Tarikh 31 Ogos diabadikan saban tahun sebagai satu tarikh yang penuh
bersejarah bagi seluruh rakyat Malaysia tidak mengira usia, keturunan, bangsa
dan agama. Sesiapa sahaja yang merupakan rakyat Malaysia akan berasa bangga
apabila tiba sahaja hari terakhir di dalam bulan Ogos ini.
Jika dahulu sambutan mungkin dijalankan hanya pada tarikh 31 Ogos ini,
tetapi kini sambutannya adalah selama sebulan. Sambutan kemerdekaan selama
sebulan ini, yang dikenali sebagai Bulan Kemerdekaan, diadakan bagi tujuan
mengingatkan kembali pengorbanan generasi terdahulu yang telah berjuang untuk
memastikan anak cucu mereka (iaitu kita semua yang ada hari ini) dapat hidup
dalam suasana bebas, aman, makmur dan merdeka. Itulah harapan generasi pejuang
kemerdekaan agar keturunan mereka tidak akan dijajah dan dibelenggu oleh kuasa
luar.
Sebenarnya, perkara yang lebih utama dalam menyambut ulang tahun
kemerdekaan negara ini adalah bagi semua rakyat Malaysia untuk menterjemahkan
sambutan ini ke dalam bentuk penghayatan, kesedaran dan kesyukuran. Slogan,
laungan merdeka dan cuti umum tidak membawa apa-apa kesan jika rakyat Malaysia tidak
menghayati dengan penuh kesedaran dan kesyukuran nilai merdeka yang sebenarnya.
Penghayatan kemerdekaan bukan sekadar melaung-laungkan perkataan
merdeka, tetapi juga bermaksud penghayatan dan pemahaman maksud dan kepentingan
kemerdekaan yang dikecapi ini. Kesedaran tentang kemerdekaan bukan sahaja
bermakna kita tahu bila dan di mana sambutan kemerdekaan diadakan, tetapi juga
bermakna kita sedar bahawa kemerdekaan ini wajib dipertahankan kerana negara
kita boleh dijajah kembali. Mensyukuri kemerdekaan bukan sahaja bererti kita
gembira dengan kemerdekaan yang dikecapi, tetapi juga bererti kita memanjatkan
kesyukuran kepada Allah s.w.t. atas anugerah kemerdekaan yang begitu berharga
ini.
Inilah yang perlu dilakukan oleh generasi pascamerdeka sebenarnya, iaitu
menghayati, menyedari dan mensyukuri kemerdekaan yang tidak ternilai harganya
ini. Hakikatnya, generasi hari ini tidak melalui kesusahan, kepayahan dan
kegetiran zaman sebelum merdeka, baik zaman penjajahan Inggeris mahupun zaman
pendudukan tentera Jepun ketika Perang Dunia Kedua.
Generasi pascamerdeka hanya mengetahui tentang zaman sebelum merdeka
dari buku-buku sejarah. Mungkin kerana tidak dapat menghayati sendiri erti
kemerdekaan yang sebenar, maka ada di kalangan generasi pascamerdeka ini yang
mengambil mudah sambutan ulang tahun kemerdekaan negara.Ada yang menganggap
tarikh 31 Ogos hanya satu cuti umum semata-mata. Ini sememangnya amat
menyedihkan kerana ketiadaan penghayatan kemerdekaan yang sebenar boleh
mengundang penjajah kembali ke negara kita.
Kita perlu sedar bahawa penjajahan yang boleh berlaku ini tidak lagi
sama seperti bentuk penjajahan ketenteraan seperti suatu masa dahulu. Walaupun
penjajahan bentuk lama ini masih lagi boleh berlaku seperti yang kita lihat
berlaku di sesetengah negara di dunia ini, hakikatnya penjajahan bentuk baru
lebih merbahaya. Ini kerana penjajahan bentuk baru berlaku secara halus,
tersembunyi dan tidak disedari. Antara bentuk penjajahan bentuk baru ialah
penjajahan pemikiran, budaya dan ekonomi.
Atas sebab inilah maka generasi pascamerdeka ini perlu lebih
berhati-hati berbanding dengan generasi terdahulu. Serangan ketenteraan dapat
dilihat dan ditentang kembali. Persoalannya jika serangan yang dilakukan itu
dalam bentuk serangan pemikiran, budaya dan ekonomi, bagaimana mungkin kita
menangkisnya?
Generasi pascamerdeka yang diracuni pemikiran menerusi penjajahan bentuk
baru akan memperjuangkan nilai-nilai Barat yang bertentangan dengan nilai-nilai
Islam dan nilai-nilai ketimuran. Hakikatnya peradaban Barat sudah mula terhakis
nilai-nilai murninya. Tidak wujud lagi sebenarnya peradaban Barat, yang ada
mungkin adalah “perbiadaban” Barat yang menjunjung nilai-nilai songsang yang
merosakkan institusi kekeluargaan dan kemasyarakatan.
Keracunan pemikiran akibat penjajahan bentuk baru ini seterusnya boleh
menyebabkan pencemaran budaya. RakyatMalaysiaamat berbangga dengan kepelbagaian
budaya dan adat resam pelbagai bangsa. Keunikan ini boleh terhakis jika
penjajahan budaya yang terkesan dari proses globalisasi membawa masuk
budaya-budaya negatif yang membawa kerosakan.
Penjajahan ekonomi juga tidak kurang bahayanya. Jika kita imbas kembali
kepada kegawatan ekonomi di tahun-tahun terakhir 1990an, kita bersyukur kerana
kita tidak membuat kesilapan yang sama seperti negara-negara lain di rantau
Asia Timur ini dengan menerima “ubat” yang ditawarkan oleh Tabung Kewangan
Antarabangsa dan Bank Dunia. Apa yang disangka “ubat” sebenarnya “racun” yang
dijadikan senjata untuk mengawal dan mengongkong kedaulatan sebuah negara yang
merdeka.
Islam sebenarnya memberikan beberapa pendekatan yang mampu untuk
memastikan kelangsungan kemerdekaan yang dikecapi oleh negara kita.
Pendekatan-pendekatan ini perlu dilaksanakan oleh generasi pascamerdeka yang
merupakan majoriti pendudukMalaysiahari ini. Di atas bahu generasi inilah
terletaknya amanah dan tanggungjawab untuk memastikan agar negara kita akan
terus merdeka dan makmur.
Islam turut menganjurkan supaya kita mempersiapkan diri, masyarakat dan
negara dengan segala jenis kekuatan. Dalam kata lain, kekuatan yang perlu
dibina itu bukan sahaja dari aspek ketenteraan, tetapi juga dari aspek kekuatan
ekonomi, politik, sosial dan ilmu pengetahuan. Hanya dengan kekuatan dalaman
sahajalah yang akan dapat membantu mempertahankan kemerdekaan negara.
Aspek perpaduan juga perlu diberikan perhatian yang sewajarnya oleh
generasi pascamerdeka. Di dalam sebuah hadis, baginda Rasulullah s.a.w.
bersabda yang bermaksud: “Antara seorang Mukmin dengan seorang Mukmin yang lain
adalah seperti sebuah binaan, di mana satu bahagian memperkukuhkan bahagian
yang lain”. Jika diterjemahkan hadis ini dalam konteksMalaysia, jelas kepada
kita bahawa kita perlu mewujudkan kesepaduan dan kesepakatan yang jitu. Jika
kita berpecah-belah dan bercakaran sesama sendiri, nescaya ini akan memudahkan
pencerobohan musuh ke atas negara kita.
Adalah penting bagi generasi pascamerdeka untuk menghayati dan memahami
sejarah silam. Kejatuhan Empayar Melayu Melaka adalah kerana perselisihan
dalaman dan perebutan kuasa. Akibatnya Portugis menyerang dan berjaya menjajah
Melaka. Bermula dari detik hitam dalam tahun 1511 itu, negara terpaksa menunggu
446 tahun sebelum kembali merdeka.
Kita mengambil masa 446 tahun lamanya untuk kembali merdeka. Kini kita
baru merasai nikmat kemerdekaan ini selama 48 tahun. Sanggupkah kita
menggadaikan kemerdekaan ini sekali lagi?
No comments:
Post a Comment