedah seperti membasuh, melipat atau menggosok baju, bersenam untuk melancarkan perjalanan darah di dalam badan dan bermacam-macam lagi yang anda sendiri lebih sedia maklum.

    Namun, sebaik-baiknya kita gunakan masa rehat itu untuk mengambil wudu', melakukan solat sunat dan membaca Al-Quran. InsyaAllah apabila kita lebih rapat dengan Allah SWT, jiwa kita akan lebih tenang dan ia akan banyak membantu dalam usaha kita mengulangkaji pelajaran.

    Kita dikehendaki menghindarkan diri dari perbuatan mengumpat pensyarah/guru kerana perkara-perkara sebegini tidak mendatangkan faedah kepada masa depan anda, tidak menambahkan markah untuk kertas peperiksaan yang bakal/telah diduduki, malah boleh mendatangkan dosa dan kemurkaan Allah SWT.

    04.Prihatin sesama kita

    "dan orang-orang yang menunaikan zakat." [23:4]

    Walaupun sedang berada di saat-saat genting, janganlah kita bersikap terlalu mementingkan diri, dan mengabaikan kawan-kawan yang lebih susah di sekeliling kita. Kongsilah apa yang termampu, samada ilmu, kertas-kertas soalan tahun lepas dan lain-lain. Sharing is caring.

    05.Jaga hubungan antara lelaki dan perempuan

    "dan orang-orang yang menjaga kehormatannya. kecuali terhadap isteri-isteri mereka, atau hamba yang mereka miliki, maka mereka (isteri dan hamba) dalam hal ini tiada tercela. Sesiapa yang mencari dibalik itu, mereka itulah orang-orang yang melampaui batas." [23:5,6,7]

    Janganlah kita menggunakan alasan belajar untuk melanggari batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan ajnabi, misalnya dengan studi berdua-duan, kemudian pulang ke rumah berpimpin tangan, atau asal tertekan je mesti nak bergayut atau berchatting dengan kawan lelaki/perempuan anda.

    Padahal Allah SWT kan sentiasa ada, sentiasa melindungi dan sentiasa menolong jika kita mencari dan meminta pada-Nya.

    06.Jujur, amanah

    " dan orang-orang yang memelihara amanah-amanah dan janjinya."[23:8]

    Bukankah kita telah berjanji dengan pihak penaja dan ibu bapa kita untuk belajar bersungguh-sungguh? Lebih penting lagi, bukankah kita telah berjanji dengan Allah SWT untuk memanfaatkan peluang kehidupan sebagai seorang pelajar yang telah dipinjamkan-Nya kepada kita sebagai medan untuk kita mengutip ilmu, pengalaman dan pahala buat bekalan di akhirat sana?

    Elakkan menipu ketika peperiksaan. Andai penjaga peperiksaan meminta kita berhenti menulis kerana masa sudah tamat, jangan pula kita terus menulis. Sebaliknya sebutlah "Bismillahi tawakkaltu 'ala Allahi wala haula wala quwwata illa billahil 'azim."

    07.Tepati waktu

    "dan orang-orang yang memelihara solatnya." [23:9]

    Konsep yang boleh diambil dalam konteks kehidupan seorang pelajar Muslim ialah supaya sentiasa belajar dengan berdisiplin, menepati masa, tidak berlengah-lengah, menjaga kualiti dan produktiviti harian kita. Jika sebelum ini kita diingatkan supaya berhenti menulis apabila tamat masa peperiksaan, kita juga perlu memulakan perjuanganan kita dalam pelajaran dan peperiksaan seawal yang mungkin. Memelihara solat lima kali sehari setiap hari juga mengajar kita untuk tidak berputus asa atau berpatang arang di pertengahan jalan.

    Namun janganlah kita hanya mengaplikasikan konsep-konsep ini untuk akademik semata-mata. Penekanan utama dalam ayat tersebut supaya kita menjaga hubungan kita dengan Allah SWT kerana kita akan kembali mengadap-Nya dengan amal-amal kita, bukan dengan berapa gulung ijazah yang berjaya kita perolehi. Belajar dan ijazah hanyalah alat untuk kita mencapai keredhaan Allah SWT dan merebut peluang mewarisi syurga-Nya.

    " Mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi. Iaitu yang akan mewarisi Syurga Firdaus. Mereka kekal didalamnya." [23:10,11]

    " ....Maka di antara manusia ada yang berdoa: 'Ya Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia.' Dan tiadalah baginya bahagian di akhirat."[2:200]

    "Dan di antara mereka ada orang yang berdoa: Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari seksa neraka." [2:201]

    "Mereka itulah orang-orang yang mendapat bahagian dari apa yang mereka usahakan dan Allah sangat cepat perhitungannya." [2:202]

    Sumber : iluvislam.com


    Keputusan Undian - Kaedah Terbaik Memilih dan Melantik Guru Besar dan GPK

    Hampir dua bulan lepas Unit Pengurusan Sekolah Rendah telah mengadakan Poll @ Undian mengenai kaedah terbaik bagi memilih dan melantik Guru Besar dan GPK yang terbaik justru ada segelintir pengunjung blog mempertikaikan pelantikan Guru Besar dan GPK kerana ramai yang junior melangkau senior dan berbagai lagi.

    Daripada 100% pengunjung  yang membuat undian 94% adalah guru dan 5% adalah bukan guru.Keputusan undian adalah sebagaimana berikut:
    1. 17% bersetuju pemilihan dan pelantikan Guru Besar dan GPK seperti amalan sekarang
    2. 33% bersetuju seperti amalan sekarang cuma perlu ditambah dengan temuduga
    3. 48% bersetuju calon Guru Besar dan GPK diberi kursus dan selepas itu dipilih mana yang berkelayakan
    Unit Pengurusan Sekolah Rendah merakamkan setinggi penghargaan terima kasih atas undian pengunjung dan merupakan satu petunjuk supaya pihak KPM boleh menjadikan undian ini sebagai salah satu makanisma bagi menyediakan kaedah yang lebih baik khususnya bagi melantik Guru Besar dan juga GPK.

    Kepada pengunjung khususnya para guru jangan lupa untuk membuat undian terbaharu mengenai tahap keyakinan dan kerahsiaan guru mengadu masalah mereka kepada pegawai di PPD atau JPN. Mungkin anda pernah ada pengalaman berguna untuk dikongsi..jangan lupa untuk buat poll @ undian..

    Tuesday, March 1, 2011

    Redeployment Lepasan Ijazah Pengajian Pendidikan Khas OUM ke Kelas Pendidikan Khas Integrasi

    Beberapa minggu yang lepas seramai 23 orang guru pelbagai opsyen yang menyambung pengajian mereka ke peringkat ijazah pertama dalam bidang  Pendidikan Khas sama ada major atau minor dari Universiti Terbuka Malaysia (OUM) telah ditemuduga dan ditempatkan semula ke sekolah yang diluluskan ABM Perjawatan 2011 untuk melaksanakan Kelas Pendidikan Khas Integrasi.

    Langkah ini dilaksanakan bagi mengatasi ketidakcukupan guru Pendidikan Khas Integrasi di sekolah yang telah diluluskan pembukaan kelas berkenaan pada tahun 2011 oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Dengan kedudukan lebihan guru yang ketara di Terengganu terutama bagi setengah opsyen seperti Bahasa Malaysia dan Pendidikan Islam maka pihak KPM membenarkan pihak jabatan melaksanakan langkah strategik mengatasi masalah berkaitan supaya kelas dapat beroperasi dan murid yang berkeperluan pendidikan khas dapat belajar dengan sempurna. Sebarang pertambahan jawatan baru sememangnya tidak ada apatah lagi guru yang ada berlebihan.

    Sektor Pendidikan Khas dan Swasta,Sektor Pendidikan Islam dan Sektor Pengurusan Sekolah telah mengambil langkah segera mengenalpasti guru pelbagai opsyen yang ada ilmu dan pengetahuan dalam bidang pendidikan khas. Maka dua puluh tiga orang mereka yang telah tamat pengajian di OUM dalam bidang berkaitan dikenalpasti dan dibuat penempatan semula bagi mengajar di sekolah yang membuka kelas pendidikan khas. Opsyen asal guru berkenaan sebagaimana berikut:
    • Prasekolah - 3 orang
    • P.Melayu - 11 orang
    • PAI  - 5 orang
    • PJK - 1 orang
    • AM - 1 orang
    • Muzik - 1 orang
    • Pemulihan - 1 orang
    Namun malangnya terdapat sebilangan kecil daripada bekas graduan ini mengingkari arahan dengan tidak melapor diri atas alasan untuk kekal di sekolah sama dan opsyen yang lama. Ada maklumat yang sampai kepada kita ada segelintir Guru Besar turut menyokong untuk guru berkenaan "mengingkari" arahan tersebut.Jika keadaan itu benar ianya adalah sangat malang. Soal penempatan dalam kes ini berbeza dengan kes tukar sekolah kerana:
    • Kelas yang diluluskan oleh kementerian telah dirancang dan dibentang kepada kementeriaan pada tahun 2010 dan kelas itu untuk memberi peluang kepada murid yang berkeperluan khas mendapat pendidikan sempurna. Jika kelas ini tidak dibuka pihak Naziran Perjawatan KPM boleh mengenakan tindakan atau menarik balik kelulusan pada masa-masa akan datang.
    • Guru-guru berkaitan dapat sambung ke OUM untuk mendapat ijazah kerana atas program pendidikan khas oleh itu mereka ditempatkan di sekolah atau kelas yang memerlukan khidmat,pengetahuan dan kemahiran mereka dalam bidang terbabit dan kebanyakan sekolah dalam daerah yang sama
    • Surat penempatan semula itu adalah surat "arahan" bukannya "tawaran". Mereka yang ingkar arahan selagi arahan tidak bertentangan dengan sumber kuasa,pekeliling dan agama boleh dikenakan tindakan tatatertib
    • Selain itu melalui proses ini kita dapat mengurangkan jumlah guru berlebihan dalam opsyen tertentu dan memberi peluang kepada guru anak negeri untuk kembali berkhidmat dalam negeri
    Kita berharap guru-guru berkenaan dapat  berfikir dengan bijak demi masa depan mereka supaya mereka tidak akan menjadi mercu tanda untuk rujukan kes bagi kuatkuasa sesuatu peraturan yang mungkin selama ini dianggap longgar atau berperikemanusiaan dan menyusahkan diri atau rakan-rakan seperjuangan yang terkemudian.Kita tentunya tidak mahu:-
    • JPN dengan tegas mengambil tindakan tatatertib bagi semua kes ingkar arahan tanpa alasan dan sebab munasah
    • KPM dan OUM hanya  meluluskan  permohonan menyambung pelajaran mengikut bidang keperluan dan mandatorikan, wajib mengajar subjek berkaitan
    • KPM mewajibkan pelaksanaan  redeployment ke negeri lain bagi guru-guru yang berlebihan opsyen berkenaan kerana banyak lagi negeri yang tidak cukup opsyen guru berkaitan
    • SPP tidak akan melantik guru-guru lepasan ijazah pertama jika mereka tidak mengajar  subjek atau bidang yang mereka perolehi dari ijazah tersebut
    Kita berharap guru-guru yang masih belum melapor diri menggunakan pendekatan saluran yang betul dan bijaksana menyelesaikan "masalah" mereka. Kita berharap Guru Besar sekolah yang sepatutnya menerima guru berkaitan membuat laporan segera tentang tarikh lapor diri guru-guru berkenaan. Dan kita juga hendak tahu bagaimana tindakan Guru Besar yang mana gurunya yang masih belum melapor diri dan berada di sekolahnya selepas 16 Februari 2011. Apakah dengan surat arahan pertukaran yang masih "hidup" selepas tarikh itu guru berkenaan masih diberi tugas mengajar dan lain-lain tugas rasmi serta masih diiktiraf sebagai guru dalam perjawatan sekolahnya. Atau bagaimana ???

    Pertukaran dan Penempatan Guru Besar Dan GPK Berkuatkuasa 1 Mac 2011

    Selamat Bertugas kepada semua Guru Besar dan Guru Penolong Kanan yang bertukar atau ditempatkan kerana kenaikan pangkat di sekolah baru. Semoga kehadiran tuan/puan akan memberi manafaat kepada ramai orang dan bukan sebaliknya. Hayati nilai-nilai profesion dan sumbangkan khidmat bakti terbaik. Semoga kedatangan tuan/puan ke sekolah baru memberi impak besar dalam usaha "Melestarikan Pendidikan Terbilang"

    Senarai Guru Besar dan GPK bertukar dan ditempatkan 1 Mac.Klik di sini

    Monday, February 28, 2011

    Tahniah ! 30 Sekolah Terengganu meraih Anugerah Tawaran Baru (New Deals) Tahun 2010

    586 guru besar dapat ganjaran

    28/02/2011 11:19am

    JASIN 28 Feb. - Seramai 586 guru besar hari ini menerima ganjaran RM7,500 seorang bagi anugerah tawaran baru berikutan pencapaian prestasi yang memberangsangkan. Mereka menerima ganjaran itu daripada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada satu majlis di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Syed Zahiruddin, Ayer Tawar, Merlimau, di sini pagi ini. - Utusan

    Tahniah dan Syabas kepada 30 daripada 45 buah sekolah rendah negeri Terengganu  yang berjaya menerima Anugerah Tawaran Baru (New Deals) bagi Tahun 2010.Sekolah yang menerima anugerah ini melalui program Sub NKRA Pendidikan difahamkan Guru Besarnya akan menerima RM7,500, 5% guru akan menerima RM1,900 dan 95% guru lagi akan menerima RM900.00 setiap seorang.

    Kita sangat berharap pengiktirafan ini akan memberi inspirasi dan dorongan kepada setiap sekolah untuk membuat lonjakan dan sentiasa berada dalam kualiti tinggi dalam semua aspek pengurusan persekolahan.Kita juga tidak mahu mendengar "cerita" sekolah yang memperolehi anugerah ini seperti "cerita" anugerah lain yang diterima oleh warga sekolah sebelum ini.Bersyukur dan teruskan usaha ,insyaalah kecemerlangan akan dicapai,anugerah  bakal digapai..

    Senarai Sekolah Rendah Terengganu yang menerima Anugerah Tawaran Baru 2010
    boleh dilihat di sini