Thursday, February 23, 2012

Cuepacs Tuntut Kenaikan Gaji RM700-RM2,500 Untuk Gred 1 Hingga Gred 54

PUTRAJAYA, 22 Feb (Bernama) -- Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menuntut kerajaan memberi kenaikan gaji antara RM700 hingga RM2,500 untuk Gred 1 hingga Gred 54.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata kenaikan itu perlu dilaksanakan terlebih dahulu menerusi skim sedia ada iaitu Skim Saraan Malaysia (SSM) sebelum sebarang pembaharuan dibuat menerusi Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Beliau berkata tuntutan yang dikemukakan ialah untuk Gred 1 hingga 16 kenaikan sebanyak RM700, Gred 17 hingga Gred 26 (RM1,000), Gred 27 hingga Gred 40 (RM1,500), Gred 41 hingga Gred 48 (RM1,800) dan Gred 52 hingga Gred 54 (RM2,500).

"Misalnya bagi mereka yang berada di Gred 17, gaji semasa dalam SSM ialah RM820 perlu dinaikkan sebanyak RM1,000 kepada RM1,800," katanya kepada pemberita selepas membentangkan kertas cadangan Cuepacs pada mesyuarat pasukan petugas semakan semula SBPA di sini Rabu.

Omar turut mencadangkan agar mereka yang berada di tangga gaji tahap maksimum atau pada tangga gaji mati perlu dibayar tunggakan kenaikan tahunan selama mana mereka tidak menikmati sebarang kenaikan selain perlu dinaikkan gred. - BERNAMA


Naik Gred ke Naik Pangkat !!! Nampak serupa tapi tak sama

Ramai yang bertanya kami hal ini terutama selepas isu 15,000 guru yang sudah temuduga belum naik gred walaupun sudah temuduga dua tahun. Ada yang sebut naik gred, ada yang sebut naik pangkat, ada yang tulis naik gred dan ada yang tulis naik pangkat. Kami buat perbandingan isu NAIK GRED atau  NAIK PANGKAT berdasarkan kefahaman kami. Dan kami amat mengalu-alukankan apa jua perkongsian ini agar lebih jelas dan tidak mengelirukan kita semua

NAIK GRED

Mengikut apa yang kami faham adalah di mana seseorang kakitangan awam (guru) dari segi perjawatannya telah memenuhi syarat-syarat perjawatan untuk berpindah ke sesuatu gred yang lain lebih tinggi. Contohnya jika ianya ingin naik gred DG41 ianya WAJIB memiliki lulus ijazah sarjana muda dan yang setaraf dengannya kerana itu adalah syarat asas perjawatan pada gred berkenaan selain mematuhi dan memenuhi prosidur lain seperti:
  • mereka mesti memohon untuk naik ke gred berkenaan
  • mereka yang layak ditemuduga dan mesti lulus
  • menerima pakej tawaran lantikan ke gred baru dan syarat-syarat perkhidmatan dan gaji
  • menerima surat lantikan ke gred baru
  • menjalani apa jua kursus yang disyaratkan untuk pengesahan atas gred berkenaan
  • diurusetia proses permohonan dan pelantikan sepenuhnya oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran
NAIK PANGKAT.

Naik pangkat mengikut fahaman kami ialah apabila seseorang pegawai memenuhi syarat-syarat perkhidmatan untuk layak menjawat jawatan lebih tinggi dengan berlaku perubahan pada gred jawatan dan bidang tugasnya sesuai dengan kekududukan naik pangkat jawatannya. Umumnya mereka mesti memenuhi syarat-syarat berikut:
  • memenuhi syarat lama berkhidmat atas gred jawatan semasa ( seperti 8 tahun atau 10 tahun) 
  • mempunyai nilaian prestasi tahunan selama tiga tahun yang cemerlang
  • bebas dari apa juga tindakan tatatertib
  • mengisi borang permohonan melalui iklan yang disiarkan atau diperaku oleh Ketua Jabatan
  • lulus PTK / Prospek
  • ditawar / dilantik berdasarkan kedudukan ranking (yang teratas ditawarkan dahulu)
  • ujudnya tempoh pemangkuan di jawatan gred naik pangkat baru antara 6 bulan ke atas
  • diperakukan oleh Ketua Jabatan dan Nilaian Prestasi Khas
  • Keputusan layak atau tidak, lulus atau gagal ditentukan oleh Lembaga Naik Pangkat
 Mengikut fahaman kami Gred Jawatan Guru sama ada DGA29 atau DG41 adalah bukan gred naik pangkat tapi gred asas perkhidmatan bukan siswazah dan siswazah dengan gelaran jawatan sebagai Guru Penolong. Guru Besar gred DGA34 terlebih dahulu menyandang jawatan naik pangkat itu dengan gelaran jawatan Guru Besar akan kekal dengan gelaran itu setelah naik gred DG41 dengan diberi DG41(KUP) . Tapi guru Penolong DGA29 yang naik gred DG41 akan diberi gred DG41 tanpa berubah gelaran Jawatan dan Fungsi tugasnya sebagai Guru Penolong dan begitu jugalah guru DG41 yang baru. Mereka yang baru atas gred DG41 tidak layak jadi Guru Besar dan GPK Sekolah Rendah. Sebabnya bacalah kat SINI

Semoga dengan penerangan kami yang lemah dan ringkas ini dapat membuka ruang perkongsian agar kita kaum guru jelas terhadap sesuatu perkara.

Wednesday, February 22, 2012

PENTING : Tindakan Berterusan Oleh Guru Besar dan Pengetua Dalam Sistem Online Data e-OPERASI

Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, KPM sudah mengambil tindakan untuk mengguna sepenuhnya Pangkalan Data e-OPERASI pada tahun 2012 ini. Data Guru Sekolah Rendah (DOSR) dan Data Operasi Menengah (OPMEN) akan berada dalam sistem online yang dimaksudkan ini. Sehubungan itu, Sektor Pengurusan Sekolah JPN Terengganu telah memanjangkan Surat Arahan Pengemaskinian Data Bagi Penempatan dan Pertukaran Guru ke semua PPD untuk dipanjangkan semula ke semua sekolah rendah dan menengah di bawah pentadbiran PPD berkenaan. 

Adalah diingatkan bahawa tindakan pengemaskinian data ini perlu dilaksanakan sepanjang masa. Paling penting ialah apabila berlaku Penempatan Guru Baharu atau  Penempatan Pertukaran Guru di sekolah-sekolah. Langkah SEGERA yang perlu dilaksanakan oleh Guru Besar atau Pengetua ialah mengemaskini pada menu Maklumat Guru dalam sistem e-OPERASI yang boleh dicapai melalui http://apps.moe.gov.my/eoperasi

Surat arahan KLIK


Tuesday, February 21, 2012

Pemantauan dan Bimbingan SKK di daerah Besut

BESUT - Hari ini kami dua kumpulan pemantau bimbingan SKK ke daerah Besut. Saya dan Ketua Unit satu kumpulan memantau persiapan pencalonan SKK di SK Tok Dor dan SK Amir. Sementara Penolong Pengarah Guru Unit Rendah bersama Penyelia Kanan SJKT ke SK Kuala Kubang dan SK Kampung Baru Tok Dor. Bilangan sekolah daerah Besut yang tercalon sebanyak 6 buah .

Memang tidak dinafikan prestasi UPSR dan GPS sekolah daerah Besut antara daerah terbaik negeri. Justru jumlah sekolah yang memenuhi syarat untuk dicalonkan banyak berbanding daerah lain. Kita berharap dengan pencalonan ini jumlah SKK dan SBT daerah Besut akan bertambah.

SK Tok Dor dan SK Amer yang kami pantau dan bantu ini mempunyai potensi dan kekuatan untuk dilonjakkan sebagai SKK dan SBT pada masa hadapan. Sebahagian besar eleman dan ada. Keduanya termasuk sebagai sekolah dipilih untuk Tawaran Baru Guru Besar. Selain itu mereka ada kejayaan dalam bidang akademik dan kokurikulum. Kami membantu menjelaskan konsep kebitaraan dan bagaimana memperluas dan memperkasakan kebitaraan sehingga ianya menjadi ikon dan watak sekolah. Apa yang penting dalam kebitaraan akademik dan kokurikulum bukan sahaja kita ingin mencapai kemuncak kejayaan paling tinggi tetapi juga jumlah penglibatan warga sekolah (guru dan murid) dalam program kebitaraan juga sangat penting. Impak dari program kebitaraan biar menjadi "wabak dan sindrom" kepada seluruh warga sama ada pengetahuan dan kemahiran dalam bidang berkenaan.

Kita pasti lama kelamaan melalui perbincangan,bimbingan serta penyebaran info mengenai SKK dan SBT tanggapan salah, sukar, payah hendak bergerak ke arah SKK dan SBT akan berubah. Worldview yang jelas seperi kata Dato Cg Rahim Tahir mantan Pengarah Pelajaran Terengganu dahulu "hendak biar berupa" akan memudahkan pengaturan strategi dan aktiviti untuk meraihnya.
En. Jelani bersama Guru Besar dan GPK SK Tok Dor
En. Jelani bersama Guru Besar & GPK SK Amer



Monday, February 20, 2012

Taklimat Penempatan Guru SR Lepasan Program B.Ed. TESL

KUALA TERENGGANU - " Berdasarkan pengalaman anak saya sebagai jurutera elektrik jika elektrik padam sekarang selewat-lewat jam 12.00 malam nanti elektrik akan dipulihkan ataupun lebih awal. Jika akauntan tersilap perkiraan lima sen sebelum jam 11.00 malam punca perkiraan itu akan dapat dikesan. Tetapi jika guru SR silap mendidik (ilmu,kemahiran dan nilai) sekarang kesannya akan dirasai duapuluh atau tiga puluh tahun akan datang", demikian antara intipati ucapan En. Zakaria Ali, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah sewaktu menyampaikan ucapan di Majlis Taklimat Penempatan Guru SR Lepasan Program B.Ed. TESL di Gelari Sulaiman, SK Sultan Sulaiman 1, pagi ini.

Beliau juga mengingatkan sepuluh orang guru baru ini bahawa tugas guru adalah luas dan sukar kerana kita membina dan membentuk manusia yang menuntut banyak pengorbanan masa dan tenaga. Tegas beliau lagi tugas guru bukan mengajar semata-mata tetapi melaksanakan sokongan pembelajaran seperti kegiatan kokurikulum yang perlukan kemahiran, kecekapan dan kebijaksanaan.

Sebelum itu, En. Johari  Ismail dari Unit Latihan menyampaikan taklimat program pembangunan guru baru. Sementara Ketua Unit Sekolah Rendah, En. Jelani Sulong menyampaikan taklimat berkaitan penempatan dan perkhidmatan. Pada majlis berkenaan juga kecuali Besut semua Penyelia Kanan PPD hadir kerana mereka menerima guru baru bagi daerah masing-masing.

Kita amat yakin guru-guru ini yang mengadakan twin-program dengan universiti luar negara selama dua tahun bukan sahaja dapat memenuhi masalah kekurangan Guru Bahasa Inggeris tetapi juga mampu mempertingkat penguasaan dan pencapaian Bahasa Inggeris di kalangan pelajar.

 

Sunday, February 19, 2012

Isu 15,000 guru tidak naik gred : Respone Timbalan Menteri Pelajaran

15,000 naik gred
Guru lepasan ijazah nikmati manfaat semakan semula SBPA

 
KUALA LUMPUR: Kerajaan semalam memberi jaminan 15,000 guru lepasan ijazah yang belum menerima kenaikan gred akan menikmatinya sebaik semakan semula skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) diselesaikan April ini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata Kementerian Pelajaran sudah mengambil tindakan berhubung kenaikan pangkat itu walaupun SBPA masih di peringkat semakan semula Pasukan Petugas Khas diketuai bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam.

Beliau menjelaskan Kementerian Pelajaran tidak dapat menaikkan gred guru terbabit tahun lalu disebabkan dasar membekukan lantikan baru bermula 20 Mei sehingga 31 Disember, selain tidak mempunyai jumlah perjawatan mencukupi.

“Daripada rekod Kementerian Pelajaran, kita dapati 7,396 pegawai perkhidmatan pendidikan lepasan diploma (PPPLD) sudah diperakui oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) untuk dilantik sebagai pegawai perkhidmatan siswazah.

“Bagaimanapun, pelantikan mereka tidak dapat dilakukan tahun lalu berikutan pembekuan itu... sebab itulah timbul isu berkenaan,” katanya di sini, semalam.

Minggu lalu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng mendedahkan kira-kira 15,000 guru lepasan ijazah di seluruh negara belum menerima kenaikan gred DG41 walaupun sebahagian mereka sudah melepasi proses temu duga sejak dua tahun lalu.

Situasi itu menimbulkan ketidakpuasan hati kumpulan guru terbabit yang terpaksa membuat pinjaman pendidikan atau mengeluarkan simpanan peribadi bagi menampung kos menyambung pelajaran masing-masing.

Sumber : Berita Harian Online 18 Feb 2012 


Pemantauan dan Bimbingan SKK di SK Gong Badak

KUALA TERENGGANU - Selain SK Tengku Bariah, pagi ini kami sempat memantau persiapan SK Gong Badak bagi menghadapi pencalonan Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK). Kami kagum dengan semangat Guru Besar dan GPK SK Gong Badak walaupun beberapa hari sahaja melapor diri di sekolah itu.

Biarpun baru dan persiapan  baru bermula tetapi semangat ingin berkerja ke arah yang lebih baik itu yang paling utama. Setidak-tidaknya mereka telah memulakan misi dan visi ke arah SKK dan insyaallah ke SBT. Potensi ke arah itu bagi sekolah ini amat besar. Peluang membina jaringan dengan pelbagai insitusi amat luas justru anak-anak mereka ramai yang belajar di sekolah ini.Seperti mana-mana sekolah, budaya dokumentasi sebagai aviden atau bukti pelaksanaan sesuatu perancangan masih lemah sedangkan banyak yang telah dilakukan dan dicapai.

Untuk makluman semua sekolah yang dicalonkan sebagai panduan dalam penyediaan bahan bidang kebitaraan yang dipilih perkara berikut perlu dititkberatkan sama ada kebitaraan akademik atau sukan/permaian :-
  1. Perancagan strategik bidang kebitaraan itu dari 2009 hingga 2011
  2. Program-program dan bukti-bukti pelaksaanaan seperti surat, gambar, sijil dan lain-lain
  3. Impak - khusus kepada pencapaian bidang itu sendiri dan penyebaran ilmu dan kemahiran kepada seluruh warga yang dibuktikan dengan - carta, gambar, sijil dann sebagainya.
Kita sangat mengalu-alukan bukan sahaja sekolah dicalonkan malah semua sekolah memberi fokus pengurusan sekolah mereka ke arah SKK dan SBT dengan memberi penekanan kepada:
  1. Melaksanakan dan menyediakan proses kerja SKPM dengan sempurna
  2. Pengurusan Sistem Fail mengikut piawaian yang ditetapkan
  3. Pengurusan Kewangan yang kemas dan sempurna
  4. Pengurusan,perancangan,pelaksanaan dan pelaporan lengkap bidang kurikulum, hem dan kokurikulum
  5. Pemilihan bidang kebitaraan serta mengurusnya dengan sempurna
  6. Mendokumentasi semua kejayaan sekolah - sekolah,guru dan murid
  7. Membina jalinan ( antara sekolah dengan sekolah) dan jaringan (antara sekolah dengan pelbagai insitusi lebih tinggi)
  8. Mendokumentasi tokoh-tokoh berjasa kepada sekolah
  9. Merancang dan melaksana program penandaarasan dengan sempurna
  10. Membina budaya sukakan kesempurnaan dan keterbilanagan

Info Sihat : Minum teh elak serangan jantung

LONDON 18 Feb. - Pengambilan tiga cawan teh setiap sehari cukup untuk mengelak anda daripada serangan jantung dan diabetis jenis 2, menurut satu kajian terkini.

Kajian diketuai Dr. Carrie Ruxton itu menunjukkan pengambilan teh hitam secara teratur, sama ada ditambah dengan susu atau tidak, boleh mengurangkan masalah jantung dengan memotong paras kolestrol jahat dan juga gula dalam darah.

Beliau yang merupakan Pakar Pemakanan berkata, manfaat teh terletak pada kandungan flavonoid, iaitu bahan anti-oksidan yang berfungsi mengawal penyakit kardiovaskular.

“Sebenarnya banyak manfaat yang terkandung dalam minuman kegemaran ramai ini daripada apa yang kita jangkakan,” kata Ruxton, yang juga merupakan anggota Panel Penasihat Teh (TAP).
Menurutnya, secawan teh menyediakan antara 150 dan 200 miligram flavonoid dan ia merupakan sumber anti-oksidan terbaik berbanding hidangan-hidangan lain.

Sebagai perbandingan, kandungan anti-oksidan dalam dua cawan teh bersamaan dengan lima bahagian sayur-sayuran.

Seorang lagi anggota TAP, Dr. Tim Bond pula berkata, masalah kronik seperti sakit jantung, strok dan diabetis berkait rapat dengan proses keradangan dan kehadiran radikal bebas pro-oksidan yang berlebihan dalam badan.

“Bahan anti-oksidan dan anti- keradangan yang terkandung dalam flavonoid teh hitam memberi kesan positif kepada tubuh,” katanya. - AGENSI

Sumber : Utusan Malaysia Online, 19 Feb 2012