Sunday, October 3, 2010

Majlis Budi Abadi Sempena Persaraan Pengarah Pelajaran Terengganu

"Saya sangat bertuah kerana sewaktu mengambil alih tugas sebagai Pengarah Pelajaran Negeri pada April 2007 pendidikan Terengganu telah berada di landasan yang kukuh setelah asasnya dibina oleh pengarah-pengarah terdahulu.Dengan asas yang kukuh itulah saya bersama pegawai dan warga pelajaran seluruhnya mampu melonjakkan pendidikan Terengganu", kata Yang Berbahagia,Tuan Haji Ariffin bin Haji Embong di Majlis Budi Abadi sempena persaraan beliau yang dianjurkan oleh pihak jabatan.Beliau akan mula bersara wajib mulai 9 Oktober 2010 ini.

Dengan nada sebak dan terharu beliau merakamkan setinggi penghargaan kepada semua warga pendidikan yang turut "Bersama Melonjakkan Prestasi Pendidikan Terengganu" hingga pendidikan Terengganu mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang.Semasa tayangan video klip mengenai sejarah dan perjuangannya beliau kelihatan beberapa kali mengesat airmata. Pada saya klip video ini adalah antara yang terbaik pernah diterbitkan oleh BTPN Terengganu.

Sebelum itu,Yang Berbahagia En.Razali bin Daud,Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri dalam ucapannya merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan terima kasih di atas jasa dan sumbangan pengarah dalam pendidikan negeri Terenganu. Beliau menyifatkan pengarah seorang yang mempunyai pemikiran futuristik dan mempunyai kekuatan peribadi terutama hubungan dengan kerajaan negeri dalam memajukan pendidikan negeri Terengganu dengan mendapat peruntukan dana yang besar bagi melaksanakan aktiviti kecemerlangan pendidikan.

Majlis Budi Abadi yang berlangsung di Hotel Permai Inn hari ini telah dihadiri oleh YB Haji Zawawi Ismail,Timbalan Pengerusi Pelajaran Negeri merangkap ADUN Kuala Berang,semua pegawai Jabatan Pelajaran Negeri,Pegawai Pelajaran Daerah,Pengarah-Pengarah IPG ,Jemaah Nazir,mantan-mantan Pengarah,Pengerusi dan AJK Majlis Pengetua Negeri Terengganu,Pengerusi dan AJK Majlis Guru Besar Negeri Terengganu dan juga anggota keluarga pengarah sendiri.

Ketibaan Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu disambut dengan paluan kompang dan bunga manggar serta diiringi Timbalan Pengarah dan pegawai kanan Jabatan Pelajaran Negeri dan Daerah. Selepas bacaan doa ,klip video kisah perjalanan hidup beliau ditayangkan. Klip video ini memang menyentuh perasaan para hadiri apalagi menceritakan bagaimana susahnya kehidupan pengarah dan keluarganya di Kampung Mengabang Telipot masa dahulu.Satu perkara yang amat istimewa diceritakan oleh adiknya En. Mokhtar dan En. Azhar beliau sangat mentaati kedua ibubapanya di mana apa sahaja perkembangan kerjayanya dimaklum dan mendapat restu dari kedua allahyarham  ibubapanya.

Selepas ucapan ,Pengarah telah menerima pelbagai hadiah dan cenderamata dari pelbagai pihak termasuk dari Ketua Sektor,Pegawai Pelajaran Daerah,Majlis Pengetua,Majlis Guru Besar.Selepas itu sambil menikmati makanan hadirin dihiburkan dengan persembahan dari band guru Terengganu. Yang Berbahagia Pengarah mengambil kesempatan bergerak dari meja ke meja dengan diiringi Timbalan Pengarah sambil bersalaman dan berpelukan dengan hadirin. Suasananya cukup mengharukan.Ramai yang menitiskan airmata.

Semamangnya telah menjadi lumrah kehidupan insan di dunia,bertemu dan berpisah,bekerja dan bersara,hidup dan mati dan pelbagai pasang lagi tetap akan dilalui oleh semua kita.Apa yang penting tunaikanlah kewajipan semasa hidup dan berkhidmat dengan penuh ikhlas dan dedikasi.Kita memang merasa kehilangan seorang pengarah yang sangat dedikasi dan perihatin yang meninggalkan pendidikan Terengganu penuh dengan legasi.

Kita doa dan ucapankan SELAMAT BERSARA kepada Yang Berbahagia Tuan Haji Ariffin bin Haji Embong dan kita ucapkan SELAMAT DATANG kepada Pengarah yang baru.Semoga Kelestarian Pendidikan Terengganu akan terus memacu laju. Kita semualah arkitek yang mencorakkan nasib masa depan anak bangsa kita.
Terima Kasih Tuan Pengarah
Terima kasih cikgu !

No comments:

Post a Comment